AL WAZIR IBN HUBAIRAH

Al-Wazir Ibn Hubairah

Beliau bernama Abu al-Muzaffar Yahya bin Muhammad bin Hubairah al-Syaibani. Dilahirkan pada tahun 499 H dan meninggal dunia pada tahun 560 H.

Beliau adalah seorang menteri yang sangat alim. Seorang yang dikurniakan jawatan menteri, ilmu fiqh yang tinggi. Beliau menganjurkan majlis ilmu yang dipenuhi dengan para alim ulama’ dari mazhab empat.

Al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala (20/426) memuji beliau sebagai: “Menteri dengan kebolehan yang lengkap sekaligus seorang ulama bijaksana. Kepercayaan kekhilafahan.”

Al-Wazir (Menteri) Ibn Hubairah menjawat jawatan menteri untuk khalifah al-Muqtafi li Amrillah selama 11 tahun. Selepas al-Muqtafi wafat, al-Mustanjid iaitu puteranya sebagai khalifah yang meneruskan kekhalifahan tetap meneruskan jawatan Ibn Hubairah sebagai menteri kepercayaan.

Ibn al-Jauzi memuji:

كَانَ يَجتهِدُ فِي اتِّبَاعِ الصَّوَابِ، وَيَحذَرُ مِنَ الظُّلْمِ وَلاَ يَلْبَسُ الحَرِيْرَ

Maksudnya: “Beliau sentiasa bersungguh-sungguh untuk mengikuti kebenaran, membenci kezaliman, dan tidak mahu memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera.”

Ibn Hubairah juga termasuk daripada ulama yang banyak menghasilkan karya penulisan. Al-Zahabi menyifatkan beliau sebagai, ‘Penulis karya-karya yang berkualiti’. Selain meriwayatkan hadis, Ibn Hubairah juga menguasai Qira’ah Sab’ah (Tujuh Bacaan al-Qur’an). Beliau juga termasuk pakar bahasa dan ulama fiqh mazhab Hanbali yang terkemuka. Setiap kali selesai solat Asar, Ibnu Hubairah memberi pengajaran hadis.

Ibn Hubairah juga sentiasa menghabiskan hartanya dengan dibahagi-bahagikan kepada penuntut ilmu dan kaum fakir miskin. Ibn Jauzi menyebut, “Setiap tahun, Ibn Hubairah sentiasa dililit hutang.”

Ibn Hubairah berkata, “Sepanjang hidupku, tidak pernah aku diwajibkan zakat walau sekali pun.”

Ibnu Hubairah merupakan anak seorang tentera berpangkat rendah pada zaman pemerintahan Abbasiyyah. Sewaktu masa kecilnya, ia dililit dengan kemiskinan. Beliau pernah berkata, “Suatu hari saya pergi ke sungai Tigris. Jangankan wang, sekeping roti pun saya tidak ada untuk dapat menyeberangnya.”

Walaupun berasal dari keluarga miskin, Ibn Hubairah sejak zaman mudanya amat suka menuntut ilmu. Di Baghdad, Ibnu Hubairah menghabiskan masa remajanya dengan mengikuti pelbagai majlis hadis dan fiqh. 

Kisah yang Tak Dapat Dilupakan

Kisah Al-Wazir Ibn Hubairah adalah antara kisah terhebat dalam sejarah Islam kita. Dia miskin, kemudian dia menjadi kaya, kemudian dia menjadi miskin, kemudian dia menjadi katib di al-Diwan, kemudian menjadi menteri, maka Maha Suci Dia, yang mengubah keadaan.

Seorang lelaki dari padang pasir datang ke Baghdad untuk mencari ilmu pengetahuan dan mata pencarian, dan menyewa sebuah bilik sebagai tempat tinggal. Selepas solat Subuh, dia keluar bekerja, dan selepas solat Zuhur, dia pergi menghadiri pelajaran ilmu dan pengetahuan.

Pemuda ini membahagikan gajinya kepada tiga bahagian: Satu pertiga untuk bapanya, satu pertiga untuk pemilik bilik yang disewanya, dan satu pertiga untuk nafkahnya.

Tiga bulan telah berlalu sejak dia tidak dapat membayar sewa rumahnya, lalu pemilik bilik yang disewa memberitahunya: “Kamu mempunyai tiga hari untuk membayar sewa, atau saya akan memenjarakan kamu, kerana saya tidak membina rumah ini sebagai wakaf kepada orang miskin.”

Dia pun keluar mencari pekerjaan pada hari pertama, tetapi dia tidak menjumpainya. Dia pergi ke Diwan al-Kharaj untuk bertanya kepada mereka tentang pekerjaan, tetapi dia tidak mendapat pekerjaan itu, sehingga tiba hari ketiga, hari dia akan dipenjarakan.

Lantas dia meninggalkan rumahnya. Dia berkata: “Aku berjalan dan terus berjalan sehingga aku mendapati diriku berada di pinggir kota Baghdad, dan aku mendapati sebuah rumah yang usang.” Aku berkata: “Aku akan berehat sebentar sahaja di sini. Lalu aku meletakkan tangan pintu, lalu pintu itu terbuka.”

Di dalamnya, terlihat seorang lelaki tua sedang berbaring di atas katil, dan dia memanggilku dan berkata kepadaku: “Dengar, anakku. Demi Allah, tidak ada seorang pun kecuali Allah yang membawa kamu kepadaku. Dan pada saat ini aku akan mati, sedangkan aku sangat teringin untuk makan anggur.”

Aku berkata kepadanya: “Terimalah berita baik. Demi Tuhan, kamu akan makan buah anggur hari ini.”

Maka aku pun pergi ke pasar dan bertemu dengan seorang penjual anggur dan bertanya kepadanya: “Berapa harga anggur ini?” Dia berkata: “Satu dirham.” Lalu aku berkata kepadanya: “Ambillah pakaianku ini sebagai gadaian sehingga aku membawa wang itu kepadamu.”

Aku lantas segera mengambil anggur dan dengan segera membawanya kepada lelaki itu sebelum dia menemui kematian. Aku memberinya anggur tersebut, walaupun aku lebih memerlukannya daripada dia.

Selepas dia memakan buah anggur itu, dia berkata kepadaku: “Dengar, anakku. Di penjuru dalam bilik ini, kamu galilah di bawahnya dan kamu akan dapati sesuatu.”

Aku pun  menggali sehingga aku menjumpai satu bekas yang penuh dengan wang dan emas.

Aku lalu menyerahkan kepadanya. Lelaki tua itu pun lalu menuangkannya ke atas pakaianku lalu berkata kepadaku: “Ini milikmu. Tetapi wang ini ada ceritanya, anakku. Aku dan saudaraku adalah peniaga yang besar. Kami pergi ke India dan Sind, dan berniaga sutera dan pakaian bulu. Dan kami amat takut kepada perompak dan penyamun.

Pada suatu hari kami singgah di sebuah rumah, dan aku berkata kepada saudaraku itu: “Rumah ini sering dikunjungi oleh perompak, dan aku takut wang aku dan wang kamu (daripada dirompak). Berikan kepadaku wang kamu supaya aku boleh menyembunyikannya bersama wang aku di tempat yang selamat, kemudian aku akan kembalikannya kepada kamu.”

Lelaki tua itu meneruskan ceritanya: “Aku hampir tertidur dengan saudaraku. Tiba-tiba perompak datang dan membunuh orang-orang yang ada di situ, dan merampas segala harta dan wang. Aku hanya terbangun dan tersedar tatkala terik matahari keesokan harinya. Aku pun mencari saudaraku, tetapi aku tidak menjumpai dia dalam kalangan orang yang masih hidup. Aku juga tidak menemuinya dalam kalangan orang yang sudah mati. Jadi, aku memutuskan untuk memasuki Baghdad dan membina rumah ini, dan menyembunyikan wang ini, iaitu wang saudaraku dua puluh tahun yang lalu. Jika aku mati, maka dihalalkan bagi kamu.” Kemudian lelaki tua itu mengucapkan dua kalimah syahadah lalu mati.

Pemuda itu berkata: “Lalu aku menyembunyikan wang itu dan pergi kepada seseorang yang akan membantuku untuk mengebumikan lelaki tua itu. Selepas mengebumikannya, aku kembali untuk mengambil bekas yang berisi wang dan emas itu. Setelah sekian lama aku hidup dalam keadaan miskin dan melarat, serta-merta aku menjadi salah seorang yang kaya di Baghdad.

Aku pun mengambil wang itu dan pergi menemui penjual buah anggur tadi dan membayarnya harga anggur. Dia memulangkan pakaianku. Kemudian aku ingin menaiki perahu untuk bergerak ke seberang Sungai Tigris. Aku mendapati terdapat banyak perahu, tetapi aku menjumpai perahu yang pemiliknya kelihatan miskin dan melarat. Lalu aku memilihnya dan naik ke atas perahunya.

Keadaannya mendukacitakanku, dan aku hendak memberikan kepadanya sebahagian daripada wang yang ada padaku itu, lalu dia menangis dan berkata: “Demi Allah, aku tidak pernah miskin, kerana aku adalah seorang peniaga yang pergi ke India dan Sind, dan berniaga sutera dan pakaian bulu. Aku mempunyai seorang saudara dan semoga Allah tidak memberkati dia. Dia telah berpakat dengan penyamun untuk membunuhku dan mengambil wangku. Tetapi Allah telah menyelamatkanku, sehingga aku dibawa ke Baghdad.”

Pemuda itu meneruskan ceritanya: Serta-merta dunia menjadi gelap di pandanganku semula. Wang itu mesti dikembalikan kepada pemiliknya. Syaitan mula campur tangan dan mengatakan kepadaku: “Berikan dia sebahagian atau separuh daripadanya.” Sehinggalah aku tersedar dan berkata: “Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang terkutuk.”

Lalu aku berkata kepada lelaki yang miskin pemilik perahu itu: “Wang ini adalah milik kamu.” Namun lelaki itu tidak mempercayainya. Lantas aku pun menceritakan kepadanya apa yang telah berlaku antara aku dan saudaranya, dan bahawa aku telah mengebumikannya hanya beberapa ketika yang lalu. 

Lantas lelaki itu pun mula menangis dan beristighfar memohon ampun daripada Tuhannya kerana telah buruk sangka terhadap saudaranya. Lalu dia ingin memberi kepadaku sedikit daripada wang tersebut, tetapi aku menolak. Namun, aku tetap meminta kepadanya untuk memaafkanku pada satu dirham, yang aku telah gunakan untuk membayar kepada peniaga anggur.

Pemuda itu meneruskan kisahnya: Lalu aku kembali ke Baghdad semula dalam keadaan miskin dan melarat, sebagaimana aku telah meninggalkannya dahulu.

Dan semasa aku berjalan, tentera yang bekerja di Diwan al-Kharaj (Pejabat Cukai) memanggilku dan memberitahu kepadaku: “Kami mencari kamu.” Aku berkata di dalam hati: “Pasti mereka akan memenjarakanku kerana tidak membayar sewa bilik.

Lalu mereka berkata kepadaku: Kelmarin, salah seorang katib di al-Diwan meninggal dunia dan kami sedang mencari kamu untuk bekerja sebagai gantinya.”

Lalu mereka mengambil aku bekerja dengan mereka dan memberi kepadaku gaji bulanan. Maka, aku pun pergi kepada pemilik rumah dan memberikan haknya dalam sewaan sehinggalah aku menjadi dilantik menteri.

Beliau yang dimaksudkan dalam kisah di atas adalah seorang ulama, ahli fiqh dan menteri yang dikenali dengan al-Wazir Ibn Hubairah.

Dinaikkan Pangkat Sehingga Menjadi Menteri

Setelah bekerja di sana, disebabkan sifatnya yang amanah dan kemampuannya, Ibnu Hubairah dinaikkan pangkat menjadi penyelia. Setelah beberapa waktu, terbuktilah potensi, bakat, dan kemahirannya, Ibnu Hubairah secara rasmi dilantik sebagai ketua bahagian barangan istana pada tahun 542 H.

Dua tahun kemudian, 544 H, ketika berusia 45 tahun, Ibn Hubairah dipanggil menghadap khalifah al-Muqtafi Li Amrillah untuk menerima lantikan dan jawatan sebagai menteri kepercayaan. 

Sekiranya kita membaca sejarah khalifah al-Muqtafi Li Amrillah (489-555 H), pemerintahan beliau sememangnya dikenali dengan keadilan dan kesejahteraan yang luar biasa. Peranan Ibnu Hubairah selaku menteri cukup besar. Ini kerana, beliau sentiasa mendekatkan khalifah kepada para ulama dan orang-orang soleh.

Ibn Hubairah meninggal dunia tahun 560 H kerana diracun. Cukuplah kata-kata al- Zahabi sebagai ringkasan pujian tentang Ibn Hubairah, “ Beliau adalah tokoh hebat di tengah ulama-ulama fiqh, orang-orang soleh. Kelebihannya amat banyak. Beliau sangat terhormat dan berjasa besar, serta selalu bertindak adil. Beliau memiliki banyak karya penulisan. Ibn Hubairah wafat sebagai syahid karena diracun di Baghdad. Jenazah beliau diiringi oleh lautan manusia dengan disertai tangisan dan ratapan.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *