#615: Kebumikan Mayat Orang Islam Bersama Orang Masihi

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum mengebumikan mayat orang Islam bersama orang Masihi?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kewajiban Mengebumikan Mayat Orang Islam

Pada asasnya, antara hak bagi si mati adalah dengan menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.” [1]

Berdasarkan hadis ini, disunatkan untuk disegerakan solat jenazah dan membawanya ke perkuburan.[2]

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan.[3]

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf.[4]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Sunat segera menguruskan jenazah dengan memandikan, mengkafankan, menyembahyangkan dan mengebumikannya. Ulama’ Islam telah berijma’ menyatakan hukum keempat-empat urusan tersebut adalah fardhu kifayah atas kesemua orang Islam di tempat kematian. Jika tidak ada seorang pun di kalangan mereka melaksanakan tugas tersebut, maka berdosalah semuanya.”[5]

Hukum Mengebumikan Mayat Orang Islam Bersama Orang Masihi

Berbalik kepada persoalan di atas, berdasarkan nas yang banyak, jelas menunjukkan bahawa tidak harus mayat orang Islam ditanam di perkuburan orang Masihi. Begitu juga sebaliknya. Ini dalam keadaan mayat dapat dicam. Adapun apabila berlaku percampuran sehingga tidak dapat dibezakan lagi, maka hendaklah semua ditanam di perkuburan orang Islam kerana memberatkan bagi pihak orang Islam.

Fatwa seperti ini juga telah dikeluarkan oleh Imam al-Akbar, Syeikh Jad al-Haq Ali Jad al-Haq dalam Buhuth wa Fatawa Islamiyyah fi Qadhaya Mu’asirah (1/524). Fatwa ini juga hampir serupa yang telah dikeluarkan oleh al-Fatawa al-Islamiyyah min Dar al-Ifta’ al-Misriyyah (10/3555).

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

[1] Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

[2] Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/20 & 51

[3] Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155

[4] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104

[5] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/249

Latest articles

Related articles