#651: Puasa Wisal (Puasa Bersambung)

[ux_products]

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Saya pernah terdengar tentang puasa Wisal. Boleh ustaz jelaskan, apa maksud puasa Wisal dan apa hukum puasa secara Wisal (bersambung-sambung) ini?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Puasa Wisal

Menurut al-Qadhi Iyadh, al-Wisal (الوصال) adalah puasa secara berterusan tanpa berbuka pada waktu malam.[1] Ibn al-Athir pula berkata: Al-Wisal adalah: Seseorang itu tidak berbuka selama dua hari atau lebih.[2]

Menurut Imam al-Mawardi, berpuasa secara Wisal ini adalah apabila seorang lelaki itu berpuasa dalam sehari dan apabila masuk sahaja waktu malam dia enggan untuk makan dan juga minum. Kemudian dia bangun pagi dalam keadaan berpuasa dan dia dikira menyambung selama dua hari dalam keadaan tidak makan dan minum.[3]

Imam al-Ruyani berkata: Puasa al-Wisal adalah seseorang itu menyambungkan puasanya pada waktu malam dengan puasanya pada waktu siang.[4]

Berdasarkan kepada beberapa takrifan di atas, dapat kita simpulkan bahawa puasa Wisal bermaksud: Seseorang itu berpuasa selama dua hari atau lebih tanpa berbuka dalam keadaan sengaja. Ini bererti dia menyambungkan puasanya pada waktu malam dalam keadaan tidak makan dan tidak minum.

 Dalil-Dalil yang Melarang Puasa Secara Wisal

Berikut merupakan dalil-dalil yang melarang perbuatan puasa secara bersambung tanpa berbuka terlebih dahulu. Antaranya, sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الْوِصَالِ فِي الصَّوْمِ فَقَالَ لَهُ رَجُلٌ مِنَ الْمُسْلِمِينَ إِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ ‏”‏ وَأَيُّكُمْ مِثْلِي إِنِّي أَبِيتُ يُطْعِمُنِي رَبِّي وَيَسْقِينِ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang perbuatan al-Wisal di dalam puasa. Maka seorang lelaki pun bertanya kepada Rasulullah: “Sesungguhnya kamu sendiri melakukan al-Wisal wahai Rasulullah.” Maka jawab Nabi SAW: “Siapa dari kalian yang sama sepertiku? Sesungguhnya aku diberi makan dan minuman oleh Tuhanku semasa aku tidur.”[5]

Antara dalil lain adalah sebuah riwayat daripada Abu Sa’id al-Khudri R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُوَاصِلُوا، فَأَيُّكُمْ أَرَادَ أَنْ يُوَاصِلَ، فَلْيُوَاصِلْ حَتَّى السَّحَر، قَالُوا: فَإِنَّكَ تُوَاصِلُ يَا رَسُولَ اللهِ، قَالَ لَسْتُ كَهَيْئَتِكُمْ، إِنِّي أَبِيتُ لِي مُطْعِمٌ يُطْعِمُنِي وَسَاقٍ يَسْقِينِ

Maksudnya: Janganlah kalian melakukan puasa secara berterusan. Sesiapa dari kalangan kalian yang mahu berpuasa secara berterusan, maka sambunglah sehingga ke waktu sahur sahaja. Lalu para sahabat berkata: “Sesungguhnya kamu juga berpuasa secara berterusan wahai Rasulullah.” Maka kata Nabi SAW: Aku tidak sama seperti kamu semua. Sesungguhnya ketika aku tidur ada Tuhan yang memberi makan kepadaku serta memberi minum kepadaku.[6]

Berdasarkan hadis di atas, terdapat larangan daripada Nabi SAW dari melakukan puasa secara bersambung. Adapun perintah Nabi SAW yang mengatakan: ‘فَلْيُوَاصِلْ حَتَّى السَّحَر’, (Maka hendaklah dia sambungkan berpuasa sehingga waktu sahur), para ulama usul feqh apabila membahaskan isu ayat perintah yang datang selepas larangan berkata: Golongan Hanabilah, Imam Malik dan ashab beliau, serta zahir pendapat Imam al-Syafie berpendapat, setiap perintah yang datang selepas dari larangan menunjukkan kepada hukum mubah iaitu harus.

Justeru, perintah untuk menyambungkan puasa sehingga waktu sahur hanyalah untuk menyatakan keharusan sahaja dan bukanlah ia merupakan satu tuntutan yang membawa hukum wajib.

Bahkan dikatakan bahawa Imam al-Nawawi sendiri banyak melakukan puasa sunat dan berbuka pada waktu sahur. Ini kerana, beliau begitu cakna dan prihatin dalam pemeliharaan masa. Demikianlah nilai masa di sisi para ulama.

Manakala ucapan Nabi SAW yang mengatakan: ‘إِنِّي أَبِيتُ لِي مُطْعِمٌ يُطْعِمُنِي وَسَاقٍ يَسْقِينِ’ (Sesungguhnya aku tidur dalam keadaan ada Tuhan yang memberi makan dan minum kepadaku), maka para ulama mempunyai beberapa tafsiran terhadap pernyataan ini.

Menurut Imam al-Mawardi, ia boleh ditafsirkan kepada dua perkara. Pertama, Allah SWT memberi makan dan minum kepada baginda SAW secara hakiki. Allah SWT memberikan kekuatan kepada Rasulullah SAW dengan kadar yang sama seperti Baginda makan dan juga minum.[7]

Hal yang sama juga dijelaskan oleh Ibn al-Qayyim, bahawa para ulama’ berselisih pendapat dalam mentafsirkannya. Pendapat pertama menyebut bahawa, yang dimaksudkan adalah diberi makan dan minum secara hakiki melalui mulut. Pendapat kedua, yang dimaksudkan adalah diberi makan dan minum pada hati sehingga dirinya disibukkan dalam beribadah dan merasai kelazatan ketika itu. Hati itulah yang paling merasai kelazatan dan manfaat makanan tersebut. Ketika hati terasa kuat, akhirnya tidak peduli lagi pada pengambilan makanan yang menguatkan fizikal sehingga mampu bertahan tanpa makan dan minum untuk beberapa hari.[8]

Justeru, dapat difahami bahawa puasa wisal hanya khusus untuk Nabi SAW, dan tidak berlaku pada umatnya. Ini kerana, Allah SWT yang memberi makan dan minum pada Baginda. Puasa wisal ini tidak diperintahkan kepada umat Islam adalah sebagai satu bentuk rahmat bagi mereka. Ibn al-Qayyim berkata: “Rasulullah SAW melarang puasa wisal sebagai satu bentuk rahmat bagi umatnya. Namun, ia masih diizinkan sehingga waktu sahur.”[9]

Pendapat Para Fuqaha Berkaitan Puasa Wisal

Dalam isu ini, para ulama’ yang menyatakan bahawa puasa wisal adalah dilarang. Ada yang menyatakan bahawa larangan ini adalah bersifat haram, dan ada yang mengatakan bahawa sifatnya adalah makruh.

Pendapat Pertama: Puasa Wisal adalah Haram

Para ulama yang mengharamkan puasa secara bersambung (al-Wisal) di antaranya adalah Imam al-Rafi’e, al-Qadhi Abu al-Thayyib, al-Imam al-Khattabi, al-Syeikh Salim al-Daari, Imam al-Haramain al-Juwaini, al-Imam al-Baghawi, serta al-Ruyaani.[10] Begitu juga Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari turut mengharamkannya.[11]

Imam al-Haramain al-Juwaini berkata: “Puasa secara bersambung adalah merupakan suatu bentuk qurbah (ibadah) pada hak Rasulullah SAW manakala ia merupakan suatu perkara yang diharamkan ke atas umat Baginda SAW.”[12]

 

Pendapat Kedua: Puasa Wisal adalah Makruh

Imam al-Nawawi berkata: Adapun hukum al-Wisal (puasa berterusan) maka hukumnya adalah makruh di sisi kami tanpa sebarang khilaf. Persoalan adakah hukumnya makruh tahrim ataupun makruh tanzih ada dua pendapat tentangnya. Yang paling sahih di sisi ashab kami dan ia merupakan zahir kenyataan Imam al-Syafie adalah hukumnya makruh tahrim.[13]

Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: Puasa al-Wisal (bersambung) itu hukumnya makruh di sisi kebanyakan ahli ilmu.[14]

Pandangan Ketiga: Boleh Sekiranya Hanya Sampai Waktu Sahur

Namun, jika puasa tersebut hanyalah sehingga waktu sahur, maka sebahagian ulama’ membolehkannya. Dan inilah pendapat mazhab Hanabilah.[15]

Hal ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW:

لَا تُوَاصِلُوا فَأَيُّكُمْ أَرَادَ أَنْ يُوَاصِلَ فَلْيُوَاصِلْ حَتَّى السَّحَرِ

Maksudnya: “Janganlah kamu melakukan puasa Wisal. Sesiapa di antara kamu yang ingin puasa Wisal, maka hendaklah dia melakukannya sehingga waktu sahur (sahaja).”[16]

Imam al-Bukhari juga menulis satu bab terntang puasa Wisal sehingga waktu sahur. Beliau menyebut: ‘بَابُ الوِصَالِ إِلَى السَّحَرِ’ (Bab puasa Wisal sehingga waktu sahur).[17]

Ibn al-Qayyim berkata: “Pendapat yang mengatakan bahawa puasa wisal boleh dilakukan daripada sahur hingga sahur berikutnya, itu adalah lebih tepat. Ini menunjukkan bolehnya puasa wisal dan masih dianggap mudah oleh orang yang berpuasa. Yang dilakukan ini, sama sahaja dengan seseorang yang mengakhirkan makan malamnya sehingga waktu sahur. Seharian dia berpuasa, dan di malam harinya dia makan. Jika dia baru makan ketika sahur, hal itu sama sahaja maksudnya dia memindahkan berbukanya sehingga akhir malam.”[18]

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, kami nyatakan bahawa berpuasa secara al-Wisal (bersambung) ini merupakan suatu perbuatan yang disebut sebagai ibadah-ibadah yang hanya khas bagi Rasul (Khususiyyah al-Rasul). Maka ini menunjukkan bahawa tidak menjadi kewajipan ke atas kita untuk mengikuti perbuatan ini disebabkan larangan yang datang daripada Baginda ke atas kita.

Hukum berpuasa secara bersambung ini adalah makruh tahrim di dalam mazhab Imam al-Syafie sebagaimana yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi.

Jika sekiranya seseorang ingin berpuasa secara wisal, maka dibolehkan sehingga ke waktu sahur berdasarkan nas yang telah disebutkan. Dikatakan Imam Nawawi juga melakukan seperti ini.

Justeru, bagi sesiapa yang diberikan kurnia oleh Allah SWT dalam memperbanyakkan ibadah puasa, kami sarankan supaya lakukanlah ibadah puasa-puasa sunat yang telah warid akan anjuran melakukannya seperti puasa sunat pada hari Isnin dan Khamis, puasa sunat Nabi Daud A.S, puasa pada ayyam al-bidh (hari-hari putih) iaitu pada 13,14,15 hari bulan hijrah setiap bulan, serta puasa-puasa sunat yang lain.

Antara hikmah larangan berpuasa secara bersambung (al-wisal) ini adalah kerana sebagai tanda kasih (rahmat) kepada umat Islam. Ini kerana, amalan berpuasa secara bersambung tanpa berbuka adalah suatu amalan yang akan menyebabkan keletihan, lemah tubuh badan, serta memudharatkan diri. Bahkan Ummu al-Mu’minin A’isyah R.anha sendiri menyatakan hal yang sama berdasarkan kata-kata beliau:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الْوِصَالِ، رَحْمَةً لَهُمْ

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang berpuasa secara bersambung sebagai suatu tanda rahmat (kasih sayang) kepada umat Islam.[19]

Menurut Imam al-Mawardi, puasa secara berterusan itu mendatangkan rasa lemah tubuh badan, serta menyebabkan kepayahan dan rasa berat yang boleh jadi melemahkan seseorang dari melakukan kewajipannya.[20]

Selain itu, antara hikmahnya juga adalah bagi mengelakkan perasaan jemu dan bosan dalam beribadah. Dalam sebuah riwayat daripada A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

مَهْ عَلَيْكُمْ مَا تُطِيقُونَ مِنَ الأَعْمَالِ، فَإِنَّ اللَّهَ لاَ يَمَلُّ حَتَّى تَمَلُّوا

Maksudnya: Lakukanlah amalan sekadar kemampuan kamu sahaja. Sesungguhnya Allah tidak akan merasa jemu melainkan kamu sendirilah yang akan merasa jemu dan bosan.[21]

Larangan daripada berpuasa secara berterusan juga adalah supaya tidak menyebabkan berlakunya pengabaian hak. Hal ini kerana, seseorang yang melakukan puasa secara berterusan akan menyebabkan dia mengabaikan hak dirinya untuk makan, hak si isteri untuk berhubungan, dan seumpamanya. Terdapat sebuah riwayat daripada Salman R.Anh yang berkata kepada Abu Darda’ R.Aanh:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلأَهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأَعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Tuhan kamu ada hak ke atas kamu, demikian juga diri kamu turut mempunyai hak ke atas kamu, dan ahli keluarga kamu juga mempunyai hak ke atas kamu. Maka berikanlah setiap seorang itu haknya.[22]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 5 Mac 2022 bersamaan 2 Syaaban 1443H

[1] Lihat Masyariq al-Anwar, 2/288

[2] Lihat al-Nihayah fi Gharib al-Hadith wa al-Athar, 5/193

[3] Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/471

[4] Lihat al-Majmu’, 6/357

[5] Riwayat al-Bukhari (1965)

[6] Riwayat al-Bukhari (1967)

[7] Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/471

[8] Lihat Zad al-Ma’ad, 2/31

[9] Lihat Zad al-Ma’ad, 2/33

[10] Lihat al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, 6/357

[11] Lihat Asna al-Mathalib, 1/419

[12] Lihat Nihayah al-Mathlab fi Dirayah al-Mazhab, 4/72

[13] Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 6/357

[14] Lihat al-Mughni, 4/436

[15] Lihat al-Kafi fi Fiqh al-Imam Ahmad, 1/450

[16] Riwayat al-Bukhari (1963)

[17] Lihat Sahih al-Bukhari, 3/38

[18] Lihat Zad al-Ma’ad, 2/36

[19] Riwayat al-Bukhari (1964)

[20] Lihat al-Hawi al-Kabir, 3/471

[21] Riwayat al-Bukhari (1151)

[22] Riwayat al-Bukhari (1968)

Latest articles

Related articles