#979 Berhimpun ketika Majlis Khatam al-Quran

[ux_products]

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Saya ada satu soalan. Adakah terdapat contoh daripada generasi terdahulu berkaitan majlis khatam al-Quran sepertimana yang dilakukan dalam bulan Ramadhan?  Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Membudayakan pembacaan al-Quran amatlah dituntut di dalam bulan Ramadhan dan juga di dalam bulan-bulan yang lain. Hal ini kerana, Ramadhan merupakan bulan diturunkan padanya al-Quran berdasarkan kepada firman Allah SWT:

شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنزِلَ فِيهِ الْقُرْآنُ هُدًى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَاتٍ مِّنَ الْهُدَىٰ وَالْفُرْقَانِ

Maksudnya: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.”[1]

Syeikh Tantawi ketika mensyarahkan ayat ini, membawakan kata-kata Ibn Kathir yang menyebutkan, Allah SWT memuji bulan Ramadhan berbanding bulan-bulan lain kerana turunnya kitab Allah SWT — dalam bulan itu.[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Imam al-Nawawi berpendapat bahawa digalakkan untuk menghadiri majlis pengkhataman al-Quran dengan tuntutan sunat muakkad.[3] Begitu juga Syeikh al-Humaidhi turut berpendapat bahawa hukumnya adalah sunat untuk menghadiri majlis khatam al-Quran.[4] Menurut Imam al-Nawawi lagi, hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang terdapat dalam sahihain, daripada riwayat Ummu ‘Atiyyah, beliau berkata:

أُمِرْنَا أَنْ نُخْرِجَ الحُيَّضَ يَوْمَ العِيدَيْنِ، وَذَوَاتِ الخُدُورِ فَيَشْهَدْنَ جَمَاعَةَ المُسْلِمِينَ، وَدَعْوَتَهُمْ

Maksudnya: “Kami diperintahkan supaya menyuruh perempuan-perempuan yang sedang haidh dan gadis-gadis pingitan untuk keluar pada dua hari raya, supaya mereka dapat menyaksikan perhimpunan orang-orang Islam dan doa mereka.”[5]

Selain itu, diriwayatkan oleh al-Darimi dan Ibn Abi Daud dengan sanadnya daripada Ibn Abbas R.Anhuma bahawa beliau menyuruh seseorang memperhatikan seorang yang sedang membaca al-Quran. Jika pembaca al-Quran itu akan khatam, hendaklah dia memberitahu kepada Ibn Abbas sehingga beliau dapat hadir menyaksikan pengkhataman itu.

Di samping itu, diriwayatkan juga oleh Ibn Abi Daud dengan dua sanadnya yang sahih daripada Qatadah, seorang tabi‘in besar sahabat Anas R.A, katanya:

كان أنس بن مالك رضي الله عنه إذا ختم القرآن جمع أهله ودعا

Maksudnya: “Anas bin Malik R.A, apabila mengkhatamkan al-Quran, beliau mengumpulkan ahli keluarganya dan berdoa.[6]

Selain daripada itu, diriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada al-Hakam bin ‘Uyainah, seorang tabi‘in besar, beliau berkata: “Mujahid dan ‘Utbah bin Lubabah telah diutuskan kepadaku, lalu kedua-duanya berkata: ‘Sesungguhnya kami diutuskan kepada kepada engkau (untuk memanggil engkau) kerana kami ingin mengkhatamkan al-Quran dan doa adalah mustajab ketika khatam al-Quran.’” Dalam sebahagian riwayat yang sahih disebutkan bahawa rahmat turun ketika mengkhatamkan al-Quran.

Begitu juga diriwayatkan dengan sanad yang sahih daripada Mujahid, beliau berkata:

كانوا يجتمعون عند ختم القرآن يقولون تنزل الرحمة

Maksudnya: “Mereka berkumpul ketika mengkhatamkan al-Quran, lalu berkata: ‘Rahmat Allah SWT turun.’

Inilah juga seperti mana dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Tibyan.[7] Tambahan lagi, majlis seperti ini juga boleh dianggap sebagai majlis zikir kerana terkandung di dalamnya bacaan al-Quran secara berjemaah, di samping turut dibaca beberapa zikir-zikir tertentu sebagaimana disebutkan oleh para ulama. Terdapat hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Baginda SAW bersabda:

وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ

Maksudnya: “Tidaklah suatu kaum berkumpul di dalam salah satu daripada rumah-rumah Allah sambil membaca Kitabullah, dan saling mempelajari di antara mereka, melainkan akan turun kepada mereka ketenangan, rahmat akan melitupi mereka, malaikat akan menaungi mereka, dan mereka akan diingat di sisi Allah SWT.[8]

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk menghadiri majlis khatam al-Quran serta memperbanyakkan berdoa di waktu tersebut kerana waktu itu merupakan di antara waktu yang mustajab doa. Lebih-lebih lagi terdapat athar daripada para salaf (ulama terdahulu) yang menghimpunkan ahli keluarga mereka ketika mengkhatamkan al-Quran bagi berdoa.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjadikan kita termasuk dalam kalangan ahli al-Quran. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 20 April 2022 bersamaan 18 Ramadhan 1443H

[1] Surah al-Baqarah: 185

[2] Lihat al-Tafsir al-Wasit li Tantawi, 1/386.

[3] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 159.

[4] Lihat Jamal al-Qurra’, hlm. 149

[5] Riwayat al-Bukhari (351); riwayat Muslim (890)

[6] Imam al-Nawawi menyatakan sanadnya adalah sahih dalam kitabnya al-Azkar (hlm. 141)

[7] Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalah al-Quran, hlm. 159-160.

[8] Riwayat Muslim (2699)

Latest articles

Related articles