Saya terbaca jawapan yang diberikan oleh ulama al-Azhar yang diketuai oleh Syeikh al-Azhar sendiri, Syeikh al-‘Allamah Prof. Dr. Ahmad Tayyib berkenaan dengan hukum semasa dalam menghadapi isu Covid-19.

Kibar Ulama’ al-Azhar telah mengemukakan beberapa hukum, antaranya:

  • Mengajak orang ramai untuk berhimpun bagi berdoa dan beristighfar sekalipun wujudnya kemudaratan yang pasti berlaku adalah merupakan satu tindakan yang bercanggah dan melampau ke atas Syariat Allah. Sebaran yang penuh kekeliruan ini adalah perkara yang keji dan dicela mengikut Syariat Islam.
  • Memonopoli barang keperluan (al-ihtikar)[1] pada zaman wabak seperti ini hukumnya haram, bahkan pengharamannya lebih daripada keadaan biasa.
  • Semua pihak hendaklah menyahut dan mematuhi sebarang saranan langkah kuarantin dan pencegahan.
  • Semua orang hendaklah beriltizam dengan sesungguh-sungguhnya dan tidak berhimpun beramai-ramai sekalipun untuk solat Jumaat dan jemaah.
  • Harus mempercepatkan zakat[2] dan mengeluarkannya sekalipun belum sampai waktu yang wajib kerana kemaslahatan.

Perkembangan zaman, tempat, masa dan keadaan, membawa kepada pelbagai hukum yang bersesuaian yang diputuskan oleh para ulama. Inilah keanjalan dalam fiqh yang membawa manfaat dan maslahah kepada ummah. Semoga beberapa hukum ini menjadi pedoman kepada kita dalam menjalani kehidupan ketika wabak dan pada saat yang sama kita tetap melakukan ibadat di rumah kita. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Riwayat Abu Daud (1554), Ahmad (13027), al-Nasa’ie (5493) dan Abu Ya’la (2897)

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
4 April 2020

Nota Hujung:


[1] Ihtikar ini sering diterjemah sebagai monopoli dan hukumnya adalah haram. Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَحْتَكِرُ إِلَّا خَاطِئٌ

Maksudnya: “Tidak boleh melakukan ihtikar. Jika tidak, dia termasuk orang yang berdosa.”

Riwayat Muslim (1605)

[2]  Jumhur ulama’ berpandangan bahawa harus untuk menyegerakan pembayaran zakat sebelum sampai haul, terutamanya jika wujud kemaslahatan apabila melakukan demikian seperti keperluan yang mendesak dan memerlukan daripada golongan asnaf. Mereka bersandarkan kepada hadith dimana Rasulullah SAW memberikan rukhsah kepada bapa saudaranya, Saidina ‘Abbas untuk menyegerakan pembayaran zakat sebelum sampainya haul. Hadith tersebut adalah seperti berikut:

فعَنْ عَلِيٍّ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، أَنَّ الْعَبَّاسَ سَأَلَ النبي صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ في تعجيلِ صَدَقَته قبل أنْ تَحُلَّ، فرَخَّصَ في ذلك

Maksudnya: Daripada Saidina Ali RA, bahawa Saidina ‘Abbas bertanya kepada Nabi SAW untuk menyegerakan pembayaran zakatnya sebelum tiba haul, maka Rasulullah SAW telah memberikan rukshah terhadap perkara tersebut.

Riwayat Abu Daud (1624)

Ini juga seperti yang dinyatakan di dalam kitab fiqh, seperti yang disebut dalam kitab Nihayatul al-Muhjat Syarh al-Minhaj:

يجوز تعجيلها في المال الحولي قبل تمام الحول فيما انعقد حوله ووجد النصاب فيه؛ لأنه صلى الله عليه وسلم أرخص في التعجيل للعباس

Maksudnya: Harus hukumnya untuk menyegerakan zakat pada harta yang diwajibkan zakat sebelum sempurnanya haul apa yang sampai pada haulnya dan wujud nisab padanya. Ini kerana Rasulullah SAW telah memberikan rukhsah untuk menyegerakan pembayaran zakat ini kepada Saidina ‘Abbas RA. (Rujuk Nihayatul Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3/141)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *