#310: Menyimpan Tali Pusat Bayi

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Bagaimana hukum memotong dan menyimpan tali pusat bayi selepas kelahirannya?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi “tali pusat” ialah bahagian usus yang menghubungkan bayi dengan urinya menurut Kamus Dewan Edisi Keempat. Ia boleh didapati pada bayi yang baru sahaja dilahirkan pada bahagian perutnya. Tali pusat inilah yang membekalkan nutrien berkhasiat yang diperlukan bayi semasa hamil yang disalurkan oleh ibunya. Kebiasaannya tali pusat ini akan dipotong sejurus kelahiran.

Menjadi sebahagian tradisi masyarakat kita untuk menyimpan tali pusat bayi dengan pelbagai matlamat tertentu:

  • Sebahagian menyimpannya untuk faedah perubatan, sama ada disimpan bersama dengan uri di makmal ataupun disimpan kering.[1]
  • Sebahagian pula menyimpan kerana kepercayaan bahawa ingin ditanam bersama apabila meninggal dunia, atau ditanam bersama-sama dengan adik beradik yang lain, atau apa-apa kepercayaan.
  • Sebahagian lagi menyimpan bukan kerana faedah perubatan atau kepercayaan, tetapi hanya sebagai kenangan.

Imam al-Syirazi dalam al-Muhazzab menyebut: “Mengebumikan mayat ialah fardu kifayah kerana jika meninggalkannya di atas permukaan bumi akan mencemarkan kehormatan mayat itu dan mendatangkan mudarat kepada manusia disebabkan bau busuknya. Pengebumian di kawan perkuburan adalah afdal kerana Nabi SAW mengebumikan para sahabat yang mati di Baqi`, dan kerana ramai orang yang menziarahinya akan mendoakannya.”

Imam al-Nawawi dalam komentarnya menyebut bahawa hadis Nabi SAW mengebumi jenazah di Baqi` itu adalah hadis sahih lagi mutawatir dan hukum fardhu kifayah ini menjadi ijmak kesepakatan semua orang Islam.[2]

Kemudian ulama membahaskan hukum organ atau bahagian tubuh yang terputus semasa hidup. Al-Khatib al-Syarbini, pengarang kitab Mughni Muhtaj (1/349) berkata: “Adapun sesuatu yang terpisah daripada sesuatu yang hidup atau ragu tentang kematiannya seperti tangan pencuri yang dipotong, kuku, rambut, darah (alaqah), darah bekam dan seumpamanya maka sunat ditanam kerana memuliakan tuannya. Disunatkan juga membungkus tangan dan seumpamanya dengan kain.”

Manakala pengarang kitab Hasyiah Qalyubi wa Umairah (1/395) berkata: “al-masyimah (uri) yang dinamakan sebagai al-khalas (tali pusat) adalah seperti anggota  (anak) kerana ia diputuskan daripada anak tersebut. Maka tali pusat sebahagian daripada tubuhnya.”

Adapun hukum mengerat tali pusat sejurus bersalin, maka Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani dalam Matla` al-Badrayn (1/346) menyebut: Wajib dikerat tali pusat kanak-kanak setelah dilahirkan dengan berlalu sedikit masanya.”

Dapat kita simpulkan daripada dua rujukan di atas, bahawa tali pusat dianggap sebahagian daripada bahagian tubuh bayi yang baru lahir. Justeru asal hukumnya adalah sunat menanam tali pusat itu sama seperti hukum kuku, rambut dan darah seperti darah bekam sebagai penghormatan kepada tubuh badan manusia.

Maka, kami katakan dalam hukum menyimpan tali pusat:

  • Makruh hukumnya menyimpan tali pusat bayi jika tanpa tujuan atau sebagai kenangan.
  • Harus sekiranya bagi tujuan perubatan yang terbukti oleh pakar perubatan, seperti kaedah rawatan stem cell (sel induk) yang boleh digunakan untuk merawat penyakit leukemia, thalassemia dan seumpamanya.[3]
  • Haram jika disimpan atas tujuan kepercayaan dan khurafat yang tidak ada sandarannya di dalam Islam.

Semoga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan dan kebaikan kepada masyarakat umumnya. Wallahu a’lam.

 

Bertarikh: 17 Januari 2022 bersamaan 14 Jamadil Akhir 1443H

 

Nota Hujung:

[1] Di Malaysia, sejarah tercatat sekitar 1997 apabila Hospital Universiti (ketika itu) melakukan pemindahan sel stem darah tali pusat kepada seorang kanak-kanak pesakit talasemia major yang didermakan oleh adiknya yang baru lahir. Begitu juga pada tahun 2005, buat pertama kalinya Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya melakukan pemindahan sel stem darah periferal alogenik daripada penderma yang tidak mempunyai hubungan persaudaraan dengan pesakit yang menderita penyakit leukemia. (Lihat Utusan. 2010. http://www.utusan.com.my/kesihatan; Mohd Al’Ikhsan Ghazali, Siti Salwa Md. Sawari, Zetty Rohaiza,Muhammad Sahak@Ishak, Lailatul Hamidah Hamdan. Penyelidikan dan Aplikasi Sel Stem dari Sudut Perubatan Menurut Perspektif Islam dan Agama Lain di Malaysia)

[2] Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 5/282

[3] Disebutkan di dalam Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah: “Kebiasaannya sel stem diperolehi melalui janin yang gugur atau daripada plasenta bayi atau tali pusat atau daripada kanak-kanak atau orang dewasa, atau daripada lebihan embrio (melalui proses IVF). Justeru, mendapatkan sel stem dan membiakkannya untuk tujuan perubatan atau penyelidikan adalah harus di sisi syarak sekiranya tidak membawa sebarang kemudaratan. Dengan syarat hendaklah mendapatkan kezinan orang yang menderma atau walinya. Diharuskan untuk mengambil sel stem daripada tali pusat atau plasenta atau janin yang keguguran (secara spontan) atau yang digugurkan atas nasihat doktor dan sebab-sebab yang dibenarkan syarak. Dan diharuskan diambil daripada lebihan embrio. Justeru, haram hukumnya mendapatkan sel stem dengan cara yang haram seperti persenyawaan telur (dalam proses IVF) di antara lelaki dan perempuan yang tidak berkahwin atau sengaja melakukan keguguran untuk mendapatkannya atau tanpa keizinan penderma dan walinya terlebih dahulu.” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyahhttps://www.dar-alifta.org/AR/ViewResearch.aspx?ID=245.)

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam Bayan Linnas Siri Ke-227: Penggunaan Sel Stem Dalam Perubatan Menurut Perspektif Syarak menyebut bahawa harus menggunakan, mengembangkan dan memanfaatkan sel stem baik untuk tujuan rawatan terapeutik atau penyelidikan. Hal ini kerana rawatan transplan sel stem boleh menjadi salah satu pilihan dan ikhtiar untuk merawat pelbagai jenis penyakit dan proses rawatan ini telahpun disahkan secara klinikal berjaya iaitu antaranya lebih daripada 30 000 transplan darah tali pusat dilakukan di seluruh dunia dan setakat 2011, 4% daripada transplan penyakit darah di Malaysia menggunakan sel stem darah tali pusat. (Lihat Alan The, Chan LL. Blood and Marrow Transplantation. Eight Report of the National Transplant Registry)

Lihat https://muftiwp.gov.my/artikel/bayan-linnas/4362-bayan-linnas-siri-ke-227-penggunaan-sel-stem-dalam-perubatan-menurut-perspektif-syarak

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *