Kita telah memasuki awal Zulhijjah di mana mana keistimewaannya amat hebat dan besar. Dalam ruangan ini, kami kongsikan beberapa keistimewaaan dan fadhilat 10 awal Zulhijjah.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A, daripada Nabi SAW, Baginda bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ الْعَمَلُ الصَّالِحُ فِيهَا أَحَبُّ إِلَى اللهِ مِنْ هَذِهِ الأَيَّامِ » يَعْنِي أَيَّامَ الْعَشْرِ ، قَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ، وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ؟ قَالَ : وَلاَ الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ ، إِلاَّ رَجُلٌ خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَمَالِهِ ، فَلَمْ يَرْجِعْ مِنْ ذَلِكَ بِشَيْءٍ.

Maksudnya : “Tiada hari-hari yang amalan soleh yang paling disukai oleh Allah untuk dilakukan melainkan hari-hari ini.” yakni 10 hari terawal Zulhijjah. Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya?” Baginda bersabda: “Walaupun jihad di jalan Allah tidak dapat menandinginya, melainkan seorang  lelaki yang keluar berjihad bersama hartanya, kemudian dia langsung tidak kembali.”

Riwayat al-Bukhari (969), Abu Daud (2438),
al-Tirmizi (757) dan Ibn Majah (1727)

Hadith ini menerangkan kepada kita bahawa terdapat hari-hari yang paling disukai oleh Allah SWT untuk hamba-hamba-Nya melakukan amalan soleh padanya. Antaranya adalah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas di atas. Para ulama’ berpendapat bahawa yang dimaksudkan dengan 10 hari di dalam hadith ini adalah 10 hari pertama di bulan Zulhijjah berdasarkan sebuah hadith di dalam sahih Ibn Hibban, yang diriwayatkan oleh Jabir bin Abdillah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ أَيَّامٍ أَفْضَلُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ أَيَّامِ عَشْرِ ذِي الْحِجَّةِ

Maksudnya: “Tidak ada hari-hari yang paling baik di sisi Allah SWT daripada sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah.”

Riwayat Ibn Hibban (3853)

Berdasarkan itu, kita memahami bahawa tidak ada amalan yang dilakukan pada hari-hari yang lain melebihi sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah ini kerana ia dinyatakan oleh Allah SWT sendiri bahawa ia adalah hari yang paling disukai oleh-Nya dan ia juga adalah hari yang paling afdhal. Dikatakan bahawa 10 pertama bulan Zulhijjah merupakan hari yang paling disukai dan paling baik kerana padanya terdapat ziarah baitullah, Oleh kerana ia adalah hari yang lebih baik dan mulia berbanding hari-hari yang lain maka amalan soleh padanya juga adalah lebih afdhal berbanding hari-hari yang lain. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/386)

 

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang boleh dikeluarkan daripada hadith di atas adalah:

  • Sepuluh hari yang lebih disukai oleh Allah SWT atau sepuluh hari yang lebih baik adalah sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah. Ini dapat difahami berdasarkan tafsirsan daripada hadith yang lain.
  • Kita dituntut pada hari-hari tersebut untuk melakukan amalan-amalan soleh kerana padanya terdapat kelebihan dan kemuliannya.
  • Ibn Rejab al-Hanbali di dalam kitabnya Lathaif al-Ma’arif menyenaraikan beberapa amalan yang boleh dilakukan, antaranya adalah berpuasa, qiyamullail, berzikir kepada Allah dan lain-lain lagi.
  • Terdapat sebuah hadith yang dihukum hasan oleh Ibn Hajar al-Asqalani, hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Umar RA, bahawa Rasulullah SAW menyuruh kita agar memperbanyakkan bertasbih, bertahmid, bertakbir dan bertahlil pada hari-hari tersebut.
  • Imam Ibn Hajar al-Asqalani di dalam Fath al-Bari menyatakan sebab kelainan sepuluh hari pertama di bulan Zulhijjah ini adalah kerana segala ibadat-ibadat yang utama terhimpun di dalamnya seperti solat, puasa, haji, sedeqah dan lain-lain lagi yang tidak mana ia tidak terdapat di bulan-bulan yang lain.

Penutup

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita mengejar peluang dan ganjaran yang terdapat di dalam hari-hari tersebut dengan melaksanakan sebanyak mungkin amalan soleh agar kita tidak termasuk dalam kalangan orang-orang yang rugi. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik supaya kita dapat terus melakukan ketaatan dan ibadah kepada Allah SWT.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *