Waraqah bin Naufal

Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai al-Qurasyi al-Asadi. Beliau adalah sepupu kepada Khadijah R.Anha, isteri Nabi SAW. 

Beliau adalah salah seorang daripada empat orang, yang berkumpul pada hari perayaan Quraisy terhadap berhala-berhala mereka. Mereka berbicara sesama mereka dan bersepakat bahawa Quraisy telah menyimpang daripada agama Ibrahim A.S, dan bahawasanya tidak ada erti menyembah berhala. Mereka pun pergi mencari agama Ibrahim yang sebenar. Mereka itu ialah Waraqah bin Naufal, ‘Ubaidullah bin Jahsy, Uthman bin al-Huwairith, dan Zaid bin ‘Amr bin Nufail. 

Adapun Waraqah, dia telah memeluk agama Nasrani dan membaca apa yang dia temui daripada kitab-kitab terdahulu. Justeru, dia telah tetap berada dalam agama Nasrani dan menjadi salah seorang ulamanya. Manakala Uthman bin al-Huwairith, dia telah memeluk agama Nasrani, dan pergi ke Kaisar serta menetap di sana sehinggalah dia meninggal dunia. Zaid (bin ‘Amr) bin Nufail pula, dia berada di Makkah dengan berpegang kepada agama Ibrahim yang benar sehingga dia meninggal dunia. Adapun ‘Ubaidullah bin Jahsy pula, dia telah mengenai Islam, lalu memeluk agama Islam dan berhijrah ke Habasyah bersama isterinya — Ummul Mukminin kemudiannya — Ramlah binti Abu Sufyan R.Anhuma. Akan tetapi ‘Ubaidullah telah murtad di sana dan memeluk agama Nasrani sehingga dia meninggal dunia. (Lihat Fatawa al-Syabakah al-Islamiyyah, 8/557)

Kisah yang masyhur berkenaan Waraqah bin Naufal ialah ketika mana Khadijah R.Anha membawa Rasulullah SAW berjumpa dengannya. Perkara ini direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Diceritakan bahawa setelah turunnya wahyu yang pertama iaitu Surah al-‘Alaq ayat 1-3, Rasulullah SAW kembali kepada keluarganya membawa wahyu itu dalam keadaan hatinya berdebar-debar. Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan bersabda: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Maka, mereka menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda. Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: “Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.” Khadijah R.Anha berkata: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.” 

Khadijah R.Anha pun membawa Nabi SAW bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu sepupu Khadijah. Beliau menganut agama Nasrani di masa Jahiliyyah, dan telah menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan beliau menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Saat itu, Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah R.Anha berkata kepadanya: “Wahai sepupuku, dengarlah cerita daripada anak saudaramu ini.” Maka Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?” Maka Rasulullah SAW menceritakan apa yang dialaminya. Lalu Waraqah berkata kepadanya: “Ini ialah Namus (Jibril A.S) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa. Aduhai diriku! Alangkah baik jika ketika dirimu diutuskan sebagai Rasul aku masih muda belia. Aduhai! Seandainya aku masih hidup saat kaummu mengusirmu.” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah mereka pasti akan mengusir aku?” Waraqah menjawab: “Ya, kerana tiada seorang pun yang datang membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Andaikata aku masih hidup pada hari itu, nescaya aku akan menolong engkau dengan sedaya upayaku.” Tidak lama kemudian, Waraqah pun meninggal dunia, lalu penurunan wahyu terhenti buat sementara waktu. 

Riwayat al-Bukhari (3) 

Terdapat perselisihan pendapat berkenaan taraf ‘sahabat’ baginya. Antara ulama yang menyebut beliau termasuk dalam kalangan sahabat ialah al-Tabari, al-Baghawi, Ibn Qani‘, Ibn al-Sakan dan selainnya. (Lihat al-Isabah, 6/607). Manakala di antara ulama yang berpendapat bahawa beliau tidak dikira sebagai sahabat, tetapi beriman dengan Nabi SAW dan meninggal dunia dalam fatrah wahyu selepas kenabian. Mereka ialah Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah (3/25) dan al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (1/129) dan Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata:  “Secara zahirnya bahawa beliau mengakui kenabian Nabi SAW, tetapi beliau meninggal dunia sebelum sempat Rasulullah SAW mengajak manusia kepada Islam, maka kedudukannya sama seperti Buhaira, manakala taraf ‘sahabat’ baginya perlu dinilai semula. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/607).

Justeru, pendapat yang kuat (rajih) ialah beliau merupakan seorang yang beriman dan tergolong dalam kalangan mereka yang mentauhidkan Allah, tetapi beliau tidak termasuk dalam kalangan sahabat kerana beliau meninggal dunia pada fatrah wahyu selepas kenabian dan sebelum turunnya risalah kerasulan.

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَسُبُّوا وَرَقَةَ بْنَ نَوْفَلَ فَإِنِّي قَدْ رَأَيْتُ لَهُ جَنَّةً أَوْ جَنَّتَيْنِ

Maksudnya:Janganlah kamu mencela Waraqah bin Naufal. Sesungguhnya aku melihat baginya satu syurga atau dua syurga.” 

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4211). Beliau mengatakan bahawa ia sahih berdasarkan syarat Imam al-Bukhari dan Muslim dan dipersetujui oleh Imam al-Zahabi. Imam al-Suyuti juga dalam al-Jami‘ al-Saghir (9775) menilai hadith ini sebagai sahih.

Al-Munawi menukilkan daripada al-Iraqi yang menyebutkan: “Hadith ini menguatkan hadith lain yang disampaikan oleh beberapa ulama bahawa Waraqah masuk Islam pada permulaan turunnya wahyu.” (Lihat al-Taisir bi Syarh al-Jami‘ al-Shaghir, 2/953).

Di samping itu, terdapat juga riwayat  Hisyam bin ‘Urwah daripada bapanya: 

سَابَ أَخ لِوَرَقَة رَجُلًا فَتَنَاوَلَ الرَّجُل وَرَقَة فَسَبَّهُ فَبَلَغَ ذَلِكَ النَّبِيّ صَلَى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ لِأَخِيهِ : هَلْ عَلِمْتَ أَنِّي رَأَيْتُ لِوَرَقَةَ جَنَّةً، أَوْ جَنَّتَيْنِ» فَنَهَى رَسُولَ الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ سَبِّهِ

Maksudnya: “Suatu ketika saudara Waraqah mencela seorang lelaki, lalu lelaki tersebut menemui Waraqah dan mencelanya. Berita ini sampai kepada Rasulullah SAW dan Baginda bersabda: ‘Apakah kamu tahu bahawa aku melihat bagi Waraqah satu syurga atau dua syurga?’ Lalu Rasulullah SAW melarang celaan kepada Waraqah.” (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/1107; al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah (3/635) menyatakan, kisah ini diriwayatkan secara mursal).

Begitu juga riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

سُئِلَ النَبيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ وَرَقَةَ بْنِ نَوْفَلٍ، قَالَ: أَبْصَرْتُهُ فِي بُطْنَانِ الْجَنَّةِ عَلَيْهِ السُّنْدسُ

Maksudnya:Rasulullah SAW ditanya tentang Waraqah bin Naufal. Baginda bersabda: ‘Aku melihatnya di tengah-tengah syurga yang di atasnya ada sutera.’” 

Riwayat Abu Ya‘la dalam Musnadnya (2047; al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Matalib al-‘Aliyah (3/283) menyatakan bahawa di dalam riwayat ini terdapat Mujalid yang bersendiri dalam meriwayatkannya, dan dia seorang perawi yang dhaif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *