Bilal bin Rabah al-Habasyi R.A

Bilal bin Rabah termasuk dalam kalangan mereka yang awal menerima dan memeluk agama Islam. Beliau ialah Bilal bin Rabah maula Abu Bakar al-Siddiq. Abu Bakar membelinya dengan harga 5 Uqiyah. Ada yang berpendapat dengan 7 Uqiyah dan ada juga yang berpendapat dengan 9 Uqiyah, lalu memerdekakannya kerana Allah SWT. Ibunya bernama Hamamah. Beliau merupakan muazzin Rasulullah SAW. Beliau juga termasuk salah seorang al-Sabiqun al-Awwalun yang mula-mula diseksa kerana mempertahankan tauhid, menyertai peperangan Badar, dan termasuk dalam kalangan yang dijanjikan syurga. Hadith-hadith beliau terdapat dalam kitab-kitab hadith. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ibn Umar, Abu Uthman al-Nahdi, al-Aswad, ‘Abd al-Rahman bin Abu Laila dan ramai lagi. Begitu juga kelebihan dan kebaikannya juga banyak. Beliau hidup selama 60 tahun lebih. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/347; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/415).

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, Abu Bakar al-Siddiq membelinya daripada orang musyrikin ketika mana mereka menyeksanya kerana tauhid, lalu memerdekakannya. Setelah itu, beliau melazimi Nabi SAW dan menjadi muazzin Baginda. Beliau juga menyertai atau bersama Baginda SAW dalam banyak peristiwa dan peperangan. Selain itu, Nabi SAW juga telah mempersaudarakannya dengan Abu ‘Ubaidah bin al-Jarrah. Kemudian, Bilal bin Rabah selepas kewafatan Nabi SAW telah keluar sebagai mujahid sehinggalah beliau wafat di Syam.  (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/455).

Nama julukan (kunyah) beliau ialah Abu ‘Abd al-Karim. Ada yang berpendapat, Abu ‘Abdillah, dan ada juga yang berpendapat Abu ‘Amr. Beliau merupakan bekas hamba Bani Jumah. Begitu juga Umayyah bin Khalaf sering menyeksanya. Kemudian, ditakdirkan Allah SWT Bilal berjaya membunuhnya dalam peperangan Badar. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/415). 

Diceritakan bahawa Umayyah bin Khalaf pernah membawanya keluar ketika panas terik, lalu membaringkannya di satu kawasan lapang Makkah. Kemudian memerintahkan agar satu batu besar diletakkan di atas dadanya. Kemudian berkata: “Perkara ini akan berterusan sehinggalah dia mati atau kufur dengan Muhammad.” Manakala Bilal pula dalam keadaan tersebut terus mengatakan: “Ahad, Ahad.” Setelah itu, Abu Bakar melewatinya dan membeli Bilal daripadanya dengan hamba miliknya yang berkulit hitam.  (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/456).

Apabila wafatnya Rasulullah SAW, Bilal ingin keluar ke Syam. Maka, Abu Bakar berkata kepadanya: “Tetaplah engkau di sisiku.” Bilal pun berkata: “Jika engkau dahulunya memerdekakanku untuk dirimu, maka tahanlah aku (daripada pergi), dan jika engkau dahulunya memerdekakanku kerana Allah ‘Azza wa Jalla, maka biarkanlah aku sendirian supaya aku dapat pergi kepada Allah ‘Azza wa Jalla (yakni berjihad pada jalan-Nya). Abu Bakar berkata: “Pergilah.” Maka, beliau pun pergi ke Syam dan berada di sana sehinggalah beliau meninggal dunia. Namun, terdapat pendapat menyatakan bahawa beliau menjadi muazzin bagi Abu Bakar R.A selepas kewafatan Nabi SAW. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/415). 

Begitu juga terdapat riwayat daripada Sa‘id bin ‘Abd al-‘Aziz, Ibn Jabir dan selain mereka bahawa Bilal tidak menjadi muazzin kepada sesiapapun selepas kewafatan Rasulullah SAW dan beliau ingin keluar berjihad, sedangkan Abu Bakar pula ingin menghalangnya. Maka beliau berkata: “Sekiranya engkau dahulunya memerdekakanku kerana Allah, maka biarkanlah aku memilih jalanku.” 

Di samping itu, diceritakan bahawa Bilal R.A sudah berada di Syam. Lalu  Umar R.A datang. Maka, kaum Muslimin telah meminta kepada Umar R.A agar meminta kepada Bilal R.A bagi pihak mereka untuk melaungkan azan. Umar pun menunaikan hasrat mereka dan Bilal melaungkan azan. Tidak dilihat satu hari pun di mana orang ramai paling banyak menangis berbanding hari tersebut kerana mereka teringatkan dan terkenangkan Nabi SAW.

Selain itu, terdapat riwayat daripada Zaid bin Aslam, daripada bapanya, beliau berkata: “Kami datang ke Syam bersama dengan Umar R.A, kemudian Bilal R.A telah azan. Maka manusia yang berada di situ mengingati Nabi SAW — apabila mendengar azan Bilal R.A. Aku tidak melihat satu hari pun orang yang paling banyak menangis daripadanya (iaitu Bilal R.A).” (Lihat Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/357).

Bilal bin Rabah R.A termasuk dalam kalangan sahabat yang mendapat jaminan syurga. Hal ini kerana terdapat sebuah hadith yang menyebut bahawa Nabi SAW mendengar suara sepasang sandalnya di syurga. Hadith tersebut diriwayatkan daripada Buraidah R.A, katanya: Nabi SAW memanggil Bilal, lalu Baginda bersabda kepadanya:

يَا بِلَالُ، بِمَ سَبَقْتَنِي إِلَى الْجَنَّةِ؟ إِنِّي دَخَلْتُ الْجَنَّةَ الْبَارِحَةَ، فَسَمِعْتُ خَشْخَشَتَكَ أَمَامِي، فَأَتَيْتُ عَلَى قَصْرٍ مِنْ ذَهَبٍ مُرَبَّعٍ، فَقُلْتُ: لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لِرَجُلٍ مِنْ أُمَّةِ مُحَمَّدٍ، قُلْتُ: فَأَنَا مُحَمَّدٌ، لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُو: لِرَجُلٍ مِنَ الْعَرَبِ، قُلْتُ: أَنَا عَرَبِيٌّ، لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لِرَجُلٍ مِنْ قُرَيْشٍ، قُلْتُ: فَأَنَا قُرَشِيٌّ، لِمَنْ هَذَا الْقَصْرُ؟ قَالُوا: لَعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ، فَقَالَ بِلَالٌ: يَا رَسُولَ اللهِ، مَا أَذَّنْتُ قَطُّ إِلَّا صَلَّيْتُ رَكْعَتَيْنِ، وَمَا أَصَابَنِي حَدَثٌ قَطُّ إِلَّا تَوَضَّأْتُ عِنْدَهَا، فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: بِهَذَا.

Maksudnya:Wahai Bilal! Dengan apa engkau mendahuluiku ke syurga? Sesungguhnya aku masuk syurga malam tadi, lalu aku mendengar bunyi sandalmu di depanku. Lalu aku datang ke sebuah istana daripada emas yang berbentuk persegi. Aku bertanya: ‘Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Untuk seorang lelaki daripada umat Muhammad.’ Aku bertanya lagi: ‘Aku Muhammad. Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Milik seorang lelaki daripada bangsa Arab.’ Aku bertanya lagi: ‘Aku orang Arab. Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Milik seorang lelaki daripada Quraisy.’ Aku bertanya lagi: ‘Aku daripada Quraisy. Milik siapakah istana ini?’ Mereka menjawab: ‘Milik Umar bin al-Khattab.’ Maka Bilal berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku tidak mengumandangkan azan sekalipun kecuali aku berwuduk pada saat itu.’ Maka Nabi SAW bersabda: ‘Dengan itu (engkau mendahuluiku).’

Riwayat al-Tirmizi (3689), Ahmad (23046) dan Ibn Khuzaimah (1209). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai hadith ini sebagai sahih li ghairihi dalam Takhrij al-Musnad (23040).

Begitu juga dalam riwayat lain, daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda kepada Bilal ketika waktu solat Subuh:

يَا بِلاَلُ حَدِّثْنِي بِأَرْجَى عَمَلٍ عَمِلْتَهُ فِي الإِسْلاَمِ، فَإِنِّي سَمِعْتُ دَفَّ نَعْلَيْكَ بَيْنَ يَدَيَّ فِي الجَنَّةِ قَالَ: مَا عَمِلْتُ عَمَلًا أَرْجَى عِنْدِي أَنِّي لَمْ أَتَطَهَّرْ طَهُورًا، فِي سَاعَةِ لَيْلٍ أَوْ نَهَارٍ، إِلَّا صَلَّيْتُ بِذَلِكَ الطُّهُورِ مَا كُتِبَ لِي أَنْ أُصَلِّيَ.

Maksudnya:Wahai Bilal, ceritakan kepadaku tentang amalan yang paling engkau harapkan yang telah engkau lakukan apabila memeluk Islam. Sesungguhnya aku mendengar bunyi tapak kasutmu di hadapanku di dalam syurga. Beliau menjawab: ‘Tidak ada amalan yang lebih aku harapkan berbanding apabila aku berwuduk pada waktu malam atau siang, aku akan mendirikan solat dengan wuduk itu apa yang telah ditakdirkan untuk aku solat.’” 

Riwayat al-Bukhari (1149)

Begitu juga riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, Nabi SAW bersabda: 

رَأَيْتُنِي دَخَلْتُ الجَنَّةَ، فَإِذَا أَنَا بِالرُّمَيْصَاءِ، امْرَأَةِ أَبِي طَلْحَةَ، وَسَمِعْتُ خَشَفَةً، فَقُلْتُ: مَنْ هَذَا؟ فَقَالَ: هَذَا بِلاَلٌ.

Maksudnya:Aku melihat diriku (di dalam mimpi) memasuki syurga. Aku terlihat al-Rumaisa’, isteri Abu Talhah (di dalam Syurga). Aku mendengar bunyi tapak kaki maka aku bertanya: ‘Siapakah dia?’ Seseorang menjawab: ‘Dia Bilal.’” 

Riwayat al-Bukhari (3679)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: “Kerana Bilal berjalan di hadapan Nabi SAW untuk mengumandangkan azan, beliau meraih yang sepadan dengannya di syurga. Namun, hal itu tidak bererti bahawa Bilal masuk syurga mendahului Nabi SAW kerana Bilal adalah pengikut Baginda. Seolah-olahnya, Nabi SAW mengisyaratkan berterusannya Bilal di atas apa yang dipegangnya selama ini dalam hidupnya dan tetap dekatnya kedudukannya (dengan Nabi). Hadith ini juga menunjukkan keutamaan yang besar bagi Bilal.” (Lihat Fath al-Bari, 3/43).

Menurut Imam al-Bukhari, beliau wafat di Syam pada zaman Umar R.A. Ibn Bukair menyebutkan bahawa beliau meninggal dunia kerana jangkitan Taun ‘Amwas, dan ‘Amr bin Ali berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1/456). 

Ada juga yang berpendapat bahawa beliau meninggal dunia pada tahun 20 Hijrah di Dimasyq. Menurut al-Waqidi, beliau dikebumikan di Bab al-Saghir, ketika berusia 60 tahun lebih. Manakala Ali bin Abdullah al-Tamimi pula berpendapat, beliau dikebumikan di Bab Kisan. Ibn Zaid pula menyebutkan, jenazahnya dibawa dari Darayya dan dikebumikan di Bab Kisan. Bukan itu sahaja, ada juga yang berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 21 Hijrah. Menurut Marwan bin Muhammad al-Tatari, Bilal meninggal dunia di Darayya, lalu jenazahnya dibawa dan dikebumikan di Bab al-Saghir. ‘Abd al-Jabbar bin Muhammad dalam Tarikh Darayya menyebutkan bahawa beliau mendengar sekumpulan orang dari Khaulan berkata: “Sesungguhnya kubur Bilal di Darayya di perkuburan Khaulan.” Selain itu, Ali bin ‘Abd al-Rahman pula berpendapat, Bilal meninggal dunia di Halab dan dikebumikan di Bab al-Arba‘in. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/359-360).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *