TRANSFORMASI PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN ISLAM DI MALAYSIA: BAGAIMANA? MENGAPA?

Berbanding Menteri-Menteri lain yang sudah lama berpengalaman dalam urustadbir negara dan negeri, saya mungkin dilihat sebagai underdog. Seorang anak kampung, berlatarbelakangkan pengajian agama, tampil dengan imej apolitikal dan tidaklah selantang ahli-ahli politik dalam berhujah. Iyelah, anak kampung yang cuma tahu bermandi peluh dengan lembu dan kerbau selepas waktu sekolah, tiba-tiba jadi Pak Menteri!

Namun, ianya tidak menjadi masalah kepada saya kerana masyarakat Malaysia (tanpa mengira agama dan bangsa) yang mengikuti saya sejak dahulu, tahu dan nampak apa yang saya telah buat sepanjang menjadi Mufti Wilayah Persekutuan. Tidak ada apa-apa yang saya perlu sembunyikan.

Saya tidaklah berbangga dengan Anugerah Ikon Integriti dan Anti Rasuah Negara yang baharu saya terima pada Disember 2019 oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Ianya satu amanah yang amat berat untuk saya zahirkan sepanjang memegang jawatan ini.

Firman Allah SWT:

إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُكُمْ أَنْ تُؤَدُّوا الْأَمَانَاتِ إِلَى أَهْلِهَا وَإِذَا حَكَمْتُمْ بَيْنَ النَّاسِ أَنْ تَحْكُمُوا بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil.” (Surah al-Nisa’: 58)

Ada lima katakunci (4A 1H) yang telah disampaikan-Nya dalam ayat ini:

  1. Al-Amr (Perintah)
  2. Al-Amanah (Integriti)
  3. Al-Ahl (Kepakaran)
  4. Al-Hukm (Hukum)
  5. Al-‘Adl (Adil)

Saya cuba untuk melihat daripada perspektif yang berbeza dalam urustadbir negara.

Sebagai individu yang bertanggungjawab untuk mengemudi agensi-agensi agama dalam Persekutuan, ada enam perkara yang amat saya tekankan; identiti, nilai, platform, natijah, masa depan dan what’s next?

  • Identiti

Dengan identiti yang jelas, persoalan-persoalan seperti who you are, what are your problems dan who you solve them for? mampu dijawab dengan baik. Ia akan membawa kepada satu halatuju pemasaran, tawaran dan mesej yang jelas.

Paling penting bagi sesebuah organisasi adalah menghapuskan silo thinking. Kebiasaanya silo thinking terjadi dalam sesebuah organisasi apabila ketua, jabatan, pengurus, kumpulan atau staf yang mempunyai prestasi kerja yang amat cemerlang, tetapi gagal untuk mengatur urustadbir kerja bagi mencipta kecemerlangan prestasi organisasi. Kelompok-kelompok silo thinking ini akhirnya bersaing sesama sendiri dalam merebut bajet, wang, kelengkapan dan tenaga kerja. Inilah yang melemahkan organisasi.

  • Nilai

Apa nilai yang ingin dibawa? Apabila memandang jawatan saya “Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), mungkin ada yang menjawab, “Mestilah nilai-nilai Islam!”. Pada saya, cukuplah berpegang dengan kaedah:

العِبْرَةُ بِالْمُسَمَّيَاتِ لَا بِالْأَسْمَاءِ

“Penilaian adalah pada apa yang dinamakan bukan pada nama-nama.”

Falsafah etika dan moral Islam itu sifatnya universal. Memandangkan saya seorang Muslim, sudah pasti saya mengutamakan nilai-nilai Islam untuk diterapkan dalam urustadbir.

Namun, gunalah apa jua istilah dan perbandingan dengan mana-mana idea falsafah etika dan moral di Timur dan Barat yang sesuai dengan fitrah manusia, jika dikaji dengan mendalam, ia pasti wujud dalam wacana falsafah etika dan moral Islam berpandukan al-Qur’an dan al-Sunnah. Two sides of the same coin.

  • Platform

Media sosial adalah platform terbaik dan wajar untuk dimanfaatkan secara menyeluruh bagi sebaran maklumat. Ini bukan masanya untuk berada dalam zon tersendiri, tertutup dan terasing dengan dunia maya. Jika televisyen ada prime time, media sosial tiada masa khusus. Itulah kebaikan dan juga keburukannya.

Rakyat perlukan maklumat dengan kadar sepantas yang mungkin. Jika terlambat, apa sahaja boleh berlaku samada dalam kawalan atau luar kawalan. Maka, agensi-agensi Kerajaan seharusnya memanfaatkan dan memastikan penggunaan media sosial dan pengaliran maklumat yang telus, berhemah dan memberi impak positif kepada Sektor Awam.

  • Natijah

Sabda Nabi SAW:

وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالخَوَاتِيمِ

Maksudnya: “Sesungguhnya amalan-amalan (seorang hamba) itu tergantung pada amalan-amalan penutupnya.”

(Riwayat al-Bukhari, no. 6607)

Perbuatan di sini membawa maksud amal soleh ataupun amal buruk. Maksud “amalan-amalan penutup” adalah apa yang dilakukannya pada penghujung umurnya dan akhir hayatnya. Inilah yang dihuraikan oleh al-Baji dalam Syarah al-Muwatta’ bahawa amalan akhir bagi seseorang insan itulah hak baginya dan dengannya dia diberi balasan.

Sesiapa yang berpindah dari amal buruk kepada amal yang lebih baik, dikira sebagai orang yang bertaubat. Sesiapa yang berpindah dari iman kepada kufur, dikira murtad.

Islam adalah agama yang menekankan penganutnya mempunyi visi dan misi yang jelas. Oleh itu, Rasulullah SAW menegaskan hal seperti di atas. Secara tidak langsung, mereka yang berfikir untuk kebaikan di akhirnya akan terpandu untuk melakukan kebaikan sepanjang hidupnya.

Organisasi yang mempunyai matlamat dan tujuan serta pengurusan result-based performance yang baik, akan mencapai kejayaan dengan izin-Nya dan mengambil kira hukum sebab-akibat (causality).

  • Masa Depan

Saya bersetuju dengan pandangan Ziauddin Sardar dalam bukunya Islamic Futures: The Shape of Ideas to Come bahawa masa hadapan boleh dikawal dan dibentuk selari dengan matlamat dan kehendak masyarakat. Ya, memang masa depan adalah di bawah kehendak dan kekuasaan-Nya, namun Allah SWT tidak mengarahkan kita untuk berhenti berusaha.

Nabi SAW ketika mengiringi jenazah mengambil sesuatu kemudian menggariskannya ke tanah seraya bersabda:

مَا مِنْكُمْ مِنْ أَحَدٍ إِلَّا وَقَدْ كُتِبَ مَقْعَدُهُ مِنَ النَّارِ، وَمَقْعَدُهُ مِنَ الجَنَّةِ» قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَفَلاَ نَتَّكِلُ عَلَى كِتَابِنَا، وَنَدَعُ العَمَلَ؟ قَالَ: «اعْمَلُوا فَكُلٌّ مُيَسَّرٌ لِمَا خُلِقَ لَهُ، أَمَّا مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ السَّعَادَةِ فَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ السَّعَادَةِ، وَأَمَّا مَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الشَّقَاءِ فَيُيَسَّرُ لِعَمَلِ أَهْلِ الشَّقَاوَةِ»، ثُمَّ قَرَأَ: {فَأَمَّا مَنْ أَعْطَى وَاتَّقَى وَصَدَّقَ بِالحُسْنَى} [الليل: 6] الآيَةَ

Maksudnya: “Tidaklah salah seorang diantara kamu semua melainkan telah ditakdirkan tempat tinggalnya di neraka dan di syurga. Para sahabat berkata: Wahai Rasulullah, tidakkah kita bersandar kepada apa yang telah ditakdirkan untuk kita dan kita tidak perlu berusaha? Baginda menjawab: Berusahalah, kerana semua akan dimudahkan kepada apa yang telah dijadikan untuknya. Adapun orang yang berbahagia maka dia akan dimudahkan jalannya untuk beramal seperti amalan orang yang berbahagia. Dan adapun orang yang sengsara maka dia akan dimudahkan jalannya untuk beramal seperti amalan orang yang sengsara. Kemudian Rasulullah SAW membaca firman Allah:

فَأَمَّا مَنْ أَعْطَىٰ وَاتَّقَىٰ ﴿٥﴾ وَصَدَّقَ بِالْحُسْنَىٰ ﴿٦﴾ فَسَنُيَسِّرُهُ لِلْيُسْرَىٰ ﴿٧﴾  

Maksudnya: “Jelasnya: adapun orang yang memberikan apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertaqwa (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya), – Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik,”

(Riwayat al-Bukhari, no. 4949)

  • What’s Next?

Ada beberapa noktah penting yang wajar ditekuni, jika anda bersetuju dengan semua yang telah saya nyatakan di atas.

  1. Perubahan yang kecil dalam pengurusan boleh menjadikan sesebuah organisasi itu inovatif.
  2. Fokus kepada apa yang menyatukan semua dalam organisasi. Bukan hierarki, jawatan, gred dan pangkat. Ketua yang baik sepatutnya memberikan satu arah tuju, bukan pelbagai arah tuju.
  3. Prestasi individu tidak akan membawa ke mana-mana jika tidak diselaraskan dengan nilai dan objektif kumpulan.
  4. Pemimpin organisasi perlu lebih merendah diri dan mengamalkan prinsip keterbukaan dan ketelusan. Saya pernah terbaca satu kajian yang menyatakan, 63% pemimpin menyatakan mereka mengamalkan prinsip ini tetapi hanya 29% staf bersetuju dengan kenyataan pemimpin tersebut.
  5. Akhirnya, ia terpulang kepada pengurus, ketua atau pemimpin untuk menyahut seruan ini atau kekal di tahap sedia ada. Jika ingin berubah, maka budaya kerja perlu dirombak secara keseluruhannya bagi mencapai satu-satu tujuan, bersama-sama.

Semoga bermanfaat untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *