#650: Solat Qabliyah dan Ba’diyah Jumaat

-43%
Original price was: RM35.00.Current price is: RM20.00.
-25%

Inspirasi Kehidupan

Inilah Doaku

Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-25%
Original price was: RM20.00.Current price is: RM15.00.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Mohon penjelasan berkenaan kedudukan solat Qabliyah dan Ba’diyah Jumaat? Terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pada asasnya, terdapat nas yang menyebutkan tentang fadhilat Jumaat di mana terkandung di dalamnya seruan untuk mendirikan solat sunat sebelum Jumaat.

Hal ini jelas sekiranya kita meneliti hadith yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنِ اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، وَتَطَهَّرَ بِمَا اسْتَطَاعَ مِنْ طُهْرٍ، ثُمَّ ادَّهَنَ أَوْ مَسَّ مِنْ طِيبٍ، ثُمَّ رَاحَ فَلَمْ يُفَرِّقْ بَيْنَ اثْنَيْنِ، فَصَلَّى مَا كُتِبَ لَهُ، ثُمَّ إِذَا خَرَجَ الإِمَامُ أَنْصَتَ، غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى

Maksudnya: “Sesiapa yang mandi pada hari jumaat, bersuci dengan apa yang termampu untuk bersuci, kemudian meminyakkan (rambut) atau memakai wangian, kemudian dia pergi tanpa dia melangkah dengan paksaan di antara dua orang, kemudian dia mendirikan solat seperti mana yang diperintahkan kepadanya, kemudian apabila keluar imam (untuk berkhutbah) dia berdiam diri, maka diampunkan dosanya, di antara jumaat itu dengan jumaat yang lalu.”[1]

Maka dalam isu yang ditanyakan, persoalan ini timbul bertitik tolak daripada khilaf yang berlaku di antara para ulama’ berkaitan solat sunat sebelum Jumaat. Hal ini diperbahaskan sama ada solat sunat ini termasuk di dalam sunat rawatib iaitu solat sunat yang telah ditetapkan untuk sebelum dan selepas solat fardhu.[2]

Solat Sunat Sebelum Jumaat (Qabliyah)

Mengenai solat sunat sebelum solat Jumaat, terdapat dua kemungkinan:

Pertama: Ia adalah solat sunat mutlak, hukumnya sunat. Waktu perlaksanaannya berakhir ketika imam mula berkhutbah.

Kedua: Ia adalah solat sunat Qabliyyah Jumaat. Namun, para ulama berbeza pendapat tentangnya:

  1. Solat Qabliyyah Jumaat adalah sunat. Ini adalah pendapat Imam Abu Hanifah, Syafi’yyah (menurut pendapat yang dalilnya lebih kuat) dan Hanabilah (dalam riwayat yang tidak masyhur).

Imam al-Khatib al-Syarbini berkata:

وبعد الجمعة أربع، وقبلها ما قبل الظهر؛

Maksudnya: “Dan selepas jumaat empat rakaat, dan sebelumnya (jumaat) seperti mana sebelum zohor.”[3]

Ibn ‘Abidin berkata:

وسُنَّ مُؤَكَّدًا أربعٌ قبلَ الظُّهر، وأربعٌ قبلَ الجمعة، وأربعٌ بعدَها

Maksudnya: Disunatkan secara mu’akkad empat rakaat sebelum Zohor, empat rakaat sebelum Jumaat, dan empat rakaat selepasnya.[4]

  1. Solat Qabliyyah Jumaat tidak disunatkan. Ia adalah pendapat Imam Malik, dan sebahagian Hanabilah (dalam riwayat yang masyhur).

Pendapat yang mengatakan tidak ada solat sunat ratib sebelum Jumaat antaranya merupakan pendapat Mazhab al-Maliki di mana mereka mengatakan bahawa tidak ada solat sunat khusus yang datang bersama dengan solat fardhu (sebelum atau selepas), namun tidak menghalang untuk melakukan solat sunat secara mutlak.[5]

Begitu juga pendapat Mazhab al-Hanbali sepertimana disebut oleh Ibn Rajab al-Hanbali:

وقال كثير من متأخري أصحابنا: ليست سنةً راتبة، بل مستحبة

Maksudnya: Dan telah berkata bilangan yang besar daripada ulama’kami yang mutaakhir; ianya bukanlah solat sunat ratibah, ia hanyalah sesuatu yang disunatkan sahaja.[6]

Walaupun begitu, bagi sesiapa yang ingin melakukannya sebelum solat Jumaat, ia adalah amat baik sepertimana disebut dalam Mazhab Syafie.

Solat Sunat Selepas  Jumaat (Ba’diyah)

Adapun berkenaan solat sunat selepas Jumaat, maka para ulama bersepakat mengatakan bahawa solat sunat selepas Jumaat adalah sunat dan termasuk Rawatib Ba’diyah Jumaat. Hal ini berdasarkan apa yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا صَلّى أحَدُكُمُ الجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَها أرْبَعًا.

Maksudnya: “Jika salah seorang di antara kamu solat Jumaat, hendaklah solat empat rakaat sesudahnya.”[7]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 Mac 2022 bersamaan 2 Syaaban 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Riwayat al-Bukhari (910)

[2] Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, Qism al-Ibadah, hlm. 284

[3] Lihat al-Mughni al-Muhtaj, 91/220

[4] Lihat al-Radd al-Mukhtar ‘ala al-Dur al-Mukhtar, 1/452

[5] Lihat ‘Aqd Jawahir al-Tsaminah, 1/133

[6] Lihat Fath al-Bari Syar Sahih al-Bukhari li Ibn Rajab al-Hanbali, 8/333

[7] Riwayat Muslim (881)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *