Membentuk Kerajaan “Acuan Musa” Pasca PRU-15 Bukan Mudah

Secara realiti, hampir mustahil untuk membentuk sebuah kerajaan dengan wibawa jalinan al-qawi dan al-amin. Parti A ada kekuatannya dan sudah pasti di situ terselit juga kelemahannya. Parti B tampak meyakinkan dari sudut kredibiliti tetapi pasti ada kekurangannya yang tidak mampu ditampung. Al-Qawi mungkin ada pada Parti A, al-Amin pula bersama dengan Parti B.

Al-Qawi itu suka saya terjemahkan sebagai kompeten. Seorang pemimpin yang kompeten adalah pemimpin yang memiliki kekuatan, kemampuan, kemahiran, pengalaman, dan kebijaksanaan dalam menjalankan amanah, sesuai dengan bidang tugasnya. Kelayakannya diakui semua.

Manakala al-Amin pula adalah integriti. Sifat kedua ini bahkan lebih utama dan perlu menjadi pelengkap kepada sifat pertama. Negara yang ditadbir pemimpin yang ada kompetensi tanpa integriti bakal merosakkan masa depan anak bangsa. Begitu juga negara yang ditadbir oleh pemimpin yang ada integriti tanpa kompetensi, tidak akan ke mana-mana.

Kedua-dua sifat ini sudah pasti perlu dibuktikan dan sudah pun terbukti. Nabi Musa ‘alaihissalam diiktiraf Allah SWT sebagai seorang yang mempunyai kedua-dua sifat ini. Firman Allah SWT:

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ
“Salah seorang di antara perempuan yang berdua itu berkata: “Wahai ayah (Shuaib), ambilah dia (Musa) bekerja, Sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kompeten, lagi berintegriti.” [Surah al-Qasas 28: 26]

Dalam dunia politik, sudah pasti mencari “Musa” sebegini, amat sukar. Terlalu sempurna untuk umat akhir zaman. Ada pemimpin yang berpengalaman dan ada kepakaran tetapi lemah integritinya. Ada pemimpin yang mempunyai tahap integriti yang tinggi tetapi lemah dari sudut kemampuan dan kelayakan. Buat masa sekarang, saya berpandangan setiap parti dan jajaran ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.

Apa yang utama adalah kebijaksanaan kerajaan pasca PRU 15 membentuk “acuan Musa” dan mengisinya dengan barisan pemimpin yang berkelayakan, berkaliber, saling menguatkan antara satu sama lain, dan sudah pasti meletakkan takwa kepada Allah SWT di kedudukan yang tertinggi.

Benar, tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang mudah. Tetapi ia tidak mustahil. Pilihan di tangan pengundi.

Latest articles

Related articles