Jaafar bin Abu Talib R.A

Beliau ialah Abu ‘Abdillah Jaafar bin Abu Talib ‘Abd Manaf bin ‘Abd al-Muttalib bin  Hasyim bin ‘Abd Manaf bin Qusai al-Hasyimi. Beliau merupakan seorang al-Sayyid, al-Syahid, memiliki keperibadian yang besar dan pemegang panji para Mujahid. Beliau juga merupakan sepupu Rasulullah SAW dan adik beradik kepada Ali bin Abu Talib R.A. Usia Jaafar sepuluh tahun lebih tua daripada Ali, manakala saudaranya yang bernama ‘Aqil lebih tua 10 tahun daripadanya.

Jaafar bin Abu Talib, Abu ‘Abdillah al-Hasyimi al-Tayyar, dijamin syurga, memiliki dua sayap di syurga. Beliau adalah orang melakukan dua hijrah iaitu berhijrah ke Habasyah dan berhijrah ke Madinah. Beliau syahid di Mu‘tah ketika hayat Rasulullah SAW sebagai panglima perang pada tahun 8 Hijrah. Beliau merupakan orang yang mirip dengan Rasulullah SAW daripada sudut rupa dan akhlak. Nabi SAW pernah menamakannya dengan nama Abu al-Masakin. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 2/511; Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/206; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 1/541) 

Ketokohan dan kehebatan keperibadiannya semakin terserlah ketika mana beliau menjadi jurucakap bagi pihak  orang Islam ketika di Habasyah. Hal ini kerana orang musyrikin merasa tidak senang apabila orang Islam yang berhijrah ke Habasyah mendapat tempat yang aman untuk diri dan agama mereka. Lalu mereka memilih dua orang lelaki yang gagah dan pintar daripada kalangan mereka iaitu ‘Amr bin al-As dan Abdullah bin Abu Rabi‘ah — sebelum mereka memeluk Islam — untuk bertemu dengan Najasyi dan pembesar-pembesarnya untuk memberi hadiah dan mengemukakan alasan serta sebab supaya orang-orang Islam itu diusir.

Mereka menyampaikan hadiah-hadiah kepada Najasyi dan memulakan bicara: “Wahai Raja, sesungguhnya telah datang ke negeri kamu budak-budak yang bodoh. Mereka telah meninggalkan agama kaum mereka dan tidak pula menganut agama kamu. Mereka membawa agama baharu yang mereka ada-adakan. Kami dan kamu tidak pernah kenal agama itu, dan kami ini diutuskan kepadamu oleh orang ternama dalam kalangan kaum mereka yang terdiri daripada ibu bapa, bapa-bapa saudara dan kaum kerabat mereka agar engkau kembalikan mereka kerana mereka lebih kenal kumpulan ini dan lebih tahu mengenai perbuatan mereka yang memalukan dan lebih tahu mengapa mereka dihukum.”

Para pembesar Najasyi pula berkata: “Mereka berdua ini benar, wahai Tuanku. Serahkanlah orang itu kepada mereka berdua. Biarlah mereka bawa pulang kepada kaum dan negeri mereka.” Akan tetapi Najashi berpendapat bahawa dia perlu menyiasat terlebih dahulu perkara sebenar dan mendengar daripada kedua-dua belah pihak. Lalu, dihantar utusan untuk menjemput orang Islam. Maka, orang Islam pun datang, dan mereka telah sekata untuk bercakap benar walau apa pun yang terjadi.

Maka Najasyi bertanya kepada mereka: “Agama apakah yang menyebabkan kamu sanggup bercerai-berai daripada kaum kamu dan tidak masuk agamaku atau agama-agama lain?” Jaafar bin Abu Talib — sebagai jurucakap bagi pihak orang Islam — berkata: “Wahai Tuanku, kami dahulunya adalah kaum jahiliyyah. Kami menyembah berhala dan memakan bangkai. Kami mengerjakan amalan keji; kami memutuskan silaturahim dan menyakiti jiran tetangga. Orang yang kuat dalam kalangan kami menindas orang yang lemah. Maka, begitulah kehidupan kami sehingga Allah mengutuskan kepada kami seorang Rasul dalam kami. 

xKami kenal nasab keturunan, kebenaran, amanah dan kehormatannya. Lalu, dia mengajak kami ke jalan Allah supaya kami mengesakan-Nya dan menyembah-Nya. Kami diajak supaya meninggalkan apa yang nenek moyang kami sembah selain Allah, iaitu batu dan berhala. Dia menyuruh kami bercakap benar dan menunaikan amanah, menghubungkan silaturahim, berbaik dengan jiran tetangga, menjauhi yang haram dan pertumpahan darah. Dia melarang kami segala yang keji, bercakap bohong, memakan harta anak yatim dan menuduh keji wanita-wanita yang baik. 

Dia menyuruh kami menyembah Allah semata-mata, tidak mensyirikkan Nya dengan sesuatu. Dia menyuruh kami mendirikan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa — lalu, dihitung-hitung kepadanya beberapa hal mengenai Islam — kami mempercayainya dan beriman dengannya. Kami mengikuti apa yang dibawakannya kepada kami daripada ajaran agama Allah. Lalu, kami menyembah Allah semata-mata tanpa menyekutukan-Nya. Kami mengharamkan apa yang Allah haramkan ke atas kami dan kami halalkan apa yang Allah halalkan kepada kami.

Tiba-tiba kaum kami memusuhi kami, mereka menyeksa kami, mendatangkan musibah kepada agama kami supaya kami kembali menyembah berhala. Mereka mahukan kami menghalalkan perkara keji yang yang dahulunya kami halalkan. Apabila mereka memaksa, menzalimi dan menyempitkan kehidupan kami serta menghalang kami daripada agama kami, maka kami pun keluar ke negeri kamu. Kami memilih Tuanku daripada raja-raja yang lain, dan kami senang berada dalam negeri Tuanku serta kami mengharapkan kami tidak dizalimi di sisimu, wahai Tuanku.”

Lalu Najasyi bertanya lagi kepadanya: “Adakah kamu membawa bersamamu apa-apa keterangan yang dibawa oleh Nabi itu daripada Allah?” Jaafar menjawab: “Ya.” Najasyi berkata: “Bacakanlah kepadaku.” Lalu, dibacanya permulaan ayat ‘Kaf Ha Ya ‘Ain Sad’. Kemudian, demi Allah, Najasyi menangis sehingga air matanya membasahi janggutnya. Para pendetanya turut menangis sehingga basahlah muka mereka apabila mendengar ayat yang dibacakan kepada mereka. Kemudian Najasyi berkata: “Sesungguhnya ajaran ini dan apa yang dibawa oleh Isa, keluar dari lubang pelita yang sama. Pergilah kamu berdua. Demi Allah, aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kamu berdua.”

Begitu juga pada berikutnya, orang-orang Islam ditanya oleh Najasyi berkenaan pendapat mereka mengenai al-Masih Isa. Lalu, Jaafar menjawab: “Tentang Isa, kami mengatakan sebagaimana yang diberitahu oleh Nabi kami. Dia ialah seorang hamba Allah dan rasul-Nya serta roh-Nya dan kalimah-Nya yang dicampakkan kepada Maryam si perawan.”

Kemudian Najasyi mengambil sebatang dahan dan membuat garisan di muka bumi seraya berkata: “Demi Allah, apa yang kamu kata tentang Isa bin Maryam tidak lari dari garisan ini.” Lalu, para pembesarnya menarik nafas dan Najasyi berkata: “Walaupun kamu menarik nafas, demi Allah!” Najasyi berkata lagi kepada orang Islam itu: “Pergilah, kamu adalah shuyum di negeriku. — Shuyum dalam bahasa Habasyah bermaksud orang yang selamat. — Sesiapa yang mengganggu kamu akan dihukum. Sungguh aku tidak senang kalaupun aku memiliki segunung emas tetapi aku menyakiti salah seorang daripada kamu.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, terj. Yadim, hlm. 149-152).

Dalam peperangan Mu’tah, ketika Zaid bin Harithah gugur syahid, lalu Jaafar bin Abu Talib mengambil bendera pasukan dan terus berjuang dengan hebatnya tanpa ada tolok bandingan. Apabila keadaan peperangan semakin gawat, beliau terjun dari kudanya dan terus berlawan sehingga terputus tangan kanannya. Beliau mencapai bendera dengan tangan kirinya dan terus berjuang sehingga tangan kirinya pula putus, lalu digendongnya bendera dengan kedua-dua lengannya.

Sehingga saat Jaafar terbunuh, beliau masih lagi mengangkat bendera pasukan Islam. Dikatakan bahawa seorang tentera Rom mencantas Jaafar dengan satu pukulan yang kuat sehingga terbelah dua tubuhnya. Allah telah menggantikan untuk beliau dua sayap yang digunakannya untuk terbang ke mana sahaja di dalam syurga. Oleh kerana itu, beliau dikenali dengan gelaran “Ja‘far al-Tayyar” dan juga “Ja‘far Zu al-Janahain” (yang mempunyai dua sayap). (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 672).

Terdapat riwayat menceritakan keadaan mayatnya yang penuh dengan kesan-kesan luka, tikaman dan seumpamanya. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Ibn Umar R.Anhuma bahawa kami mendapati, di hadapan mayat Jaafar, di antara bahunya terdapat sembilan puluh pukulan, daripada kesan tikaman dengan lembing dan juga pukulan dengan pedang. (Lihat al-Thabat ‘inda al-Mamat, hlm. 199).

Selain daripada itu, beliau termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan syurga. Apatah lagi, beliau terdiri dalam kalangan mereka yang gugur syahid fi sabilillah dalam menegakkan agama-Nya. Terdapat riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 رَأَيْتُ جَعْفَر بِنْ أَبِي طَالِبٍ مَلَكاً يَطِيرُ فِي الجَنَّةِ مَعَ المَلَائِكَةِ بِجَنَاحَيْنِ

Maksudnya:Aku melihat Jaafar bin Abu Talib (menjadi) malaikat terbang di syurga bersama para malaikat dengan kedua sayapnya.” 

Riwayat al-Tirmizi (3763). Hadith ini dinilai sahih berdasarkan al-SIlsilah al-Sahihah (1226)

Selain itu, terdapat juga dalam riwayat lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda: 

دَخَلْتُ الْبَارِحَةَ الْجَنَّةَ فَنَظَرْتُ فِيهَا فَإِذَا جَعْفَرٌ يَطِيرُ مَعَ الْمَلَائِكَةِ، وَإِذَا حَمْزَةُ مُتَّكِئٌ عَلَى سَرِيرٍ

Maksudnya:Aku memasuki syurga semalam (dalam mimpiku), lalu aku melihat Jaafar sedang terbang bersama para malaikat dan Hamzah berbaring di atas katil.

Riwayat al-Tabarani (1466) secara ringkas; al-Hakim (4890); lihat juga Siyar al-Salaf al-Salihin (2/312); Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (3/339); al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (3363) menilainya sebagai sahih; Ibn ‘Adi pula dalam  al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (1/198) ketika memberi komentar menyebutkan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Zam‘ah bin Soleh. Boleh jadi dia terkeliru dalam sebahagian riwayatnya, akan tetapi aku mengharapkan hadithnya adalah baik dan tidak mengapa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *