Ummul Mukminin Aisyah R.Anha

Beliau ialah Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq Abdullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim al-Taimiyyah al-Qurasyiyyah. Ibu beliau bernama Ummu Ruman binti ‘Amir. Beliau dilahirkan empat atau lima tahun selepas Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/231).

Aisyah diberikan nama julukan — kunyah — Ummu ‘Abdillah kerana beliau pernah meminta kepada Rasulullah SAW untuk diberikan kunyah kepadanya, dan gelaran itu diberikan kepadanya kerana beliau sangat rapat dengan anak saudaranya yang bernama Abdullah bin Zubair R.A. (Lihat al-Raud al-Unuf, 4/427).

Diriwayatkan daripada al-Qasim bin Muhammad bahawa ketika Aisyah sedang sakit, Ibn Abbas R.Anhuma datang dan berkata: 

يَا أُمَّ الـمُؤْمِنِينَ تَقْدَمِينَ عَلَى فَرَطِ صِدْقٍ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى أَبِي بَكْرٍ

Maksudnya: “Wahai Ummul Mukminin, kamu adalah orang yang terkehadapan (masuk syurga) bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar.”

Riwayat al-Bukhari (3771)

Para ulama berpendapat walaupun bukan Rasulullah SAW yang mengatakan hal ini secara terus, tetapi disebabkan ia berkaitan dengan perkara ghaib, maka sudah pasti Ibn Abbas yang mendengarnya sendiri daripada Rasulullah SAW. Maka perkataan Ibn Abbas ini termasuk dalam riwayat mauquf yang mempunyai hukum marfu‘. (Lihat Irsyad al-Sari, 8248).

Begitu juga diriwayatkan juga secara marfu‘ bahawa Ibn Abbas R.Anhuma mendengar daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: 

عائشةُ زوجتي في الجنَّةِ

Maksudnya:Aisyah ialah isteriku di syurga.”

Riwayat Abu Hanifah dalam Musnadnya (662). Hadith ini dinilai hasan dengan banyaknya jalur riwayat yang saling menyokong antara satu sama lain berdasarkan Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2867).

Selain itu, diriwayatkan juga daripada Aisyah R.Anha, katanya:

 قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ مِنْ أَزْوَاجِكَ فِي الْجَنَّةِ؟ قَالَ: «أَمَا إِنَّكِ مِنْهُنَّ»

Maksudnya:Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah SAW, siapakah antara isteri-isteri kamu di syurga?’ Baginda menjawab: ‘Adapun kamu termasuk dalam kalangan mereka.’

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/14) dan beliau menilai sanad hadith ini sebagai sahih dan dipersetujui oleh al-Zahabi dalam al-Talkhis.

Selain daripada itu diriwayatkan juga bahawa Abu Wa’il berkata: Ketika Ali mengutus ‘Ammar dan al-Hasan ke Kufah bagi mengerah mereka (untuk berperang dalam perang Jamal). ‘Ammar berkhutbah lalu berkata: 

إِنِّي لَأَعْلَمُ أَنَّهَا زَوْجَتُهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَلَكِنَّ اللَّهَ ابْتَلاَكُمْ لِتَتَّبِعُوهُ أَوْ إِيَّاهَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mengetahui bahawa beliau (Aisyah) ialah isterinya (Nabi SAW) di dunia dan akhirat. Akan tetapi, Allah menguji kamu, apakah kamu mengikutinya (Ali sebagai pemimpin) atau beliau (Aisyah)?

Riwayat al-Bukhari (3772)

Aisyah R.Anha wafat pada malam selasa bersamaan dengan tarikh 17 Ramadhan pada tahun 58 Hijrah. Sebahagian ulama berpendapat, pada tahun 57 Hijrah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘ di Madinah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/235).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *