Kisah Jabir Atharat al-Kiram

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

صَاحِبُ الْمَعْرُوفِ لَا يَقَعُ فَإِذَا وَقَعَ أَصَابَ مُتَّكِئًا

Maksudnya: “Pelaku kebaikan sekali-kali tidak akan dianiaya dan jika sekiranya dia jatuh, dia akan dapati tempat untuk berpaut.” (Lihat ‘Uyun al-Akhbar, 1/339)

Kisah ini saya baca ketika sedang menuntut di Universiti Islam Madinah lebih kurang 30 tahun yang lalu. Perkataan atau kalimah Jabir Atharat al-Kiram ini memberi maksud seorang yang menolong golongan mulia dan bangsawan atau orang kaya yang dihimpit kemiskinan atau kesukaran dalam fasa-fasa kehidupan mereka. Kisah ini berlaku pada pemerintahan Sulaiman bin Abdul Malik. Ia berkenaan dengan seorang lelaki dari qabilah Bani Asad dikatakan namanya Khuzaimah bin Bishir. 

Beliau terkenal di kalangan kaumnya sebagai seorang lelaki yang hebat lagi bermaruah di samping dimuliakan di kalangan mereka. Beliau antara orang yang kaya, dikurniakan dengan rezeki dan nikmat yang pelbagai. Antara sifat beliau adalah suka bersedekah kepada orang ramai. Bahkan kadang-kadang dia melebihkan fakir miskin dari adik-beradik dan keluarganya. Suatu ketika, beliau mengalami kerugian yang besar dan menuju ke arah bankrupt. Maka pulanglah beliau dalam keadaan dukacita dan keseorangan. Dia mengasingkan diri dari keluarga dan rakan taulannya. Dia menutup pintu rumahnya kecuali hanya bertekad menunggu kematian. 

Ketika itu, gabenor yang memerintah di al-Jazeera ialah Ikrimah al-Fayyadh. Dialah yang digelar sebagai Jabir Atharat al-Kiram dek kerana kemuliaannya yang amat dan sifat kepimpinan yang memberi cakna dan kasih kepada masyarakat. Apatah lagi, mereka yang mengalami kesukaran dalam meniti kehidupan.

Ketika dia bersama dengan rakan taulan dan pembesarnya dalam satu majlis, tersebut nama Khuzaimah. Lantas gabenor ini bertanya keadaannya. Rakan taulannya menjawab, “Keadaannya amat buruk, ditimpa kemiskinan dan kerugian yang besar. Tiada seorang pun di kalangan rakan taulan serta orang lain bersamanya atau membantunya.”

Mendengar kenyataan ini, gabenor Jazeerah, iaitu Ikrimah, telah pergi ke rumahnya pada waktu malam serta ditemani oleh pembantunya dengan mengambil duit dari Baitulmal sebanyak 4,000 dinar. Seterusnya, beliau menunggang kudanya dalam keadaan menutup mukanya sehingga tidak dikenali oleh siapa pun. Bila sampai, beliau memerintahkan pembantunya duduk berjauhan daripadanya dan seterusnya beliau mengetuk pintu. Maka Khuzaimah terus membuka pintu. Apabila dibuka gabenor yang tidak dikenali ini terus menghulurkan wang emas yang diletakkan dalam uncang seraya berkata: “Ambillah uncang ini, baikilah keadaan tuan.” Kemudian, dia mengambilnya, uncang yang amat berat yang telah diletakkan itu.

Lantas ditanya kepadanya: “Siapakah kamu?” Jawab gabenor tersebut: “Aku tidak datang pada waktu ini untuk kamu mengenaliku.” Lantas Khuzaimah berkata: “Beritahulah aku, walaupun sedikit.” Bagaimanapun, dia enggan mengambil harta tersebut sehingga dia tahu siapa yang memberinya. Lantas gabenor tersebut berkata: “Aku Jabir Atharat al-Kiram.” Kemudian, terus dia melompat ke atas kudanya dan berlalu dengan cepat. Ketika itulah, Khuzaimah bilamana dapat harta tersebut berkata kepada isterinya dengan suara yang tinggi: “Berita gembira, Allah telah lepaskan kita dari ujian ini.” 

Gabenor yang bernama Ikrimah tersebut, pulang ke rumah, sedikit kelewatan. Didapati isterinya sedang menunggu dan mengesyakinya sesuatu dan berkata: “Awak keluar pada waktu malam seperti ini seorang diri. Boleh jadi awak kahwin seorang lagi.” Dia membangkang isterinya. Tetapi isterinya tidak percaya. Akhirnya gabenor tersebut menceritakan kisah sebenar yang berlaku dengan syarat isterinya tidak menghebahkan kepada sesiapa.

Pada awal pagi keesokannya, Khuzaimah yang kaya ini telah menggunakan duit dapatannya yang diberikan malam semalam untuk membayar dan melangsaikan segala hutangnya serta membaikkan urusannya. Daripada sana beliau pergi ke Palestin untuk bertemu Khalifah, iaitu Amirul Mukminin Sulaimin bin Abdul Malik. Ketika menghadapnya, Khalifah Sulaiman bertanya atas sebab kelewatannya. Lantas Khuzaimah menceritakan hakikat keadaannya, kelemahan dan kemiskinan yang menimpa ke atasnya.

Khalifah bertanya, apa yang menyebabkan kamu bangkit dan kuat semula seperti ni. Lantas Khuzaimah menceritakan kisah Jabir Atharat al-Kiram. Katanya: “Hamba tidak merasa tenang, Ya Amirul Mukminin selepas waktu malam tersebut, tiba-tiba seorang lelaki mengetuk pintu saya dan berkata, begian, begian…” Dengan menceritakan kisahnya dari awal hingga akhirnya. Ini menyebabkan Khalifah begitu loba untuk mengenalinya kerana mempunyai sikap yang baik dan begitu bermaruah. Lantas Khalifah berkata: “Kalaulah kami mengenalinya kami akan bantunya di atas sikap dan maruahnya.” 

Akhirnya Khalifah Sulaiman telah melantik Khuzaimah menjadi gabenor di al-Jazeera menggantikan gabenor sebelumnya tatkala dia sampai dan dia berada di kediaman gabenor lantas dia perintahkan untuk mengenakan siasatan kepada Ikrimah gabenor yang terdahulu. Amat mengejutkan didapati terlalu banyak hutang-hutang yang akhirnya gabenor terdahulu dihukum dengan dirantai dan dibawa ke penjara. Dia dipenjarakan hampir sebulan dan keadaan bekas gabenor iaitu Ikrimah terseksa dan makin kurus kerat berat rantai yang diikat kepadanya. 

Ini menyebabkan isterinya tidak tahan dicemuh dan akhirnya isterinya telah mengutus seorang hamba perempuan yang cerdik lagi bijak seraya berkata: “Pergilah kamu seketika ke istana Amir atau gabenor dan katakan kepadanya aku mempunyai satu nasihat. Bila diminta daripadamu katakan dan aku sekali-kali tidak akan bagi nasihat ini kecuali kepada gabenor Khuzaimah. Apabila kamu masuk menemuinya kamu mintalah untuk hanya berdua dengan gabenor tersebut. Apabila dia lakukan maka katakan kepadanya, adakah ini balasan kepada Jabir Atharat al-Kiram daripadamu sedangkan dialah yang membantu kamu dalam kesempitan? Balasan kamu adalah penjara dan rantai besi?”

Jawab Khuzaimah: “Alangkah celakanya aku, adakah dia Jabir Atharat al-Kiram yang aku cari dan yang membantuku?” Jawab hamba perempuan tersebut: “Benar.” Serta-merta Khuzaimah memerintahkan disediakan kenderaan tunggangannya dan pergi menemui pembesar-pembesar negeri serta menghimpunkan semua. Gabenor Khuzaimah yang baru ini berjalan bersama mereka menuju ke pintu penjara dan dibuka. Beliau lantas masuk dan melihat keadaan Ikrimah al-Fayyadh dan sel jerjak besi yang sudah berubah tubuh badannya serta dalam keadaan kurus dan sakit. 

Tatkala Ikrimah melihat Khuzaimah yang sudah menjadi gabenor dan juga ramai orang, dia merasa amat malu serta menundukkan kepalanya. Sedangkan Khuzaimah datang memeluk dan mencium dahinya seraya berkata: “Apa yang menyebabkan kamu melakukan begini?” Katanya lagi: “Mulia sungguh perbuatanmu dan buruk sungguh balasanku kepadamu.” Jawabnya: “Semoga Allah mengampunkan kami dan kamu. Kemudian diperintahkan untuk dibuka rantai dan diletakkan rantai tersebut pada kedua kakinya (gabenor yang bari iaitu Khuzaimah).” Maka serta-merta jawab Ikrimah: Apa yang kamu mahu? Jawab gabenor baru: Aku mahu aku merasai kesakitan dan penderitaan yang kamu alami. Maka jawab Ikrimah: Aku bersumpah atas kamu dengan nama Allah, maka jangan sekali-kali kamu lakukan.

Akhirnya, kedua-duanya keluar dari penjara sehingga sampai ke rumah Khuzaimah lantas dimuliakannya dan gabenor yang baru memohon kemaafan kepada isterinya. Kemudian, dia meminta untuk Ikrimah pergi bersamanya menghadap Amirul Mukminin iaitu Khalifah Sultan Sulaiman Abdul Malik. Ketika itu, Khalifah sedang bermukim di al-Ramlah (satu kawasan di Palestin). Apabila mereka bertemu dengan Khalifah, lantas pengawal beritahu kepada Khalifah berkenaan dengan kedatangan Khuzaimah bin Bishir. Khalifah merasa terkejut, seraya bertitah: “Gabenor Jazeerah datang menghadap kami tanpa kami perintah, sedangkan baru bertemu? Mesti ada sesuatu perkara yang besar.”

Kemudian diizinkan untuk gabenor Jazeerah untuk menghadap. Belum pun sempat gabenor memberi salam, Khalifah menyapa: “Apa yang menyebabkan kamu datang hai Khuzaimah?” Jawab: “Baik ya Amirul Mukminin,” Khalifah mengulangi kenapa kamu datang. Jawabnya: “Hamba telah dapat menjumpai Jabir Atharat al-Kiram. Sukacita hamba ingin berkongsi kepada Tuanku dengan apa yang hamba lihat. Maka, Khalifah bertanya : “Siapakah dia?

Maka jawabnya: “Ikrimah al-Fayyadh. Iaitu gabenor terdahulu.” Kemudian, Khalifah Sulaiman mengizinkan Ikrimah al-Fayyadh masuk menghadapnya. Tatkala dia masuk dia memberi salam kepada Khalifah dan Khalifah menyambutnya dan mendekatkan kepada majlisnya seraya bertitah: “Hai Ikrimah, tidaklah kebaikan kamu itu kecuali menjadi bala ke atas kamu.” Kemudian, Khalifah bertitah: Tulislah keperluanmu dan apa-apa yang kamu mahu pada kertas. Maka ditulisnya dan ditunaikan segala hajatnya serta-merta. Kemudian diperintahkannya untuk dikurniakan sebanyak 10,000 dinar beserta dengan pelbagai bentuk hadiah dan barangan yang berharga.

Kemudian, beliau memanggil wakilnya untuk melantik semula Ikrimah menjadi gabenor di al-Jazeera, Armenia dan juga Azerbaijan. Seterusnya baginda bertitah kepadanya: Adapun urusan Khuzaimah aku serahkan kepadamu. Jika kamu mahu kamu kekalkannya dan jika kamu mahu kamu berhak pecatnya. Jawab Ikrimah: “Bahkan pulangkanlah kepada tugasannya ya Amirul Mukminin.” Kemudian kedua-duanya memohon untuk kembali.

Dan sentiasalah kedua-dua iaitu Ikrimah dan Khuzaimah menjadi gabenor atau pembantu setia kepada Sulaiman bin Abdul Malik sepanjang pemerintahannya. Itulah pemimpin yang cakna kepada rakyatnya, bahkan orang-orang kaya yang dalam kesukaran.

Kisah ini telah dinyatakan dalam Thamarat al-’Auraq hlm. 151-153 oleh Ibn Hujjah al-Hamawi, Syekh al-Tanukhi dalam al-Mustajaad min fa’ala ti al-Ajwadi hlm. 6-8 dan juga Abul Hasan bin Huzail dalam kitab ‘Ainul Adab wa Siyasah wa Zainu al-Hasab wa Siyasah hlm. 199 dengan sedikit perbezaan watak-watak.

Pengajaran yang dapat diambil:

  • Sikap cakna khalifah dan gabenor kepada rakyatnya juga orang kaya di kalangan mereka yang ditimpa ujian.
  • Sifat gabenor yang baik dan orang kaya yang pemurah lagi baik.
  • Kesudahan semuanya dalam keadaan baik dan dimuliakan bahkan rakyat merasa damai, tenang dan harmoni bahkan bahagia dengan kepimpinan mereka. 
  • Pemerintah hendaklah sentiasa husnu dhan kepada orang-orang kaya sementelahan lagi sifat baiknya dan dermawannya agar ianya terbela dan manfaat kepada ummah serta maslahah lebih ramai lagi mendapatnya.

Kisah di atas telah mengiyakan kata-kata Ibn Abbas R.Anhuma iaitu:

صَاحِبُ الْمَعْرُوفِ لَا يَقَعُ فَإِذَا وَقَعَ أَصَابَ مُتَّكِئًا

Maksudnya: “Pelaku kebaikan sekali-kali tidak akan dianiaya dan jika sekiranya dia jatuh, dia akan dapati tempat untuk berpaut.” (Lihat ‘Uyun al-Akhbar, 1/339)

Semoga Allah SWT jadikan negara kita menuju ke arah Baldatun Tayyibatun wa Rabbul Ghafur dengan pemimpin dan kepimpinan yang baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *