Khalul Mukminin Mu‘awiyah bin Abu Sufyan

Beliau ialah Abu ‘Abd al-Rahman Mu‘awiyah bin Abu Sufyan Sakhr bin Harb bin Umayyah bin ‘Abd Syams bin ‘Abd Manaf bin Qusai bin Kilab al-Qurasyi al-Umawi al-Makki. Beliau adalah Amirul Mukminin dan pemerintah Islam. Ibunya pula bernama Hind binti ‘Utbah bin Rabi‘ah bin ‘Abd Syams bin ‘Abd Manaf bin Qusai. Al-Hafiz Ibn Hajar menyebutkan, beliau dilahirkan 5 tahun sebelum kenabian. Namun, ada yang berpendapat, 7 tahun sebelum kenabian, dan ada juga yang berpendapat, 13 tahun sebelum kenabian. Akan tetapi pendapat yang pertama lebih masyhur.

Dikatakan bahawa beliau memeluk Islam sebelum bapanya lagi iaitu semasa Umrah Qadha’. Namun beliau takut untuk menyertai Nabi SAW kerana bapanya, dan beliau menzahirkan keislamannya pada hari pembukaan kota Makkah. 

Selain itu, Mu‘awiyah juga meriwayatkan daripada Nabi SAW dan menulis untuk Baginda beberapa kali. Beliau juga ada meriwayatkan daripada saudara perempuannya, Ummu Habibah, begitu juga daripada Abu Bakar dan Umar. Manakala di antara mereka yang meriwayatkan daripadanya pula ialah Ibn Abbas, Sa‘id bin al-Musayyib, Abu Soleh al-Samman, Abu Idris al-Khaulani, Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman, ‘Urwah bin al-Zubair, Sa‘id al-Maqburi, Khalid bin Ma‘dan, Hammam bin Munabbih, Abdullah bin ‘Amir al-Muqri’, al-Qasim Abu ‘Abd al-Rahman, ‘Umair bin Hani’, ‘Ubadah bin Nusai, Salim bin Abdullah, Muhammad bin Sirin, Walid ‘Amr bin Syu‘aib dan ramai lagi. Begitu juga sahabat yang lain turut ada meriwayatkan daripadanya seperti Jarir bin Abdullah, Abu Sa‘id, al-Nu‘man bin Basyir dan Ibn al-Zubair. 

Ibn Abi al-Dunya dan selainnya menyebutkan, Mu‘awiyah adalah seorang yang bertubuh tinggi, berkulit putih dan berwajah kacak. Apabila beliau ketawa, bibir atasnya akan terbalik dan beliau juga mewarnakan rambutnya. Begitu juga Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz meriwayatkan daripada Abu ‘Abd Rabb: “Aku melihat Mu‘awiyah mewarnakan dengan warna kekuningan, lalu seolah-olah janggutnya berwarna keemasan.”  (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/119-121; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/120).

Selain itu, terdapat riwayat daripada ‘Abd al-Rahman bin Abu ‘Amirah, bahawasanya Nabi SAW pernah mendoakan Mu‘awiyah R.A sebagaimana sabda Baginda SAW:

اللَّهُمَّ اجْعَلْهُ هَادِياً، مَهْدِيّاً، وَاهْدِ بِهِ 

Maksudnya:Ya Allah, jadikanlah dia seorang pemberi petunjuk, diberi petunjuk dan berikanlah hidayah (kepada manusia) melaluinya.”

Riwayat al-Tirmizi (3842); Ahmad (17926) dan Imam al-Tirmizi menilainya sebagai hasan gharib. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (3/126) menyatakan, perawi-perawinya adalah thiqah kecuali Sa‘id telah mengalami kekeliruan dalam hafalannya. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Takhrij Misykah al-Masabih (5/486) menilainya sebagai hasan, dan al-Albani pula dalam Sahih al-Tirmizi (3842) menilainya sebagai sahih.

Selain daripada itu, terdapat juga dalam riwayat lain menyatakan bahawa Nabi SAW pernah mendoakan Mu‘awiyah R.A dengan doa:

اللَّهُمَّ عَلِّمْهُ الكِتَابَ، وَالحِسَابَ، وَقِهِ العَذَابَ

Maksudnya:Ya Allah, ajarkanlah dia ilmu al-Quran, ilmu hisab dan lindungilah dia daripada azab.”

Riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya (7210); Ibn Khuzaimah (1938); al-Bazzar (4202); Ahmad (17192); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (7210) menilai sanadnya sebagai dhaif, manakala dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (3/124) pula, beliau menyatakan semua perawinya adalah thiqah kecuali Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz telah mengalami kekeliruan dalam hafalannya. Akan tetapi padanya terdapat syahid. Imam al-Zahabi dalam Tarikh al-Islam (4/309) menyebutkan, perawi-perawinya adalah thiqah dan diriwayatkan seumpamanya daripada banyak jalur.

Selain itu, Ibn Battah menyebutkan, kami mengasihi Abu ‘Abd al-Rahman Mu‘awiyah bin Abu Sufyan yang merupakan saudara lelaki Ummu Habibah, isteri Rasulullah SAW. Beliau adalah bapa saudara orang-orang beriman seluruhnya (Khalul Mukminin), penulis wahyu, disebutkan kelebihannya dan diriwayatkan apa yang beliau riwayatkan daripada Rasulullah SAW. Begitu juga Ibn Qudamah ada menyatakan, Mu‘awiyah R.A adalah Khalul Mukminin, penulis wahyu Allah dan salah seorang khalifah kaum Muslimin. Demikianlah juga Abu Ya‘la al-Farra’ turut menyebutkan, Mu‘awiyah R.A adalah Khalul Mukminin dan  penulis wahyu Tuhan sekalian alam. (Lihat Fadha’il Khal al-Mu’minin Mu‘awiyah bin Abi Sufyan oleh Amir bin Ahmad al-Qarawi, hlm. 44-45).

Ibn Qayyim al-Jauziyyah ada menyebutkan, apa-apa riwayat yang sahih di sisi para ulama berkenaan keutamaan para sahabat secara umumnya dan juga keutamaan Quraisy, maka Mu‘awiyah termasuk di dalamnya. (Lihat al-Manar al-Munif, hlm. 116).

Tambahan lagi, Mu‘awiyah bin Abu Sufyan juga adalah pemimpin angkatan perang pertama di laut dan mendapat jaminan syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ummu Haram bahawasanya beliau mendengar Nabi SAW bersabda:

أَوَّلُ جَيْشٍ مِنْ أُمَّتِي يَغْزُونَ البَحْرَ قَدْ أَوْجَبُوا، قَالَتْ أُمُّ حَرَامٍ: قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَنَا فِيهِمْ؟ قَالَ: أَنْتِ فِيهِمْ. قَالَتْ: ثُمَّ قَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: أَوَّلُ جَيْشٍ مِنْ أُمَّتِي يَغْزُونَ مَدِينَةَ قَيْصَرَ مَغْفُورٌ لَهُمْ، فَقُلْتُ: أَنَا فِيهِمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ: لاَ.

Maksudnya:Pasukan yang pertama daripada kalangan umatku yang berperang menyeberangi lautan, sesungguhnya mereka mewajibkan Syurga ke atas diri mereka (dengan melakukan perbuatan yang mewajibkan Syurga untuk mereka).” Ummu Haram bertanya: “Wahai Rasulullah, adakah aku termasuk dalam kalangan mereka?” Baginda menjawab: “Engkau termasuk dalam kalangan mereka.” Lalu Nabi SAW bersabda: “Pasukan yang pertama daripada kalangan umatku yang memerangi kota Qaisar akan mendapat keampunan bagi mereka.” Ummu Haram bertanya: “Adakah aku tergolong dalam kalangan mereka, wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Tidak.”

Riwayat al-Bukhari (2924)

Al-Munawi ketika menjelaskan lafaz “قَدْ أَوْجَبُوا” menyatakan, maksudnya adalah mereka melakukan perbuatan yang mewajibkan syurga buat mereka atau mewajibkan buat diri mereka untuk mendapat keampunan dan rahmat. (Lihat Faidh al-Qadir, 3/84).

Khalifah bin Khayyat menyebutkan daripada Ibn al-Kalbi, katanya: Pada tahun 28 Hijrah, Mu‘awiyah bin Abu Sufyan telah melakukan serangan di laut (yakni memimpin armada laut) dan bersamanya isterinya iaitu Fakhitah binti Qarazah daripada Bani ‘Abd Manaf. Selain itu, turut bersamanya juga ‘Ubadah bin al-Samit dan isterinya Ummu Haram binti Milhan al-Ansariyyah. Armada tersebut menuju ke Cyprus (قُبرُسَ). Ummu Haram telah meninggal dunia dan dikebumikan di sana.

Ibn ‘Abd al-Barr menyebutkan, para ilmuan sejarah tidak berselisih pendapat, setakat yang aku ketahui bahawasanya serangan (perang) yang dipimpin oleh Mu‘awiyah disebutkan dalam hadith ini, ketika Ummu Haram turut sama dalam serangan itu, pada zaman pemerintahan Uthman dan bukannya pada zaman pemerintahan Mu‘awiyah. 

Al-Zubair bin Abu Bakar menyebutkan, Mu‘awiyah telah belayar di lautan bersama kaum Muslimin pada zaman pemerintahan Uthman bin ‘Affan bagi melakukan serangan ke Cyprus. Turut serta bersamanya Ummu Haram binti Milhan, isteri kepada ‘Ubadah bin al-Samit. Ummu Haram telah menunggang baghalnya ketika hendak keluar dari kapal, lalu beliau terjatuh dari haiwan tunggangannya dan meninggal dunia. (Lihat al-Tamhid, 1/460).

Ibn ‘Abd al-Barr juga ada menyebutkan bahawa padanya menunjukkan kepada keutamaan dan kelebihan Mu‘awiyah R.A yang telah menjadikan orang-orang yang berperang di bawah panjinya termasuk dalam kalangan al-Awwalun. (Lihat al-Tamhid, 1/449).

Malah, perkara ini juga turut diceritakan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya menerusi riwayat daripada Ishaq bin Abdullah bin Abu Talhah bahawa dia mendengar Anas bin Malik berkata: 

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدْخُلُ عَلَى أُمِّ حَرَامٍ بِنْتِ مِلْحَانَ وَكَانَتْ تَحْتَ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ، فَدَخَلَ عَلَيْهَا يَوْمًا فَأَطْعَمَتْهُ، وَجَعَلَتْ تَفْلِي رَأْسَهُ، فَنَامَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ اسْتَيْقَظَ وَهُوَ يَضْحَكُ. قَالَتْ: فَقُلْتُ: مَا يُضْحِكُكَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي عُرِضُوا عَلَيَّ غُزَاةً فِي سَبِيلِ اللهِ، يَرْكَبُونَ ثَبَجَ هَذَا البَحْرِ، مُلُوكًا عَلَى الأَسِرَّةِ»، أَوْ: «مِثْلَ المُلُوكِ عَلَى الأَسِرَّةِ» – شَكَّ إِسْحَاقُ – قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ، ادْعُ اللهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ، فَدَعَا لَهَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، ثُمَّ وَضَعَ رَأْسَهُ ثُمَّ اسْتَيْقَظَ وَهُوَ يَضْحَكُ، فَقُلْتُ: مَا يُضْحِكُكَ يَا رَسُولَ اللهِ؟ قَالَ: «نَاسٌ مِنْ أُمَّتِي عُرِضُوا عَلَيَّ غُزَاةً فِي سَبِيلِ اللهِ» كَمَا قَالَ فِي الأُولَى، قَالَتْ: فَقُلْتُ: يَا رَسُولَ اللهِ ادْعُ اللهَ أَنْ يَجْعَلَنِي مِنْهُمْ، قَالَ: «أَنْتِ مِنَ الأَوَّلِينَ». فَرَكِبَتِ البَحْرَ فِي زَمَانِ مُعَاوِيَةَ بْنِ أَبِي سُفْيَانَ، فَصُرِعَتْ عَنْ دَابَّتِهَا حِينَ خَرَجَتْ مِنَ البَحْرِ، فَهَلَكَتْ.

Maksudnya: “Rasulullah SAW pernah masuk ke tempat Ummu Haram binti Milhan dan dia adalah isteri kepada ‘Ubadah bin al-Samit. Pada suatu hari Baginda masuk ke tempatnya, dan dia memberi makan kepada Baginda, lalu dia membersihkan rambut Baginda. Lalu Rasulullah SAW pun tidur, kemudian Baginda bangun dalam keadaan Baginda ketawa. Ummu Haram berkata: Aku kemudian berkata: ‘Apa yang membuatkan kamu ketawa wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Aku diperlihatkan (di dalam mimpi) tentang kelompok daripada umatku yang berperang di jalan Allah, mereka mengharungi tengah lautan seolah-olah raja di atas takhta’ atau: ‘Seperti raja di atas takhta.’ — Ishaq syak (antara dua lafaz ayat itu). — Maka aku berkata: ‘Mohonlah kepada Allah agar aku termasuk dalam kalangan mereka.’ Baginda pun mendoakannya, kemudian Baginda meletakkan kembali kepalanya lalu tidur. Setelah itu Baginda bangun sambil tertawa, maka aku bertanya: ‘Apa yang membuatmu ketawa wahai Rasulullah?’ Baginda menjawab: ‘Aku diperlihatkan (di dalam mimpi) tentang sekelompok daripada umatku yang berperang di jalan Allah,’ seperti yang Baginda sabdakan pada kali pertama. Ummu Haram berkata: Aku kemudian berkata: ‘Mohonlah kepada Allah agar aku termasuk dalam kalangan mereka.’ Baginda bersabda: ‘Engkau sudah termasuk dalam kelompok pertama.’ Kemudian Ummu Haram mengharungi lautan sewaktu zaman Mu‘awiyah bin Abu Sufyan, lalu dia terjatuh dari haiwan tunggangannya ketika dia keluar dari lautan lalu meninggal dunia.”

Riwayat al-Bukhari (7001-7002)

Mu‘awiyah bin Abu Sufyan R.Anhuma meninggal dunia pada bulan Rejab tahun 60 Hijrah mengikut pendapat yang sahih. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/122).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *