Kalamuna Siri 1

Ku mulakan kalam ini dengan

بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Alhamdulillah, selepas dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, inilah kali pertama saya mengambil semula pena untuk melakarkan sedikit tulisan dalam warkah yang saya namakan ‘Kalamuna’ (Kata-Kata Kami).

Dua tiga hari lepas, saya bertemu dengan saudara Kamal Affendi, pakar analisis jenayah di Wisma Berita RTM, Kuala Lumpur. Katanya, jangan berhenti menulis. Satu nasihat tulus daripada sanubarinya yang menjadikan saya acapkali berfikir.

Alhamdulillah, dengan bantuan beberapa rakan, saya kembali menulis. Susah untuk berhenti kerana penulisan sudah seakan sebati dengan diri ini.

Sebagai mukadimah, ingin saya nyatakan bahawa laman web saya boleh dilayari di www.zulkiflialbakri.com. Lontaran idea-idea saya boleh dicapai daripada laman web ini. Apa kandungan utamanya?

  1. Ruangan Kalamuna

Ruangan ini adalah tempat curahan idea dan lontaran hati saya tentang realiti kehidupan yang berlaku di sekeliling, samada dalam atau luar negara.

  • Ruangan Al-Bayan

Mungkin sebelum ini saya dikenali dengan Bayan Linnas. Kini, ruangan al-Bayan akan menemui anda dengan pendekatan yang hampir sama tetapi gaya yang berbeza. Ruangan ini akan dikendalikan sepenuhnya oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah), Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) di bawah seliaan saya.

Pelbagai isu-isu semasa akan dikupas dengan perbahasan yang padat dan membumi sebagai panduan pandangan hukum untuk Muslim di seluruh dunia, dan juga pemahaman yang baharu buat sahabat-sahabat bukan Muslim.

Sebagai penjelasan, Al-Bayan adalah siri pandangan hukum yang dikeluarkan oleh Unit al-Bahth al-‘Ilmi (Penyelidikan Ilmiah) Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Ianya tidak berperanan sebagai fatwa dalam konteks akta, enakmen dan ordinan.

Ruangan-ruangan ini juga akan boleh didapati dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris apabila laman web ini siap sepenuhnya.

Laman web ini dihasilkan antara lain sebagai memenuhi hasrat YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin saya lebih aktif menyampaikan pandangan dan buah fikiran berhubungkait agama dalam media massa dan media cetak.

Hasrat saya adalah agar setiap tindakan dan pertimbangan dalam mengemudi urusan pentadbiran dan pengurusan hal ehwal Islam di peringkat Persekutuan, dipandu oleh pemahaman fiqh dan syariat yang bertunjangkan ilmu dan asas istinbat yang sahih. Itulah matlamat saya.

Saya akhiri dengan doa supaya Allah hindarkan wabak dari bumi yang tercinta ini.

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Riwayat Abu Daud (1554), Ahmad (13027), al-Nasa’ie (5493) dan Abu Ya’la (2897)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *