Sepertimana yang telah saya ulaskan dalam Siri al-Mawaqif ke-13 bertajuk: PRU-15: Kemuncak Demokrasi dan Cita-Citaku, maka pada kali ini, sebagaimana pada tajuk di atas, saya berhasrat untuk tegaskan di sini beberapa poin:
Pertama, keperluan dan kewajiban mewujudkan imamah atau khilafah atau pemimpin dan kerajaan di sesebuah negara. Semua kitab feqah membahaskannya termasuk al-Fiqh al-Manhaji yang menerangkan beberapa objektif kenapa keperluan seperti itu. Antaranya supaya tiada kacau-bilau sesebuah negara dan adanya urusan pentadbiran serta kehidupan khalayak masyarakat berjalan dengan sebaiknya.
Kedua, Syeikh al-Islam yang terakhir bagi khalifah Uthmaniyyah, Syeikh Mustafa Sabri menganggap wajib dan perlu bagi umat Islam memahami politik dan menempatkan diri di persadanya jika berkelayakan dan mempunyai sifat-sifat kepimpinan. Ini kerana ia termasuk dalam urusan menegakkan syariat dan Daulah Islamiyyah sebagaimana Baginda SAW mengasaskan Negara Islam Madinah.
Ketiga, antara tanggungjawab terbesar yang diperintahkan oleh Allah kepada hamba-hamba-Nya yang muslim adalah supaya mereka bersatu dengan cara berpegang kepada agama Allah SWT dan tidak berpecah atau bertelagah sesama sendiri. Kedudukan pemerintah di kalangan semua individu umat pula adalah umpama paksi pada sesuatu bulatan. Dialah yang akan merealisasikan perpaduan dan menjaga keutuhan mereka melalui kepimpinannya. Jawatan tersebut amat perlu demi kestabilan undang-undang dan keharmonian keadaan. Ia turut dirasai oleh spesis haiwan dan ternakan.
Seperti yang saya nyatakan, keperluan untuk mengadakan dan mewujudkan sesebuah kerajaan adalah perlu diberi perhatian yang sungguh-sungguh sebagaimana para sahabat yang sanggup berkumpul di Thaqifah Bani Sa’idah selepas kewafatan Rasulullah SAW untuk melantik di kalangan mereka khalifah yang akhirnya dipilih Saidina Abu Bakar al-Siddiq. Semoga Malaysia dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang baik, sempurna dan stabil dengan secepat mungkin. Amin.
Keyakinan kami kepada para pemimpin selepas PRU-15 adalah amat tinggi. Justeru, saya akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Da’awat al-Kabir (265), Ibn Hibban (974) dan Ibn al-Sunni dalam ‘Amal al-Yaum wa al-Lailah (351)