#652: Najis Tidak Kelihatan, Tetapi Mungkin Ada

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum terhadap najis yang kita tidak nampak, tetapi mungkin ada? Isunya, saya ada seorang anak yang suka bermain atas tilam dan karpet di dalam rumah. Kemudian, masa saya hendak mandikannya, saya perasan bahawa pampers yang dipakainya telah bocor, dan seluarnya juga basah. Namun, tempat yang dia main sebelum itu tiada langsung kesan basah dan tiada juga bau air kencing. Adakah saya perlu basuh tilam, karpet dan tempat-tempat yang dia bermain juga? Mohon pencerahan ustaz.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW :

الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ

Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”[1]

Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Begitu juga, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabi’i manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabi’i ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan.

 

Pembahagian Najis

Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu Najis Mukhaffafah (ringan), Najis Mutawassitah (sederhana) dan Najis Mughallazah (berat). Perinciannya adalah seperti berikut:

  • Najis Mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
  • Najis Mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
  • Najis Mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas. Najis Mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah.[2]

 

Cara Menyucikan Najis

Kami nyatakan di sini secara ringkas berkenaan cara menyucikan najis mengikut tiga bahagian najis tersebut.

 

Pertama: Najis Mughallazah

Cara-cara bersuci daripada najis mughallazah iaitu anjing dan babi dibasuh dengan air sebanyak tujuh kali, dan satu daripadanya adalah dengan air tanah sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat.[3]

 

Kedua: Najis Mukhaffafah

Cara-cara bersuci daripada najis mukhaffafah iaitu najis kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan sebarang makanan yang lain selain daripada susu ibu adalah dengan merenjiskan air sehingga rata ke tempat najis tersebut, sama ada najis tersebut najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada badan, pakaian atau tempat.[4]

Syeikh Hasan bin Ahmad al-Kaff berkata: Najis Mukhaffafah boleh dibersihkan dengan merenjis air ke atasnya (kesan air kencing tersebut) dengan syarat air tersebut mestilah lebih banyak daripada air kencing, dan tidak disyaratkan air tersebut mengalir sehinggalah hilang ain najis serta sifat-sifatnya (bau, rasa dan warna).[5] Perkara ini juga dilihat bertepatan sebagaimana yang telah dipilih dan dipersetujui oleh Imam al-Nawawi ketika mana mendefinisikan al-Nadhu (النَّضْح) iaitu menggenangi dan memperbanyakkan air sekalipun air tersebut tidak mengalir.[6]

Begitu juga, Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari berpendapat ia boleh dibersihkan dengan memercikkan air ke atasnya sekira-kira rata dan melebihinya (air tersebut mesti lebih banyak daripada air kencing) sekalipun tidak mengalir.[7]

Syeikh Ahmad bin Umar al-Syatiri menyebut cara membersihkan najis Mukhaffafah cukup dengan hanya memercikkan air ke atasnya dengan syarat air tersebut lebih banyak daripadanya. Kemudian, beliau menyatakan bahawa sebahagian ulama mensyaratkan supaya hilang ain najis dan sifat-sifatnya, manakala sebahagian yang lain tidak mensyaratkannya.[8]

Manakala Syeikh Daud al-Fatani menyatakan di dalam kitabnya bahawa air kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan dan minum selain daripada susu secara mengenyang dan sebelum cukup 2 tahun cara menyucinya hanya dengan dipercikkan air di atasnya sekira-kira rata, setelah dilapkannya sehingga tidak ada basah yang bercerai padanya dan dituangkan air di atasnya walaupun tidak mengalir.[9]

 

Ketiga: Najis Mutawassitah

Cara-cara bersuci daripada najis mutawassitah iaitu najis selain daripada anjing, babi dan kencing kanak-kanak lelaki yang tidak makan sebarang makanan yang lain selain daripada susu ibu adalah dengan mengalirkan air ke atasnya dan menghilangkan kesan-kesannya hingga ain najis tersebut dan juga sifat-sifatnya, sama ada warna, rasa atau bau, sama ada najis aini atau hukmi, dan sama ada terkena pada pakaian, badan atau tempat. Namun demikian tidak mengapa jika warnanya masih kekal disebabkan susah untuk menghilangkannya seperti warna darah.[10]

Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff berkata: Najis Mutawassitah terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah yang tidak kelihatan najisnya secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau,rasa dan juga warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah  najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau atau rasa atau warna. Cara membersihkannya ialah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut (bau, rasa dan warna). Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi sunat untuk dia membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.

Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Dan sekiranya masih belum lagi hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر).[11]

Isu Najis yang Tidak Nampak, Tapi Mungkin Ada

Dalam hal ini, cukup bagi kita untuk mengambil hukum zahir berdasarkan apa yang berlaku. Jika tiada bau, warna, dan rasa bagi najis seperti ain najasah dan basahan, maka tidak perlu dicuci atau pun dibersihkan.

Kaedah mengatakan:

نَحنُ نَحكُمُ بالظَوَاهِرِ واللهُ يَتَوَلَّى السَّرَائِرَ

Maksudnya: “Kita menentukan hukum berdasarkan perkara-perkara yang nyata zahir sedangkan Allahlah yang menguasai perkara-perkara yang rahsia.”[12]

Namun jika hendak disucikan juga, tidak ada masalah.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 Mac 2022 bersamaan 2 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat Muslim (223)

[2] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41

[3] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/192

[4] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/192

[5] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 134

[6] Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 3/195

[7] Lihat Fath al-Wahhab, 1/25

[8] Lihat Nail al-Raja’ bi Syarhi Safinah al-Naja’, hlm. 99-100

[9] Lihat Matla’ al-Badrain (disusun oleh PMWP), 1/87

[10] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/192

[11] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135

[12] Lihat al-Fath al-Mubin, hlm. 316

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *