#541: Mandi Tanpa Berpakaian

q

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah mendengar kisah tentang Nabi Musa AS yang mandi dengan tidak berpakaian. Boleh ustaz jelaskan kisah ini? Dan apa hukum mandi dengan tidak berpakaian ini? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Menurut pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (1/223): Mandi menurut bahasa ialah mengalirkan air ke atas apa-apa sahaja. Manakala pada syara’ pula ialah mengalirkan air ke atas badan dengan niat yang tertentu. Mandi telah disyariatkan oleh Allah SWT sama ada untuk kebersihan ataupun untuk mengangkat hadas dan sama ada ia menjadi syarat sah ibadat ataupun tidak. Firman Allah SWT:

 وَيَسْـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلْمَحِيضِۖ قُلْ هُوَ أَذًى فَٱعْتَزِلُوا۟ ٱلنِّسَآءَ فِى ٱلْمَحِيضِۖ وَلَا تَقْرَبُوهُنَّ حَتَّىٰ يَطْهُرْنَۖ فَإِذَا تَطَهَّرْنَ فَأْتُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ أَمَرَكُمُ ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلتَّوَّ‌ٰبِينَ وَيُحِبُّ ٱلْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah: Haid itu adalah suatu kotoran. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haidh. Dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri.” [1]

 

Kisah Nabi Musa AS Mandi dalam Keadaan Tidak Berpakaian

Terdapat sebuah hadis daripada Nabi SAW bahawa Nabi Musa AS mandi dalam keadaan tidak berpakaian di tempat yang jauh daripada orang ramai. Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah  SAW bersabda:

كَانَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ يَغْتَسِلُونَ عُرَاةً، يَنْظُرُ بَعْضُهُمْ إِلَى بَعْضٍ، وَكَانَ مُوسَى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَغْتَسِلُ وَحْدَهُ، فَقَالُوا: وَاللهِ مَا يَمْنَعُ مُوسَى أَنْ يَغْتَسِلَ مَعَنَا إِلَّا أَنَّهُ آدَرُ، فَذَهَبَ مَرَّةً يَغْتَسِلُ، فَوَضَعَ ثَوْبَهُ عَلَى حَجَرٍ، فَفَرَّ الحَجَرُ بِثَوْبِهِ، فَخَرَجَ مُوسَى فِي إِثْرِهِ، يَقُولُ: ثَوْبِي يَا حَجَرُ، حَتَّى نَظَرَتْ بَنُو إِسْرَائِيلَ إِلَى مُوسَى، فَقَالُوا: وَالله مَا بِمُوسَى مِنْ بَأْسٍ، وَأَخَذَ ثَوْبَهُ، فَطَفِقَ بِالحَجَرِ ضَرْبًا».” فَقَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: وَالله إِنَّهُ لَنَدَبٌ بِالحَجَرِ، سِتَّةٌ أَوْ سَبْعَةٌ، ضَرْبًا بِالحَجَرِ.

Maksudnya: “Orang-orang Bani Israil dahulu mandi bertelanjang, mereka melihat kepada satu sama lain dan Nabi Musa A.S mandi seorang diri.” Maka mereka berkata: “Demi Allah, tiada yang menegah Musa mandi bersama melainkan kerana burut zakarnya.” Pernah sekali Musa pergi untuk mandi lalu meletakkan pakaiannya di atas batu. Maka batu itu lari membawa pakaiannya. Musa terus keluar (dari tempat mandinya) mengejar batu itu sambil berkata: “Pakaianku wahai batu.” Sehingga orang-orang Bani Israil melihat kepada Musa. Pada ketika itu barulah mereka berkata: “Tidak ada apa-apa kekurangan pun pada Musa. Musa mengambil pakaiannya dan memukul batu itu.” Abu Hurairah berkata: “Demi Allah sesungguhnya ada enam atau tujuh kesan pukulan di atas batu itu.”[2]

Ibn al-Batthal menjelaskan: “Adapun mandian yang dilakukan Bani Israel dalam keadaan telanjang dengan melihat di antara satu dengan yang lain, maka ia menunjukkan mereka menderhakai Musa pada perkara tersebut, tidak mengikut sunnahnya kerana baginda mandi sekira-kira tiada orang yang melihat kepada baginda dan mencari kawasan yang tiada orang. Padahal wajib mereka mengikutnya pada perbuatan tersebut. Walaupun perbuatan mereka mandi telanjang ketika berseorangan di bawah pengetahuan Musa dan dia memperakuinya. Namun tidak wajib kita mengikutinya kerana dalam syariat kita hendaklah menutup aurat daripada ditonjolkan aurat pada mata-mata manusia. Ia adalah fardhu ke atas kita. Manakala menutupnya (aurat) dalam keadaan berseorangan adalah baik bukan wajib.”[3]

Selain itu, terdapat hadis sahih lain, yang menceritakan bahawa Nabi Ayub AS juga mandi tanpa seurat benang. Sabda Nabi SAW:

بَيْنَا أَيُّوبُ يَغْتَسِلُ عُرْيَانًا فَخَرَّ عَلَيْهِ جَرَادٌ مِنْ ذَهَبٍ، فَجَعَلَ أَيُّوبُ يَحْتَثِي فِي ثَوْبِهِ، فَنَادَاهُ رَبُّهُ يَا أَيُّوبُ، أَلَمْ أَكُنْ أَغْنَيْتُكَ عَمَّا تَرَى قَالَ بَلَى وَعِزَّتِكَ وَلَكِنْ لاَ غِنَى بِي عَنْ بَرَكَتِكَ ‏

Maksudnya: “Sewaktu Nabi Ayyub AS mandi dalam keadaan bogel/telanjang, tiba-tiba jatuhlah di depannya seekor belalang emas. Ayyub pun segera hendak mengambil kainnya, maka baginda pun dipanggil oleh Tuhannya, “Wahai Ayyub, bukankah engkau telah cukup kaya hingga tidak memerlukan lagi barang (belalang emas) yang kau lihat itu?” Ujar Ayyub, “Benar wahai Tuhanku, tetapi aku tidak boleh mengabaikan keberkatan-Mu.” [4]

Imam al-Bukhari sendiri dalam Sahihnya telah meletakkan bab: “Orang yang Mandi Berseorangan dalam Keadaan Bersendirian, dan Orang yang Menutup Aurat, Maka Menutup Aurat Adalah Lebih Baik.”

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (1/387) berkata: “Imam al-Bukhari menggunakan hadis tentang kisah Nabi Musa dan Nabi Ayyub ini sebagai hujah bahawa dibolehkan bertelanjang ketika mandi. Hal ini kerana, menurut Ibn Battal bahawa Nabi Musa dan Nabi Ayyub adalah Nabi yang kita diperintahkan untuk mengikuti mereka. Tetapi kaedah pendalilan dari hadith ini tepat jika kita berpegang kepada prinsip kaedah dalil syarak para Nabi terdahulu sebelum syariat kepada Nabi Muhammad dan berpegang ia adalah syarak bagi kita juga.

Kemudian, Ibn Hajar berkata bentuk pendalilan yang lebih jelas ialah dengan mengatakan Nabi SAW menceritakan kisah dua Nabi ini, tanpa memberi sebarang komentar dari sudut mereka mandi telanjang. Ini bermakna syarak mereka dalam hal ini bersamaan dengan syarak kita.

Oleh itu, hukum mandi telanjang adalah makruh dan sebahagian Syafieyyah menguatkan pendapat haram. Al-Hafiz berkata: “Yang masyhur adalah makruh jika bersendirian.

Ibn al-Muhallab berkata: “Dalam hadith Musa dan Ayub adalah dalil keharusan bertelanjang ketika berseorangan untuk tujuan mandi dan sebagainya , sekira-kira tenteram daripada mata-mata manusia kerana Ayub dan Musa adalah antara manusia yang diperintahkan kita agar mengikut petunjuk mereka.”[5]

Dalil keharusan di atas adalah berdasarkan syarak umat sebelum kita.

Ibn Hajar mengatakan: “Kesimpulannya, hukum sesiapa yang mandi tanpa sebenang urat (telanjang) sekiranya dia berada di tempat yang tersembunyi dan tidak dilihat oleh sesiapapun yang diharamkan ke atasnya melihat aurat orang tersebut, maka halal baginya untuk melakukannya. Tetapi yang afdhal adalah menutup auratnya kerana segan atau malu dengan Allah taala. Jika dia mandi sekira-kira dapat dilihat oleh seseorang maka haram orang tersebut melihat auratnya dan wajib ke atasnya menutup auratnya daripada orang tersebut secara ijmak sebagaimana diriwayatkan.”[6]

Imam al-Nawawi berkata:“ Inilah mazhab kita (harus mandi telanjang). Dan al-Qadhi ‘Iyadh menukilkan daripada majoriti ulama tentang keharusan mandi dalam keadaan telanjang ketika berseorangan.”[7]

 

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas jelaslah bahawa hukum membuka aurat dalam keadaan berseorangan adalah:

  • Haram : Jika tiada keperluan atau hajat tertentu.
  • Harus : Jika ada keperluan seperti seseorang itu ingin melakukan qadha hajat, mandi, tabarrud (menghilangkan suasana panas), berubat, dan menukar pakaian.

Justeru, dapat difahami bahawa hukumnya adalah harus bagi seseorang mandi dalam keadaan telanjang tetapi hendaklah tidak di tempat terbuka atau dapat dilihat oleh orang lain. Begitu juga sepatutnya seseorang Muslim hendaklah menjaga maruahnya dan tidak mendedahkan aib diri sendiri di hadapan orang lain.

Bahkan Rasulullah SAW bersabda:

الحَيَاءُ مِن الإِيمَان

Maksudnya: “Malu itu sebahagian daripada Iman.”[8]

Selain itu, antara adab yang perlu dijaga oleh seorang yang ingin mandi tanpa sebenang urat pun adalah sebagaimana disarankan oleh sebahagian fuqaha: “Sesiapa yang mandi tanpa sebarang pakaian (telanjang) disunatkan ketika menanggalkan pakaian mengucapkan “Dengan nama Allah, tiada yang berhak disembah melainkannya” kerana ia mampu menutup seseorang daripada terkena panahan mata-mata jin.”[9]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Surah al-Baqarah: 222

[2] Riwayat al-Bukhari (278)

[3] Lihat Syarah Sahih al-Bukhari, 1/392

[4] Riwayat al-Bukhari (279)

[5] Lihat Syarah Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Batthal, 1/393

[6] Dinukilkan dalam Mirqaat al-Mafatih Syarah li Misykaat al-Masabiih, 2/368

[7] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/197

[8] Riwayat al-Bukhari (24)

[9] Perkara ini disebut oleh al-Dimyathi dalam kitabnya I`anah al-Talibin, 1/97

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *