Beliau ialah Abu Dahdah al-Ansari, mendapat jaminan perlindungan daripada kaum Ansar. Abu Umar berkata: “Aku tidak menjumpai namanya, mahupun nasabnya lebih daripada bahawasanya beliau daripada kaum Ansar dan mendapat jaminan perlindungan daripada mereka.” Begitu juga al-Baghawi mengatakan: “Abu Dahdah al-Ansari, dan tidak disebutkan apa-apa maklumat lain.” (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 7/100).

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya: Seorang lelaki telah datang menemui Rasulullah SAW dan berkata:

 يَا رَسُولَ اللهِ، إِنَّ لِفُلَانٍ نَخْلَةً، وَإِنَّمَا أُقِيمُ حَائِطِي بِهَا فَمُرْهُ أَنْ يُعْطِينِيهَا، أُرَاهُ قَالَ: حَتَّى أُقِيمَ بِهَا حَائِطِي، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَعْطِهِ إِيَّاهَا بِنَخْلَةٍ فِي الْجَنَّةِ» ، فَأَبَى، فَأَتَاهُ أَبُو الدَّحْدَاحِ، فَقَالَ: بِعْنِي نَخْلَتَكَ بِحَائِطِي، فَفَعَلَ، فَأَتَى أَبُو الدَّحْدَاحِ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللهِ، إِنِّي قَدِ ابْتَعْتُ النَّخْلَةَ بِحَائِطِي – أُرَاهُ قَالَ: فَاجْعَلْهَا لَهُ – فَقَالَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «كَمْ مِنْ عِذْقٍ رَدَاحٍ لِأَبِي الدَّحْدَاحِ فِي الْجَنَّةِ»، فَوَلَّى فَأَتَى أَبُو الدَّحْدَاحِ امْرَأَتَهُ فَقَالَ: يَا أُمَّ الدَّحْدَاحِ، اخْرُجِي مِنَ الْحَائِطِ، فَإِنِّي قَدْ بِعْتُهُ بِنَخْلَةٍ فِي الْجَنَّةِ، فَقَالَتْ: رَبِحَ الْبَيْعُ، أَوْ كَلِمَةً تُشْبِهُهَا 

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, si Fulan ini memiliki satu pohon kurma, sementara aku membuat kebunku di situ, maka perintahkanlah dia untuk memberikannya kepadaku agar aku boleh membuat kebunku di situ.” Maka Rasulullah SAW berkata kepada si Fulan tersebut: “Berikanlah pohon tersebut kepadanya, dengan ganti satu pohon kurma kelak di syurga.” Maka si Fulan tersebut pun enggan untuk memberikannya. Kemudian Abu al-Dahdah datang menemuinya dan mengatakan: “Jual kepadaku satu pohonmu itu dengan kebun kurmaku.” Maka orang itu pun menjualnya. Kemudian Abu al-Dahdah datang bertemu Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, aku telah membeli pohon tersebut dengan kebun kurmaku, maka berikanlah pohon itu kepada orang yang memintanya tadi.” Maka Rasulullah SAW pun bersabda: “Betapa banyak ranting kurma untuk Abu al-Dahdah di syurga.” Kemudian Abu al-Dahdah datang bertemu isterinya yang sedang berada di kebun kurma mereka sambil berkata: “Wahai Ummu al-Dahdah, keluarlah engkau dari kebun ini, kerana aku telah menjualnya dengan bayaran satu pohon kurma di syurga.” Maka isterinya pun menjawab: “Sungguh telah beruntung jual belimu,” atau perkataan seumpamanya.

Riwayat Ahmad (12482) dan Ibn Hibban (7159). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (12482) menyatakan bahawa sanad hadith ini berdasarkan syarat Imam Muslim.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *