Syura Sebagai Solusi Masalah

Tatkala kita menghadapi ujian dan buntu dalam membuat keputusan, bahkan dalam mencari jalan penyelesaian yang terbaik, maka Islam menganjurkan kita akan melakukan syura dengan mereka yang layak dan berkeahlian.

Syura berasal daripada perkataan ‘syawara’ yang bermaksud ‘al-tasyawur’ (التَّشَاوُر) atau perbincangan. (Lihat al-Ra’id Mu’jam al-Lughawi al-‘Asri, hlm. 900) Penggunaan perkataan tersebut dalam bahasa Arab adalah dengan tujuan ‘al-istikhraj’ dengan maksud ‘mengeluarkan sesuatu’ sepertimana disebut oleh Ibn Manzur dalam kitabnya Lisan al-‘Arab. (Lihat Lisan al-‘Arab, 4/434-436)

Menurut al-Raghib al-Asfahani: Syura didefinisikan sebagai proses mengemukakan pendapat dengan saling muraja’ah dan bertukar pendapat antara sesama ahli syura. (Lihat al-Mufradat, hlm. 573. Lihat juga Ruh al-Ma’ani, 2/42)

Ibn al-Arabi al-Maliki pula mentakrifkan syura dengan berkumpul untuk meminta pendapat (dalam sesuatu permasalahan) di mana ahli syura saling melontarkan pandangan masing-masing. (Lihat Ahkam al-Quran, 1/389)

Allah menegaskan dalam al-Quran melalui nas Ilahi antaranya:

وَأَمْرُهُمْ شُورَىٰ بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka.”

(Surah al-Syura :38)

Imam al-Tabari dalam menjelaskan ayat di atas menukilkan pendapat al-Dhahak yang menyatakan: “Tidaklah Allah perintahkan Nabi-Nya bermusyawarah melainkan kerana Allah mengetahui bahawa terdapat kelebihan padanya.” (Lihat Jami’ al-Bayan ʿan Taʾwil ay al-Qurʾan, 4/150)

Ibn Kathir berkata: “Mereka tidak menetapkan satu-satu keputusan sehingga mereka syura sesama mereka. Ini bertujuan untuk saling menguatkan dengan pandangan mereka seperti isu peperangan dan apa yang berlaku dalam strateginya.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/211)

Dalam al-Quran, terdapat satu surah yang dinamakan al-Syura. Dinamakan demikian bagi menunjukkan kemuliaan syura dan kepentingannya. Surah ini merupakan daripada surah Makiyyah yang menunjukkan jaringan masyarakat begitu penting dalam Islam sebelum negara Islam ditegakkan lagi.

Syura menjadi keperluan kepada orang Islam pada setiap masa dan tempat. Ia juga merupakan satu manhaj Insani, di mana Baginda SAW, para sahabat dan para ulama melakukan syura.

Firman Allah SWT lagi:

وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ

Maksudnya: “Bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu.”

(Surah Ali Imran: 159)

Imam al-Tabari menukilkan bahawa Sufyan bin `Uyainah berkata: “Firman Allah SWT, ‘وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ’ membawa maksud orang Islam hendaklah bermusyawarah dalam perkara yang tidak terdapat athar daripada Nabi SAW berkenaan dengannya.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 4/152)

Al-Zamakhsyari pula berkata: ‘وَشَاوِرْهُمْ فِي الْأَمْرِ’ (dan hendaklah kamu melakukan syura dengan mereka) bermakna dalam urusan peperangan dan lain-lain sepertinya yang tidak diturunkdan wahyu terhadapnya. (Lihat al-Kassyaf, 1/341)

Dinaqalkan dalam kitab al-Siyasah al-Syar`iyyah oleh Ibnu Taimiyyah bahawa Ulil Amri (iaitu Pemimpin dan Ulama) hendaklah sentiasa melakukan musyawarah. Dan Allah SWT perintahkan Nabi-Nya supaya bermusyawarah adalah bagi melembutkan dan mengikat hati para Sahabat R.Anhum, supaya orang Islam selepasnya mengikutinya serta untuk menghasilkan sebuah pandangan dalam perkara yang tidak diturunkan wahyu terhadapnya, sama ada dalam urusan peperangan, urusan-urusan cabang (juz’iyyah) dan lain-lain. Maka perkara-perkara ini adalah lebih utama bagi Nabi SAW untuk bermusyawarah.” (Lihat al-Siyasah al-Syar’iyyah, hlm. 162-164)

Ulama kontemporari seperti Syeikh Rashid Redha juga turut berpandangan bahawa syura berlaku pada semua perkara yang tidak terdapat nas Al-Quran dan Sunnah serta Ijmak atau hanya berlaku pada perkara yang bersifat ijtihadi dan tidak qat`ie seperti urusan politik dan peperangan yang berdiri atas dasar maslahah. (Lihat al-Khilafah, hlm. 38)

Syeikh Muhammad Tahir Ibn Asyur berkata: “Maka telah jelaslah bahawa musyawarah yang disuruh oleh ayat di atas adalah musyawarah pada hal ehwal umat dan maslahat-maslahatnya. Allah telah mengarahkan perlaksanaannya di sini dan telah memujinya ketika menceritakan tentang kaum Ansar dalam firman-Nya Ta’la yang lain:

وَأَمْرُهُمْ شُورى بَيْنَهُمْ

Maksudnya: “dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka;” (Surah al-Syura: 38)

Dan Allah telah mensyaratkannya dalam urusan keluarga seperti mana firman-Nya:

فَإِنْ أَرَادَا فِصَالًا عَن تَرَاضٍ مِّنْهُمَا وَتَشَاوُرٍ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا ۗ

Maksudnya: “Kemudian jika keduanya (suami isteri) mahu menghentikan penyusuan itu dengan persetujuan (yang telah dicapai oleh) mereka sesudah berunding, maka mereka berdua tidaklah salah (melakukannya). (Surah al-Baqarah: 233)

Maka Allah telah mensyariatkan dengan ayat-ayat yang telah disebutkan tadi perlaksanaan musyawarah pada pelbagai lapisan maslahat; iaitu maslahat keluarga, kabilah, negeri dan maslahat umat keseluruhan.” (Lihat Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir, 4/147-148)

Terdapat beberapa hadith yang menyebut berkenaan syura. Antaranya daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا اسْتَشَارَ أَحَدُكُمْ أَخَاهُ فَلْيُشِرْ عَلَيْهِ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu meminta petunjuk kepada saudaranya, maka hendaklah dia menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.”

Riwayat Ibn Majah (3737)

Al-Munawi menjelaskan: “Sekiranya salah seorang daripada kamu berbincang dan bermusyawarah dengan saudaranya) dalam agama dan saudara itu menyebut dan ianya menjadi kebiasaan, jika seorang yang dzimmi meminta nasihatnya seperti itu, iaitu dia meminta nasihat, yang bermaksud dia memintanya untuk melakukan sesuatu atau tidak, sunat baginya untuk memberi nasihat sebagaimana Allah memuji kaum Ansar dengan firman-Nya (وأمرهم شورى بينهم), maka berilah nasihat kepadanya dengan baik dan benar, jika tidak (memberikan nasihat yang benar) maka dia telah mengkhianatinya sebagaimana diriwayatkan oleh al-Khara’iti dan selainnya. Maka wajib baginya memberikan nasihat dan buah fikiran. Sesungguhnya dia telah diberi kepercayaan. Jika dia berusaha dan berjuhud dan melakukan kesalahan, dia tidak akan dipersalahkan seperti yang disebutkan oleh al-Khattabi.“ (Lihat Faidh al-Qadir, 1/275)

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

الْمُسْتَشَارُ مُؤْتَمَنٌ

Maksudnya: “Orang yang diajak musyawarah mesti orang yang dipercayai.”

Riwayat Abu Dawud (4463)

Al-Munawi berkata: “(Orang yang diajak musyawarah mesti orang yang dipercayai) iaitu pemegang amanah dari apa yang dia nasihatkan, Maka sesiapa yang memberikan rahsia dan keselamatannya kepada saudaranya, dia telah meletakkannya pada tempatnya, maka wajib baginya untuk tidak merujuk kepadanya kecuali dengan apa yang dia anggap perlu dan betul, sepertimana kepemimpinan seorang lelaki yang tidak selamat untuk menyimpan wang kepadanya kecuali dengan keyakinan, dan kerahsiaan. Boleh jadi penyebab kepada kebinasaannya (disebabkan meletakkan kepada orang yang tidak boleh dipercayai), lebih utama untuk dia meninggalkannya kecuali dia menyerahkan kepada orang yang dia percayainya.” (Lihat Faidh al-Qadir, 6/268)

Daripada Abu Hurairah R.A, sabda Rasulullah SAW:

وَمَنْ اسْتَشَارَهُ أَخُوهُ الْمُسْلِمُ، فَأَشَارَ عَلَيْهِ بِغَيْرِ رُشْدٍ، فَقَدْ خَانَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang diajak musyawarah oleh saudaranya yang Muslim, lalu dia memberikan saranan yang tidak benar, maka sesungguhnya dia telah mengkhianatinya.” Riwayat Ahmad (7918)

Jenis-jenis Syura

Syura terbahagi kepada dua jenis iaitu:

Syura Mulzim: Dengan maksud pemimpin terikat dengan keputusan hasil syura yang dijalankan.
Syura Mu’lim: Iaitu pemimpin berbincang dengan ahli mesyuarat, namun di akhir perbincangan, pemimpin tersebut tidak terikat dengan pandangan-pandangan mereka. Beliau boleh mengambil pandangan yang menurut pertimbangannya adalah baik selagi mana tidak bertentangan dengan garis panduan yang ada dalam mengambil keputusan.

Perkara yang Perlu Disyurakan

Berdasarkan kepada petunjuk nas Ilahi dan sirah Nabawi di atas, kita dapat memahami bahawa syura dilakukan dalam memutuskan isu-isu yang besar. Meskipun begitu, terdapat juga isu-isu kecil yang disyurakan. Antara perkara yang memerlukan kepada syura ialah:

– Dalam isu peperangan, iaitu antaranya; di mana lokasi yang terbaik, bila waktu yang sesuai, apakah strategi yang akan dilaksanakan, siapa yang diangkat menjadi pemimpin tentera, susunan kedudukan tentera. Kesemua ini disyurakan sepertimana yang berlaku dalam perang Badar, Uhud, Khandak dan lain-lain.
– Pelaksanaan syura dalam isu perdamaian sepertimana yang berlaku dalam peristiwa Sulh al-Hudaibiyyah pada tahun 6H.
– Syura berkenaan tawanan perang sebagai contoh apa yang perlu dilakukan serta tindakan yang perlu diambil ke atas tawanan Perang Badar.
– Syura dalam pelantikan khalifah atau pemimpin utama negara. Ini terjadi ketika pelantikan dan bai’ah Khalifah Abu Bakr, Umar, Uthman, Ali dan lain-lain. Bahkan ia dianggap amat penting seperti mana yang telah dibahaskan dalan siri fiqh politik yang terdahulu.
– Syura dalam hal ehwal pertanian. Bila mana Rasullullah SAW memberi pendapat didapati hasilnya kurang menjadi maka Rasulullah SAW bersabda:

أنْتُمْ أعْلَمُ بأَمْرِ دُنْياكُمْ

Maksudnya: “Kamu lebih tahu urusan dunia kamu.” Riwayat Muslim (2363)

Di samping syura, antara yang perlu ditekankan ialah ahli istisyarah iaitu mereka yang dilantik atau diminta pandangan. Antara syaratnya ialah:

– Mereka yang mempunyai ilmu, pengetahuan dan makrifah
– Mereka yang mempunyai pengalaman dan tajribah al-hayah
– Mereka yang amanah, dipercayai dan kesolehannya diperakukan
– Mereka yang benar-benar ikhlas untuk meninggikan syiar agama tanpa sebarang kepentingan peribadi
– Mereka yang berkeahlian atau disebut pakar atau professional dalam bidang mereka yang dikenali sebagai ahli al-ikhtisas

Gabungan di antara syura yang melibatkan ahli ikhtisas yang berkeahlian beserta istikharah kepada Allah SWT sudah pasti menatijahkan jawapan yang luar biasa kerana ia bukan hanya melihat pada masa dan waktu yang terdekat tetapi juga kepada natijah dan kesudahannya. Ini kerana takdir adalah milik-Nya dan perkara ghaib seperti perkara yang akan berlaku di masa hadapan hanya Dia sahaja yang mengetahui. Benarlah kata ulama’:

ما خَابَ مَنْ استَشَار، وما نَدِمَ مَنْ استَخَار

Maksudnya: “Tiada rugi orang yang bersyura dan bertanya, serta tiada sesal bagi siapa yang beristikharah.”

Kisah Ratu Balqis tatkala menerima warkah daripada Nabi Sulaiman AS jelas menunjukkan kebijaksanaan Ratu Balqis dalam memutuskan hala tuju negaranya serta tindakan yang perlu diambilnya. Saya nyatakan disini terjemahan ayat-ayat tersebut dari surah al-Naml, ayat 38 – 44:

“Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka”. (Setelah membaca surat itu), berkatalah raja perempuan negeri Saba’: “Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia. “Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): `Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani, ” `Bahawa janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri (beriman dan mematuhi ajaran agama Allah). ‘

“Raja perempuan itu berkata lagi: “Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya”. Mereka menjawab: Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan.

Raja perempuan itu berkata: “Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan. “Dan bahawa aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita”

Maka apabila (utusan pembawa hadiah itu) datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman (kepadanya): “Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu; (bukan aku yang memandang kepada pemberian hadiah) bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu (atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah). “Kembalilah kepada mereka, (jika mereka tidak juga mahu beriman) maka demi sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang mereka tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba’ dengan keadaan hina, menjadi orang-orang tawanan.”

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada golongan bijak pandainya): “Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?” Berkatalah Ifrit dari golongan jin: “Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah”. Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: “Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!”

Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”.

Nabi Sulaiman berkata pula (kepada orang-orangnya): “Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar (untuk mengenal singgahsananya itu) atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian”. Maka ketika ia datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?” Ia menjawab: “Boleh jadi inilah dia; dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)”. Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.

(Setelah itu) dikatakan kepadanya: “Dipersilakan masuk ke dalam istana ini.” Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: “Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca”. (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam “. (Surah al-Naml, ayat 38 – 44)

Kelebihan dan Kebaikan Syura

Antara kelebihan dan kebaikan syura ialah:

– Amalan syura menatijahkan semua keputusan yang diambil menjadi lebih baik, tepat dan biasanya keputusan yang dibuat mengikut pandangan ramai lebih baik daripada pandangan hanya seorang individu.
– Keputusan syura yang diambil hasil daripada pandangan dan pendapat ahli ikhtisas menjadikannya lebih rasional dan boleh diterima oleh semua pihak.
– Natijah sebenar syura dapat mengelakkan segala kekeliruan dan salah faham kerana majlis akan membincangkan dengan teliti satu-satu isu dan jumlah ahli syura yang begitu ramai lagi berkelayakan.
– Apabila melakukan syura kerana mengikut perintah Allah SWT maka sudah tentu akan dikurniakan petunjuk dan ilham daripada-Nya. Ini kerana urusan qada’ dan qadar dan masa hadapan adalah di luar jangkauan dan kemampuan manusia.

Dalam memutuskan pandangan yang tepat dan diharap akan memberi kebaikan, ketika mana terdapat banyak pandangan maka rujukan utama adalah dengan memohon kepada Allah SWT. Antara doa yang diajar dalam memutuskan hal seperti ini adalah:

اللَّهُمَّ رَبَّ جِبْرِيلَ، وَمِيكَائِيلَ، وَإِسْرَافِيلَ، فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ، عَالِمَ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، أَنْتَ تَحْكُمُ بَيْنَ عِبَادِكَ فِيمَا كَانُوا فِيهِ يَخْتَلِفُونَ، اهْدِنَا لِمَا اخْتُلِفَ فِيهِ مِنَ الْحَقِّ بِإِذْنِكَ، إِنَّكَ تَهْدِي مَنْ تَشَاءُ إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيمٍ.

Maksudnya: “Ya Allah, Tuhan Jibril, Mikail, dan Israfil. Yang Menciptakan langit dan bumi, Yang Maha Mengetahui yang ghaib mahupun yang kelihatan. Engkaulah yang Menghakimi hamba-hamba-Mu di dalam apa yang mereka perselisihkan. Tunjukkanlah kami dengan izin-Mu kepada kebenaran di dalam apa yang diperselisihkan. Sesungguhnya Engkau memberi petunjuk ke arah Sirat al-Mustaqim kepada sesiapa yang Engkau Kehendaki.”

Riwayat Muslim (770), Abu Daud (676), al-Tirmizi (3420), Ibn Majah (1357), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (4854), al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (1324) dan Ahmad (25225). Doa ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Salamah bin Abd al-Rahman bin Auf, daripada ‘Aisyah Ummu al-Mukminin R.Anha.

Semoga syura dan perbincangan bagi mendapatkan natijah yang terbaik sentiasa menjadi amalan dan kelaziman di negara kita, di kalangan pemimpin-pemimpinnya dan seluruh rakyat jelata. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *