Bab 64: Mata Air Al-Kafur Buat Guru Kami, Al-Farfour

Mikrofon dibuka dan Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour bersuara. “Zulkifli telah berjaya menyiapkan tesis ini dengan amat baik dan memenuhi prasyarat awal untuk bergelar Sarjana dalam bidang Syariah daripada institusi pengajian tinggi yang bertuah ini. Sebelum saya mengumumkan keputusannya, saya ingin menarik perhatian semua untuk membudayakan metodologi tarjih dalam menukilkan satu-satu pandangan. Kita perlu keluar daripada kejumudan dan menggunakan segala kemampuan yang ada untuk berani menyokong atau mengkritik atau menambahbaik pandangan para ulama’ silam, dengan pandangan kita sendiri. Itulah langkah awal untuk bergelar seorang sarjana yang berjaya….”

Panjang lebar huraiannya sebelum beliau menutup dengan kata-kata keramat yang dinantikan oleh setiap penuntut ilmu di peringkat pasca siswazah.

“Setelah meneliti tesis yang dikemukakan ini, melihat pembentangannya dan kemampuan Zulkifli dalam mempertahankan setiap penghujahannya, dengan ini para penilai bersetuju untuk meluluskan tesis ini dengan pangkat Mumtaz (cemerlang)!”

Masih terngiang-ngiang lagi setiap bait kata gurunya itu walaupun ia telah berlalu hampir 20 tahun lamanya. Sejak Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour berhijrah dan menetap di Melaka, beberapa kali Zulkifli menziarahinya di Pondok Padang Temu, Melaka.

Kunjungan ketika bekalan elektrik terputus

Sekitar tahun 2011, Syeikh pernah mengunjungi Zulkifli di rumahnya di Nilai. Ketika tiba di rumah, tiba-tiba bekalan elektrik terputus. Pendingin hawa yang dipasang pun turut terpadam. Zulkifli berkali-kali memohon maaf atas kejadian berkenaan. Syeikh hanya ketawa dan berkata, “Cukuplah kita dengan aircond dan udara daripada Tuhan…”. Beliau sangat suka berkongsi kisah suka duka hidupnya, setiap kali mereka berdua ada kelapangan untuk menaiki kenderaan bersama-sama. Bagi Zulkifli, Syeikh Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour adalah ‘alim Rabbani, faqih munfatih yang sentiasa mencontohi kefaqihan Ibn ‘Abidin.

Hari ini juga Zulkifli menziarahinya, namun ziarah ini adalah ziarah yang terakhir kerana di hadapannya adalah sekujur tubuh yang sudah terbaring, ditutupi dengan sehelai kain putih. Suasana yang amat sayu menyelubungi pondok. Semasa ketibaan Zulkifli yang ditemani Ustaz Rashidy Jamil ke pondok, awan mendung berarak seakan-akan mengiringi pemergian antara ulama’ yang cukup disegani di bumi Syam. Tanggal 11 Jun 2014 jam 5.25 petang, beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir. Zulkifli diberikan penghormatan sebagai muridnya, untuk mengimamkan solat jenazah almarhum Syeikh. Sedar tak sedar, mengalir air matanya mengenangkan segala memorinya bersama almarhum.

 

********************

Sering kali kita dengar masyarakat mengelarkan seseorang sebagai ulama atau orang alim, kadang-kadang masyarakat sendiri keliru jika ditanya siapakah mereka yang dianggap ulama.

Ulama ialah yang mengenali syariat Allah, faqih dalam agama, beramal dengan ilmu, mengikut hidayah yang Allah kurniakan kepada mereka dengan hikmah. Ulama ialah golongan yang Allah jadikan sebagai tiang kepada manusia untuk bersandar dan bergantung dalam permasalahan fiqh, ilmu urusan agama dan dunia, seperti kata al-Tabari dalam Jami’ al-Bayan.[1]

Ulama ialah ahli fiqh Islam dan fatwa berkisar daripada pendapat mereka di kalangan manusia yang mana mereka dikhususkan untuk istinbat hukum dan begitu prihatin dalam mendhabitkan qawaid halal daripada yang haram.[2] Ulama ialah pemimpin agama yang telah mencapai kedudukan besar dengan sebab mereka berijtihad, sabar dan sempurna keyakinan, seperti firman Allah SWT:

وَجَعَلْنَا مِنْهُمْ أَئِمَّةً يَهْدُونَ بِأَمْرِنَا لَمَّا صَبَرُوا ۖ وَكَانُوا بِآيَاتِنَا يُوقِنُونَ

Maksudnya: “Dan Kami jadikan dari kalangan mereka beberapa pemimpin, yang membimbing kaum masing-masing kepada hukum ugama Kami, selama mereka bersikap sabar (dalam menjalankan tugas itu) serta mereka tetap yakin akan ayat-ayat keterangan Kami.”[3]

Cukuplah mulianya para ulama berdasarkan kepada penyaksian ketauhidan bersama dengan Allah dan para malaikat adalah para ulama. Firman Allah SWT:

شَهِدَ اللَّـهُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُولُو الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ ۚ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ

Maksudnya: “Allah menerangkan (kepada sekalian makhlukNya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”[4]

Bagaimana cara kita mengenali ulama? Antaranya ialah:

  • Dengan ilmu mereka.
  • Dengan kewaspadaan mereka terdapat halal, haram dan syubhah.
  • Mereka dapat diketahui melalui jihad dan dakwah mereka serta penggunaan masa mereka pada jalan Allah.
  • Mereka dikenali kerana kuat ibadat dan takutnya mereka kepada Allah.
  • Mereka dikenali dengan mulianya dan tidak tunduk dengan dunia.
  • Ulama dikenali berdasarkan syahadah dan pengakuan guru-gurunya tentang ilmu. Dengan sebab itu, Imam Malik berkata: “Tidak sayugia seseorang merasa dirinya hebat dan berkeahlian sehingga ditanya kepada orang yang lebih alim daripadanya.”

Ismail bin Abi Uwais telah menceritakan kepada kami, berkata Malik, telah menceritakan kepadaku daripada Hisyam bin Urwah daripada ayahnya daripada Abdillah bin Amru bin al-As R.Anhuma katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”[5]

Maksud mereka sesat kerana memberi fatwa kepada manusia dengan cara batil dan tanpa ilmu serta petunjuk yang sebenar. Sedangkan mereka menyesatkan manusia kerana mereka semua percayakan ulama tersebut. Justeru kesemuanya binasa

Ulama adalah pewaris para Nabi dan menjadi pelita kepada Ummah di mana ia menerangi dengan panduan taufiq dan hidayah daripada Ilahi. Ilmu dan hikmah yang dimilikinya sudah pasti amat berguna kepada Ummah agar mereka tidak terbelenggu dalam kejahilan yang menyebabkan mereka begitu jarak daripada petunjuk Ilahi.

Kematian ulama adalah musibah besar kepada Ummah, kerana kebiasaannya manusia mampu menggantikan jawatan tetapi tidak mampu menggantikan ilmu, sikap dan nilai yang dimiliki oleh seseorang. Bacalah sejarah kita akan dapati ulama yang berpengaruh yang begitu terkesan pada jiwa orang kampungnya atau negerinya sudah pasti tidak dapat dicari ganti selepas kematiannya.

Terlalu banyak ayat al-Qur’an dan hadis yang menghimpunkan kepada kita pengajaran dan muhasabah tentang kematian para ulama’. Firman Allah SWT:

أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا نَأْتِي الْأَرْضَ نَنقُصُهَا مِنْ أَطْرَافِهَا ۚ

Maksudnya: “Mengapa mereka yang kafir itu masih berdegil dan tidak mahu memerhatikan bahawa kekuasaan kami sentiasa menakluk bumi (yang mereka diami) dengan menjadikan ia kurang sedikit demi sedikit dari kebaikannya dan kemuliaannya?”[6]

Atha’ dan ramai ulama menafsirkan bumi kurang sedikit demi sedikit memberi maksud kematian para ulama dan hilangnya para fuqaha’.

Firman Allah SWT:

وَالنَّجْمِ إِذَا هَوَىٰ

Maksudnya: “Demi bintang semasa ia menjunam.”

Imam al-Nasafi berkata: “Allah bersumpah dengan orang alim apabila ia meninggal dunia.”

Sabda Rasulullah SAW:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا يَنْتَزِعُهُ مِنْ الْعِبَادِ وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا اتَّخَذَ النَّاسُ رُءُوْسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menghapus ilmu pengetahuan dengan cara mengambil sekaligus daripada hamba-hamba-Nya. Tetapi Allah SWT menghapus ilmu pengetahuan itu dengan kematian ulama sehingga tiada lagi orang yang alim. Ketika itu orang ramai melantik ketua-ketua mereka dari kalangan orang yang jahil dan apabila mereka ditanya mereka memberi fatwa dengan sewenang-wenangnya tanpa berpandukan ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat lagi menyesatkan.”[7]

Daripada al-Hasan, mereka (‘Aisyah, Ibn Mas’ud dan lain-lain) berkata:

مَوْتُ الْعَالِمِ ثُلْمَةٌ فِي الْإِسْلَامِ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

Maksudnya: “Matinya seorang alim adalah seperti patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya sesuatu, walaupun bersilih ganti malam dan siang.”[8]

Daripada Abu Darda’ RA, berkata:

موتُ العالمِ مصيبةٌ لا تجبرُ، وثُلمةٌ لا تُسدُّ، ونَجمٌ طُمِسَ، موتُ قبيلةٍ أيسرُ من موتِ عالمٍ

Maksudnya: “Kematian seorang alim merupakan musibah yang tidak tertanggung dan patahnya mercu tanda Islam yang tidak dapat ditampungnya, seolah-olah bintang yang terpadam cahayanya dan mati satu qabilah atau kaum lebih ringan daripada mati seorang alim.”[9]

Daripada Ali RA, berkata:

إِذَا مَاتَ العَالِمُ ثُلِّمَ فِي اَلإِسْلَامِ ثُلْمَةٌ لَا يَسُدُّهَا شَيْءٌ إِلَى يَوْمِ القِيَامَةِ

Maksudnya: “Apabila matinya seorang alim nescaya dipatahkan mercu tanda Islam yang tidak mungkin dapat ditampungnya oleh sesuatu hingga hari kiamat.”[10]

Daripada Umar RA, katanya:

لَمَوْتُ أَلْفِ عَابِدٍ قَائِمِ اللَّيْلِ صَائِمِ النَّهَارِ، أَهْوَنُ مِنْ مَوْتِ عَاقِلٍ

Maksudnya: “Mati seribu orang ahli ibadat yang berqiamullail dan puasa sunat di siang hari lebih ringan daripada mati seorang yang berakal lagi alim.”

Daripada Abi Ja’far rahimahullah berkata:

مَوْتُ عَالِمٍ أَحَبُّ إِلَى إِبْلِيْسَ مِنْ مَوْتِ سَبْعِيْنَ عَابِدَا

Maksudnya: “Mati seorang alim lebih disukai oleh Iblis daripada mati tujuh puluh orang ahli ibadat.”[11]

Pernah ditanya kepada Sa’id Bin Jubair: “Apakah alamat binasanya manusia? Jawabnya: “Dengan kematian para ulama mereka.”

Apabila berlaku kematian ulama, maka sebenarnya cacatlah dunia ini dan umat manusia dengan terpadamnya pelita atau obor yang menyuluh kehidupan mereka. Kematian para ulama biasanya akan dirasai oleh generasi dan kehilangannya begitu terasa sehingga membawa kepada sebutan dan nostalgia yang indah tatkala wujudnya ulama tersebut di kalangan masyarakat. Ini kerana mereka diibaratkan seperti bintang dilangit yang mana ramai yang boleh menjadikan mereka pedoman seperti kata Abu Muslim al-Khaulani.

“Muridku ini, akan dikenali di seluruh dunia satu hari nanti.”, kata Syeikh Dr. Muhammad Abdullatif Soleh al-Farfour sambil tangannya menunjukkan kepada Zulkifli. Ia diungkapkan pada tahun-tahun akhir sebelum pemergiannya. Moga dikurniakan mata air al-kafur di syurga buat guru kami al-Farfour. Rahimahullah

اللّهُمَّ اغْفِرْ لَهُ وَارْحَمْهُ وَعَافِهِ وَاعْفُ عَنْهُ وَاَكْرِمْ نُزُلَهُ وَوَسِّعْ مَدْخَلَهُ وَاغْسِلْهُ بِلْمَاءِ وَالشَّلْجِ وَالْبَرْدِ وَنَقِّهِ مِنَ الْخَطَايَا كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الْاَبْيَضُ مِنَ الدَّ نَسِ وَاَبْدِلْهُ دَارً اخَيْرًا مِنْ دَارِهِ وَاَهْلًا خَيْرًا مِنْ اَهْلِهِ وَزَوْجًا خَيْرًا مِنْ زَوْجِهِ وَادْخِلْهُ الجَنَّةَ وَاعِذْهُ مِنْ عَدَابِ الْقَبرِ وَفِتْنَتِهِ وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ

Menziarahi dan mengucup dahinya yang mulia buat kali terakhir

Coretan kenangan bersama beliau saya muatkan di sini.

__________________

[1] Jami’ al-Bayan (3/327).

[2] Lihat I’lam al-Muwaqi’in (1/7).

[3]  (Surah al-Sajdah: 24)

[4]  (Surah Ali Imran: 18)

[5] Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

[6]  (Surah al-Ra’d: 41)

[7] Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

[8] Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (1590), al-Bazzar (171), al-Darimi (333) dan al-Baghawi dalam Syarh al-Sunnah (1/317)

[9] Riwayat al-Haithami dalam Majma’ al-Zawaid (1/206) dan al-Albani dalam Silsilah al-Ahadis al-Dhaifah (4838)

[10] Riwayat al-Syaukani dalam Fawaid Majmu’ah (287), al-‘Ajluni dalam Kasyf al-Khafa’ (1/105) dan al-Zurkani dalam Mukhtasar al-Maqasid (75)

[11] Riwayat al-Baihaqi (4/344) dan Abu Nu’aim (3/183)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *