#564: Pembinaan Kubur Bertingkat

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukumnya membina kubur secara bertingkat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Firman Allah SWT:

ثُمَّ أَمَاتَهُ فَأَقْبَرَهُ

Maksudnya: “Kemudian dimatikannya, lalu diperintahkan supaya ia dikuburkan.”[1]

Imam al-Qurtubi dalam menafsirkan ayat ini berkata: “Allah menjadikan untuk manusia itu kubur yang menutupi mayatnya sebagai satu kemuliaan baginya, kalau mayat itu dibiar maka ia akan menjelekkan dan dimakan oleh haiwan, ayat ini juga memberi maksud bahawa Allah mengarahkan supaya mayat manusia itu ditanam dan tidak dibakar selepas kematiannya.[2]

Difahami dari ayat ini bahawa menanam mayat manusia itu adalah sunnah Allah pada makhluknya. Oleh itu, mayat manusia tidak boleh dibuang sewenangnya di atas muka bumi seperti binatang atau dibakar sebagaimana yang berlaku. Ini adalah kemuliaan Allah SWT terhadap manusia.

 

Definisi Kubur dan Ukurannya

Menurut Kamus Dewan, kubur dalam bahasa Melayu bermaksud tempat menanam mayat. Lubang kubur pula ialah lubang (liang) tanah tempat menanam mayat. Menguburkan bermaksud menanam mayat, mengebumikan dan memakamkan. Kuburan adalah tanah tempat menguburkan mayat. Ia juga disebut sebagai makam, iaitu perkuburan tanah lapang atau kawasan tempat menguburkan orang-orang yang telah mati.[3]

Para ulama’ ada membahaskan tentang saiz liang lahad bagi mengebumikan jenazah. Pada asasnya, saiz liang lahad itu hendaklah pada kedalaman yang dapat menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan binatang buas. Manakala, saiz kedalaman yang sempurna ialah sedalam manusia sederhana yang mengangkat kedua-dua tangannya.

Hal ini seperti yang disebutkan oleh Syeikh al-Nawawi al-Bantani, katanya: “Liang lahad itu mestilah dapat menutupi bau jenazah serta dapat melindungi daripada haiwan buas. Liang yang sempurna adalah dengan ukurun sedalam manusia yang mengangkat kedua tangannya, kemudian diletakkan tanah pada pipi jenazah dan menghadapkannya ke arah kiblat.[4]

Dalam Hasyiah al-Bujairimi menerangkan ‘قامة وبسطة dengan kadar 4 hasta setengah. Ada juga pendapat yang menyatakan 3 hasta setengah dan ukuran yang muktamad adalah 4 hasta setengah.[5]

Manakala maksud memindahkan adalah meletakkan ke tempat lain atau mengalihkan ke tempat lain.[6]

 

Isu Pembinaan Kubur Bertingkat

Berkenaan dengan isu kubur bertingkat, kami mulakan perbahasan seperti berikut:

Pertama: Bentuk kubur bertingkat

Fatwa yang kedua dikeluarkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor yang diwartakan pada 7 Oktober 2004. Antara maklumat fatwa tersebut menyebut:

“Tanah perkuburan yang sudah penuh dan tiada kawasan lapang sebagai menambah keluasan tanah perkuburan, maka adalah disarankan bahawa menggunakan semula tanah perkuburan Iama dengan cara/kaedah: Menimbun tanah di atas kubur lama di kawasan tanah perkuburan setinggi 4 kaki. Kaedah ini amat sesuai di tanah perkuburan yang rendah.”

Kami dapati di sebahagian tempat meletakkan mayat dalam bentuk disorong ke dalam tanah. Ini juga ada yang melakukannya. Walaupun begitu, kami bersetuju dengan fatwa Negeri Selangor ini.

 

Kedua: Negara yang melaksanakan pembinaan kubur bertingkat

Antara negara yang melaksanakan pembinaan kubur bertingkat ialah Mesir, Singapura dan mungkin beberapa negara lain.

 

Ketiga: Fatwa Ulama

Antara badan fatwa dan tokoh yang mengemukakan pandangannya ialah:

1. Lajnah Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah menyebut: “Dalam ketetapan agama, setiap mayat wajib dikuburkan dalam lubang tersendiri, baik lahad ataupun syaq, tidak digabung dengan mayat lain, kecuali jika tanah perkuburan telah menjadi sempit. Dalam riwayat yang sahih, telah disebutkan bahawa Nabi SAW pernah mengumpulkan dua atau tiga orang syuhada’ perang Uhud dalam satu lubang, dan harus (wajib) dipisahkan antara lubang kubur untuk mayat lelaki dan lubang kubur untuk mayat perempuan. Dengan demikian, berdasarkan pernyataan di atas, jika keadaan darurat menuntut dikebumikan lebih dan satu mayat dalam satu lubang kubur, maka dibolehkan membuat tingkat-tingkat dalam satu lubang. Sehinggalah hal itu dapat membantu menampung jumlah mayat yang terus bertambah.”

2. Syeikh Prof Dr. Hamid Abu Talib, Dekan Kuliyyah Syariah Universiti Al-Azhar ketika disoal berkaitan isu ini telah menjawab, dalam keadaan darurat contohnya kepadatan penduduk dan tanah yang terhad, secara dasarnya pembinaan kubur secara bertingkat adalah harus.

 

Keempat: Keputusan Muzakarah Fatwa Kebangsaan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke-92 yang bersidang pada 15-17 Disember 2010 telah membincangkan isu ini dan memutuskan seperti berikut:

“Setelah mendengar taklimat, pandangan dan hujah yang dikemukakan oleh pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, muzakarah berpandangan bahawa ia diharuskan dan tidak bertentangan dengan syarak, namun dengan syarat berada dalam keadaan darurat seperti:

  • Kepadatan penduduk.
  • Lokasi tanah perkuburan yang terhad.

Sehubungan itu, muzakarah bersetuju dan memutuskan bahawa berdasarkan prinsip hukum Islam, pembinaan kubur secara bertingkat harus dilaksanakan sekiranya keperluan amat mendesak bagi mengatasi kekurangan tanah perkuburan orang Islam pada hari ini.

Walaubagaimanapun, kajian terhadap modul-modul pelaksanaannya perlu diteliti secara menyeluruh dengan mengambil contoh di beberapa buah negara luar yang telah melaksanakannya di samping mengambil kira aspek penjimatan kos dan seumpamanya.”[7]

 

Kesimpulan

Setelah melihat situasi yang berlaku di Malaysia, kami bahagikan kepada dua keadaan:

Pertama: Di Kampung dan Desa serta Kawasan Pedalaman.

Di kawasan seperti ini, biasanya keadaan tanah adalah luas dan terdapat banyak wakafan untuk tanah perkuburan. Maka keperluan untuk membina kubur bertingkat adalah masih lagi tidak menjadi keperluan. Namun, kami berpendapat, walaupun tanah kubur begitu luas, tetapi amat wajar pihak pengurusan kubur mula menyusun atur dan menjimatkan semaksimum mungkin tanah perkuburan kerana keadaan mutaakhir ini amat berbeza dengan suasana pada masa dahulu.

Begitu juga keperluan untuk mengurus perkuburan dengan sebaik mugkin adalah amat diperlukan bagi memaksimumkan jenazah dapat dikebumikan di perkuburan tersebut. Pembersihan kubur dan penyusunan yang rapi amat penting agar dapat memberi kemudahan kepada penziarah kubur, serta rasa selesa untuk bermuhasabah dan mengambil pengajaran, serta berdoa untuk si mati.

 

Kedua: Di Bandar-bandar Utama Seperti Kuala Lumpur .

Di kawasan seperti ini, dek kerana pembangunan yang amat pesat menyebabkan tanah perkuburan menjadi terhad. Dalam masa yang sama, jumlah kematian dari semasa ke semasa yang terus meningkat amat memerlukan kepada tanah kubur sebagai tempat pengebumian. Hal ini dapat diperhatikan di banyak tanah perkuburan di kawasan-kawasan sekitar Kuala Lumpur. Justeru, kami berpendapat hukum pembinaan kubur bertingkat di kawasan seperti ini adalah harus dan dibolehkan.

Kami juga berpendapat di mana sudah tiba masanya bagi pihak Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (JAWI) dan juga Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bekerjasama untuk melaksanakan perkuburan bertingkat bagi memaksimumkan penggunaan tanah kubur agar isu mengebumikan jenazah tidak lagi menjadi suatu hal yang sukar dan tiada tempat untuknya. Ini merupakan fardu kifayah dalam mengebumikan jenazah mengikut hukum Syariat yang sebenar.

Semoga isu ketidakcukupan tanah kubur di bandar-bandar utama dapat diselesaikan dengan cara pembinaan kubur bertingkat ini.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 24 Februari 2022 bersamaan 22 Rejab 1443H

 

[1] Surah ‘Abasa: 21

[2] Lihat aI-Jami’ Li Ahkam al-Quran, 19/219

[3]  Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat. [https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=kubur]

[4] Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 106-107

[5] Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab, 1/635

[6] Lihat Kamus Dewan Edisi Keempat. [https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=pindah]

[7] Lihat Kompilasi Pandangan Hukum Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia, hlm. 227

Latest articles

Related articles