Fatimah binti Rasulullah SAW

Beliau ialah Ummul Hasanain Fatimah binti Rasulullah SAW Abu al-Qasim Muhammad bin Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf al-Qurasyiyyah al-Hasyimiyyah. Beliau dilahirkan tidak lama sebelum Nabi diutuskan menjadi Rasul. Beliau berkahwin dengan Ali bin Abu Talib pada bulan Zulkaedah atau hampir-hampir dengan bulan tersebut, pada tahun 2 Hijrah selepas perang Badar. Ibn ‘Abd al-Bar menyebutkan, Ali R.A bersama dengan Fatimah R.Anha sebagai suami isteri selepas perang Uhud dan hasil perhubungan tersebut, lahirlah al-Hasan, al-Husain, Muhsin, Ummu Kulthum dan Zainab. 

Fatimah R.Anha juga meriwayatkan hadith daripada bapanya, Rasulullah SAW. Manakala di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah anak-anaknya, Aisyah, Ummu Salamah, Anas bin Malik dan lain-lain. Riwayat-riwayatnya itu pula terdapat dalam al-Kutub al-Sittah. Tambahan lagi, Baginda SAW sangat menyayanginya, memuliakannya dan menggembirakan hatinya. Malah kelebihan dan kebaikannya juga sangat banyak. Di samping itu, beliau merupakan seorang yang penyabar, beragama, baik hati, menjaga diri, berasa cukup dan redha dengan yang sedikit, dan selalu bersyukur kepada Allah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/118-119).

Fatimah lebih muda daripada Zainab, isteri Abu al-‘As bin Rabi‘ dan Ruqayyah, isteri Uthman bin ‘Affan. Beliau juga lebih muda daripada Ummu Kulthum. Fatimah al-Zahra’ menyaksikan sendiri betapa halangan dan rintangan yang telah dihadapi ayahandanya dalam memperjuangkan Islam. Pernah ketika Nabi SAW dihina, dimaki hamun, malah diletakkan najis binatang ketika Nabi SAW sedang sujud; menyembah Allah SWT. Dalam keadaan sedih melihat keadaan itu, Fatimah membersihkan tubuh Nabi daripada kotoran yang ditaburkan oleh kaum Quraisy.

Aisyah R.Anha pernah menyebutkan bahawa Fatimah R.Anha ialah orang yang paling mirip dengan Rasulullah SAW. Aisyah R.Anha berkata:

مَا رَأَيْتُ أَحَدًا أَشْبَهَ سَمْتًا وَدَلًّا وَهَدْيًا بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ فَاطِمَةَ بِنْتِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي قِيَامِهَا وَقُعُودِهَا

Maksudnya:Aku tidak pernah melihat seorang pun yang lebih menyerupai Rasulullah SAW sama ada ketika senyap, perilakunya dan pendiriannya kecuali Fatimah binti Rasulullah, ketika berdiri mahupun duduknya.”

Riwayat Abu Dawud (5217), al-Tirmizi (3872) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8369)

Selain itu, Aisyah R.Anha turut berkata:

وَكَانَتْ إِذَا دَخَلَتْ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَامَ إِلَيْهَا فَقَبَّلَهَا وَأَجْلَسَهَا فِي مَجْلِسِهِ، وَكَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ عَلَيْهَا قَامَتْ مِنْ مَجْلِسِهَا فَقَبَّلَتْهُ وَأَجْلَسَتْهُ فِي مَجْلِسِهَا

Maksudnya: “Apabila beliau menemui Nabi, maka Baginda akan menyambutnya, menciumnya dan memberinya tempat duduk di tempat yang Baginda duduki. Begitu juga apabila Baginda SAW menemuinya, maka beliau (Fatimah) akan berdiri dari tempat duduknya (untuk menyambut), lalu beliau akan mencium Baginda dan memberinya tempat duduk di tempat yang beliau duduki.”

Riwayat Abu Dawud (5217), al-Tirmizi (3872) dan al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8369)

Bahkan, cara jalan Fatimah R.Anha juga sangat mirip dengan cara jalan Rasulullah SAW, sebagaimana diriwayatkan oleh Aisyah R.Anha bahawa:

أَقْبَلَتْ فَاطِمَةُ تَمْشِي كَأَنَّ مِشْيَتَهَا مَشْيُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَرْحَبًا بِابْنَتِي» ثُمَّ أَجْلَسَهَا عَنْ يَمِينِهِ – أَوْ عَنْ شِمَالِهِ.

Maksudnya: “Fatimah datang berjalan kaki, dan cara berjalannya adalah seakan-akan cara berjalan Nabi SAW. Maka Nabi SAW bersabda: “Selamat datang wahai puteriku.” Kemudian Baginda mendudukkan Fatimah pada bahagian kanannya –  atau kata perawi, sebelah kirinya.” 

Riwayat al-Bukhari (3623) dan Muslim (2450)

Bukan itu sahaja, Nabi SAW juga pernah berasa marah bagi pihaknya, apabila sampai berita kepadanya bahawa Abu al-Hasan berkeinginan untuk meminang anak perempuan Abu Jahal. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ali bin Husain bahawa al-Miswar bin Makhramah berkata:

إِنَّ عَلِيًّا خَطَبَ بِنْتَ أَبِي جَهْلٍ فَسَمِعَتْ بِذَلِكَ فَاطِمَةُ فَأَتَتْ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ. فَقَالَتْ: يَزْعُمُ قَوْمُكَ أَنَّكَ لاَ تَغْضَبُ لِبَنَاتِكَ، وَهَذَا عَلِيٌّ نَاكِحٌ بِنْتَ أَبِي جَهْلٍ. فَقَامَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَمِعْتُهُ حِينَ تَشَهَّدَ يَقُولُ: أَمَّا بَعْدُ، أَنْكَحْتُ أَبَا العَاصِ بْنَ الرَّبِيعِ فَحَدَّثَنِي وَصَدَقَنِي. وَإِنَّ فَاطِمَةَ بَضْعَةٌ مِنِّي وَإِنِّي أَكْرَهُ أَنْ يَسُوءَهَا. وَاللَّهِ، لاَ تَجْتَمِعُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَبِنْتُ عَدُوِّ اللَّهِ عِنْدَ رَجُلٍ وَاحِدٍ. فَتَرَكَ عَلِيٌّ الخِطْبَةَ. 

Maksudnya:Sesungguhnya Ali meminang anak perempuan Abu Jahal, lalu Fatimah mendengar hal itu, maka beliau pun pergi bertemu Rasulullah SAW dan berkata: ‘Kaummu mengatakan bahawa engkau tidak marah demi anak-anak perempuanmu. Ini beliau Ali, akan menikahi anak perempuan Abu Jahal.’ Maka Rasulullah SAW berdiri dan aku mendengarnya ketika Baginda bersaksi, lalu bersabda: ‘Amma ba‘d, aku menikahkan (anakku) dengan Abu al-‘As bin al-Rabi‘, beliau berbincang denganku dan berlaku jujur kepadaku. Sesungguhnya Fatimah sebahagian daripadaku (darah dagingku), dan sesungguhnya aku tidak suka jika hal itu menyakiti dirinya. Demi Allah, tidak akan berkumpul puteri Rasulullah SAW dengan anak perempuan musuh Allah pada seorang lelaki.’ Maka Ali pun memutuskan pinangannya.

Riwayat al-Bukhari (3729)

Selain itu, Fatimah R.Anha juga termasuk dalam kalangan orang yang dijanjikan syurga. Hal ini dapat dilihat menerusi riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya: 

أَقْبَلَتْ فَاطِمَةُ تَمْشِي كَأَنَّ مِشْيَتَهَا مَشْيُ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «مَرْحَبًا بِابْنَتِي» ثُمَّ أَجْلَسَهَا عَنْ يَمِينِهِ – أَوْ عَنْ شِمَالِهِ – ثُمَّ أَسَرَّ إِلَيْهَا حَدِيثًا فَبَكَتْ، فَقُلْتُ لَهَا: لِمَ تَبْكِينَ؟ ثُمَّ أَسَرَّ إِلَيْهَا حَدِيثًا فَضَحِكَتْ، فَقُلْتُ: مَا رَأَيْتُ كَاليَوْمِ فَرَحًا أَقْرَبَ مِنْ حُزْنٍ، فَسَأَلْتُهَا عَمَّا قَالَ: فَقَالَتْ: مَا كُنْتُ لِأُفْشِيَ سِرَّ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، حَتَّى قُبِضَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَسَأَلْتُهَا. فَقَالَتْ: أَسَرَّ إِلَيَّ: إِنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي القُرْآنَ كُلَّ سَنَةٍ مَرَّةً، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي، وَإِنَّكِ أَوَّلُ أَهْلِ بَيْتِي لَحَاقًا بِي. فَبَكَيْتُ، فَقَالَ: أَمَا تَرْضَيْنَ أَنْ تَكُونِي سَيِّدَةَ نِسَاءِ أَهْلِ الجَنَّةِ، أَوْ نِسَاءِ المُؤْمِنِينَ فَضَحِكْتُ لِذَلِكَ.

Maksudnya: “Fatimah datang berjalan kaki, dan cara berjalannya adalah seakan-akan cara berjalan Nabi SAW. Maka Nabi SAW bersabda: ‘Selamat datang wahai puteriku.’ Kemudian Baginda mendudukkan Fatimah pada bahagian kanannya —  atau kata perawi, sebelah kirinya — kemudian membisikkan sesuatu kepadanya, lalu Fatimah menangis. Setelah itu, aku bertanya kepadanya: ‘Apakah yang menyebabkan engkau menangis?’ Kemudian Baginda membisikkan lagi sesuatu kepadanya, lalu Fatimah ketawa. Aku berkata: ‘Aku tidak pernah melihat seperti hari ini, kegembiraan yang begitu hampir dengan kesedihan.’ Aku pun bertanya kepadanya tentang apa yang dikatakan Nabi SAW, tetapi beliau berkata: ‘Aku tidak akan membocorkan rahsia Rasulullah SAW.’ Setelah Nabi SAW wafat, maka aku pun bertanya kepadanya. Fatimah menjawba: Baginda membisikkan kepadaku: ‘Sesungguhnya Jibril membentangkan bacaan al-Quran kepadaku sekali setiap tahun, tetapi tahun ini Jibril membentangkan kepadaku sebanyak dua kali, dan aku fikir ia tidak lain tidak bukan kerana ajalku hampir tiba, dan sesungguhnya engkau ialah ahli keluargaku yang pertama yang akan menyusuliku (yakni meninggal dunia selepasku).’ Aku pun menangis. Lalu Baginda bersabda lagi: ‘Tidakkah engkau redha untuk menjadi penghulu wanita-wanita penghuni syurga – atau (kata perawi) wanita-wanita yang beriman?’ Aku pun ketawa kerana hal itu.”

Riwayat al-Bukhari (3623, 3624) dan Muslim (2450)

Setelah enam bulan wafatnya Rasulullah SAW, Fatimah Zahra jatuh sakit. Namun ditengah kesakitan yang dialami, Fatimah bukannya bersedih tetapi  gembira kerana telah mengetahui dia akan menyusul ayahnya, Rasulullah SAW. Fatimah meninggal dunia pada malam selasa tanggal 13 Ramadhan tahun 11H/23 November 632 M pada usia 28 tahun. Jenazahnya dikuburkan di perkuburan Baqi‘ di Madinah. (Lihat The Great Sahaba oleh Rizem Aizid, hlm. 50).

Al-Zahabi membawakan riwayat daripada al-Zuhri, daripada ‘Urwah, daripada Aisyah R.Anha, katanya: Fatimah R.Anha hidup selepas kewafatan Nabi SAW selama enam bulan dan beliau dikebumikan pada waktu malam. Al-Waqidi berkata: “Inilah pendapat yang paling sabit (kuat) di sisi kami.” Jenazahnya dimandikan oleh Ali. Kemudian disolatkan oleh al-‘Abbas dan begitu juga beliau, Ali dan al-Fadhl yang menurunkan jenazahnya ke dalam liang kuburnya. Menurut Sa‘id bin ‘Ufair pula, beliau wafat pada malam selasa selepas berlalunya tiga bulan selepas bulan Ramadhan, tahun 11 Hijrah, ketika berusia 27 tahun atau seumpamanya, dan dikebumikan pada waktu malam. 

Manakala menurut Abu Jaafar al-Baqir, beliau meninggal dunia selepas tiga bulan daripada kewafatan bapanya, ketika berusia 28 tahun. Terdapat riwayat daripada Ibn Abi Mulaikah, daripada Aisyah, katanya: “Tempoh  masa antara Fatimah dan bapanya ialah dua bulan.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/127-128).

One thought on “Fatimah binti Rasulullah SAW

  1. Pingback: Doa Ziarah Perkuburan Baqi' Madinah (Transliterasi RUMI) • AKU ISLAM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *