Hasan bin Ali R.Anhuma

Beliau merupakan cucu Rasulullah SAW dan merupakan anak kepada Ali bin Abu Talib R.A bersama Fatimah R.Anha. Beliau juga merupakan adik beradik dengan Husain bin Ali. 

Nama penuh beliau ialah Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf al-Qurasyi. Beliau digelar sebagai “Raihanah Rasulillah SAW” dan merupakan cucu kepada Baginda SAW. Selain itu, beliau juga adalah penghulu bagi segala pemuda ahli Syurga. Beliau dilahirkan pada bukan Syaaban tahun ke-3 Hijrah. Namun, terdapat pendapat menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada pertengahan bulan Ramadhan tahun ke-3 Hijrah. Namun, pendapat yang menyatakan beliau dilahirkan pada bulan Syaaban adalah lebih sahih. Rasulullah SAW telah melakukan akikah buatnya dengan seekor kibasy.  Di samping itu, beliau turut meriwayatkan hadith daripada datuknya, Rasulullah SAW, bapanya dan juga ibunya. Manakala mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah anaknya sendiri iaitu al-Hasan bin al-Hasan, Suwaid bin Ghafalah, Abu al-Haura’ al-Sa‘di, al-Sya‘bi, Hubairah bin Yarim, Asbagh bin Nubatah dan al-Musayyib bin Nujabah. Selain daripada itu, beliau juga mirip kepada datuknya, Rasulullah SAW.

Dikatakan bahawa Ali R.A merupakan seorang yang sangat suka berperang (Harb). Maka, ketika al-Hasan dilahirkan, beliau ingin menamakannya sebagai Harb. Akan tetapi Rasulullah SAW menamakannya sebagai al-Hasan. Begitu juga ketika al-Husain dilahirkan, beliau sekali lagi ingin menamakannya sebagai Harb. Akan tetapi Rasulullah SAW menamakannya sebagai al-Husain. Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Muhammad bin ‘Aqil, daripada Muhammad bin Ali, daripada bapanya bahawa beliau menamakan anaknya yang sulung sebagai Hamzah dan menamakan Husain dengan nama pakciknya iaitu Jaafar. Lalu Nabi SAW memanggilnya dan menyatakan bahawa telah menukar nama kedua anak itu kepada Hasan dan Husain. Manakala menurut Ibn ‘Uyainah daripada ‘Amr daripada ‘Ikrimah bahawasanya ketika Fatimah melahirkan Hasan, beliau telah membawanya menemui Nabi SAW dan Baginda menamakannya sebagai Hasan. Begitulah juga ketika Fatimah melahirkan anaknya yang seorang lagi, dan Baginda menamakannya sebagai Husain dan bersabda: “Inilah sebaik-baik nama daripada ini.”

Abu Bakrah berkata: Aku melihat Rasulullah SAW di atas mimbar dan al-Hasan bin Ali berada di sampingnya, Baginda sesekali menghadap ke arah manusia dan sesekali menghadap ke arahnya, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini adalah seorang pemimpin, semoga dengannya, Allah mendamaikan antara dua kelompok yang besar (yang bertikai) daripada kalangan kaum Muslimin.” (Riwayat al-Bukhari, 2704). Begitu juga terdapat riwayat daripada Ummu Salamah bahawasanya Nabi SAW telah menutup Hasan, Husain dan Fatimah dengan sehelai kain, kemudian berdoa: “Ya Allah, mereka ini adalah ahli baitku dan orang-orang terdekatku. Ya Allah, hilangkanlah daripada mereka dosa, dan sucikanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.” 

Menurut Jaafar al-Sadiq, Hasan telah hidup selama 47 tahun. Pada ulama telah berbeza pendapat berkenaan tahun kewafatannya. Al-Waqidi, Sa‘id bin ‘Ufair dan Khalifah berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 49 Hijrah. Manakala al-Mada’ini, al-Ghalabi, al-Zubair, Ibn al-Kalbi dan selain mereka berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 50 hijrah. Sebahagian daripada mereka menambah, pada bulan Rabi‘ul Awwal. Imam al-Bukhari pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 51 Hijrah. Dikatakan sebab kematiannya adalah kerana racun yang diberikan oleh Jad‘ah binti al-Asy‘ath bin Qais. 

Terdapat riwayat daripada Ibn Ishaq, katanya: Musawir al-Sa‘di menyampaikan kepadaku, katanya: Aku melihat Abu Hurairah berdiri di atas masjid Rasulullah SAW pada hari kematian al-Hasan, dalam keadaan menangis dan beliau menyeru dengan suaranya yang nyaring: “Wahai sekalian manusia! Pada hari ini telah wafatnya orang yang dicintai dan dikasihi oleh Rasulullah SAW, maka menangislah.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/245-279).  

Al-Hasan bin Ali R.Anhuma sangat mirip kepada Nabi SAW. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, katanya:

لَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَشْبَهَ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ

Maksudnya: “Tidak ada seseorang pun yang lebih menyerupai dengan Nabi SAW berbanding al-Hasan bin Ali.” 

Riwayat al-Bukhari (3752)

Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya daripada ‘Uqbah bin al-Harith, bahawa beliau berkata: 

 رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَحَمَلَ الحَسَنَ وَهُوَ يَقُولُ: بِأَبِي، شَبِيهٌ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، لَيْسَ شَبِيهٌ بِعَلِيٍّ. وَعَلِيٌّ يَضْحَكُ

Maksudnya:Aku melihat Abu Bakar R.A mendukung al-Hasan dan berkata: ‘Demi bapaku, sungguhlah beliau mirip dengan Nabi SAW, dan tidak mirip dengan Ali,’ dan Ali R.A pun tersenyum (mendengarnya).” 

Riwayat al-Bukhari (3750)

ِAl-Hasan bin Ali R.Anhuma termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan syurga. Hal ini dapat dilihat menerusi riwayat daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri, katanya: Rasulullah SAW bersabda: 

الحَسَنُ وَالحُسَيْنُ سَيِّدَا شَبَابِ أَهْلِ الجَنَّةِ

Maksudnya:Al-Hasan dan al-Husain adalah penghulu bagi sekalian pemuda ahli syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (3768) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih; Riwayat Ahmad (11636); al-Nasa’i dalam al-Kubra (8113); al-Albani menilainya sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3181)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *