Sa‘ad bin Muaz R.A

Beliau ialah Abu ‘Amr Sa‘ad bin Muaz bin al-Nu‘man bin Imri’ al-Qais bin Yazid bin ‘Abd al-Asyhal bin Jasym bin al-Harith bin al-Khazraj bin ‘Amr bin Malik bin al-Aus al-Ansari al-Ausi al-Asyhali al-Madani. Ibunya pula bernama Kabsyah binti Rafi‘, dan ibunya juga sempat bertemu dengan Nabi SAW. Sa‘ad telah memeluk Islam di tangan Mus‘ab bin ‘Umair R.A ketika Nabi SAW mengutusnya sebelum Baginda SAW berhijrah ke Madinah untuk mengajar umat Islam di sana perkara-perkara berkaitan agama mereka.

Apabila beliau memeluk agama Islam, beliau berkata kepada Bani ‘Abd al-Asyhal: “Percakapan lelaki dan perempuan kamu adalah haram bagiku sehinggalah kamu memeluk Islam.” Lalu mereka memeluk agama Islam. Beliau juga adalah antara orang yang paling diberkati dalam Islam. Beliau menyertai peperangan Badar, Uhud dan Khandaq. 

Sa‘ad bin Muaz telah wafat pada tahun peperangan al-Khandaq disebabkan kecederaan yang dialami ketika peperangan tersebut. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 2/461; Tahzib al-Asma’ Wa al-Lughat, 1/214-215).

Kebijaksanaan Sa‘ad bin Muaz dapat dilihat, di antaranya ketika beliau menjatuhkan hukuman kepada Bani Quraizah. Beliau telah menjatuhkan hukuman bahawa semua lelakinya dibunuh, wanita dan anak-pinak mereka dijadikan tawanan, serta harta benda mereka dibahagikan. Rasulullah SAW pun bersabda: “Sesungguhnya engkau telah menghukum ke atas mereka dengan hukum Allah dari atas tujuh lapisan langit.”

Hukuman yang dijatuhkan oleh Sa‘ad itu sebenarnya cukup adil dan saksama. Ini kerana Bani Quraizah bukan sahaja melakukan pengkhianatan yang keji, malah mereka juga turut menghimpun 1500 bilah pedang, 2000 batang tombak, 300 baju besi, 500 ratus perisai besi dan kulit dengan tujuan untuk menghapuskan orang Islam. Semua peralatan ini ditemui oleh orang Islam setelah menggeledah rumah-rumah mereka. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 290)

Sa‘ad bin Muaz telah wafat pada tahun kelima hijrah dan ketika itu ‘Arasy bergegar disebabkan kematian Sa‘ad bin Muaz. Hal ini dinyatakan di dalam hadith yang sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah R.A, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda:

اهْتَزَّ العَرْشُ لِمَوْتِ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ

Maksudnya:Arasy bergegar kerana kematian Sa‘ad bin Muaz.”

Riwayat al-Bukhari (3803) dan Muslim (2466)

Para ulama menyatakan hadith ini menunjukkan bahawa para malaikat bergembira dengan kedatangan Sa‘ad bin Muaz melihat kepada kedudukannya. Di dalam riwayat yang lain, ada diceritakan berkaitan kematian Sa‘ad bin Muaz dan perkara tersebut merupakan di antara kelebihan serta kemulian yang terdapat pada beliau sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik RA, katanya: Apabila diusung jenazah Sa‘ad bin Muaz maka orang munafiq berkata: “Alangkah ringannya jenazahnya ini, dan ini adalah akibat penghakimannya terhadap Bani Quraizah.” Maka perkara ini sampai kepada Nabi SAW. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الـمَلَائِكَةَ كَانَتْ تَحْمِلُهُ

Maksud: “Sesungguhnya para malaikat yang mengusung jenazahnya.” 

Riwayat al-Tirmizi (3849) dan beliau menilai hadith ini sebagai hasan sahih gharib. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Syarh al-Sunnah (14/182) menyatakan bahawa sanad hadith ini sahih.

Selain daripada itu juga, terdapat riwayat yang menunjukkan bahawa Sa‘ad bin Muaz termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan syurga. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, katanya: 

أُهْدِيَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جُبَّةُ سُنْدُسٍ، وَكَانَ يَنْهَى عَنِ الحَرِيرِ، فَعَجِبَ النَّاسُ مِنْهَا، فَقَالَ: وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ، لَمَنَادِيلُ سَعْدِ بْنِ مُعَاذٍ فِي الجَنَّةِ أَحْسَنُ مِنْ هَذَا

Maksudnya: “Dihadiahkan kepada Nabi SAW jubah yang diperbuat dari sundus (salah satu jenis sutera), sementara Baginda SAW melarang (memakai) sutera. Maka orang-orang pun takjub dengan jubah itu. Maka Baginda SAW bersabda: ‘Demi Zat yang jiwa Muhammad berada di Tangan-Nya, sungguh sapu tangan Sa‘ad bin Muaz di syurga lebih baik daripada ini.’”

Riwayat al-Bukhari (2615), Muslim (2469), al-Tirmizi (1723), al-Nasa’i (5302) dan Ahmad (13400)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *