eliau ialah Abdullah bin Salam bin al-Harith, Abu Yusuf, daripada keturunan Nabi Yusuf A.S. Beliau mendapat jaminan perlindungan kafilah Khazraj, al-Isra’ili, kemudian al-Ansari. Beliau daripada Bani Qainuqa‘. Dikatakan bahawa nama asalnya ialah al-Husain (الحصين), kemudian Baginda SAW menukarnya. (Lihat al-Isabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/102).
Beliau merupakan seorang al-Imam dan termasuk dalam kalangan sahabat Nabi SAW serta salah seorang yang dijamin syurga. Beliau juga merupakan salah seorang pendeta Yahudi. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Abu Hurairah, Anas bin Malik, Abdullah bin Ma‘qil, Abdullah bin Hanzalah bin al-Ghasil, kedua-dua anaknya iaitu Yusuf dan Muhammad, Bisyr bin Syaghaf, Abu Sa‘id al-Muqri’, Abu Burdah bin Abu Musa, Qais bin ‘Abbad, Abu Salamah bin ‘Abd al-Rahman, ‘Ata’ bin Yasar, Zurarah bin Aufa dan ramai lagi. Dikatakan hadith pertama yang didengarinya ialah:
يَا أَيُّهَا النَّاسُ، أَفْشُوْا السَّلاَمَ، وَأَطْعِمُوا الطَّعَامَ، وَصِلُوا الأَرْحَامَ، وَصَلُّوا بِاللَّيْلِ وَالنَّاسُ نِيَامٌ، تَدْخُلُوا الجَنَّةَ بِسَلاَمٍ
Maksudnya: “Wahai manusia, sebarkanlah salam, berikanlah makan (kepada orang yang memerlukan), sambungkanlah silaturrahim, solatlah di waktu malam tatkala orang lain sedang tidur, kelak kamu akan masuk syurga dengan sejahtera.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/413-414).
Pengislaman Abdullah bin Salam dan Tiga Soalan Beliau kepada Rasullullah SAW
Berkenaan hal ini, terdapat riwayat daripada Anas bin Malik, beliau menceritakan bahawa telah sampai berita ketibaan Nabi SAW di Madinah kepada Abdullah bin Salam, lalu beliau menanyakan beberapa perkara kepada Baginda. Katanya: “Aku akan bertanya kepadamu tiga perkara yang tidak akan akan diketahui kecuali oleh seorang Nabi. Apakah tanda-tanda pertama hari kiamat? Dan apa makanan pertama yang akan dimakan oleh penghuni syurga? Dan bagaimanakah seorang anak mirip dengan bapanya dan bagaimana dia mirip dengan ibunya?” Baginda menjawab: “Jibril baru sahaja memberitahuku.” Abdullah bin Salam berkata: “Dia adalah malaikat yang menjadi musuh orang-orang Yahudi.” Baginda bersabda: “Adapun tanda pertama hari kiamat adalah api yang akan muncul dan akan menghimpunkan manusia daripada timur menuju barat. Dan makanan pertama penghuni syurga adalah ketulan hati ikan paus. Dan (miripnya) seorang anak (ditentukan), apabila suami mendatangi isterinya dan air maninya mendahului air mani isterinya, bererti akan lahir anak yang menyerupai bapanya. Namun bila air mani isterinya mendahului air mani suaminya, maka akan lahir anak yang mirip dengan ibunya.”
(Lantas) Abdullah bin Salam berkata: “Aku bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan engkau adalah Rasulullah.” Kemudian dia berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya orang-orang Yahudi adalah kaum yang sangat suka memutar belit. Tanyalah mereka mengenai aku sebelum mereka mengetahui keislamanku.” Kemudian orang-orang Yahudi datang, lalu Nabi SAW bersabda: “Bagaimanakah pendapat kamu tentang seorang lelaki yang bernama Abdullah bin Salam?” Mereka menjawab: “Dia adalah seorang alim dan anak dari seorang yang alim dan orang yang paling mulia antara kami dan anak orang yang paling mulia antara kami.” Kemudian Rasulullah SAW bersabda: “Bagaimanakah pendapat kamu jika Abdullah bin Salam memeluk Islam?” Mereka menjawab: “Semoga dia dilindungi Allah dari perbuatan itu.” Baginda mengulangi pertanyaannya kepada mereka, Namun mereka tetap menjawab seperti tadi. Lalu Abdullah bin Salam keluar seraya berkata: “Aku bersaksi tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Muhammad adalah utusan Allah.” Maka mereka berkata: “Dia ini orang yang paling buruk di antara kami dan anak dari orang yang jahat.” Mereka terus saja menghina Abdullah bin Salam. Lalu Abdullah bin Salam berkata: “Inilah yang aku bimbangkan tadi, wahai Rasulullah.”
Riwayat al-Bukhari (3938)
Selain itu, Abdullah bin Salam R.A juga termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada ‘Amir bin Sa‘ad bin Abu Waqqas, daripada bapanya, katanya:
مَا سَمِعْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، يَقُولُ: لِأَحَدٍ يَمْشِي عَلَى الأَرْضِ إِنَّهُ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، إِلَّا لِعَبْدِ اللَّهِ بْنِ سَلاَمٍ ” قَالَ: وَفِيهِ نَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ {وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ} [الأحقاف: 10] الآيَةَ، قَالَ: «لاَ أَدْرِي قَالَ مَالِكٌ الآيَةَ أَوْ فِي الحَدِيثِ»
Maksudnya: “Aku tidak pernah mendengar Nabi SAW bersabda tentang seseorang yang berjalan di muka bumi: “Sesungguhnya dia termasuk penghuni syurga” kecuali kepada Abdullah bin Salam.” Dia berkata: “Padanya (Abdullah bin Salam) turunnya ayat ini: {وَشَهِدَ شَاهِدٌ مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ} [الأحقاف: 10] (pada hal ada seorang saksi dari Bani Israil … sehingga akhir ayat) Dia berkata: “Aku tidak tahu apa yang dikatakan Malik, (apa yang dimaksudnya) ayat ataupun hadith (iaitu berkenaan turunnya ayat ini daripada dirinya sendiri atau dengan sanad ini).”
Riwayat al-Bukhari (3812)
Begitu juga riwayat daripada Muhammad daripada Qais bin ‘Ubad, katanya:
كُنْتُ جَالِسًا فِي مَسْجِدِ المَدِينَةِ، فَدَخَلَ رَجُلٌ عَلَى وَجْهِهِ أَثَرُ الخُشُوعِ، فَقَالُوا: هَذَا رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، فَصَلَّى رَكْعَتَيْنِ تَجَوَّزَ فِيهِمَا، ثُمَّ خَرَجَ، وَتَبِعْتُهُ، فَقُلْتُ: إِنَّكَ حِينَ دَخَلْتَ المَسْجِدَ قَالُوا: هَذَا رَجُلٌ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ، قَالَ: وَاللَّهِ مَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ أَنْ يَقُولَ مَا لاَ يَعْلَمُ، وَسَأُحَدِّثُكَ لِمَ ذَاكَ: رَأَيْتُ رُؤْيَا عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَصَصْتُهَا عَلَيْهِ، وَرَأَيْتُ كَأَنِّي فِي رَوْضَةٍ – ذَكَرَ مِنْ سَعَتِهَا وَخُضْرَتِهَا – وَوَسْطَهَا عَمُودٌ مِنْ حَدِيدٍ، أَسْفَلُهُ فِي الأَرْضِ، وَأَعْلاَهُ فِي السَّمَاءِ، فِي أَعْلاَهُ عُرْوَةٌ، فَقِيلَ لِي: ارْقَهُ، قُلْتُ: لاَ أَسْتَطِيعُ، فَأَتَانِي مِنْصَفٌ، فَرَفَعَ ثِيَابِي مِنْ خَلْفِي، فَرَقِيتُ حَتَّى كُنْتُ فِي أَعْلاَهَا، فَأَخَذْتُ بِالعُرْوَةِ، فَقِيلَ لَهُ: اسْتَمْسِكْ فَاسْتَيْقَظْتُ، وَإِنَّهَا لَفِي يَدَيَّ، فَقَصَصْتُهَا عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: «تِلْكَ الرَّوْضَةُ الإِسْلاَمُ، وَذَلِكَ العَمُودُ عَمُودُ الإِسْلاَمِ، وَتِلْكَ العُرْوَةُ عُرْوَةُ الوُثْقَى، فَأَنْتَ عَلَى الإِسْلاَمِ حَتَّى تَمُوتَ» وَذَلِكَ الرَّجُلُ عَبْدُ اللَّهِ بْنُ سَلاَمٍ.
Maksudnya: “Aku sedang duduk di masjid Madinah, lalu seorang lelaki masuk dan di wajahnya terlihat tanda kekhusyukan. Mereka berkata: ‘Lelaki ini termasuk daripada penghuni syurga.’ Lelaki itu solat dua rakaat dengan ringkas. Kemudian dia keluar dan aku mengikutinya.” Aku berkata: “Sesungguhnya ketika kamu masuk masjid mereka berkata: ‘Lelaki ini termasuk daripada penghuni syurga.’ Dia (Abdullah bin Salam) berkata: ‘Demi Allah, tidak patut bagi seseorang mengatakan apa yang tidak dia ketahui. Namun, aku akan menceritakan kepadamu kenapakah (boleh ada dakwaan) demikian. Aku pernah bermimpi di zaman Nabi SAW. Lalu aku menceritakan mimpi itu kepada Baginda SAW. Aku bermimpi seakan-akan berada di satu taman — dia menyebutkan keluasan dan kehijauannya — di tengahnya terdapat sebatang tiang besi, bahagian bawahnya (terpacak) di bumi dan hujungnya (meninggi) di langit. Di atasnya pula terdapat satu simpulan tali.’ Dikatakan kepadaku: ‘Naiklah.’ Aku berkata: ‘Aku tidak mampu.’ Maka diberikan kepadaku pembantu lalu dia mengangkat pakaianku dari belakang. Aku pun memanjat hinggalah ke puncaknya. Lalu aku memegang simpulan tali itu. Dikatakan kepadaku: ‘Peganglah kuat-kuat.’ Kemudian aku terbangun dan tali itu berada di tanganku. Aku menceritakannya kepada Nabi SAW. Maka Baginda bersabda: ‘Taman itu adalah Islam. Tiang tersebut adalah tiang Islam. Tali itu adalah tali yang kukuh. Engkau berada dalam (agama) Islam sehinggalah engkau meninggal dunia.’ Lelaki tersebut adalah Abdullah bin Salam.”
Riwayat al-Bukhari (3813)
Selain daripada itu, turut diriwayatkan daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas, beliau berkata: “Aku tidak pernah mendengar Nabi SAW menyatakan kepada seseorang yang masih hidup di muka bumi bahawa dia termasuk penghuni syurga melainkan kepada Abdullah bin Salam.” (Lihat Fath al-Bari, 7/127; al-Isti‘ab, 2/374; Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat, 1/271).
Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah menyampaikan khabar gembira kepada Abdullah bin Salam sebagai penghuni syurga di hadapan sekumpulan sahabat, yang di antara mereka ialah Sa‘ad bin Abu Waqqas, iaitu ketika beliau menerima semangkuk remukan roti dicampur kuah, lalu beliau melebihkan sedikit daripada makanan itu, seraya bersabda: “Akan masuk dari jalan di antara bukit ini seseorang dari para penghuni syurga, yang memakan lebihan makanan ini.” Sa‘ad berkata: “Sementara sebelumnya aku meninggalkan saudaraku, Umair bin Abu Waqqas bersiap-siap untuk menghadap Nabi SAW. Aku berhasrat dialah orang yang dimaksudkan. Ternyata yang datang ialah Abdullah bin Salam, lalu dia memakan lebihan makanan itu.” (Lihat Fath al-Bari, 7/130; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/417).
Abdullah bin Salam R.A meninggal dunia pada tahun 43 Hijrah di Madinah sebagaimana diriwayatkan oleh sebahagian ulama seperti al-Haitham bin ‘Adi, Ibn Sa‘ad, Abu ‘Ubaid, al-Baghawi, Abu Ahmad al- ‘Askari dan lain-lain . (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/424; al-Isabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 4/104).