Husin bin Ali R.Anhuma

Beliau merupakan cucu Rasulullah SAW dan anak kepada Ali bin Abu Talib R.A bersama Fatimah R.Anha. Beliau juga adalah adik beradik dengan Hasan bin Ali. 

Beliau ialah Abu ‘Abdillah al-Husain bin Abu al-Hasan Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin Qusai al-Qurasyi al-Hasyimi. Beliau merupakan seorang Imam yang mulia lagi sempurna, cucu kepada Rasulullah SAW, wangian (Raihanah) Baginda daripada dunia dan disayangi Baginda. Menurut al-Zubair, beliau dilahirkan pada hari ke-5 Syaaban, tahun 4 Hijrah. Hani’ bin Hani’ meriwayatkan daripada Ali, katanya: “Al-Husain menyerupai atau mirip Rasulullah SAW daripada dada hingga kedua kakinya.” Terdapat riwayat daripada Ibn Juraij, daripada Umar bin ‘Ata’, katanya: “Aku melihat al-Husain mewarnakan (rambutnya) dengan wasmah. Oleh itu, kepalanya (rambutnya) dan janggutnya berwarna sangat hitam.”

Beliau meriwayatkan hadith daripada datuknya iaitu Rasulullah SAW, kedua ibu bapanya, Umar dan lain-lain. Manakala mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah kedua anaknya iaitu Ali dan Fatimah, ‘Ubaid bin Hunain, Hammam al-Farazdaq, ‘Ikrimah, al-Sya‘bi, Talhah al-‘Uqaili, anak saudaranya iaitu Zaid bin al-Hasan, cucunya iaitu Muhammad bin Ali al-Baqir dan lain-lain.

Selain daripada itu, terdapat juga riwayat daripada Muhammad bin Abu Ya‘qub, aku mendengar Ibn Abi Nu‘m, aku mendengar Abdullah bin Umar, sewaktu seorang lelaki (daripada Iraq) bertanya kepadanya berkenaan (hukum-hakam) orang yang berihram? Syu‘bah berkata: “Aku menyangka dia telah membunuh seekor lalat.”  Maka Ibn Umar berkata: “Penduduk Iraq bertanya berkenaan membunuh lalat, padahal mereka telah membunuh anak kepada puteri Rasullullah SAW, sedangkan Nabi SAW telah bersabda: ‘Kedua-duanya (al-Hasan dan al-Husain) adalah Raihan (wangian) bagiku di dunia ini.’” (Riwayat al-Bukhari, 3753). 

Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Ayyub al-ANsari, katanya: “Aku masuk menemui Rasulullah SAW dan ketika itu al-Hasan dan al-Husain sedang bermain-main di atas dada Baginda. Maka, aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah engkau menyayangi dan mencintai mereka berdua?’ Baginda SAW bersabda: ‘Bagaimana aku tidak menyayangi mereka berdua, kerana kedua-duanya adalah wangian bagiku daripada dunia.’” Selain itu juga, terdapat riwayat daripada Ya‘la al-‘Amiri bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Husain adalah salah seorang cucu. Maka sesiapa yang mencintaiku, maka hendaklah dia juga mencintai Husain.”

Di samping itu, diriwayatkan daripada al-Harith, daripada Ali secara marfu‘ bahawasanya al-Hasan dan al-Husain adalah penghulu bagi para pemuda ahli syurga. Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir bahawasanya beliau berkata — dan ketika itu al-Husain sedang memasuki masjid —: “Sesiapa yang suka untuk melihat kepada penghulu bagi sekalian pemuda ahli syurga, maka lihatlah kepada orang ini.” Selain itu terdapat riwayat daripada Ummu Salamah bahawasanya Nabi SAW telah menutup Hasan, Husain dan Fatimah dengan sehelai kain, kemudian berdoa: “Ya Allah, mereka ini adalah ahli baitku dan orang-orang terdekatku. Ya Allah, hilangkanlah daripada mereka dosa, dan sucikanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/280-283).

Al-Husain bin Ali R.Anhuma juga sangat mirip kepada datuknya, Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أُتِيَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الحُسَيْنِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَجُعِلَ فِي طَسْتٍ فَجَعَلَ يَنْكُتُ وَقَالَ فِي حُسْنِهِ شَيْئًا، فَقَالَ أَنَسٌ: كَانَ أَشْبَهَهُمْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَخْضُوبًا بِالوَسْمَةِ.

Maksudnya:Kepala al-Husain A.S dibawakan kepada ‘Ubaidullah bin Ziyad (pemimpin Kufah yang berpihak kepada Yazid bin Mu‘awiyah). Lalu kepala itu diletakkan di atas sebuah talam (bekas). Dia mula menusuknya (diantara mata dengan hidung) serta mengatakan sesuatu tentang ketampanannya (dalam bentuk kejian).” Anas berkata: “Beliau (al-Husain) sangat mirip dengan Rasulullah SAW di antara kamu semua. Rambutnya diwarnai dengan wasmah.”

Riwayat al-Bukhari (3748)

Beliau juga adalah salah seorang penghulu sekalian pemuda ahli syurga. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri, katanya: Rasulullah SAW bersabda: 

الحَسَنُ وَالحُسَيْنُ سَيِّدَا شَبَابِ أَهْلِ الجَنَّةِ

Maksudnya:Al-Hasan dan al-Husain adalah penghulu bagi sekalian pemuda ahli syurga.”

Riwayat al-Tirmizi (3768) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih; Riwayat Ahmad (11636); al-Nasa’i dalam al-Kubra (8113); al-Albani menilainya sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3181)

Selain itu, Husain juga merupakan orang yang banyak melakukan amalan kebaikan seperti puasa, solat, haji, sedekah dan lain-lain. Dikatakan bahawa al-Husain tidak suka apa yang dilakukan oleh saudaranya, al-Hasan yang menyerahkan urusan kepimpinan itu kepada Mu‘awiyah, dan berkata: “ Demi Allah, engkau membenarkan cerita Mu‘awiyah dan mendustakan cerita ayahmu.” Maka, al-Hasan berkata kepadanya: “Diamlah, sesungguhnya aku lebih mengetahui berkenaan urusan ini berbanding engkau.” Beliau telah dibunuh pada hari Jumaat — namun terdapat pendapat menyatakan, pada hari Sabtu — bersamaan pada hari ‘Asyura’ tahun 61 Hijrah di Karbala’ iaitu satu tempat di Iraq. Orang yang telah membunuhnya itu ialah Sinan bin Anas al-Nakha‘i. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 2/24).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *