Mukadimah
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Saya telah ditanya pada pagi ini 26 Oktober 2023 berkenaan dengan isu Solidariti Remaja Malaysia Buat Palestin Secara Maya di Roblox yang sudah tular bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat antarabangsa. Ringkasnya, kami telah jawab atau respon dalam Tiktok. Untuk lebih mendalam, kami kemukakan di sini dengan lebih mendasar di samping terkait dengan pandangan tokoh dalam isu seperti ini.
Pertamanya, kami melafazkan syukur kepada-Nya dan ucapan sekalung tahniah kepada pelajar yang telah mereka cipta game dan permainan ini yang kami anggap sebagai protes yang penuh beradab tetapi mendalam maksudnya kepada situasi yang berlaku di bumi Gaza, Palestin. Kami sifatkan idea seperti ini sebagai idea yang genius dan bermanfaat kepada ummah.
Semoga ianya memberi manfaat kepada kita semua dan mengalir pada tubuh badan kita sifat cintakan Islam serta umatnya termasuklah bumi Palestin, Baitul Maqdis dan Masjid al-Aqsa.
Roblox
Kami kemukakan terlebih dahulu pengenalan berkenaan dengan Roblox: Roblox ialah platform permainan dalam talian dan sistem penciptaan permainan yang dibangunkan oleh Roblox Corporation yang membolehkan pengguna memprogramkan permainan dan bermain permainan yang dicipta oleh pengguna lain.
Dicipta oleh David Baszucki dan Erik Cassel pada tahun 2004 dan dikeluarkan pada tahun 2006, platform ini menganjurkan permainan ciptaan pengguna berbilang genre yang dikodkan dalam bahasa programming Lua.
Mengikut sejarah syarikat Roblox, ia agak kecil, sebagai platform dan sebagai sebuah syarikat. Roblox mula berkembang pesat pada separuh kedua 2010-an, dan pertumbuhan ini telah dipercepatkan oleh pandemik COVID-19.
Roblox adalah percuma untuk semua, dengan pembelian dalam permainan tersedia melalui mata wang maya yang dipanggil Robux. Sehingga Ogos 2020, Roblox mempunyai lebih 164 juta pengguna aktif bulanan, termasuk lebih separuh daripada semua kanak-kanak Amerika di bawah 16 tahun.
Roblox adalah sebuah aplikasi permainan atas talian yang membenarkan pemainnya untuk memprogramkan permainan video sendiri dan ramai pemainnya terdiri daripada kanak-kanak. Berikutan isu Palestin di mana lebih 6,000 orang telah terkorban. Kebanyakan mangsa bedilan peluru tentera Zionis terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas termasuk dalam tragedi pengeboman hospital di Gaza.
Demonstrasi Dalam Talian Oleh Kanak-Kanak
Berdasarkan Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), kanak-kanak berusia bawah 15 tahun tidak dibenarkan menyertai perhimpunan aman. Justeru, kanak-kanak di Malaysia mengambil inisiatif untuk berdemonstrasi secara aman di dalam permainan maya tersebut. Room untuk peta Solidariti Palestin dengan nama Dataran Tanjung Mas bersiaran langsung setiap 5 petang. Rekaan susun atur Dataran Tanjung Mas di Roblox direka oleh seorang pemain tingkatan tiga yang bersekolah di salah sebuah sekolah menengah di Muar.
Room itu diwujudkan untuk membolehkan perhimpunan dalam permainan video Roblox diadakan dan disertai bagi menyatakan solidariti kepada Palestin. Kesemua karakter animasi pemain dilihat mengibarkan bendera Palestin dan Jalur Gemilang di ruangan pelayan permainan tersebut sebagai tanda protes terhadap kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap Palestin. Dalam masa yang sama, turut diadakan bacaan doa qunut nazilah dan takbir beramai-ramai.
https://techcrunch.com/wp-content/uploads/2023/10/roblox-palestine.jpg
Komen-komen dalam kalangan warga maya antarabangsa memuji kreativiti dan kesedaran ‘budak-budak Roblox’ bagi meluahkan keprihatinan mereka terhadap kekejaman di bumi Gaza yang tidak berkesudahan sehingga kini.
Mereka turut berkongsi link untuk membolehkan remaja seluruh dunia menyertai solidariti secara maya di laman permainan itu. Dilaporkan sudah lebih 120,000 orang menonton dan menyertai perhimpunan yang diadakan di dalam permainan Roblox setiap petang itu sejak ia diadakan.
Seorang pendakwah terkenal berkata: “Antara jenis jihad dalam Islam wahai saudara yang dikasihi; perasaan yang kuat diliputi kelembutan hati itu kepada kehebatan dan kemuliaan Islam, rindu kepada kekuasaan pemerintahan dan kekuatan Islam serta menangis sedih atas kelemahan umat Islam dan kehinaan yang menimpa mereka. Begitu juga perasaan ini menimbulkan rasa sedih terhadap keadaan tersebut yang tidak diredhai Allah, Nabi Muhammad SAW, jiwa yang sejahtera dan hati seorang Mukmin berdasarkan satu kenyataan:
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ
Maksudnya: “Sesiapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam maka dia bukan dalam kalangan mereka.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (7473)
Pendapat Kami
Memetik pandangan Dr Yusuf al-Qaradhawi di dalam bukunya Fiqh al-Jihad:
Jihad dengan lidah atau jihad dengan ucapan (atau dengan kata lain, jihad dengan menyeru ke jalan Allah atau jihad media). Beliau terus menerangkan jenis-jenis peringkat jihad ini, yang dikenakan ke atas umat Islam.
Jihad lidah boleh dilakukan dengan:
- Menyeru orang lain kepada Islam.
- Menonjolkan kelebihan Islam.
- Berdakwah dalam bahasa yang dituturkan oleh khalayak sasaran.
- Menggunakan logik saintifik yang betul untuk menyangkal hujah-hujah orang yang menolak, menangkis kepalsuan para antagonis Islam, dan hapuskan segala syak wasangka yang orang lain kaitkan dengan Islam.
Kemudian beliau bercakap tentang “Jihad sivil” dan sifatnya. Dia berkata, “Terdapat jihad sivil, yang menjadi inti perbincangan ini. Ia bermaksud jihad yang memenuhi keperluan masyarakat yang berbeza, menyelesaikan pelbagai masalahnya, menyahut tuntutan material dan spiritualnya, dan memimpinnya ke hadapan dalam semua bidang kehidupan, supaya masyarakat akan mengambil tempat yang sesuai.
Ini merangkumi pelbagai bidang, seperti sains, budaya, aktiviti sosial, ekonomi, pendidikan, penjagaan kesihatan, isu alam sekitar, dan semua bidang ketamadunan secara amnya.”
Kami katakan apa yang dilakukan dalam permainan game Roblox adalah sejuzuk manifestasi jihad di media sosial bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kezaliman dan kebobrokan rejim zionis Israel terhadap umat Islam Gaza dan Palestin.
Konteks jihad untuk menyebarkan ajaran Islam pada era kecanggihan teknologi informasi saat ini dapat dilakukan dengan berbagai media, termasuk media sosial. Hal tersebut berdasarkan hadith Nabi SAW.
Suatu ketika Rasulullah SAW ditanya tentang syair, beliau menjawab bahawa syair dapat digunakan sebagai media untuk berjihad. Sebagaimana hadith sahih yang diriwayatkan Ibnu Hibban dalam kitab sahihnya:
يَا رَسُولَ اللهِ، مَا تَرَى فِي الشِّعْرِ؟ قَالَ: إِنَّ الْمُؤْمِنَ يُجَاهِدُ بِسَيْفِهِ وَلِسَانِهِ، وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَكَأَنَّمَا تَنْضَحُونَهُمْ بِالنَّبْلِ
Maksudnya: “Rasulullah SAW ditanya, “Bagaimana pendapat Nabi tentang syair?” Beliau menjawab: “Seorang mukmin berjihad menggunakan senjata dan lisannya, dengan syairmu seakan engkau memanah musuhmu dengan panah.”
Riwayat Ahmad (27174), al-Tabarani (19/151) dan Ibn Hibban (1993). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Syarh al-Sunnah (3409).
Jihad melalui pendidikan, penyebaran kesedaran Islam dan menolak segala salah faham yang menghalang manusia daripada beriman dan memahami hakikat Islam yang sebenar.
Selepas melihat kemelut yang berlaku di dunia Islam pada masakini yang diserang di segenap aspek termasuk al-ghazwu al-fikr iaitu serangan pemikiran dan mutakhir ini isu Gaza, Palestin. Mereka telah membina pelbagai naratif bagi menjustifikasikan halalnya tindakan mereka dan wujudnya Islamofobia agar umat Islam dan dunia keliru sehingga berlaku simpati dan empati kepada rejim zionis Israel ini.
Maka, sewajarnya umat Islam menginsafi akan hadith Nabi SAW:
يُوشِكُ الأُمَمُ أَنْ تَدَاعَى عَلَيْكُمْ كَمَا تَدَاعَى الأَكَلَةُ إِلَى قَصْعَتِهَا ” . فَقَالَ قَائِلٌ وَمِنْ قِلَّةٍ نَحْنُ يَوْمَئِذٍ قَالَ ” بَلْ أَنتُمْ يَوْمَئِذٍ كَثِيرٌ وَلَكِنَّكُمْ غُثَاءٌ كَغُثَاءِ السَّيْلِ وَلَيَنْزِعَنَّ اللَّهُ مِنْ صُدُورِ عَدُوِّكُمُ الْمَهَابَةَ مِنْكُمْ وَلَيَقْذِفَنَّ اللَّهُ فِي قُلُوبِكُمُ الْوَهَنَ ” . فَقَالَ قَائِلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْوَهَنُ قَالَ ” حُبُّ الدُّنْيَا وَكَرَاهِيَةُ الْمَوْتِ “
Maksudnya: “Nyaris orang-orang kafir menyerbu dan membinasakan kamu, seperti halnya orang-orang yang menyerbu makanan di atas piring.” Seseorang berkata, “Apakah kerana sedikitnya kami waktu itu?” Beliau bersabda, “Bahkan kamu waktu itu banyak sekali, tetapi kamu seperti buih di atas air. Dan Allah mencabut rasa takut musuh-musuhmu terhadap kamu serta menimpakan hatimu penyakit wahn.” Seseorang bertanya, “Apakah wahn itu?” Beliau menjawab, “Cinta dunia dan takut mati.”
Riwayat Abu Daud (4297)
Mufakkir Islami Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam bukunya Jaddid Hayatak antara lain menyatakan: “Sungguh sayang, banyak orang yang menzalimi hakikat keimanan kepada Allah dan hari akhirat. Menurut mereka, keimanan menghalang seseorang untuk mendapatkan kehidupan yang sebenarnya sebagaimana bayangan bumi yang menghalangi sinar bulan sehingga terjadinya gerhana. Bagi mereka, keimanan merosak kehidupan manusia sehingga mereka terlempar ke dalam jurang keterasingan. Lebih jauh, keimanan dianggap telah menarik penderitaan, kesempitan, kesukaran, dan kesedihan dalam kehidupan. Pemahaman seperti ini tentu sahaja sangat keliru dan menyalahi hakikat agama.” Rasulullah SAW tidak pernah mengajarkan kefahaman seperti itu. Rasulullah tidak pernah mengajarkan bahawa keimanan akan merosakkan kehidupan.
Jihad melawan penyelewengan intelektual
Penyelewengan intelektual merupakan bentuk-bentuk pemikiran yang disandarkan kepada Islam atas nama progresif dan kemodenan. Namun hakikatnya, ia telah melanggar prinsip-prinsip dan batasan-batasan syarak. Antaranya seperti menyeru kepada pentafsiran semula al-Quran, kebebasan murtad, kesaksamaan gender termasuk dalam isu faraid, menyamaratakan semua agama dan seumpamanya.
Jihad perlu dilancarkan dalam menangani kedua-dua golongan ini. Ia sama ada dengan menggunakan kuasa undang-undang, atau ceramah, penulisan dan media massa yang menjadi platform bagi menjelaskan dan menjawab dengan hujah segala kesesatan dan penyelewengan yang ditimbulkan.
Termasuk juga is Gaza, Palestin yang menjadi heboh dan viral di pentas berita antarabangsa dan ramai yang pro-Israel telah memberi naratif yang salah terhadap Palestin dan justifikasi untuk menyerang Gaza sebagai kumpulan pengganas perlu ditangkis dengan hikmah dan kebijaksanaan bagi mematikan hujahnya.
Alhamdulillah, kami dapati cukup ramai tokoh yang menjawab sebarang bentuk tohmahan termasuklah YBhg. Tun Dr Mahathir Mohamad lebih daripada 3 kali kenyataan yang cukup tegas dan berani serta bertenaga. Ianya, telah tersebar ke seluruh dunia termasuk di negara Arab.
Penutup
Kesimpulannya, adalah tidak tepat jika jihad hanya diertikan sebagai peperangan semata-mata. Ini kerana, maksud jihad yang sebenar adalah lebih luas dan bukan hanya tertumpu pada erti peperangan. Seharusnya setiap muslim itu melalui dan melaksanakan setiap tingkatan jihad mengikut kemampuan diri masing-masing. Ia bermula dengan memperbaiki diri (jihad nafsu), jihad melawan syaitan, jihad melawan bid’ah dan penyelewengan intelektual dan jihad menentang musuh yang nyata. Jika ditelusuri sejarah para rasul, sahabat dan tabiin, Islam tersebar dengan dengan dakwah penuh ilmu, beradab dan disulami hikmah. Justeru, Islam tidak sekali-kali mensyariatkan peperangan kecuali apabila keadaan memerlukan demi mempertahankan Islam dan umatnya.
Adapun langkah yang dibuat oleh pelajar sekolah dari Malaysia dengan permainan game Roblox, ia setidak-tidaknya menggerunkan musuh dan menakutkan. Ini kerana, pengaruh media massa juga memberi high-impact kepada sasarannya. Walaupun cuma seperti kartun atau game apabila sudah mendapat respon dari kanak-kanak dan juga orang ramai, ini menandakan usaha yang dilakukan berdemonstrasi dalam alam maya untuk saudara seIslam di bumi Palestin boleh menggentarkan rejim zionis Israel.
Firman Allah SWT:
وَأَعِدُّوا لَهُم مَّا اسْتَطَعْتُم مِّن قُوَّةٍ وَمِن رِّبَاطِ الْخَيْلِ تُرْهِبُونَ بِهِ عَدُوَّ اللَّهِ وَعَدُوَّكُمْ
Maksudnya: “Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu”
(Surah al-Anfal: 60)
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradawi persediaan ketenteraan pada zaman ini perlu disesuaikan dengan peredaran zaman. Bagi zaman kini, persediaan ketenteraan termasuklah kereta kebal, kereta perisai, kapal perang, kapal selam, satelit, roket bahkan senjata nuklear. Walaupun secara prinsipnya, al-Qaradawi tidak bersetuju dengan penggunaan senjata nuklear kerana ia boleh menyebabkan kematian jutaan manusia, namun begitu umat Islam perlu memilikinya sebagai jaminan keselamatan terutamanya bagi mencegah ancaman kuasa besar yang sentiasa bersikap memusuhi umat Islam. (Lihat Ringkasan Fiqh Jihad, hlm. 131-132)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ أَنْجِ الْمُسْتَضْعَفِينَ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Ya Allah selamatkanlah orang-orang yang lemah dari kalangan orang-orang yang beriman.”
Riwayat al-Bukhari (6393)
اللَّهُمَّ مُنْزِلَ الكِتَابِ، وَمُجْرِيَ السَّحَابِ، وَهَازِمَ الأَحْزَابِ، اهْزِمْهُمْ وَانْصُرْنَا عَلَيْهِمْ
Maksudnya: “Ya Allah yang menurunkan Kitab, yang menjalankan awan, yang menghancurkan pasukan musuh, kalahkan mereka dan bantulah kami menewaskan mereka.”
Riwayat al-Bukhari (2965)