Saidina ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf R.A

Beliau ialah Abu Muhammad ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf bin ‘Abd ‘Auf bin ‘Abd bin al-Harith bin Zuhrah bin Kilab bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi. Beliau termasuk salah seorang daripada sepuluh yang dijanjikan syurga, salah seorang daripada enam ahli syura, salah seorang ahli Badar dan salah seorang daripada lapan orang pertama yang memeluk Islam. Beliau berasal daripada keturunan Bani Zuhrah. Beliau meriwayatkan banyak hadith. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Abbas, Ibn Umar, Anas bin Malik, anak-anaknya iaitu Ibrahim, Humaid, Abu Salamah, ‘Amr, dan Mus‘ab, Malik bin Aus dan lain-lain. (Lihat  Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/68).

Abdul Rahman bin ‘Auf merupakan lambang kejayaan umat Islam di dalam bidang perniagaan dan perdagangan terutama ketika bidang ekonomi ketika itu dimonopoli oleh orang Yahudi. Ketika peperangan Tabuk, Abdul Rahman bin Auf diriwayatkan telah menginfaqkan sebanyak 200 uqiyah perak. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 512-513)

Sewaktu pemilihan khalifah ketiga selepas peristiwa pembunuhan Umar bin al-Khattab, beliau merupakan salah seorang calonnya. Namun, beliau enggan, sebaliknya menetapkan pemilihan khalifah jatuh kepada Uthman bin ‘Affan. Beliau wafat di Madinah pada tahun 32 Hijrah. Namun, ada yang berpendapat pada tahun 33 Hijrah. Beliau telah dikebumikan di Baqi‘. Menurut Ya‘qub bin al-Mughirah, beliau telah hidup selama 75 tahun. (Lihat  Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/92; Tarikh Dimasq, 35/241).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *