#540: Membatalkan Solat untuk Jawab Panggilan Penting

[ux_products auto_slide=”2000″ equalize_box=”true” ids=”5450,5042,7018,90,4039,7068,9559,10144,4198,4204,4037,4034,6562,3137,3747,3750,5585″]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Adakah seseorang dibolehkan untuk menghentikan solatnya bagi menjawab panggilan telefon, jika dia tahu sedang menerima panggilan telefon yang berkaitan dengan urusan yang penting? Mohon penjelasan.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Solat adalah satu ibadah yang wajib ditunaikan oleh semua yang bergelar Muslim iaitu yang melafazkan dua kalimah syahadah. Firman Allah SWT:

وَأَقِيمُوا الصَّلَاةَ

Maksudnya: “Dan dirikanlah kamu akan sembahyang.”[1]

Sabda Nabi SAW:

بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ ، شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ ، وَإِقَامِ الصَّلَاةِ ، وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ ، وَالْحَجِّ ، وَصَوْمِ رَمَضَانَ

Maksudnya: “Islam terbina atas lima perkara: penyaksian bahawa tiada Tuhan selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadhan, dan menunaikan haji ke baitullah bagi yang mampu.”[2]

 

Definisi Solat

Perkataan solat adalah diambil daripada bahasa Arab. Ia adalah merupakan kata nama terbitan (masdar) daripada kata kerja (fi’il); solla, yusolli, solatan yang membawa maksud doa, al-istighfar, al-maghfirah, al-Islam, al-din.[3]

Allah SWT berfirman:

وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ

Maksudnya: Dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka.”[4]

Dari sudut istilah Fiqh, solat bermaksud beberapa perkataan dan perbuatan, yang didahului dengan takbir dan diakhiri dengan salam, mengikut syarat-syarat tertentu.[5]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Ia dinamakan solat kerana ia mengandungi doa yang merupakan unsur yang banyak di dalamnya. Hal ini kerana menggunakan nama juzuk untuk maksud keseluruhannya (إطلاقا لاسم الجزء على الكل).[6]

Menurut Kamus Dewan, solat dalam bahasa Melayu diertikan sebagai sembahyang iaitu perbuatan menyembah Allah dan secara khususnya ia dilaksanakan di dalam Solat fardu yang lima.

 

Kepentingan Solat dan Khusyuk Padanya

Solat merupakan salah satu kefardhuan yang utama dalam agama Islam. Ia merupakan ibadah yang paling mulia, yang mempunyai peranan yang penting dalam pembentukan peribadi seseorang bahkan keislamannya. Justeru, amat penting bagi kita dalam memahami hakikat daripada ibadah solat ini.

Al-Hasan al-Basri pernah mengungkapkan: “Wahai anak Adam, solat adalah ibadah yang dapat menghalangmu daripada maksiat dan kemungkaran. Sekiranya solat tidak menghalangmu daripada kemaksiatan dan kemungkaran, maka hakikatnya engkau belumlah mendirikan solat.”[7] Berdasarkan nasihat ini, kita dapat memahami bahawa solat yang dilakukan dengan benar, maka ia akan memberi kesan yang baik dalam sakhsiah diri seseorang.

Selain itu, orang yang menjaga solat juga akan terhindar daripada termasuk dalam kalangan orang yang lalai. Hal ini dapat dilihat dalam sebuah hadis, sabda Rasulullah SAW:

مَنْ حَافَظَ عَلَى هَؤُلاَءِ الصَّلَوَاتِ الْمَكْتُوْبَاتِ لَمْ يُكْتَبْ مِنَ الْغَافِلِيْنَ

Maksudnya: “Barangsiapa yang menjaga solat-solat fardhu, maka dia tidak akan ditulis sebagai orang-orang yang lalai.”[8]

Justeru, amat penting seseorang itu menjaga solat-solat Fardhu. Menjaga dan memelihara solat dengan maksud menunaikannya dengan sebaik mungkin, di samping khusyuk dalam solat.

 

Khusyuk dalam Solat

Firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ ﴿١﴾ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”[9]

Ibn Kathir ketika mentafsirkan ayat di atas berkata: ‘Ali bin Abi Talhah menceritakan daripada Ibn Abbas R.anhuma: “خَاشِعُونَ” (orang-orang yang khusyuk) iaitu orang-orang yang takut lagi penuh ketenangan. Daripada Ali bin Abi Talib R.A: Yang dimaksudkan dengan khusyu’ di sini ialah kekhusyukan hati.

Hasan al-Basri pula berkata: “Kekhusyukan mereka itu berada di dalam hati mereka, sehingga kerananya mereka menundukkan pandangan serta merendahkan diri mereka.” Khusyuk dalam solat hanya dapat dilakukan oleh orang yang memfokuskan hati padanya sambil melupakan pelbagai aktiviti yang lain. Pada ketika itulah akan terwujud ketenangan dan kebahagiaan baginya.[10]

Diriwayatkan bahawa sebab turunnya ayat ini adalah ketika Rasulullah SAW mendirikan solat, Baginda sedang memandang ke atas. Maka turunlah ayat ini kepada Baginda SAW. Kemudian Baginda menundukkan pandangannya ke tempat sujud beliau.[11]

Menurut al-Baghawi, para ulama berselisih pendapat dalam mentafsirkan maksud khusyuk dalam firman Allah SWT “الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ” (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya. Namun, mereka sepakat menyatakan bahawa khusyuk merupakan elemen penting kepada solat yang berkualiti.

Antara pendapat sahabat dan tokoh berkaitan maksud khusyuk:

  • Ibnu ‘Abbas berkata: Tenang dan merendahkan diri (مخبتون أذلاء)
  • Ali bin Abi Talib R.A berkata: Iaitu tidak menoleh ke kanan dan tidak pula ke kiri.
  • Sa’id bin Jubair berkata: Iaitu (seseorang) tidak mengetahui siapa orang yang di sebelah kanan dan kirinya, dia tidak menoleh, kerana sangat khusyuknya (menghadap kepada) Allah ‘Azza wa Jalla.
  • ‘Amr bin Dinar berkata: Iaitu ketenangan dan keindahan keadaan (gerakan).
  • Ibnu Sirin dan yang lainnya berkata: Iaitu engkau tidak mengangkat pandanganmu dari tempat sujudmu.
  • Atha’ berkata: Iaitu engkau tidak bermain-main dengan anggota tubuhmu dalam solat.
  • Al-Hasan (al-Basri) dan Qatadah berkata: (iaitu) orang-orang yang takut (خائفون).
  • Muqatil berkata: (iaitu) orang-orang yang rendah hati (tawadhu’) (متواضعون).
  • Mujahid berkata: iaitu menundukkan pandangan dan merendahkan suara. (غض البصر وخفض الصوت)
  • Ada juga yang menyebut, khusyuk dalam solat adalah: Mengumpulkan konsentrasi (memerhatikan urusan solat) dan berpaling daripada urusan selainnya serta menghayati makna bacaan dan zikir yang diucapkan oleh lisannya.[12]

Kami kemukakan juga di sini beberapa pendapat para ulama dalam mendefinisikan khusyuk.

  • Kata Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah: Khusyuk adalah: Berdirinya hati di hadapan Tuhan dengan penuh ketundukan dan perasaan hina diri.
  • Imam Junaid Al-Baghdadi yang berkata: Khusyuk adalah; Perasaan rendah diri di dalam hati ke hadapan Tuhan yang Maha Mengetahui perkara ghaib.[13]
  • Imam Ibn Rajab al-Hanbali turut memberikan definisi yang menarik berkenaan khusyuk. Kata beliau: Asal bagi khusyuk adalah perasaan lembut jantung hati, tenang, tunduk serta tetapnya ia.[14]
  • Al-Syaukani ketika mengulas ayat ini berkata: Sebahagian ulama memasukkannya (khusyuk) sebagai sebahagian daripada perbuatan hati seperti perasaan takut dan juga gerun. Manakala sebahagian yang lain mengatakan ia termasuk sebahagian dari perbuatan anggota badan seperti tenang dalam solat, tidak beralih ke sana sini, dan tidak melakukan perkara sia-sia di dalam solat. Dan dari segi bahasa khusyuk bermaksud: Tenang, tawadhu’ (rendah diri), takut, dan juga perasaan hina diri.[15]

Perlu difahami bahawa khusyuk terbahagi kepada dua iaitu:

  • Khusyuk hati iaitu kehadiran hati seseorang yang sedang menunaikan solat secara fokus menghadap Allah SWT dengan membawa cinta kepada-Nya, mengagungkan-Nya, takut terhadap seksa-Nya, dan mengharap pahala dari-Nya sehingga merasa dekat dengan-Nya dan tenang hatinya serta penuh penghayatan dengan menghayati seluruh apa yang diucapkan dan lakukan dalam solatnya, dari awal hingga selesai solatnya. Kekhusyukan hati inilah yang melahirkan kekhusyukan badan, kerana ia adalah asas kekhusyukan.
  • Khusyuk badan iaitu ketenangan gerakan dalam solat, beradab dan tidak tergesa-gesa dalam mengucapkan zikir dan doa, ketundukan pandangan ke arah tempat sujud, tidak menoleh ke atas atau ke arah yang menghilangkan khusyuk dan tidak disibukkan dengan gerakan yang sia-sia.

Berdasarkan pendapat beberapa tokoh ulama di atas, perkara yang dapat kita simpulkan berkenaan definisi khusyuk adalah: Khusyuk adalah perbuatan hati yang meliputi perasaan takut, rendah diri, perasaan hina di hadapan Allah yang menzahirkan perbuatan anggota badan seperti tenang di dalam solat, tidak berpaling ke sana-sini, serta menundukkan pandangan ketika solat.

 

Hentikan Solat untuk Jawab Panggilan Penting

Allah SWT melarang umat Islam untuk sengaja membatalkan amalannya dengan sengaja tanpa apa-apa sebab yang mengharuskannya untuk melakukan demikian. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّـهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah, dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu!”[16]

Dalam hal ini, para ulama’ membezakan hal keadaan orang yang ingin menghentikan solat dengan melihat dari sudut sama ada solat tersebut merupakan solat fardhu ataupun solat sunat, serta sama ada ia disebabkan oleh uzur syar’ie ataupun bukan.

Jika sekiranya solat tersebut merupakan solat fardhu, maka haram hukumnya bagi seseorang tersebut dengan tanpa uzur syar’ie yang membolehkannya membatalkan solatnya tersebut berdasarkan ayat yang disebutkan di atas.

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan bahawa:

قَطْعُ العِبَادَةِ الوَاجِبَةِ بَعْد الشُّرُوعِ فِيهَا بِلَا مَسُوغٌ شَرْعِي غَيْر جَائِز بِاتِّفَاقِ الفُقَهَاءِ؛ لِأَن قَطَعَهَا بِلَا مَسُوغٍ شَرْعِي عَبَثٌ يَتَنَافى مَعَ حُرْمَةِ العِبَادَةِ

Maksudnya: Membatalkan ibadah yang wajib setelah memulakannya tanpa sebab yang membolehkannya melakukan demikian adalah tidak harus dengan sepakat para fuqaha’. Hal ini kerana membatalkan ibadah tanpa sebab yang diizinkan oleh syarak adalah satu perbuatan yang sia-sia dan bersalahan dengan kehormatan solat.[17]

Walaubagaimanapun, jika disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak dan keadaan yang mendesak dan kecemasan seperti menyelamatkan diri sendiri atau orang lain daripada bahaya contohnya, maka ia diharuskan berdasarkan kaedah fiqh yang menyebutkan bahawa:

الضَّرُورَةُ تُبِيحُ االمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: “Keadaan yang darurat itu mengharuskan perbuatan-perbuatan yang haram.”

Di dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan lagi bahawa:

أَمَّا قَطَعَهَا بِمَسُوغٍ شَرْعِي فَمَشْرُوعٌ، فَتَقْطَعُ الصَّلَاةَ لِقَتْلِ حَيَّةٍ وَنَحْوِهَا لِلأَمْرِ بِقَتْلِهَا، وَخَوْف ضَيَاع مَال لَهُ قِيمَةٌ، لَهُ أَو لِغَيْرِهِ، وَلِإغَاثَةِ مَلْهُوف، وَتَنْبِيه غَافِل أَو نَائِمٍ قَصَدَتْ إِلَيهِ حَية ولَا يُمْكِن تَنْبِيهُهُ بِتَسْبِيح

Maksudnya: Adapun jika membatalkannya disebabkan oleh sebab yang dibolehkan oleh syarak, maka hukumnya adalah harus, seperti membatalkan solat bagi membunuh ular atau menyuruh orang lain membunuhnya, atau khuatir akan kehilangan harta benda yang berharga sama ada harta benda sendiri atau orang lain, atau menyelamatkan orang yang meminta pertolongan, mengejutkan orang yang terlalai atau tertidur yang sedang dihampiri oleh ular berbisa yang tidak boleh untuk diberikan peringatan dengan menyebut tasbih sahaja.[18]

Bahkan, hal ini juga terpakai kepada menyelamatkan orang bukan Islam seperti yang disebutkan kitab Kasysyaf al-Qina’, dengan berkata:

وَيَجِبُ رَدُّ كَافِرٍ مَعْصُومٍ بِذِمَّةٍ أَو هدنَةٍ أَو أَمَانٍ عَن بِئْر، وَنَحْوِه، كَحَيَّةٍ تَقْصُدُهُ كَرَدِّ مُسْلِمٍ عَنْ ذَلِكَ بِجَامِعِ العِصْمَةِ، وَيَجِبُ إِنْقَاذُ غَرِيق وَنحوه كَحَرِيق، فَيَقْطَع الصَلَاةَ لِذَلِكَ فَرْضًا كَانَتْ الصَّلَاةُ، أَو نَفْلًا. وَظَاهِرُهُ: وَلَو ضَاقَ وَقْتُهَا، لِأَنَّه يُمْكِن تَدَارُكُهَا بِالقَضَاء، بِخِلَاف الغَرِيق وَنَحْوه ؛ (فَإِن أَبَى قَطْعُهَا) ، أَي الصَّلَاة لِإنْقَاذ الغَرِيق وَنَحْوِه : أَثِمَ. انتهى

Maksudnya: Wajib menyelamat seorang kafir yang dihormati darahnya disebabkan oleh perjanjian perlindungan dan keamanan daripada jatuh ke dalam telaga dan seumpamanya, seperti ular yang menghampiri kepadanya, sama seperti menyelamatkan seorang muslim daripada perkara tersebut dengan syarat bahawa dihormati darahnya. Begitu juga wajib untuk menyelamatkan orang yang lemas atau terbakar. Justeru itu, hendaklah dia memberhentikan solatnya tersebut tidak kira sama ada solat tersebut fardhu ataupun sunat. Begitu juga, walaupun sudah singkat waktunya, ini kerana ia boleh diganti dengan qadha’ berbeza halnya dengan orang yang lemas dan seumpamanya. Jika sekiranya dia enggan membatalkan solatnya untuk menyelamatkan orang yang lemas tersebut, maka dia dikira sebagai berdosa.[19]

Berkenaan hal ini, Imam al-Izz Ibn Abd al-Salam menyebutkan bahawa:

تَقْدِيمُ إِنْقَاذ الغَرْقَى المَعْصُومِين عَلَى أَدَاءِ الصَّلَاة لِأَنَّ إِنْقَاذُ الغَرْقَى المَعْصُومِينَ عِندَ اللهِ أَفْضَل مِن أَدَاءِ الصَّلَاة، وَالجَمع بَينَ المَصْلَحَتَين مُمْكِنٌ بِأَن يُنقِذَ الغَرِيق ثُمَّ يَقْضِي الصَّلَاة. وَمَعْلُومٌ أَنَّ مَا فَاتَهُ مِن مَصْلَحَةِ أَدَاءِ الصَّلَاة لَا يُقَارِبُ إِنْقَاذُ نَفْس مُسْلِمَة مِنَ الهَلَاك

Maksudnya: Hendaklah didahulukan perbuatan menyelamatkan orang yang lemas diatas perbuatan solat. Ini kerana menyelamatkan orang yang lemas di sisi Allah SWT adalah lebih afdhal daripada menunaikan solat. Dan kedua-duanya boleh dihimpunkan iaitu dengan cara menyelamatkan orang yang lemas terlebih dahulu, kemudian mengqadha solatnya. Seperti yang sedia maklum, jika sekiranya terlepas maslahah untuk menunaikan solat pada waktunya tidak sama daripada mashlahah yang lebih besar iaitu menyelamatkan nyawa manusia daripada kebinasaan.[20]

Manakala, jika sekiranya seseorang itu sedang mendirikan solat sunat, maka hal keadaan ini adalah lebih ringan berbanding solat fardhu, sama seperti jika seseorang itu berpuasa sunat. Para ulama’ memberikan kelonggaran dalam keadaan seperti ini dengan mengharuskan untuk seseorang itu membatalkan solat atau puasanya disebabkan oleh keperluan. Perkara ini disebutkan oleh Ibn Hajar di dalam kitabnya Tuhfat al-Muhtaj, bahawa:

وَمَن تَلَبَّسَ بِصَومٍ تَطَوُّعٍ أو صَلَاةٍ أَو غَيْرِهِمَا مِن التَطَوُّعَات إِلّا النُّسُك، فَلَهُ قَطْعُهُمَا، لِلخَبَرِ الصَّحِيح: الصَّائِمُ الْمُتَطَوِّعُ أَمِيرُ نَفْسِهِ إِنْ شَاءَ صَامَ وَإِنْ شَاءَ أَفْطَرَ” وَقِيسَ بِهِ الصَّلَاة وَغَيرِهَا،فقوله تعالى:{وَلَا تُبْطِلُوا أَعْمَالَكُمْ} مَحَلُّهُ فِي الفَرْضِ

Maksudnya: Barangsiapa melaksanakan puasa sunat atau solat sunat dan seumpamanya daripada amalan sunat kecuali haji, maka dia boleh membatalkannya bersandarkan kepada hadith sahih, “Seorang yang berpuasa sunat berkuasa terhadap dirinya sendiri, jika sekiranya dia ingin terus berpuasa atau berbuka puasa, maka dia boleh melakukan demikian.” Justeru itu, diqiaskan hal ini kepada solat dan seumpamanya. Oleh itu, firman Allah SWT, Dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu, merujuk kepada ibadah yang fardhu.[21]

Disamping itu juga, Rasulullah SAW menyuruh umatnya untuk mendirikan solat dalam keadaan khusyuk dan tenang. Allah SWT berfirman:

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.”[22]

Imam al-Sa’di dalam menafsirkan ayat menyebutkan bahawa, solat tanpa khusyuk dan tanpa kehadiran hati walaupun sah dan mendapat pahala, namun begitu kadar pahala yang didapati berdasarkan kekhusyukan seseorang di dalam solat tersebut.[23]

Justeru dapatlah difahami bahawa kita dituntut untuk khusyuk di dalam solat dengan cara memberi fokus kepada solat tersebut dan tidak mencampur-adukkannya dengan urusan lain dari hal keduniaan. Ibn Kathir menyebutkan hal ini dalam tafsirnya dengan berkata:

وَالخُشُوعُ فِي الصَّلَاة إِنَّمَا يَحْصُلُ بِمَن فَرَغَ قَلْبُهُ لَهَا ، وَاشْتَغَلَّ بِهَا عَمَّا عَدَاهَا ، وَآثَرُهَا عَلَى غَيْرِهَا

Maksudnya: “Khusyuk di dalam solat itu hanyasanya diperoleh dengan mengosongkan fikiran daripada perkara lain ketika mendirikannya, hanya sibuk dengan perbuatan dan bacaan di dalam solat sahaja dan mengutamakan solat sebagai perkara pertama berbanding perkara-perkara yang lain.”[24]

Justeru, kita hendaklah memberikan fokus dan tumpuan yang sepenuhnya ketika menunaikan solat dan menghindarkan segala gangguan yang boleh menyebabkan konsentrasi terganggu seperti bunyi telefon, televisyen dan sebagainya.

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa jika seseorang itu sedang mendirikan solat fardhu, maka tidak boleh untuk dia membatalkan solatnya kecuali jika terdapat hal kecemasan dan darurat seperti menyelamatkan nyawa yang berada di dalam bahaya atau harta benda yang berharga. Oleh itu, dalam hal ini, jika sekiranya panggilan telefon yang diterima tersebut dirasakan merupakan sesuatu kecemasan dan darurat, maka dibolehkan untuk membatalkan solat untuk menjawabnya.

Walau bagaimanapun, jika sekiranya seseorang mendirikan solat sunat, maka boleh untuk dia menghentikan solatnya untuk perkara-perkara yang penting. Namun, adalah sebaik-baiknya dia menyempurnakan solat tersebut terlebih dahulu sebelum dia melakukan pekerjaan penting tersebut supaya dapat menjaga kehormatan solat dan tidak mempermain-mainkan ibadah. Semoga Allah SWT memberikan kefahaman kepada kita terhadap agama-Nya serta memberikan kita hidayah untuk beramal dengan syari’atnya dengan sebaiknya. Amin.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 21 Februari 2022 bersamaan 19 Rejab 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 43

[2] Riwayat al-Bukhari (7)

[3] Lihat al-Mu’jam al-‘Arabi al-Asasi, 1/746

[4] Surah al-Taubah: 103

[5] Lihat al-Iqna’ fi Halli Alfaz Abi Syuja’, 1/257

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/309

[7] Lihat al-Durr al-Manthur, 6/466

[8] Riwayat Ibn Khuzaimah (1142), al-Hakim (1160) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2191)

[9] (Surah al-Mukminun: 1-2)

[10] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/110

[11] Lihat al-Tafsir al-Munir fi al-‘Aqidah wa al-Syari’ah wa al-Manhaj, 9/329

[12] Lihat Ma’alim al-Tanzil, 5/408

[13] Lihat Madarij al-Salikin, 1/521

[14] Lihat al-Khusyu’ fi al-Solat, Ibn Rajab Al-Hanbali, hlm. 17

[15] Lihat Fath al-Qadir, 1/977

[16] Surah Muhammad: 33

[17] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/51

[18] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 34/51

[19] Lihat Kasysyaf al-Qina’, 1/380

[20] Lihat Qawa’id al-Ahkam fi Islah al-Anam, 1/96

[21] Lihat Tuhfat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 3/459-460

[22] Surah al-Mu’minun: 1-2

[23] Lihat Tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, 1/547

[24] Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 5/461

Latest articles

Related articles