بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ

Tanggal hari ini, masuk kali ketiga kita tidak dapat menunaikan solat Jumaat sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diumumkan oleh kerajaan pada 18 Mac lalu. Kami merasa risau apabila diberitahu oleh pihak keselamatan bahawa terdapat segelintir pihak yang berkeras mahu menunaikan solat Jumaat pada hari ini.

Alasan mereka kerana terdapat hadis yang menyebut bahawa sesiapa yang tidak menunaikan solat Jumaat sebanyak tiga kali, maka ia termasuk dalam golongan munafiq. Kami ingin tegaskan, bahawa apa yang didakwa ini adalah suatu kesalahfahaman yang jelas!

Benar terdapat hadis sedemikian tetapi ia perlu dibaca secara menyeluruh. Antaranya apa yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja‘di al-Dhamriy R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا طَبَعَ اللهُ عَلَى قَلْبِهِ وَجَعَلَ قَلْبَهُ فَهُوَ قَلْبُ الْمُنَافِقِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali nescaya Allah akan mencap hatinya, dan (Allah) menjadikan hatinya itu seperti hati orang munafiq.”

Riwayat al-Tirmizi (500), al-Nasa’ie (8813) dan Ibn Khuzaimah (1858)

Namun demikian, dalam lafaz yang lain ada menjelaskan sebab ia dicap sebagai munafiq seperti sabdaan Rasulullah SAW:

مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, Allah akan mengunci hatinya.”

Riwayat al-Tirmizi (500)

Perkataan “تَهَاوُنًا” (kerana meringan-ringankannya) jelas menunjukkan sifat kemalasan dan tidak menghadiri Jumaat tanpa uzur dan sebarang sebab. Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan bahawa ia bermaksud meninggalkannya kerana mengambil mudah. Manakala al-‘Aini pula menyebut: Erti perkataan “تَهَاوُنًا بِهَا” adalah meninggalkannya disebabkan sikap malas dan culas dalam melaksanakannya. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 3/1024)

Manakala dalam riwayat Jabir bin Abdillah R.A, Rasulullah S.A.W bersabda :

مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا مِنْ غَيْرِ ضَرُورَةٍ طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya : Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang dharurat maka Allah akan mengunci mati jantung hatinya.

Riwayat Al-Nasa’ie (1370)

Maksud hadis ini adalah meninggalkan dengan sengaja tanpa darurat atau sebarang uzur Syar’ie. Sedangkan isu yang melanda ini juga termasuk dalam bab keuzuran. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْعُذْرُ ؟ قَالَ : خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendengar azan tetapi dia tidak menjawabnya (yakni datang menunaikannya) maka tidak ada solat baginya melainkan kerana uzur. Mereka (para sahabat) bertanya: Apakah keuzuran itu? Baginda menjawab: ketakutan dan sakit.”

Riwayat Abu Daud (551) dan Ibn Majah (793)

Perkataan ‘al-maradh’ adalah penyakit bagi individu dan untuk maslahat perseorangan. Akan tetapi dalam isu COVID-19 ini, ia adalah satu wabak penyakit berjangkit. Justeru, ia lebih bersifat maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum) yang kita disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah (stay at home), yang perlu lebih lagi diutamakan.

Perkara ini juga sudah dibincangkan bersama pihak-pihak seperti  Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pakar-pakar berkenaan isu ini. Ini selaras dengan satu kaedah yang menyebut:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

Begitu juga Nas Ilahi turut menyebut:

فَاسْأَلُوا أَهْلَ الذِّكْرِ إِن كُنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.”

(Surah al-Nahl: 43)

Ahl al-Zikr dalam isu ini adalah pakar perubatan dan kesihatan termasuk yang berkaitan isu ini seperti pakar kawalan penyakit berjangkit.

Maka, kami katakan golongan yang dicap sebagai munafiq itu adalah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran. Sedangkan situasi yang berlaku sekarang adalah umat Islam sedang berada dalam keadaan darurat kesihatan disebabkan penularan wabak penyakit berjangkit Covid-19.

Justeru, kami dengan rendah diri merayu agar seluruh umat Islam di negara ini kekal meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama. Sesungguhnya kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri.

Akhir kalam, jangan pergi masjid! Solatlah Zuhur berjemaah di rumah atau di tempat masing-masing.

YB Senator Datuk Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)
3 April 2020

MENINGGALKAN SUATU JAWAPAN

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini