Beliau ialah Abu ‘Umarah dan Abu Ya‘la Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin Qusai bin Kilab al-Qurasyi al-Hasyimi al-Makki, kemudian al-Madani, al-Badri al-Syahid. Ibunya pula bernama Halah binti Uhaib bin ‘Abd Manaf bin Zuhrah. Beliau merupakan al-Imam, seorang pahlawan dan digelar sebagai ‘Singa Allah’ serta ‘Singa Rasul-Nya’. Selain itu, beliau juga adalah pakcik kepada Rasulullah SAW dan saudara susuan Baginda. Hal ini kerana Baginda SAW dan Hamzah R.A disusukan oleh Thuwaibah maulah Abu Lahab. Usia Hamzah R.A dua tahun lebih tua berbanding Nabi SAW. Rasulullah SAW telah mempersaudarakannya dengan Zaid bin Harithah. Beliau merupakan salah seorang syahid dalam peperangan Uhud. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/171-172; Ma‘rifah al-Sahabah, 2/672-673).
Terdapat riwayat daripada ‘Umair bin Ishaq, daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas R.A, katanya: “Dalam peperangan Uhud, Hamzah berperang di hadapan Nabi SAW dengan dua pedang dan beliau berkata: ‘Aku adalah singa Allah.’” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 1/177; al-Tabaqat al-Kubra, 3/11; al-Mustadrak ‘ala al-Sahihain oleh al-Hakim, no. 4875, 3/212).
Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib R.A memeluk Islam pada penghujung tahun keenam kenabian. Pendapat terbanyak mengatakan bahawa beliau memeluk Islam pada bulan Zulhijjah. Pengislaman Hamzah R.A tercetus daripada peristiwa Abu Jahal bertemu Rasulullah SAW di Bukit Safa lalu menyakiti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW hanya diam tidak bercakap dengannya. Tiba-tiba Abu Jahal memukul Rasulullah SAW di kepala Baginda SAW dengan seketul batu sehingga luka dan berdarah. Kemudian, dia pergi ke tempat berkumpul orang Quraisy di sisi Kaabah lalu duduk bersama-sama mereka. Semasa peritiwa itu berlaku, seorang perempuan maula Abdullah bin Jadan sedang memerhatikannya dari tempat kediamannya di atas Bukit Safa. Tidak lama kemudian Hamzah pulang daripada berburu sambil memegang busur panahnya.
Wanita itu memberitahu Hamzah mengenai perbuatan Abu Jahal yang dilihatnya tadi. Hamzah mulai berang; beliau merupakan seorang anak muda yang perkasa dalam kalangan kaum Quraisy serta sangat tegas. Beliau pun keluar berjalan tanpa mengendahkan sesiapa jua dengan tujuan mencari Abu Jahal. Apabila beliau masuk ke dalam masjid, beliau pun berdiri dekat kepala Abu Jahal lalu berkata: “Wahai Abu Jahal! Berani engkau menghina anak saudaraku sedangkan aku mengikut agamanya!”
Kemudian Hamzah memukul Abu Jahal dengan busur panahnya sehingga berdarah. Lalu, bangkitlah beberapa orang lelaki daripada Bani Makhzum yang memihak Abu Jahal, dan bangkit pula Bani Hasyim yang memihak kepada Hamzah. Abu Jahal berkata: “Tinggalkanlah Abu ‘Umarah, kerana aku telah mencela anak saudaranya dengan celaan yang buruk.” Islamnya Hamzah R.A pada mulanya boleh diibaratkan seperti seorang yang tidak tahan melihat tuannya dihina. Kemudian Allah melapangkan dadanya, lalu beliau berpegang dengan ikatan yang kukuh, dan orang Islam mendapat kekuatan dengan pengislaman beliau. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, terj. Yadim, hlm. 159-160).
Hamzah R.A termasuk salah seorang syuhada’ Uhud. Beliau dibunuh oleh Wahsyi al-Habasyi maula Jubair bin Mut‘im bin ‘Adi ketika berusia 54 tahun, pada hari Sabtu pada pertengahan Syawal tahun 3 Hijrah. Allah SWT telah mentakdirkannya untuk mati di tangan musyrikin, sebelum terbunuhnya 31 nyawa. Rasulullah SAW telah bertakbir untuknya sebanyak 70 takbir. Beliau dikafankan dengan kain kafan yang menutupi kepalanya, manakala kakinya pula ditutupi dengan daun izkhir, dan beliau termasuk salah seorang petinggi ahli syurga. (Lihat Ma‘rifah al-Sahabah, 2/673).
Pembunuh Hamzah r.a bernama Wahsyi bin Harb. Dia menceritakan sendiri mengenai pembunuhan tersebut selepas keislamannya. Dia berkata: “Dahulu aku ialah seorang hamba abdi kepada Jubair bin Mut‘im. Bapa saudara Jubair, iaitu Ta‘imah bin ‘Adi telah terkorban dalam Perang Badar. Apabila ramai orang Quraisy bersiap menuju ke medan Uhud, Jubair berkata kepadaku: ‘Kalau engkau berjaya membunuh Hamzah, bapa saudara Muhammad sebagai pembalasan terhadap bapa saudaraku, maka engkau akan aku merdekakan. Lalu, aku pun keluar bersama-sama mereka. Aku ialah seorang lelaki Habasyah yang mahir melontar lembing, dan jarang sekali sasaranku tidak mengena.
Maka, apabila kedua-dua pihak bertembung, aku pun keluar untuk mencari Hamzah dan mengintipnya. Kemudian, aku melihat Hamzah berada di gelanggang, persis seekor unta yang perkasa merempuh dan mengucar- ngacirkan barisan musuhnya sehingga tidak ada seorang pun yang berjaya menghalangnya. Demi Allah, aku telah benar-benar bersedia untuk membunuhnya. Aku berlindung di sebalik sepohon pokok atau seketul batu dengan harapan dia akan hampir ke arahku. Tiba-tiba Siba‘ bin ‘Abd al-‘Uzza mendahuluiku sampai kepada Hamzah. Apabila Hamzah melihatnya, beliau berkata: ‘Ayuh ke mari, wahai anak perempuan pemotong daging faraj (ibu Siba‘ ialah seorang mudim wanita).’ Lalu, Hamzah memukulnya dengan satu pukulan bagaikan hendak menghancurkan kepalanya.”
Wahsyi berkata lagi: “Aku bersedia untuk melontarkan lembingku sehingga apabila aku yakin benar sasarannya, aku pun terus melontarkannya ke arah Hamzah. Lontaranku tepat mengenai perutnya sehingga tali perutnya keluar terburai antara dua kakinya. Kemudian, Hamzah berusaha menghampiriku tetapi beliau sudah tidak berdaya lagi. Lalu, aku pun membiarkannya dalam keadaan begitu sehingga beliau mati. Setelah beliau mati, aku datang kepadanya lalu mengambil semula lembingku, kemudian aku berpatah balik ke markas dan di situ, aku duduk tanpa berperang kerana aku tidak mempunyai tujuan lain lagi. Aku membunuh Hamzah hanya kerana aku mahu dimerdekakan. Apabila aku sampai ke Makkah, aku pun dimerdekakan.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, terj. Yadim, hlm. 442-443).
Ketika pengebumian mayat syuhada’ uhud, apabila Rasulullah SAW melihat keadaan Hamzah R.A timbullah rasa hiba Baginda SAW. Kemudian, ibu saudara Rasulullah SAW, iaitu Safiyyah datang untuk melihat saudaranya, Hamzah R.A tetapi Rasulullah SAW menyuruh putera Saffiyah, iaitu al-Zubair menghalangnya, jangan sampai Saffiyah dapat melihat apa yang menimpa saudaranya. Saffiyah bertanya: “Mengapa? Aku telah mendengar berita Hamzah, saudaraku dicencang kerana berjuang ke jalan Allah. Kami redha apa yang terjadi kepadanya disebabkan perjuangannya. Aku akan tabah dan bersabar, insya-Allah.”
Kemudian, dia pun datang kepada Hamzah R.A dan melihatnya, lalu berdoa untuknya serta mengucapkan istirja’ dan memohon keampunan untuknya. Rasulullah SAW mengarahkan jenazah Hamzah R.A dikebumikan bersama-sama Abdullah bin Jahsy yang merupakan anak kakaknya dan saudara sesusuannya. Ibn Mas‘ud berkata: “Kami tidak pernah melihat Rasulullah SAW menangis dengan begitu hiba selain tangisannya atas kematian Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib.” Rasulullah SAW meletakkan jenazah Hamzah R.A menghadap ke arah kiblat kemudian berdiri sebentar di hadapannya, kemudian menangis dengan begitu hiba sehingga kedengaran esakannya.
Keadaan tubuh para syuhada’ itu sungguh memilukan hati bagi mereka yang melihatnya. Khabbab berkata: “Tidak ada kain untuk mengkafankan Hamzah melainkan sehelai selimut berwarna hitam dan putih; apabila dibaluti kepalanya maka tersingkaplah kakinya, dan apabila dibaluti kakinya, tersingkaplah kepalanya. Akhirnya, kain itu diletakkan di bahagian kepalanya sementara kakinya ditutupi dengan daun-daun izkhir.” (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, terj. Yadim, hlm. 470-471).
Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
رَأَيْتُ الْمَلَائِكَةَ تَغْسِلُ حَمْزَةَ بن عَبْدِ المُطَّلبِ، وَحَنْظَلَةَ بْنَ الرَّاهِب
Maksudnya: “Aku melihat para malaikat memandikan Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib dan Hanzalah bin al-Rahib.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Kabir. Pengarang Sahih al-Jami‘ menilainya sebagai hasan.
Di samping itu, Hamzah R.A adalah penghulu bagi para syuhada’. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سَيِّدُ الشُّهَداءِ حَمْزَةُ بْنُ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ
Maksudnya: “Penghulu bagi para syuhada’ adalah Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Ausat (4079), al-Hakim (4884) dan al-Dailami dalam al-Firdaus (3472). Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari (7/425) berkata, thabit. Hadith ini sahih sepertimana dinyatakan oleh pengarang Sahih al-Targhib (3308)
Selain itu, terdapat juga dalam riwayat lain, daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
دَخَلْتُ الْبَارِحَةَ الْجَنَّةَ فَنَظَرْتُ فِيهَا فَإِذَا جَعْفَرٌ يَطِيرُ مَعَ الْمَلَائِكَةِ، وَإِذَا حَمْزَةُ مُتَّكِئٌ عَلَى سَرِيرٍ
Maksudnya: “Aku memasuki syurga semalam (dalam mimpiku), lalu aku melihat Jaafar sedang terbang bersama para malaikat dan Hamzah berbaring di atas katil.”
Riwayat al-Tabarani (1466) secara ringkas; al-Hakim (4890); lihat juga Siyar al-Salaf al-Salihin (2/312); Ibn ‘Adi dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (3/339); al-Albani dalam Sahih al-Jami‘ (3363) menilainya sebagai sahih; Ibn ‘Adi pula dalam al-Kamil fi al-Dhu‘afa’ (1/198) ketika memberi komentar menyebutkan, di dalamnya terdapat perawi yang bernama Zam‘ah bin Soleh. Boleh jadi dia terkeliru dalam sebahagian riwayatnya, akan tetapi aku mengharapkan hadithnya adalah baik dan tidak mengapa.
Terdapat riwayat khusus yang menyebutkan berkenaan kelebihan dan keutamaan syuhada’ Uhud. Di antaranya riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya: Nabi SAW bersabda:
لَمَّا أُصِيبَ إِخْوَانُكُمْ بِأُحُدٍ جَعَلَ اللَّهُ أَرْوَاحَهُمْ فِي جَوْفِ طَيْرٍ خُضْرٍ تَرِدُ أَنْهَارَ الْجَنَّةِ، تَأْكُلُ مِنْ ثِمَارِهَا، وَتَأْوِي إِلَى قَنَادِيلَ مِنْ ذَهَبٍ مُعَلَّقَةٍ فِي ظِلِّ الْعَرْشِ، فَلَمَّا وَجَدُوا طِيبَ مَأْكَلِهِمْ وَمَشْرَبِهِمْ وَمَقِيلِهِمْ قَالُوا : مَنْ يُبَلِّغُ إِخْوَانَنَا عَنَّا أَنَّا أَحْيَاءٌ فِي الْجَنَّةِ نُرْزَقُ لِئَلاَّ يَزْهَدُوا فِي الْجِهَادِ وَلاَ يَنْكُلُوا عِنْدَ الْحَرْبِ فَقَالَ اللَّهُ سُبْحَانَهُ : أَنَا أُبَلِّغُهُمْ عَنْكُمْ . قَالَ : فَأَنْزَلَ اللَّهُ {وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا}. إِلَى آخِرِ الآيَةِ .
Maksudnya: “Ketika saudara-saudara kamu gugur dalam Perang Uhud, Allah menjadikan ruh-ruh mereka di dalam perut burung hijau yang mendatangi sungai-sungai di Syurga, memakan buah-buahannya dan hinggap di lentera (lampu yang bertutup dengan kaca) daripada emas yang tergantung di bawah naungan Arasy. Ketika mereka mendapat makanan, minuman dan tempat tinggal yang baik, mereka berkata: ‘Siapa yang menyampaikan kepada saudara-saudara kami bahawa kami saat ini hidup di Syurga dalam keadaan diberi rezeki, agar mereka tidak bersikap menahan diri daripada jihad dan tidak menolak untuk berangkat berperang.’ Allah berfirman: “Aku yang menyampaikan untuk kamu semua kepada mereka.’ Maka turunlah ayat, ‘وَلاَ تَحْسَبَنَّ الَّذِينَ قُتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ أَمْوَاتًا’ sehingga akhir ayat. [Surah Ali Imran: 169].”
Riwayat Abu Dawud (2520); al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (6/104); al-Sunan al-Kubra (9/275); al-Hakim dalam al-Mustadrak (2/97); Ahmad (2388) dengan sedikit perbezaan. Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan dalam takhrij Sunan Abi Dawud. Begitu juga Ibn Mulaqqin dalam Syarh al-Bukhari (17/403) menilainya sebagai sahih.
Selain itu, ada riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.A, katanya: “Ketika Mu‘awiyah R.A hendak mengalirkan mata airnya yang terletak di Uhud, orang-orang suruhannya menulis surat kepadanya: ‘Kami tidak mungkin mengalirkannya kecuali di atas jasad kubur para syuhada’.’ Maka Mu‘awiyah R.A menjawab: ‘Pindahkan mereka.’ Jabir berkata: ‘Aku melihat mereka memikul jasad-jasad di atas bahu-bahu mereka, seolah-olah para syuhada’ tersebut ialah orang-orang yang sedang tidur. Sebuah cangkul terkena hujung kaki Hamzah bin ‘Abd al-Muttalib, lalu mengalirkan darah, seolah-olah beliau baru sahaja meninggal dunia ketika itu.’” (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa’ad, 3/8).