#865: Berhelah daripada Kewajipan Zakat

-25%
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
-30%
Original price was: RM10.00.Current price is: RM7.00.
-30%
Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

Original price was: RM15.00.Current price is: RM10.50.
-30%

Buku Fizikal

Imam Mahdi

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-30%

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

Original price was: RM13.00.Current price is: RM9.10.
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Apa hukum seseorang melakukan helah daripada menunaikan kewajipan zakat?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Pengertian Zakat

Zakat merupakan salah satu daripada rukun Islam yang telah difardhukan oleh Allah SWT kepada umat Islam. Allah SWT mewajibkan umat Islam membayar zakat jika sekiranya cukup syarat-syaratnya yang diambil daripada golongan yang kaya dan diberikan kepada golongan yang miskin agar dapat menyucikan harta-harta mereka. Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّـهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Ambillah (sebahagian) daripada harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (daripad dosa) dan mensucikan mereka (daripada akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman buat mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” [1]

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. [2]

Syeikh Dr. Wahbah Zuhaili menyatakan di dalam kitabnya bahawa para fuqaha’ berpendapat sedekah yang dimaksudkan di dalam ayat di atas adalah zakat yang diwajibkan kepada seluruh umat manusia. [3]

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya: Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.” [4]

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (2/10) berkata: Perkataan zakat (الزكاة) diambil daripada (زكا الشيء), yang bermaksud sesuatu itu bertambah dan subur. Begitu juga (زكا الزرع وزكت التجارة), yang bermaksud tanam-tanaman dan perniagaan subur (maju) dan bertambah.

Zakat juga bererti bersih. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قَدْ أَفْلَحَ مَن زَكَّاهَا

Maksudnya: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”  [5]

Berdasarkan ayat di atas, orang yang berjaya ialah orang yang membersihkan dirinya daripada segala akhlak yang buruk.

Zakat menurut istilah syarak ialah kadar tertentu yang diambil daripada sebahagian harta tertentu, yang wajib diberikan kepada golongan tertentu apabila cukup syarat-syarat yang ditentukan. Harta yang diberikan kepada golongan tertentu itu dinamakan sebagai zakat. Hal ini kerana pengagihan tersebut dan dengan doa penerimanya akan menyebabkan baki hartanya menjadi subur dan bertambah berkat.

Mengeluarkan zakat juga bererti membersihkan harta daripada sebarang perkara syubhah. Dengan kata lain, ia akan mengeluarkan hak orang lain yang terdapat dalam harta berkenaan, terutamanya hak orang yang benar-benar berhajat dan memerlukannya. [6]

Harta yang Diwajibkan Zakat

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji (647-660) menjelaskan: Harta yang diwajibkan zakat berdasarkan harta yang subur. Setiap harta yang boleh berkembang dan bertambah mempunyai kaitan dengan zakat. Oleh itu, zakat tidak berkaitan dengan harta yang beku.

Hikmah zakat berasaskan kesuburan harta adalah jelas. Harta yang beku jika wajib zakat akan habis dalam jangka masa 40 tahun. Ini sudah tentu akan menyusahkan pemiliknya.

Sementara itu, harta yang subur dan boleh bertambah mempunyai kaitan dengan zakat mengikut kesuburan harta tersebut dan ia tidak akan habis oleh zakat.

Berdasarkan asas tersebut, harta yang diwajibkan zakat seperti berikut:

Pertama: Emas dan Perak

Pengertian emas dan perak yang telah ditempa atau dalam bentuk jongkong sama ada dimiliki secara langsung atau pun tidak, iaitu berkaitan dengan emas dan perak atau wang kertas sebagai ganti kedua-duanya. Termasuk juga sijil saham yang mempunyai jaminan tetap yang dibayar mengikut nilai sebenar sama ada emas atau perak.

Antara dalil di mana wajibnya zakat emas dan perak adalah, firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُم بِعَذَابٍ أَلِيمٍ

Maksudnya: “Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya.”[7] [8]

Maksud menyimpan dalam ayat ini ialah menahan harta yang berkaitan dengan zakat dan harta yang ditahan itu ialah harta yang tidak dikeluarkan zakatnya. Ini berdasarkan hadith daripada Ibn Umar RA dalam mentafsirkan ayat tersebut, katanya:

مَنْ كَنَزَهَا فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهَا فَوَيْلٌ لَهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyimpan emas dan perak dan tidak menunaikan zakatnya, disediakan baginya Neraka Wail.” [9]

Hadith seterusnya, Abu Hurairah RA berkata, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ صَاحِبِ ذَهَبٍ وَلاَ فِضَّةٍ، لاَ يُؤَدِّي مِنْهَا حَقَّهَا إِلاَّ إِذَا كَانَ يَوْمُ الْقِيَامَةِ صُفِّحَتْ لَهُ صَفَائِحَ مِنْ نَارٍ، فَأُحْمِيَ عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ، فَيُكْوَى بِهَا جَنْبُهُ وَجَبِينُهُ وَظَهْرُهُ، كُلَّمَا بَرَدَتْ أُعِيدَتْ لَهُ، فِي يَوْمٍ كَانَ مِقْدَارُهُ خَمْسِينَ أَلْفَ سَنَةٍ، حَتَّى يُقْضَى بَيْنَ الْعِبَادِ، فَيُرَى سَبِيلُهُ، إِمَّا إِلَى الْجَنَّةِ، وَإِمَّا إِلَى النَّارِ

Maksudnya: “Setiap pemilik emas dan perak yang tidak menunaikan zakatnya, akan dibentangkan beberapa kepingan daripada api neraka yang dipanaskan di dalam neraka Jahannam pada hari Kiamat. Kemudian, kepingan tersebut digosok-gosokkan ke dahi dan belakangnya setiap hari, yang bersamaan dengan 50 ribu tahun. Setiap kali kepingan itu sejuk, ia dipanaskan semula. Demikianlah keadaannya sehingga semua hamba dibicarakan dan mengetahui jalannya sama ada ke syurga atau ke neraka.” [10]

Jenis emas dan perak yang diwajibkan zakat adalah seperti berikut:

  • Wang dirham perak dan wang dinar emas serta sebarang mata wang yang dicetak menggantikan emas dan perak untuk sebarang urusan.
  • Ketulan emas dan perak.
  • Bekas-bekas kepingan yang dibuat daripada emas dan perak untuk sebarang kegunaan atau perhiasan.

Kedua: Binatang Ternakan

Maksud binatang ternakan ialah unta, lembu, biri-biri dan kambing. Ini berdasarkan hadith daripada Anas bin Malik RA, Abu Bakar RA menulis surat dan mengutuskannya ke negara Bahrain. Antara kandungan surat tersebut ialah:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ، هَذِهِ فَرِيضَةُ الصَّدَقَةِ الَّتِي فَرَضَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمُسْلِمِينَ، وَالَّتِي أَمَرَ اللَّهُ بِهَا رَسُولَهُ، فَمَنْ سُئِلَهَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ عَلَى وَجْهِهَا فَلْيُعْطِهَا، وَمَنْ سُئِلَ فَوْقَهَا فَلاَ يُعْطَ

Maksudnya: “Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Ini adalah zakat yang diwajibkan oleh Rasulullah SAW ke atas orang Islam. Sesiapa yang memintanya daripada orang Islam mengikut sepatutnya, maka hendaklah diberi dan sesiapa yang meminta lebih, janganlah diberi.” [11]

Dalam hadith tersebut juga, dinyatakan jenis zakat binatang yang wajib zakat, nisabnya dan kadarnya.

Ketiga: Tanam-tanaman dan Buah-buahan

Tanaman dan buah-buahan yang wajib zakat adalah menjadi makanan asasi manusia dalam keadaan biasa boleh disimpan lama dan tidak rosak. Antara buah-buahan yang wajib zakat ialah kurma dan anggur, manakala tanaman pula adalah seperti gandum, barli, padi, kacang dal, kacang putih, jagung dan sebagainya. Sebarang makanan pada masa kesusahan dan musim kemarau tidak dianggap sebagai makanan asasi.

Firman Allah SWT:

كُلُوا مِن ثَمَرِهِ إِذَا أَثْمَرَ وَآتُوا حَقَّهُ يَوْمَ حَصَادِهِ ۖ

Maksudnya: “Makanlah dari buahnya ketika ia berbuah, dan keluarkanlah haknya (zakatnya) pada hari memetik atau menuainya.[12]

Firman Allah SWT yang seterusnya:

أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ وَمِمَّا أَخْرَجْنَا لَكُم مِّنَ الْأَرْضِ ۖ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik, dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu.” [13]

Sementara dalil hadith, daripada `Attab bin Asid RA, katanya:

أَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ يُخْرَصَ الْعِنَبُ كَمَا يُخْرَصُ النَّخْلُ، وَتُؤْخَذُ زَكَاتُهُ زَبِيبًا، كَمَا تُؤْخَذُ زَكَاةُ النَّخْلِ تَمْرًا

Maksudnya: “Rasulullah SAW meminta anggur segar (العنب) dianggarkan kadarnya sebagaimana dianggarkan tamar (النخل). Oleh itu, zakat anggur dikeluarkan setelah ia kering (الزبيب) dan zakat kurma (النخل) dikeluarkan setelah ia kering (التمر).”  [14]

Hadith seterusnya, daripada Abu Musa al-Asy‘ari dan Mu’az bin Jabal R.Anhuma ketika mereka diutuskan ke Yaman untuk mengajar penduduk di situ tentang agama, Nabi SAW bersabda:

لاَ تَأْخُذُوا الصَّدَقَةَ إِلاَّ مِنْ هَذِهِ الأَرْبَعَةِ: اَلشَّعِيْرِ وَالْحِنْطَةِ وَالزَّبِيْبِ وَالتَّمْرِ

Maksudnya: “Jangan kamu mengambil zakat selain daripada empat jenis tumbuhan, iaitu barli, gandum, kismis dan tamar.” [15]

Seterusnya, hadith daripada Mu’az RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَأَمَّا الْقِثَاءُ وَالْبِطِّيْخُ وَالرُّمَّانُ وَالْقَضْبُ فَقَدْ عَفَا عَنْهُ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Adapun mentimun, tembikai, buah delima dan buah-buahan segar yang boleh terus dimakan telah dikecualikan oleh Rasulullah SAW daripada zakat.” [16]

Sehubungan itu, gandum dan barli diqiaskan kepada semua makanan asasi kerana ia menjadi keperluan hidup. Oleh itu, ia wajib dikeluarkan zakat kepada orang yang memerlukan dan berhajat kepadanya.

Keempat: Barang Perniagaan

Maksud perniagaan ialah bertukar ganti barangan untuk mendapatkan keuntungan. Ia tidak terhad kepada harta benda tertentu sahaja. Sementara maksud barangan pula adalah barang-barang yang ditukar ganti untuk tujuan keuntungan.

Antara dalil bahawa wajibnya zakat barang perniagaan ialah, firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَنفِقُوا مِن طَيِّبَاتِ مَا كَسَبْتُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah (pada jalan Allah) sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik.[17] [18]

Mujahid berkata: “Ayat tersebut adalah berkaitan hukum zakat perniagaan.”

Dan daripada hadith, Rasulullah SAW bersabda:

فِي الإِبِلِ صَدَقَتُهَا، وَفِي الْبَقَرِ صَدَقَتُهَا، وَفِي الْغَنَمِ صَدَقَتُهَا، وَفِي الْبَقَرِ صَدَقَتُهَا، وَفِي الْبَرِّ صَدَقَتُهاَ

Maksudnya: “Bagi unta, lembu, kambing dan pakaian (untuk dijual) ada zakatnya.” [19]

Hadith seterusnya, daripada Samurah bin Jundub RA, katanya:

فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ يَأْمُرُنَا أَنْ نُخْرِجَ الصَّدَقَةَ مِنَ الَّذِي نُعِدُّ لِلْبَيْعِ

Maksudnya: “Nabi SAW menyuruh kami mengeluarkan zakat barangan yang kami sediakan untuk diniagakan.” [20]

Barang yang dimiliki tidak dikatakan barang perniagaan yang wajib zakat melainkan dua syarat:

  1. Pemilikan harta itu hendaklah dengan akad tukar ganti. Contohnya, seperti jual beli, sewa-menyewa, mas kahwin dan sebagainya. Jika pemilikan tersebut kerana warisan, wasiat atau hibah, maka ia tidak dikira sebagai barang perniagaan.
  2. Ketika memiliki harta tersebut, pemiliknya hendaklah berniat meniagakannya, dan niat tersebut hendaklah berterusan. Jika tidak berbuat demikian, harta tersebut tidak dikatakan barang perniagaan walaupun dia berniat selepasnya. Jika dia berniat untuk meniagakan barang tersebut semasa membelinya, kemudian berniat pula menyimpannya tanpa diniagakan, maka barangan itu tidak dikira barang perniagaan dan tidak wajib zakat.

Kelima: Harta Galian (المعدن) dan Harta Purba (الركاز)

Harta galian dan harta purba bermaksud emas dan perak yang dikeluarkan dari bumi. Emas dan perak yang dikeluarkan dan dibersihkan daripada benda-benda yang melekat dengannya dinamakan Ma’dan. Sementara, emas dan perak yang tertanam di bumi sebelum kedatangan Islam dinamakan Rikaz.

Harta yang terbukti tertanam pada zaman Islam dikategorikan harta hilang. Hukum khusus tentangnya boleh dilihat dalam bab harta terjumpa (اللقطة). Ini berdasarkan hadith:

أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَخَذَ مِنَ الْمَعَادِنِ الْقَبَلَيَّةِ الصَّدَقَةَ

Maksudnya: “Nabi SAW mengambil zakat galian di al-Qabaliyah.” [21]

Al-Qabaliyah adalah sebuah kampung terletak di antara Makkah dan Madinah yang bernama al-Furu’.

Imam al-Nawawi berkata: “Ashab kami berkata, bahawa ulama’ bersepakat menghukumkan bahawa Ma’dan wajib dikenakan zakat.”

Hadith seterusnya daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:

وَفِي الرِّكَازِ الْخُمُسُ

Maksudnya: “Pada harta Rikaz zakatnya 1/5.” [22]

Rikaz dan Ma’dan tidak lain daripada emas dan perak. Namun, kedua-duanya tidak sama dengan harta zakat yang lain. Ini kerana kedua-duanya mempunyai hukum khas sama ada tentang syarat haul atau nisbah peratus yang wajib dikeluarkan.

Kewajipan Mengeluarkan Zakat

Kewajipan zakat ini dikenakan ke atas orang Muslim yang memiliki nisab (jumlah minimum yang dikira sebagai syarat bagi harta yang wajib dikeluarkan zakat) dan juga telah cukup tempoh setahun (haulqamariah memiliki nisab berdasarkan dalil hadith Nabi Muhammad SAW:

لَيْسَ فِى مَالٍ زَكَاةٌ حَتَّى يَحُولَ عَلَيْهِ الْحَوْلُ

Maksudnya: “Tidak wajib zakat harta hingga berlalu masa setahun.” [23]

Namun syarat tempoh setahun ini tidak terpakai ke atas tanaman, buah-buahan dan juga galian, yakni zakat wajib dikeluarkan dengan segera sebaik sahaja mendapat hasilnya. [24]

Maka, jika mereka enggan mengeluarkan zakat ke atasnya, kerana mengingkari akan kewajipannya, para ulama’ telah bersepakat bahawa mereka ini adalah kafir dan murtad. Ibn Hajar al-‘Asqalani ada berkata: “Adapun dalil kewajipan zakat, sesiapa yang mengingkarinya adalah kafir.” [25]

Dan bagi mereka yang enggan mengeluarkan zakat kerana bakhil dan kedekut sedangkan mereka mengetahui kewajipannya, maka mereka ini orang yang fasiq, berdosa dan mendapat azab seksa di akhirat kelak. Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ وَلَا يُنْفِقُونَهَا فِي سَبِيلِ اللَّهِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ أَلِيمٍ ، يَوْمَ يُحْمَى عَلَيْهَا فِي نَارِ جَهَنَّمَ فَتُكْوَى بِهَا جِبَاهُهُمْ وَجُنُوبُهُمْ وَظُهُورُهُمْ هَذَا مَا كَنَزْتُمْ لِأَنْفُسِكُمْ فَذُوقُوا مَا كُنْتُمْ تَكْنِزُونَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak serta tidak membelanjakannya pada jalan Allah, maka khabarkanlah kepada mereka dengan (balasan) azab seksa yang tidak terperi sakitnya. (Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka Jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (sambil dikatakan kepada mereka): Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu, rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu. [26]

Dalam ayat ini, Allah SWT menekankan bahawa sesiapa yang menyimpan harta mereka (setelah diwajibkan ke atas mereka) dari mengeluarkan zakat, maka azab yang pedih lagi menyeksakan menanti mereka. Ini berdasarkan kepada hadith Rasulullah SAW:

كُلُّ مَا أُدِّيَتْ زَكَاتُهُ فَلَيْسَ بِكَنْزٍ، وَكُلُّ مَا لاَ تُؤَدِّي زَكَاتَهُ فَهُوَ كَنْزٌ

Maksudnya: “Setiap harta yang dikeluarkan zakatnya, ia bukanlah simpanan, dan setiap harta yang tidak engkau keluarkan zakatnya, ia adalah simpanan.”[27]

Hukuman Terhadap Orang yang Lari Daripada Mengeluarkan Zakat

Firman Allah SWT:

﴾وَلَا يَحْسَبَنَّ الَّذِينَ يَبْخَلُونَ بِمَا آتَاهُمُ اللَّهُ مِنْ فَضْلِهِ هُوَ خَيْرًا لَهُمْ بَلْ هُوَ شَرٌّ لَهُمْ سَيُطَوَّقُونَ مَا بَخِلُوا بِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَلِلَّهِ مِيرَاثُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَاللَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ خَبِيرٌ﴿

Maksudnya: Dan jangan sekali-kali orang-orang yang bakhil dengan harta benda yang telah dikurniakan Allah kepada mereka dari kemurahanNya – menyangka bahawa keadaan bakhilnya itu baik bagi mereka. Bahkan ia adalah buruk bagi mereka. Mereka akan dikalungkan (diseksa) dengan apa yang mereka bakhilkan itu pada hari kiamat kelak. Dan bagi Allah jualah hak milik segala warisan (isi) langit dan bumi. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan segala yang kamu kerjakan. (mukjizat) yang nyata dan dengan (korban) yang katakan, maka membunuh mereka, jika kamu orang-orang yang benar (dalam apa yang kamu dakwakan itu)?” [28]

Imam al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya bahawa ayat ini diturunkan ke atas orang yang bakhil (kedekut) terhadap hartanya bagi melakukan infaq di jalan Allah SWT dan juga menunaikan zakat yang telah difardhukan ke atasnya[29].Imam Ibrahim al-Nakha’i pula menyebut yang dimaksudkan dengan سَيُطَوَّقُونَ ialah Allah SWT akan menjadikan mereka (orang yang bakhil) pada Hari Kiamat kelak dibelenggu dengan api neraka. [30]

Begitu juga hadith Nabi Muhammad SAW:

مَنْ آتَاهُ اللَّهُ مَالاً فَلَمْ يُؤَدِّ زَكَاتَهُ، مُثِّلَ لَهُ مَالُهُ شُجَاعًا أَقْرَعَ، لَهُ زَبِيتَانِ يُطَوَّقُهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ، يَأْخُذُ بِلِهْزِمَتَيْهِ يَعْنِي بِشِدْقَيْهِ، ثم يَقُولُ: أَنَا مَالُكَ أَنَا كَنْزُكَ

Maksudnya: “Sesiapa yang dikurniakan oleh Allah harta dan tidak mengeluarkan zakatnya, maka hartanya pada hari Kiamat dijadikan seekor ular yang mempunyai dua taring, dan kepala yang tidak berbulu kerana terlalu banyak bisanya. Ia akan membelit dan menggigitnya dengan kedua-dua rahangnya sambil berkata: Akulah hartamu! Akulah simpananmu.” [31]

Hadith di atas juga menunjukkan perihal yang sama berkenaan betapa beratnya dosa bagi orang yang tidak mahu mengeluarkan zakat ke atas harta mereka. Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan bahawa dosa tersebut terpakai ke atas orang yang mengingkari kewajipan zakat dan juga terhadap orang yang bakhil. [32]

Helah daripada Kewajipan Berzakat

Kami kemukakan terlebih dahulu berkenaan pengertian helah dan hukumnya.

Dalam istilah bahasa Melayu, helah ditakrifkan sebagai akal, muslihat, tipu daya dan juga alasan yang dibuat-buat. Helah ini kebiasaannya berlaku pada perkara-perkara yang tidak baik, namun kadang-kadang ia membawa kepada hikmah juga.

Selain itu, terdapat pelbagai makna helah, antaranya:

  • Kemahiran menguruskan sesuatu seperti menukarkan sesuatu kepada sesuatu yang lain sehingga mencapai kepada tujuan.
  • Apa yang sampai kepadanya satu keadaan yang diingini dalam sembunyi.
  • Jalan atau cara tersembunyi yang membawa kepada perkara yang buruk dari segi syarak, akal dan juga adat.
  • Jalan atau cara tersembunyi bagi menghalalkan sesuatu yang haram atau bagi menggugurkan kewajipan ke atasnya, dan kesemua helah termasuklah helak terhadap hak Allah SWT dan hak manusia. [33]

Helah terbahagi kepada dua iaitu helah yang dibenarkan dan helah yang diharamkan.

  • Helah yang dibolehkan ialah helah yang digunakan bagi melepaskan dirinya dari dosa untuk sampai kepada perkara yang halal atau kepada hak-hak atau untuk mencegah kebatilan dan helah ini tidak meruntuhkan dasar-dasar syariat atau bercanggah dengan maqasid dan juga maslahah.
  • Manakala helah yang diharamkan pula ialah helah yang digunakan untuk mencapai tujuan yang bertentangan dengan syarak atau membatalkan hak-hak atau memasukkan perkara yang syubhah. Kesemua helah jenis ini tidak khilaf lagi dalam kalangan para ulama’ terhadap pengharamannya. [34]

Berbalik kepada persoalan di atas, pada asalnya, apabila seseorang itu memiliki harta yang telah melebihi nisab dan juga telah cukup tempoh setahun milikannya, maka diwajibkan zakat ke atasnya. Namun, hal yang berlaku ialah, apabila hampir sampai tempoh setahun (haul) harta tersebut, diberikannya kepada orang lain atau dijualnya atau dihadiahkannya atau bermacam cara lagi yang dilakukan dengan tujuan untuk melarikan diri dari melakukan kewajipan zakat.

Perkara ini seperti disebut di awal kalam ini, kami nyatakan bahawa ia termasuk dalam helah yang diharamkan, yakni kerana menggunakan helah untuk mencapai kepada tujuan yang tidak baik iaitu mengelak dari membayar zakat. Maka, hukum melakukan helah sedemikian adalah haram dan berdosa.

Imam al-Syafi’i bersama-sama dengan Imam Abu Hanifah berkata: Sesungguhnya barangsiapa yang berniat untuk melarikan diri dari kewajipan zakat, dengan cara dia menghadiahkan kepada seseorang sesuatu daripada hartanya atau menjualnya kemudian membelinya sebelum sampai kepada tempoh setahun (haul), maka gugur ke atasnya kewajipan zakat (disebabkan tidak cukup nisab hartanya bagi mewajibkan zakat) dan sesungguhnya perbuatan itu merupakan suatu dosa dan kemaksiatan. [35]

Ini kerana dia berubah niat kepada niat yang tidak baik sebelum daripada hartanya hilang atau luput dari milikannya sebagai contoh sebelum dia menjualnya atau menghadiahkannya. Syeikh al-Dimyati turut menyebut: Diharamkan iaitu menghilangkan milikannya dengan tujuan untuk melarikan diri (dari kewajipan zakat) [36]

Selain itu, Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili juga ada membincangkan mengenai isu ini di dalam kitabnya, katanya: “Haram melakukan helah bagi tujuan menggugurkan kewajipan zakat seperti contoh seorang lelaki (diwajibkan zakat ke atasnya) memberikan hadiah kepada seorang fakir kemudian membelinya semula daripadanya, ataupun menghadiahkan sebahagian daripada hartanya kepada kaum kerabatnya sebelum cukup tempoh haul kemudian memintanya semula setelah berlalu tempoh tersebut.” [37]

Namun katanya lagi, jika seseorang itu melakukan helah daripada mengeluarkan zakat, maka menurut mazhab Hanafi dan juga Syafi’i, tidak dikenakan kewajipan zakat ke atasnya yakni gugur ke atasnya kewajipan zakat kerana hartanya (nisab) telah berkurang sebelum cukup tempoh haul, maka tiada kewajipan zakat ke atasnya.

Penutup

Berdasarkan keterangan di atas, perbuatan melakukan helah supaya dapat melarikan diri dari kewajipan zakat adalah haram hukumnya dan juga perbuatan ini merupakan dosa dan juga maksiat terhadap Allah SWT. Kami menasihati orang ramai agar dapat mengeluarkan zakat ke atas harta mereka kerana ia bukan sahaja menyucikan harta mereka malah membersihkan juga hati mereka, di samping banyak hikmah yang boleh diperolehi di sebaliknya. Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah SWT memberikan kemudahan dan keikhlasan dalam diri kita untuk melakukan ibadah kepadaNya, selain memurahkan rezeki serta memberta segala amal kebajikan kita.

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 4 April 2022 bersamaan 2 Ramadhan 1443H

[give_form id=”14962″]

 

[1] Surah al-Taubah: 103

[2] Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398

[3] Lihat Tafsir al-Wasit, 1/913

[4] Riwayat al-Bukhari (1496)

[5] Surah al-Syams: 9

[6] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/11

[7] Al-Maraghi berkata: Setiap orang yang menyimpan emas dan perak, tetapi tidak mengeluarkan hak-hak yang wajib daripada kedua-duanya, sama ada dia dari kalangan para pendeta atau orang alim atau kaum Muslimin, hendaklah diberitahu kepada mereka, iaitu mereka akan menerima azab yang sangat pedih. Perkara ini diperkuatkan oleh sebuah riwayat, iaitu Ibn Wahab, aku menemui Abu Zar di Rabzah, sebuah tempat di antara Makkah dan Madinah, lalu bertanya: “Hai Abu Zar! Apakah yang mendorong kamu untuk singgah di negeri ini?” Beliau menjawab: “Aku pernah berada di Syam dan membaca ayat:

وَالَّذِينَ يَكْنِزُونَ الذَّهَبَ وَالْفِضَّةَ

Maksudnya: Dan (ingatlah) orang-orang yang menyimpan emas dan perak.

Mu’awiyah berpendapat: Ayat ini diturunkan hanya kepada ahli kitab yang berkaitan antara kita dan mereka, iaitu perkara ini menjadikan aku dan Mu’awiyah saling benci-membenci. Kemudian, Uthman RA mengirim surat supaya aku datang menghadapnya. Ketika tiba di Madinah, orang berpaling daripadaku, seolah-olah mereka belum pernah melihatku. Perkara itu terus aku adukan kepada Uthman RA dan beliau menyuruhku supaya berada berhampiran dengannya, lalu beliau berkata: “Demi Allah SWT, sesungguhnya aku tidak pernah meninggalkan apa yang pernah aku perkatakan.”

[8] Surah al-Taubah: 34

[9] Riwayat al-Bukhari (1339)

[10] Riwayat Muslim (987)

[11] Riwayat al-Bukhari (1386)

[12] Surah al-An’am: 141

[13] Surah al-Baqarah: 267

[14] Riwayat Abu Daud (1603) dan al-Tirmizi (644)

[15] Riwayat al-Hakim (1409) dengan sanad yang sahih

[16] Riwayat al-Hakim (1/ 401)

[17] Ibn al-Arabi dalam Ahkam al-Quran berkata: Para ulama’ kami mengatakan: ‘ما كَسَبْتُم’ (hasil usaha kamu) bererti hasil perniagaan. Dan firman-Nya lagi: ‘وَمِمَّا أَخْرَجنَا لَكُم مِنَ الأَرضِ’ (dan sebahagian daripada apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu) bererti hasil pertanian. Sebagai penjelasannya, perkataan ‘اكتساب’ terbahagi kepada dua bahagian: Antaranya ialah usaha yang diperolehi daripada perut bumi, iaitu tumbuh-tumbuhan dan antaranya ialah yang diperoleh hasil bekerja di atas bumi, seperti perniagaan dan harta rampasan di negara musuh serta memburu.

Oleh itu, Allah SWT memerintahkan orang yang kaya supaya menafkahkan kepada orang fakir miskin hasil yang Allah SWT kurniakan kepada mereka dengan mengikut cara yang dilakukan oleh Rasulullah SAW.

[18] Surah al-Baqarah: 267

[19] Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (1/388)

[20] Riwayat Abu Daud (1562)

[21] Riwayat al-Baihaqi (7887)

[22] Riwayat al-Bukhari (1428) dan Muslim (1710)

[23] Riwayat Abu Daud (1573)

[24] Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/16-17

[25] Lihat Fath al-Bari, 3/262

[26] Surah al-Taubah (34-35)

[27] Riwayat al-Bukhari (4)

[28] Surah Ali-‘Imran (180)

[29] Lihat Tafsir al-Qurtubi; 4/291.

[30] Lihat Tafsir al-Qurtubi, 4/292

[31] Riwayat al-Bukhari (1338)

[32] Lihat Fath al-Bari, 3/268

[33] Lihat: al-Hiyal, hlm.109

[34] Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah; 18/330

[35] Lihat Hasyiyah al-Bujairami ‘ala al-Khatib, 3/484

[36] Lihat: I’anatu al-Tolibin, 2/176 dan juga Fath al-Mu’in, hlm. 232

[37] Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 3/1979

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *