al-Miqdad bin al-Aswad al-Kindi R.A

Beliau ialah sahabat Rasulullah SAW dan termasuk dalam kalangan al-Sabiqun al-Awwalun (orang-orang yang terdahulu — yang mula-mula berhijrah dan memberi bantuan). Nama beliau ialah al-Miqdad bin ‘Amr bin Tha‘labah bin Malik bin Rabi‘ah al-Qudha‘i al-Kindi al-Bahrani. Beliau dipanggil sebagai al-Miqdad bin al-Aswad kerana beliau dipelihara dan dibesarkan di rumah al-Aswad bin ‘Abd Yaghuth al-Zuhri, lalu dia mengambilnya sebagai anak angkat.  

Menurut Ibn al-Kalbi, ‘Amr bin Tha‘labah iaitu bapanya pernah melakukan pembunuhan dalam kalangan kaumnya, maka dia melarikan diri ke Hadramaut dan mendapatkan perlindungan daripada suku Kindah. Oleh sebab itu, dia dipanggil sebagai al-Kindi. Di sana, dia telah berkahwin dengan seorang wanita, dan daripada pernikahan tersebut lahirlah al-Miqdad. Apabila al-Miqdad sudah dewasa, berlaku perselisihan antaranya dan Abu Syamr bin Hajar al-Kindi. Miqdad kemudiannya telah menetak kaki Abu Syamr dengan pedang, lalu melarikan diri ke Makkah. Di sana beliau telah mendapat jaminan perlindungan daripada al-Aswad bin ‘Abd Yaghuth al-Zuhri. Setelah itu, beliau menulis surat kepada bapanya, lalu dia datang menemuinya. Setelah itu, al-Aswad telah mengambil al-Miqdad sebagai anak angkat, sekali gus menjadi sebab beliau lebih cenderung untuk dipanggil sebagai al-Miqdad bin al-Aswad, dan beliau terkenal dengan nama tersebut. Namun, setelah turunnya ayat:

ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ

Maksudnya: “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri.”

(Surah al-Ahzab: 5)

Barulah beliau dipanggil sebagai al-Miqdad bin ‘Amr. Namun, beliau lebih terkenal dan lebih dikenali sebagai Ibn al-Aswad. Nama julukan — kunyah — beliau ialah Abu al-Aswad. Akan tetapi ada yang berpendapat, nama julukan beliau ialah Abu Umar, dan ada juga yang berpendapat Abu Sa‘id. Beliau juga termasuk dalam kalangan mereka yang terawal memeluk Islam. Terdapat riwayat daripada Ibn Mas‘ud bahawa orang yang mula-mula sekali menzahirkan keislaman mereka ada tujuh orang, dan beliau ialah salah seorang daripadanya. Beliau telah berkahwih dengan Dhuba‘ah binti al-Zubair bin ‘Abd al-Muttalib iaitu sepupu Nabi SAW. Beliau juga termasuk salah seorang yang melakukan dua hijrah, menyertai peperangan Badar dan peperangan selepasnya. Dalam peperangan Badar, beliau adalah tentera berkuda. 

Selain daripada itu, beliau turut meriwayatkan beberapa hadith. Di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya ialah Ali, Ibn Mas‘ud, Ibn Abbas, JUbair bin Nufair, Ibn Abi Laila, Hammam bin al-Harith, ‘Ubaidullah bin ‘Adi bin al-Khiyar dan ramai lagi.

Para ulama telah bersepakat bahawa al-Miqdad R.A telah meninggal dunia pada tahun 33 Hijrah pada zaman pemerintahan Uthman. Dikatakan usianya ketika itu ialah 70 tahun. Jenazahnya telah disolatkan oleh Uthman bin ‘Affan R.A dan dikebumikan di Baqi‘.  (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/385-386; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/159-161) 

Terdapat riwayat daripada Ibn Buraidah, daripada bapanya, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ أَمَرَنِي بِحُبِّ أَرْبَعَةٍ، وَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ يُحِبُّهُمْ. قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ سَمِّهِمْ لَنَا، قَالَ: عَلِيٌّ مِنْهُمْ، يَقُولُ ذَلِكَ ثَلَاثًا «وَأَبُو ذَرٍّ، وَالمِقْدَادُ، وَسَلْمَانُ أَمَرَنِي بِحُبِّهِمْ، وَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ يُحِبُّهُمْ

Maksudnya:Sesungguhnya Allah memerintahkanku untuk mencintai empat orang, dan mengkhabarkan kepadaku bahawa Dia mencintai mereka. Dikatakan kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, sebutkan nama mereka kepada kami.” Baginda bersabda: ‘Ali salah seorang mereka. — Baginda menyebutkan tiga nama lagi (dan menyambung sabdanya) —  Abu Zar, al-Miqdad, dan Salman. Dia memerintahkanku  untuk mencintai mereka dan Dia mengkhabarkan kepadaku bahawa Dia mencintai mereka.’

Riwayat al-Tirmizi (3718) dan beliau menyebutkan, hadith ini adalah hasan gharib, tidak diketahui melainkan daripada hadith Syarik; al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Isabah (6/161) menilainya sebagai hasan; Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut pula dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (1/389) menyatakan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Syarik bin Abdullah al-Qadhi dan dia seorang yang dhaif, serta bersendiri dalam meriwayatkannya.

Selain  itu, terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa beliau termasuk dalam kalangan mereka yang dijamin syurga. Lebih-lebih lagi, tidak dapat dinafikan akan kelebihan dan keutamaannya sebagai al-Sabiqun al-Awwalun, ahli Badar dan seumpamanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat Anas bin Malik R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ تَشْتاقُ إِلَى أَرْبَعَةٍ: عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ، وَعَمَّارِ بْنِ يَاسِرٍ، وَسَلْمَانَ الْفَارِسِيِّ، وَالْمِقْدَادِ بْنِ الْأَسْوَدِ رَضِيَ اللهُ عَنْهُمْ 

Maksudnya: “Sesunguhnya syurga benar-benar merasa rindu kepada empat orang iaitu Ali bin Abu Talib, ‘Ammar bin Yasir, Salman al-Farisi dan al-Miqdad bin al-Aswad R.Anhum.

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir (6045); riwayat Abu Nu‘aim dalam Ma‘rifah al-Sahabah (3346); al-Albani dalam Dha‘if al-Jami‘ (1427) menilainya sebagai dhaif; al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/310) menyebutkan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Salamah bin al-Fadhl dan ‘Imran bin Wahb. Para ulama berselisih mengenai hadith kedua-duanya sebagai hujah, sedangkan baki perawinya yang lain adalah thiqah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *