Nizam al-Mulk

Beliau ialah Abu Ali Hassan bin Ali bin Ishaq al-Tusi. Lahir pada tahun 408 H, di sebuah bandar kecil, Radkhan yang terletak di pedalaman daerah Tus, dalam negara Iran sekarang. Beliau telah menghafal al-Quran ketika berusia 10 tahun. Pendidikan awalnya adalah mempelajari hadis dan fiqh atas kehendak bapanya, iaitu di bawah bimbingan Abd al-Samad Funduraji. Kemudian, dia belajar pula dengan seorang tokoh yang alim dalam mazhab Syafi’i iaitu Imam al-Muwaffaq dari Naisabur. (Lihat A History of Muslim Philosophy, 1/532)

Nizam al-Mulk adalah seorang pemimpin utama kerajaan Bani Saljuk di bawah Daulah Abbasiyah. Pada awalnya, beliau berkhidmat dengan kesultanan Ghaznawi sebelum kesultanan Saljuk mengambil alih pemerintahan. Setelah itu, beliau dipanggil oleh Sultan Saljuk, Alp Arselan ke istananya di Baghdad, dan kemudian dilantik menjawat jawatan Perdana Menteri, untuk menggantikan Abu Ali Ahmad bin Syazan yang meninggal dunia. Beliau kemudian menjadi Perdana Menteri kepada Alp Arslan dari tahun 455 – 464 H dan Malik Shah I dari tahun 464 – 485 H. Hal ini menjadikan beliau memegang jawatan tersebut selama 30 tahun. Sebelum itu, beliau dilantik menjadi menjadi konsul dan katib (setiausaha) kepada Alp Arslan.

Nizam al-Mulk merupakan seorang ahli politik dan komandan tentera yang bijaksana. Beliau juga seorang yang alim dan mempunyai ilmu pengetahuan yang luas. Beliau menulis dua karya yang besar dalam bidang politik iaitu Siyasat Nameh atau Siyar al-Muluk dan Qabus Nama atau Dustur al-Wuzara.’ Dalam bukunya bertajuk Siyasat Nameh, beliau menjelaskan kaedah untuk mentadbir hal ehwal wilayah-wilayah dalam usaha menjamin kejayaan pemerintahan dan memberi kebaikan kepada seluruh rakyat. (Lihat Mausu’ah al-Tarikh al-Islami wa al-Hadharah al-Islamiyyah oleh Ahmad Syalabi, hlm. 433) 

Nizam al-Mulk dikenali sebagai seorang tokoh pemimpin yang amat menitikberatkan hal pendidikan. Beberapa institusi pengajian tinggi telah didirikan di beberapa kota. Institut pengajian tinggi yang paling terkenal yang didirikannya adalah Madrasah Nizamiyyah di Baghdad yang dirasmikan pada tahun 459 H. Ia merupakan salah satu sumbangan terbesar Nizam al-Mulk sehingga menjadikannya sebagai satu pusat pengajian terulung, di mana lahir daripadanya tokoh besar seperti Imam al-Juwaini dan Imam al-Ghazali. 

Selain itu, Nizam al-Mulk juga terkenal sebagai seorang pemimpin yang adil, alim, sederhana, menyukai kebaikan, suka memaafkan orang yang bersalah, suka menjamu makan dan menghiburkan golongan fakir miskin. Beliau juga sangat terkenal dengan pembaharuan-pembaharuan pentadbiran yang dibuat terutama dalam menstabilkan negara yang melibatkan hubungan Turki-Parsi, Sunni-Syiah, Sultan-Khalifah dan Saljuk-Abbasiyah. Dalam jawatannya sebagai Perdana Menteri, Nizam al-Mulk mempamerkan kebijaksanaannya sebagai seorang negarawan yang dipercayai. Beliau sentiasa memberikan nasihat yang berguna kepada Sultan berkaitan dasar pentadbiran negara dalam menjamin kestabilan negara. (Lihat Ensiklopedia Islam, hlm. 43)

Benarlah firman Allah SWT:

وَتَوَاصَوْا بِالْحَقِّ وَتَوَاصَوْا بِالصَّبْرِ 

Maksudnya: “Demi masa. Sesungguhnya manusia sentiasa dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Juga saling nasihat-menasihati kepada kebenaran dan saling nasihat-menasihati  kepada kesabaran.”

(Surah al-Asr:1-3)

Maksud saling berpesan dengan kebenaran ialah: Mereka saling menasihati untuk mengerjakan amalan, sebagaimana diturunkan oleh Allah di dalam Kitab-Nya, iaitu yang diperintahkanNya dan menjauhi apa yang dilarang-Nya. Manakala maksud saling berpesan dengan kesabaran pula ialah: Mereka saling menasihati untuk menetapi kesabaran dalam melaksanakan ketaatan terhadap Allah. (Lihat Tafsir al Tabari, 24/590 dan Tafsir al-Qurtubi, 20/123)

Menurut Sayyid Qutb berdasarkan perkataan saling berpesan itu, ia menggambarkan satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan. Islam mahukan umat ini menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan. Selain itu, Islam mengharapkan umat ini sentiasa saling berpesan sesama mereka untuk menjunjung kebenaran dan kesabaran dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilalil Quran, 17/521)

Selain itu, diriwayatkan daripada Abi Ruqayyah Tamim bin Aus al-Dariy RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

الدِّينُ النَّصِيحَةُ. قُلْنَا: لِمَنْ؟ قَالَ: لِلَّهِ، وَلِكِتَابِهِ، وَلِرَسُولِهِ، وَلِأَئِمَّةِ الْمُسْلِمِينَ وَعَامَّتِهِمْ.

Maksudnya: “Agama itu merupakan nasihat. Kami bertanya: Kerana siapa? Sabda Baginda: Bagi Allah, Kitab-Nya, Rasul-Nya, pemimpin-pemimpin orang Islam dan masyarakat semuanya.”

Riwayat Muslim (55), Abu Daud (4944), al-Nasaie (4198), dan al-Tirmizi (1926)

Imam al-Nawawi berkata: “Makna nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah tolong-menolong bersama mereka dalam urusan kebenaran, mentaati arahan mereka dalam kebenaran, menegur dan mengingatkan mereka dengan cara lemah-lembut, memberitahu mereka tentang apa yang mereka lalai supaya tidak melanggar hak-hak umat Islam, tidak menjadi pembangkang kepada mereka, dan menganjurkan orang lain untuk mentaati mereka.” (Lihat Syarh Sahih Muslim, 2/38)

Ibn Rajab al-Hanbali berkata: ““Dan nasihat untuk para pemimpin umat Islam adalah dengan membantu mereka dengan kebenaran, taat kepada mereka dalam urusan tersebut (kebenaran), mengingatkan mereka kepada perkara tersebut dan menasihati mereka dengan lemah lembut, tidak menentang mereka, dan mendoakan mereka dengan taufiq (kebaikan), dan mendorong mereka kepada kebaikan yang lainnya.” (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa Al-Hikam, hlm. 79)

Nizam al-Mulk juga sangat menitikberatkan tentang kepentingan akhlak, moral dan etika dalam kehidupan bernegara. Menurut beliau, negara memiliki dua dasar yang penting iaitu agama yang benar dan keadilan. Beliau menekankan bahawa negara hendaklah dipandu oleh syariat dan sistem politik Islam hendaklah bertunjangkan kepada agama. 

Sebagai mengiktiraf kebijaksanaan dan sumbangannya kepada negara, beliau telah dianugerahkan dengan beberapa gelaran. Antaranya ialah Nizam al-Mulk (iaitu gelaran yang dikurniakan oleh Alp Arslan yang bermaksud pengatur pemerintahan), Atabey (iaitu gelaran Turki yang bermaksud tuan ayah), Ghiyath al-Daulah (penaung negara) dan beberapa gelaran lain.

Nizam al-Mulk meninggal dunia akibat dibunuh oleh kelompok Syiah Qaramithah di Sinha Nahawand pada 485 H, ketika dalam perjalanan dari Isfahan ke Baghdad.

Semoga Allah merahmati pemimpin seperti Nizam al-Mulk dan mereka yang diberi jawatan dapat mengikut apa yang baik untuk dijadikan contoh teladan. Bak kata pepatah:

 

فَتَشَبَّهُوا إنْ لَمْ تَكُوْنُوا مِثْلَهُمْ        إنَّ التَّشَبُّهَ باِلْكِرَامِ فَلاَحٌ

Contohilah sekalipun kamu tidak setara dengan mereka,

    Kerana mencontohi yang mulia itu pasti mendapat kejayaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *