Saidina Sa‘id bin Zaid R.A

Beliau ialah Abu al-A‘war Sa‘id bin Zaid bin ‘Amr bin Nufail bin ‘Abd al-‘Uzza bin Riyah bin Qurt bin Razah bin ‘Adi bin Ka‘ab bin Lu’ai bin Ghalib al-Qurasyi al-‘Adawi. Beliau termasuk dalam sepuluh orang yang dijanjikan syurga, salah seorang daripada kalangan al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan), salah seorang ahli Badar dan juga termasuk dalam kalangan mereka yang Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia. Selain itu, beliau sedikit meriwayatkan hadith. Dalam al-Sahihain (Sahih al-Bukhari dan Muslim) terdapat dua hadith beliau. Selain daripada itu, satu hadith beliau hanya diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Umar, Abu al-Tufail, ‘Amr bin Huraith, Zir bin Hubaisy, Abu Uthman al-Nahdi, ‘Urwah al-Zubair, Abdullah bin Zalim, Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman dan ramai lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/124-125).

Beliau juga termasuk daripada kalangan sahabat yang terawal masuk Islam. Menurut Ibn Ishaq, beliau memeluk Islam selepas 13 orang lelaki. Beliau berkahwin dengan Fatimah binti al-Khattab, adik kepada Saidina Umar bin al-Khattab. Bapanya pula ialah Zaid bin ‘Amr. Diceritakan bahawa bapanya selalu menghadap ke Kaabah lalu berkata: Tuhanku ialah Tuhan Ibrahim, dan agamaku ialah agama Ibrahim, serta dia solat. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah SAW, dan Baginda bersabda: “Dihimpunkan umat antara aku dan Isa bin Maryam hanya seorang.” (Lihat Siyar al-Salaf al-Salihin, 1/243).

Al-Zahabi ada menceritakan bahawa bapanya, iaitu Zaid bin ‘Amr termasuk dalam kalangan mereka yang melarikan diri daripada ibadah berhala kepada agama Allah. Dia telah mengembara sehingga ke bumi Syam dalam mencari agama yang benar. Dalam pencariannya itu, beliau telah melihat Nasrani dan Yahudi, tetapi dia tidak menyukai agama mereka — yakni tidak menganutnya. Beliau berkata: “Ya Allah, sesungguhnya aku berada di atas agama Ibrahim.” Akan tetapi tidak tersebarnya syariat Nabi Ibrahim A.S sebagaimana yang dikehendaki. Begitu juga dia tidak melihat sesiapa menghalangnya daripada perkara itu, dan dia termasuk dalam kalangan orang yang terselamat. Sesungguhnya Nabi SAW telah bersaksi buatnya bahawasanya: “Dihimpunkan sebagai umat secara bersendirian.” 

Begitu juga terdapat riwayat daripada Asma’ binti Abu Bakar, katanya: “Aku melihat Zaid bin ‘Amr bin Nufail berdiri dalam keadaan membelakangkan Kaabah sambil berkata: ‘Wahai sekalian Quraisy! Demi Allah, tidak ada seorangpun di antara kamu yang mengikuti agama Ibrahim melainkan aku.’”(Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/126-128). 

Sa‘id bin Zaid mengikuti setiap peperangan yang disertai oleh Nabi SAW kecuali Perang Badar. Ketika itu, Nabi SAW mengutusnya untuk mengintip kafilah Quraisy. Ketika kembali daripada tugasnya, perang sudah pun selesai. Meskipun begitu, Sa‘id tetap dianggap ikut perang dan mendapat harta rampasan perang.

Kematian Sa‘id bin Zaid: Sa‘id bin Zaid meninggal dunia di al-‘Aqiq, lalu kemudian jenazahnya dibawa ke Madinah dan di sanalah beliau dikebumikan. Sa‘ad bin Abu Waqqas memandikan jenazahnya. Orang yang meletakkannya di kubur pula adalah Sa‘ad dan Ibn Umar. Hal tersebut adalah pada tahun ke-50 atau ke-51H. Ketika itu, Sa‘id berusia 70 tahun lebih. (Lihat Ashab al-Rasul SAW oleh Syeikh Mahmud al-Misri, 2/12; Siyar al-Salaf al-Salihin oleh Isma‘il al-Asbahani, 1/246-247).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *