Ummul Mukminin Saudah bin Zam‘ah R.Anha

Beliau ialah Ummul Mukminin Saudah binti Zam‘ah bin Qais bin ‘Abd Syams bin ‘Abd Wudd bin Nasr al-Qurasyiyyah al-‘Amiriyyah. Sebelum berkahwin dengan Baginda, beliau telah berkahwin dengan al-Sakran bin ‘Amr, adik-beradik kepada Suhail bin ‘Amr al-‘Amiri. Beliau adalah wanita pertama yang dinikahi Nabi SAW selepas Khadijah, dan Baginda bersama dengannya selama kira-kira tiga tahun atau lebih, sehingga Baginda menikahi Aisyah R.Anha. Justeru, ini menjadikan beliau sebagai isteri kedua Baginda selepas Khadijah R.Anha.

Namun, terdapat pendapat menyatakan bahawa isteri kedua Rasulullah SAW ialah Aisyah R.Anha sebagaimana yang dipilih oleh Ibn Kathir. Selain itu, hal ini juga ada dijelaskan oleh Abu Jaafar Ibn Jarir al-Tabari bahawa apabila Kahdijah R.Anha meninggal dunia, Rasulullah SAW bernikah lagi selepasnya. Akan tetapi berlaku khilaf dalam kalangan ulama berkenaan siapakah wanita yang dinikahi Baginda selepas Khadijah R.Anha. 

Sebahagian ulama berpendapat, wanita yang mula dinikahi oleh Baginda SAW selepas Khadijah R.Anha dan sebelum selainnya ialah Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq R.Anhuma. Manakala sebahagian yang lain pula berpendapat, wanita yang dinikahi Baginda selepas Khadijah R.Anha dan sebelum selainnya ialah Saudah binti Zam‘ah R.Anha. 

Adapun Aisyah R.Anha ketika berkahwin dengan Baginda SAW masih lagi kecil dan belum lagi sesuai untuk digauli. Sedangkan Saudah R.Anha pula merupakan seorang janda, yang mana sudah pun pernah berkahwin sebelum menikahi Nabi SAW. Suaminya sebelum Nabi SAW ialah al-Sakran bin ‘Amr bin ‘Abd Syams. Suaminya termasuk dalam kalangan mereka yang berhijrah ke Habasyah, lalu memeluk agama Nasrani dan meninggal dunia di sana. Kemudian, barulah Baginda berkahwin dengannya, semasa berada di Makkah.  Seterusnya, Abu Jaafar menyebutkan, tidak ada khilaf dalam kalangan ulama sirah bahawa Baginda SAW menggauli Saudah R.Anha sebelum Aisyah R.Anha. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/265; al-Bidayah wa al-Nihayah, 3/324; Tarikh al-Tabari, 3/161).

Selain daripada itu, Saudah R.Anha juga sanggup menghadiahkan giliran harinya bersama suaminya, Rasulullah SAW kepada Aisyah R.Anha bagi menjaga hati Baginda SAW. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha bahawa:

أَنَّ سَوْدَةَ بِنْتَ زَمْعَةَ وَهَبَتْ يَوْمَهَا لِعَائِشَةَ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْسِمُ لِعَائِشَةَ بِيَوْمِهَا وَيَوْمِ سَوْدَةَ.

Maksudnya:Saudah binti Zam‘ah memberikan giliran harinya kepada Aisyah, dan adalah Nabi SAW membahagikan untuk Aisyah giliran harinya dan giliran hari Saudah.”

Riwayat al-Bukhari (5212)

Ini menunjukkan betapa beliau menyayangi Rasulullah SAW dan berharap beliau kekal sebagai isteri Baginda SAW. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Saudah R.Anha takut Nabi SAW menceraikannya. Maka, beliau berkata:

لا تُطلِّقْنِي وأَمْسِكْنِي واجْعَلْ يَوْمِي لِعَائِشَةَ 

Maksudnya:Janganlah engkau menceraikanku, kekalkanlah daku (sebagai isterimu), dan jadikanlah hari giliranku buat Aisyah.

Riwayat al-Tirmizi (3040) dan beliau menilainya sebagai hasan gharib.

Di samping itu, beliau turut meriwayatkan beberapa hadith, dan Imam al-Bukhari juga ada meriwayatkan hadith daripada jalurnya. Manakala mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah Ibn Abbas dan Yahya bin Abdullah al-Ansari. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/266).

Peribadi Saudah R.Anha menimbulkan kekaguman buat Aisyah R.Anha sehinggakan Aisyah ingin menjadi sepertinya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha sendiri, katanya:

مَا رَأَيْتُ امْرَأَةً أَحَبَّ إِلَيَّ أَنْ أَكُوْنَ فِي مِسْلاخِهَا  مِن سَوْدَةَ بنْتِ زَمْعَةَ، مِنِ امْرَأَةٍ فِيْهَا حِدَّةٌ، فَلَمَّا كَبِرَتْ، جَعَلَتْ يَوْمَهَا مِن رَسولِ اللهِ ﷺ لِعائِشَةَ.

Maksudnya: Tidak ada wanita yang lebih aku suka untuk jadi sepertinya daripada Saudah binti Zam‘ah. Beliau adalah seorang yang cerdik dan berjiwa gagah. Tatkala beliau sudah berusia (tua), beliau telah menjadikan hari gilirannya bersama Rasulullah SAW untuk Aisyah.

Riwayat Muslim (1463)

Bukan itu sahaja, Saudah R.Anha juga terkenal sebagai seorang yang pemurah. Diceritakan bahawa Umar menghantarkan sebuah karung makanan berisi sejumlah dirham kepada Saudah. Lalu Saudah bertanya: “Apakah ini?” Mereka menjawab: “Sejumlah dirham.” Beliau bertanya lagi: “Dalam karung seperti karung berisi kurma?” Setelah itu, beliau mengagihkannya. (Lihat al-Tabaqat al-Kubra, 8/56). 

Saudah binti Zam‘ah R.Anha meninggal dunia di Madinah, pada akhir pemerintahan Khalifah Umar R.A. Dikatakan juga beliau meninggal dunia pada tahun 54 Hijrah, dan pendapat ini telah dipilih oleh al-Waqidi. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/197; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/266).

Latest articles

Related articles