#613: Taqlid kepada Orang yang Telah Mati

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum bertaqlid kepada orang yang telah mati?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Taqlid

Dari segi bahasa, taqlid diambil daripada perkataan al-qiladah (القلادة), iaitu sesuatu yang dikalungkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher.[1]

Adapun taqlid dari segi istilah, kami nukilkan seperti berikut:

  • Imam al-Ghazali mentakrifkan taqlid sebagai menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah.[2]
  • Ibn al-Humam berkata, taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil.[3]
  • Al-Amidi pula menjelaskan, ia adalah satu istilah yang disebut bagi pengamalan yang bersandarkan pendapat orang lain tanpa disertai hujah yang menuntut kewajipan pengamalan tersebut.[4]

Jumhur ulama usul pula mentakrifkan taqlid sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu.[5]

Dalam kitab al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, disebut bahawa jumhur ulama’ usul menyatakan harus bertaqlid bagi seseorang bahkan wajib bertaqlid bagi orang awam. Ini kerana para Imam Mujtahid mungkin pandangannya betul atau salah, dan sekiranya pandangannya salah bukan menjadi satu dosa kepadanya.[6]

Majoriti para ulama berpendapat taqlid adalah wajib bagi orang awam. Ini seperti yang dikatakan oleh Ibn Abd al-Bar: Orang awam perlulah bertaqlid kepada para ulama mereka terhadap sesuatu perkara yang berlaku pada diri mereka. Ini kerana para ulama lebih jelas tentang hujah (dalil) dan hujah juga tidak sampai kepada mereka disebabkan tiada ilmu akan hal tersebut.[7]

 

Hukum Bertaqlid kepada Orang yang Telah Mati

Dalam menjawab isu di atas, Ibn Hamdan dalam kitab Sifat al-Mufti wa al-Mustafti berkata:

Dibolehkan untuk bertaqlid kepada orang yang telah mati – menurut pendapat yang paling sahih dan masyhur dalam mazhab – Ini kerana, mazhab-mazhab tidak terbatal dengan kematian para pengasasnya. Oleh yang demikian, ia masih digunakan selepas kematian mereka dalam soal ijma’ dan khilaf.

Pendapat ini dikuatkan bahawa kematian seorang saksi sebelum hukum dan setelah perlaksanaan (hukuman) tidak menghalang hukuman berlaku dengan persaksiannya. Ini berbeza (keadaannya) dengan saksi yang fasik.

Pendapat kedua: Tidak boleh untuk bertaqlid kepada orang yang telah mati. Ini kerana kelayakannya telah hilang dengan kematiannya. Ia sama sahaja sekiranya dia menjadi seorang yang fasik (semasa hayatnya). Dan sekiranya dia hidup, menjadi kewajipan ke atasnya untuk memperbaharui ijtihadnya pada satu-satu mazhab. Boleh jadi ijtihad dan pandangannya akan berubah.[8]

Ini (pendapat kedua) disebutkan oleh al-Qadhi dan selainnya sebagai ihtimal (ada kemungkinan). Disebabkan terdapatnya kemungkinan seorang yang telah mati itu tadi berubah ijtihadnya sekiranya dia masih hidup.

Aku katakan: (Ini sekiranya telah menjadi kemestian untuk seorang orang yang bertanya memperbaharui soalan dengan berlakunya kejadian yang kedua pada dirinya).

Dan golongan yang menyokong pendapat pertama mengatakan: (Asalnya adalah kekalnya ijtihad dan hukum).

Berkata Abu al-Khattab: ‘’Sekiranya seorang mufti itu meninggal dunia sebelum peminta fatwa beramal dengan fatwanya, maka dia (mustafti) boleh beramal dengannya.’’

Beliau berkata lagi: Ada pendapat lain mengatakan: Tidak boleh (untuk mustafti beramal dengan fatwa tersebut) sebagaimana yang disebutkan sebelum ini. [9]

Sekiranya dia (mustafti) telah beramal dengannya, tidak boleh baginya untuk meninggalkannya dan berpindah kepada pendapat orang lain dalam kejadian  (permasalahan) tersebut.[10]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 1 Mac 2022 bersamaan 27 Rejab 1443H

[give_form id=”14962″]

[1] Lihat Lisan al-‘Arab3/367; Mukhtar al-Sihhahhlm. 58; Usul al-Fiqh al-Islami oleh Amir Abd Aziz, hlm. 770

[2] Lihat al-Mustasfa min ‘Ilmi al-Usul, hlm. 542

[3] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 770

[4] Lihat al-Ihkam, 4/221

[5] Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 772

[6] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 13/160

[7] Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti terjemahan PMWP, 205

[8] Lihat al-Tamhid (2/276), Adab al-Mufti (hlm. 160), al-Muswaddah (2/934), Usul Ibn Muflih (4/1514), al-Tahbir (8/3983), al-Durr al-Nadhid (hlm. 364) dan Manar Usul al-Fatwa (hlm. 210).

[9] Lihat al-Tamhid (4/394) dan I’lam al-Muwaqqi’in (6/202).

[10] Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 202-203

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *