Sultan Muhamad al-Fateh dilahirkan pada 27 Rajab 835 Hijrah bersamaan 29 Mac 1432 M dan meninggal dunia pada 3 Mei 1481. 

Ketika berumur 19 tahun beliau diangkat untuk menaiki takhta menggantikan ayahnya Sultan Murad. Selepas pelantikan beliau, Sultan al-Fateh menjadikan Adrianopel (Adana) sebagai ibu kota dan pusat pemerintahannya bagi memudahkan cita-citanya menawan Konstantinopel. Sultan Muhamad al Fateh berjaya menakluk Konstantinopel pada 29 Mei 1453 bersamaan 20 jamadil awal 857 hijrah ketika beliau berusia hanya 21 tahun.

Kota Konstantinopel yang kini dikenali sebagai Istanbul, terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Sebelum itu Kota Konstantinopel pernah cuba ditakluk oleh bangsa Gothik, Parsi, Bulgaria dan Rusia tetapi tidak berjaya. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan Konstantinopel akan ditawan oleh orang Islam.

لتفتحن القسطنطينية فلنعم الأمير ذلك الأمير و لنعم الجيش ذلك الجيش

“Constantinople (kini Istanbul) akan jatuh ke tangan tentera Islam. Rajanya adalah sebaik-baik raja, tenteranya adalah sebaik-baik tentera……”

Hadis riwayat Imam Ahmad

800 tahun selepas hadis itu diucapkan oleh Rasulullah SAW barulah ia akhirnya menjadi kenyataan. Seorang alim, Syeikh Syamsuddin Al Wali pernah mengiisyaratkan bahawa Sultan al-Fateh akan berjaya menakluk kota Konstantinopel ketika beliau di dalam buaian lagi. Syeikh Syamsuddin Al Wali pernah berkata kepada Sultan Murad (ayah kepada Muhammad al-Fateh):

“Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota konstantinopel, tetapi anak yang dalam buaian itu,” sambil menunjuk Muhammad al-Fateh yang masih di dalam buaian.

Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar dengan didikan agama dan pemerintahan serta strategi peperangan. Beliau seorang yang tampan mempunyai bentuk badan yang tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.

Beliau mewarisi takhta bapanya ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh. Pernah Maharaja Konstantinopel mengirim guru-guru terbaik untuk mendidiknya tentang adab dan adat istiadat kehidupan raja-raja, tetapi beliau menolaknya lalu menyuruh guru-guru tersebut pulang.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Sultan al-Fateh terlibat secara langsung dalam pembinaan benteng tersebut, beliau membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Seterusnya beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Kemudian Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian beliau membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

Antara sumbangan Sultan al-Fateh sebagai seorang pemimpin Islam yang berwibawa dan disegani sehingga kini:

  • Keadilan beragama

Ramai orang Yahudi dan Arab yang ditindas di Sepanyol telah berpindah ke Constantinople. Sultan al-Fateh juga telah membenarkan agama Kristian untuk diamalkan dengan mengekalkan gereja dan pengamalan mazhab Orthodoks mereka. Baginda telah meminta pihak gereja berhimpun dan memilih seorang ketua paderi di kalangan mereka. Mereka telah memilih Anadius sebagai ketua yang kemudiannya berkata bahawa dia lebih suka melihat serban Sultan daripada melihat topi latin (Katholik)kerana pihak Katholik Barat telah menindas pihak Orthodoks. Sultan juga mengarahkan supaya gereja dan sinagog tidak dimusnahkan atau diapa-apakan.

  • Pengembangan Kerajaan dan Pembangunan.

Sultan al-Fateh dikurniakan kejayaan yang besar dalam menyempurnakan penyusunan negara, kekemasan jentera pentadbiran dan membuat ikatan teguh di antara kawasan yang tunduk di bawah pebguasaannya serta menundukkan Serbia, Bosnia, kawasan pantai Laut Merah dan semenanjung Crimea. Baginda telah meluaskan sempadan Negara dari hanya sekiar 600 km persegi kepada keluasa 2,214,000 km persegi. matlamat Baginda dari perluasan negaranya adalah untuk menembusi Eropah dan menyelamatkan umat Islam di Andalus daripada cengkaman Kristian.

  • Perkembangan Tamadun

Bentuk peradaban telah berubah dengan pembukaan Islam tersebut kerana banyak masjid, sekolah dan hospital yang telah dibina. Baginda amat mengambil berat terhadap pelajaran dan pendidikan. Baginda juga telah menyusun pentadbiran, ketenteraan, politik dan pembangunan.

Sebelum beliau meniggal dunia, beliau menyampaikan wasiat seperti berikut: “Tidak lama lagi aku akan mati, tetapi aku tidak pernah menyesal kerana aku telah meninggalkan calon pengganti dan penerus seperti kamu. Jadilah orang yang adil, soleh dan penyayang. Lindungilah seluruh rakyatmu tanpa membeza-bezakan dan bekerjalah untuk menyebar agama Islam. Ini adalah kewajipan seluruh raja di atas muka bumi ini, dahulukan perhatianmu kepada urusan agama berbanding urusan yang lain. Jangan berhenti untuk terus melaksanakannya.

Jangan memilih orang yang tidak mengutamakan urusan agama, tidak menjauhi dosa besar dan tenggelam dalam maksiat. Jauhilah juga bidaah yang merosakkan. Jauhilah orang yang mengajak kamu melakukan bidaah. Perluaskanlah negeri kamu dengan berjihad dan janganlah sampai harta baitulmal itu dibazirkan. Jangan mengambil harta seorang pun dari rakyat kamu kecuali dengan mengikut aturan Islam. Berikanlah jaminan makanan dan keselamatan bagi orang yang lemah. Muliakan orang yang berhak dengan sebaik-baiknya.

Ketahuilah bahawa ulama adalah satu kekuatan yang ada dalam tubuh negara kamu, maka muliakanlah kehormatan mereka dan motivasikanlah mereka dengan sumber kekuatan dan kekuasaan yang kamu miliki. Jika engkau mendengar ada ulama di negeri yang jauh, maka jemputlah ia datang dan muliakannya. Waspada dan berhati-hatilah, jangan sampai engkau terlena dan terpesona dengan harta dan kekuatan yang banyak. Jangan sampai engkau menjauhi ulama syariat dan jangan sampai engkau cenderung melakukan amalan yang menyalahi syariat. Agama adalah tujuan kita, hidayah adalah jalan hidup kita dan dengan keduanya kita akan menang.

Ambillah pengajaran daripada diriku. Aku datang ke negeri ini seperti semut yang kecil, lalu Allah memberikan aku semua nikmat yang besar ini. Oleh itu, ikutilah dan jejaklah apa yang aku lakukan. Bekerjalah untuk meneguhkan agama ini dan muliakan pengikutnya. Jangan menggunakan wang negara untuk kemewahan dan sia-sia atau membelanjakan lebih daripada sepatutnya kerana ia penyebab terbesar kebinasaan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *