Tanggungjawab Sebagai Pengundi

Sudah diketahui umum bahawa Pilihan Raya Umum ke-15 akan berlangsung pengundiannya pada 19 November ini. Sekarang, semua parti politik dan calon menambahkan lagi kerancakan kempen Pilihan Raya dengan pelbagai seni dan cara termasuk rapat umum atau menggunakan medsos moden untuk menyampaikan maklumat kepada khalayak pengundi.

Saya lafazkan alhamdulillah kerana setakat ini, masih lagi terkawal tanpa sebarang pertumpahan darah berlaku. Dan lebih menarik dari itu, terlalu banyak berita yang dipaparkan pertemuan calon-calon semasa berkempen di pasar, masjid, surau, atau tempat umum. Rasa penghormatan antara satu sama lain dan bertegur sapa merupakan sejuzuk daripada tanda kematangan demokrasi berparlimen semasa berkempen diwujudkan dan diamalkan. Syabas semuanya.

Menginsafi apa yang akan berlaku, makanya sebagai pengundi, saya mengesyorkan kepada diri saya, keluarga saya, bahkan masyarakat supaya kita mengambil kecaknaan dan prihatin berkenaan isu ini dan hendaklah kita melaksanakan tugasan kita untuk mengundi pada hari yang telah ditetapkan. Ini merupakan tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia yang mesti kita tunaikan.

Keduanya, perlu kepada kita sentiasa mengambil maklum ilmu dan juga kefahaman terhadap manifesto yang dibentangkan kepada kita kerana sesebuah parti atau calon akan melaksanakan dengan sebaik mungkin berdasarkan tekad dan iltizam jika diberi kemenangan untuk melaksanakan manifestonya.

Ketiga, kita diajar untuk berdoa, beristikharah (mohon petunjuk dari Allah melalui solat dan doa sebagaimana riwayat yang sahih) dan beristisyarah (mohon nasihat dan pandangan dari yang mengetahui).

Keempat, antara doa yang sepatutnya kita lazimi pada saat ini ada tiga doa, iaitu:

• Doa Pertama:
اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

• Doa Kedua:
اللَّهُمَّ اجْعَل وِلَايَتَنَا فِيْمَنْ خَافَكَ وَاتَّقَاكَ يَا رَبَّ الْعَالَمِين
Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah kuasa wilayah kami pada orang yang takut kepada-Mu dan bertakwa kepada-Mu, wahai Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.” (Lihat Nafahat al-Minbar al-Makki, 1/137)

• Doa Ketiga
اللَّهُمَّ لَا تُسَلِّطْ عَلَيْنَا بِذُنُوْبِنَا مَنْ لَا يَخَافُكَ فِيْنَا وَلَا يَرْحَمُنَا
Maksudnya: “Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan pemimpin kami – disebabkan dosa-dosa kami – orang yang tidak takut kepada-Mu dan tidak mempunyai belas kasihan kepada kami.” (Lihat al Mustadrak ‘ala Majmu’ Fatawa, 3/108)

Fudhail bin ‘Iyadh Rahimahullah pernah berkata:
لَوْ أَنَّ لِي دَعْوَةً مُسْتَجَابَةً مَا صَيَّرْتُهَا اِلَّا فِي الاِمَامِ
Maksudnya: “Seandainya aku memiliki doa yang mustajab, aku akan tujukan doa tersebut pada pemimpinku.”

Kemudian ditanya kepada Fudhail, “Kenapa begitu?” Lantas jawabnya: “Jika aku tujukan doa tersebut pada diriku sahaja, maka itu hanya bermanfaat untukku. Namun jika aku tujukan untuk pemimpinku, maka rakyat dan negara akan mendapat manfaat dan kebaikan secara umum.” (Lihat Hilyah al-Auliya’, 8/77)

Semoga peringatan ini akan membawa kepada kebaikan kepada pemimpin yang dipilih nanti. Kita mengharapkan negara kita akan menjadi negara yang aman sentosa, makmur dan rakyatnya sentiasa dilimpahi keberkatan dari Ilahi. Amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *