PRU-15, FIFA, dan Toleransi

“We gather here as one big tribe, and Earth is the tent we all live in.”

Itulah yang dituturkan oleh Morgan Freeman semasa pembukaan Piala Dunia FIFA baru-baru ini. Ini selari dengan apa yang disebutkan oleh Allah SWT:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّا خَلَقْنَاكُم مِّن ذَكَرٍ وَأُنثَىٰ وَجَعَلْنَاكُمْ شُعُوبًا وَقَبَائِلَ لِتَعَارَفُوا إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ اللَّـهِ أَتْقَاكُمْ إِنَّ اللَّـهَ عَلِيمٌ خَبِيرٌ

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu).” Surah al-Hujurat (13)

Ayat ini ditujukan buat seluruh manusia secara mutlak. Melalui ayat ini, Allah SWT menjelaskan bahawa Dia telah menciptakan kita berbagai bangsa dan puak untuk kita saling mengenali bukan saling membanggakan nasab. Namun, yang membezakan antara kita semua adalah ketakwaan kepada Allah SWT. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 26/259)

Menurut ‘Allamah Ibn ‘Asyur dalam tafsirnya, makna ayat ini dijelaskan oleh satu hadith Baginda SAW sewaktu khutbah Haji Wada’ yang berbunyi:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ أَلَا إِنَّ رَبَّكُمْ وَاحِدٌ وَأَنَّ أَبَاكُمْ وَاحِدٌ لَا فَضْلَ لِعَرَبِيٍّ عَلَى عَجَمِيٍّ وَلَا لِعَجَمِيٍّ عَلَى عَرَبِيٍّ وَلَا لِأَسْوَدَ عَلَى أَحْمَرَ وَلَا لِأَحْمَرَ عَلَى أَسْوَدَ إِلَّا بِالتَّقْوَى

Maksudnya: “Wahai umat manusia! Ketahuilah bahawa Tuhan kamu adalah satu, dan bapa kamu adalah satu (Nabi Adam a.s); dan tiada kelebihan orang Arab ke atas orang ‘Ajam atau orang ‘ajam ke atas Arab, atau orang kulit hitam ke atas yang berkulit merah atau sebaliknya, kecuali menurut nilaian taqwa.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 26/261. Hadith riwayat Ahmad : 22978)

Saya teringatkan 3 poin utama ucapan Syeikh Al-Azhar semasa mesyuarat kami di Bahrain yang saya hadiri baru-baru ini. Menurut beliau, kehidupan itu sifatnya berbeza. Allah boleh jadikan kita dalam satu bangsa tetapi Dia takdirkan kita dalam bangsa yang pelbagai.

Allah SWT berfirman:

وَلَوْ شَاءَ رَبُّكَ لَجَعَلَ النَّاسَ أُمَّةً وَاحِدَةً ۖ وَلَا يَزَالُونَ مُخْتَلِفِينَ

Maksudnya: “Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Ia menjadikan umat manusia semuanya menurut ugama yang satu. (Tetapi Ia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.” (Surah Hud: 118)

Ibn Kathir dalam tafsirnya mengatakan: Pendapat-pendapat dalam kalangan manusia dalam perkara agama, iktiqad, cara hidup, mazhab dan pandangan akan terus berlaku. Kata Ikrimah, “Manusia adalah berbeza dalam menerima petunjuk dan hidayah Allah,”. Kata al-Hasan al-Basri pula,”Perbezaan juga berlaku dalam menerima rezeki, ada yang kaya memperoleh banyak rezeki, ada yang miskin, sedikit rezekinya.” Dan pendapat masyhur yang lebih tepat adalah pandangan yang pertama. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/361)

Kata Syeikh Rasyid Redha dalam mentafsirkan ayat ini, Allah SWT mencipta manusia sebagai makhluk yang mempunyai tingkatan ilmu yang berbeza dan mempunyai kebebasan dan pilihan dalam membuat sebarang keputusan, dan hal ini menatijahkan perbezaan dan kepelbagaian hatta dari sudut agama dan pegangan. Ini menjadi bukti kepada kuasa Allah SWT dari sudut kehendak-Nya untuk menciptakan apa sahaja perkara. (Lihat Tafsir al-Manar, 12/161)

Seterusnya, beliau menegaskan bahawa perbezaan yang wujud hasil daripada kepelbagaian itu sewajarnya menatijahkan toleransi, keharmonian, persefahaman dan perpaduan. Puncaknya adalah keterbukaan dalam menerima perbezaan pada hal-hal selain akidah. Bagi bukan Islam, tidak pernah ada walau satu ayat al-Qur’an atau hadith yang menunjukkan pemaksaan anda untuk memeluk Islam. Apa yang jelas adalah Allah SWT berfirman:

لا إِكْرَاهَ فِي الدِّينِ

Maksudnya: “Tidak ada paksaan dalam agama (Islam).” (Surah al-Baqarah: 256)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata dalam tafsir ayat ini: “Sebahagian ulama menyatakan sebab turun ayat ini ialah seorang lelaki Ansar yang memiliki anak-anak yang sudah dewasa yang beragama Kristian (atau Yahudi). Apabila dia memeluk Islam maka dia ingin memaksa anak-anak itu masuk Islam lalu Allah melarangnya agar anak-anak itu memilih sendiri untuk memeluk agama Islam.” Menurut al-Tabari, inilah tafsir yang benar. (Lihat Jami’ al-Bayan, 5/407-414)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili di dalam tafsirnya mengatakan ayat ini melarang orang Islam untuk memaksa orang lain agar memasuki Islam, kerana agama Islam itu sendiri tertegak atas hujah dan dalil-dalil yang menyentuh hati seseorang. Maka tidak boleh sebarang elemen ajakan yang berbentuk paksaan dan ugutan dilakukan atas matlamat untuk menyebarkan Islam. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 2/23)

Raikan perbezaan dengan penuh penghormatan seperti pesan yang sering kita dengar:

نَتَعَاوَنُ مَعَ بَعْضِنَا فِي مَا اتَّفَقْنَا فِيهِ، ويعذر بَعضنَا بَعْضًا فِيمَا اخْتَلَفْنَا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Kami bertolong-tolongan dalam isu yang kami sepakat padanya dan kami saling berlapang dada pada perkara yang berselisih tentangnya.” (Lihat Rasa’il al-Sunnah wa al-Syi’ah oleh Rasyid Ridha, 2/209; Al-Sahwah al-Islamiyyah oleh Yusuf al-Qaradhawi)

Kenyataan di atas mengkehendaki dua perkara; (i) Prinsip tidak perlu diubah bahkan perlu teguh berpegang dengannya (ii) Masalah cabang atau ranting yang mungkin berlaku khilaf dibolehkan untuk berlapang dada dan saling bertoleransi sesama kita. Kaedah ini merupakan jawapan ketika kita berinteraksi dengan pelbagai golongan mengikut acuan fiqh al-ta’ayush (peaceful co-existence).

Mutakhir ini, terlalu banyak perkara yang boleh kita sepakati bersama bukan Muslim seperti isu perubahan iklim, perpaduan, ekonomi, kebajikan, perpaduan dan lain-lain perkara yang membawa kemaslahatan bersama. Justeru, mengapa memilih untuk terus berbeza?

Saya tegaskan di sini dengan menekuni sirah Nabi, jelas menunjukkan kepada kita Rasulullah SAW tetap dengan prinsipnya dalam agama tanpa tergugat. Natijahnya adalah kemenangan Pembukaan Kota Suci Makkah. Itulah suluhan fiqh al-sirah yang dapat kita pelajari. Semoga Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, menjunjung titah perintah Allah dan Rasul-Nya di samping keharmonian berada di puncak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *