Saidina Abu Bakar al-Siddiq R.A

Beliau ialah Abu Bakar Abdullah bin Abu Quhafah Uthman bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim bin Murrah bin Ka‘ab bin Lu’ai al-Qurasyi al-Taimi. Beliau adalah  sahabat yang paling rapat dengan Nabi SAW. Ketika hijrahnya Baginda SAW ke Madinah, beliau satu-satunya sahabat yang menemani Baginda dalam perjalanan tersebut. Beliau digelar al-Siddiq kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Nabi SAW tatkala orang ramai mengatakan Baginda berdusta dalam peristiwa Isra’ Mi‘raj.

Allah SWT berfirman:

وَالَّذِي جَاءَ بِالصِّدْقِ وَصَدَّقَ بِهِ أُوْلَئِكَ هُمُ الْمُتَّقُونَ

Maksudnya: “Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan yang membenarkannya, mereka itulah orang-orang yang bertakwa.” 

(Surah al-Zumar: 33)

Imam Ibn Jarir meriwayatkan dengan sanadnya kepada Ali bin Abu Talib R.A, bahawa yang dimaksudkan dengan lafaz “وَالَّذِي جَاء بِالصِّدْقِ” (iaitu dan orang yang membawa kebenaran) ialah Nabi Muhammad SAW. Manakala yang dimaksudkan pula dengan lafaz “ وَصَدَّقَ بِهِ” (iaitu dan yang membenarkannya) ialah Abu Bakar al-Siddiq R.A. (Lihat Jami‘ al-Bayan 3/34).

Al-Sya‘bi berkata: “Allah SWT telah memilih Abu Bakar dengan empat ciri yang tidak dimiliki oleh orang lain, iaitu:

  1. Allah SWT memanggilnya al-Siddiq dan tidak ada orang lain selain dia yang diberi nama itu.
  2. Dia adalah pendamping Rasulullah SAW di dalam gua ketika perjalanan hijrah.
  3. Dia adalah sahabat Nabi satu-satunya ketika hijrah.
  4. Ketika zaman Nabi, Baginda memerintahkan Abu Bakar untuk memimpin solat dan orang-orang Muslim ada di sana, dan bersaksi.

Dalam sebuah hadith daripada Abu Sa‘id al-Khudri, Rasulullah SAW bersabda:

وَلَوْ كُنْتُ مُتَّخِذًا خَلِيلًا مِنْ أُمَّتِي لاَتَّخَذْتُ أَبَا بَكْرٍ، وَلَكِنْ أُخُوَّةُ الإِسْلاَمِ وَمَوَدَّتُهُ، لاَ يَبْقَيَنَّ فِي المَسْجِدِ بَابٌ إِلَّا سُدَّ، إِلَّا بَابُ أَبِي بَكْرٍ

Maksudnya: “Seandainya aku boleh menjadikan teman yang paling rapat daripada kalangan umatku, sudah tentu aku akan memilih Abu Bakar. Akan tetapi, mengumumkan persaudaraan dan kasih sayang kepada orang Islam itu lebih utama. Sesungguhnya, tidak ada satu pun pintu untuk masuk ke masjid yang kekal melainkan akan tertutup, kecuali pintu Abu Bakar.” 

Riwayat al-Bukhari (466)

‘Amr bin al-‘As R.A pernah bertanya kepada Rasulullah SAW:

أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قَالَ: «عَائِشَةُ» قُلْتُ: مِنَ الرِّجَالِ؟ قَالَ: «أَبُوهَا» قُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: «عُمَرُ» فَعَدَّ رِجَالًا، فَسَكَتُّ مَخَافَةَ أَنْ يَجْعَلَنِي فِي آخِرِهِمْ

Maksudnya: “Siapakah manusia yang paling engkau cintai? Baginda menjawab: ‘Aisyah.’ Aku berkata: ‘Daripada lelaki?’ Baginda berkata: ‘Bapanya.’ Aku berkata: ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab: ‘Umar.’ Lalu Baginda menyebutkan beberapa orang. Aku pun diam kerana khuatir Baginda akan menjadikanku yang terakhir di antara mereka.” 

Riwayat al-Bukhari (4358) dan Muslim (6328)

Selain itu, Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَنْفَقَ زَوْجَيْنِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، نُودِيَ مِنْ أَبْوَابِ الجَنَّةِ: يَا عَبْدَ اللَّهِ هَذَا خَيْرٌ، فَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّلاَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّلاَةِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الجِهَادِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الجِهَادِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصِّيَامِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الرَّيَّانِ، وَمَنْ كَانَ مِنْ أَهْلِ الصَّدَقَةِ دُعِيَ مِنْ بَابِ الصَّدَقَةِ. فَقَالَ أَبُو بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ: بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي يَا رَسُولَ اللَّهِ مَا عَلَى مَنْ دُعِيَ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ مِنْ ضَرُورَةٍ، فَهَلْ يُدْعَى أَحَدٌ مِنْ تِلْكَ الأَبْوَابِ كُلِّهَا؟ قَالَ: نَعَمْ وَأَرْجُو أَنْ تَكُونَ مِنْهُمْ

Maksudnya:Sesiapa menginfakkan sepasang (daripada harta benda) di jalan Allah, maka dia akan diseru dari pintu-pintu syurga, ‘Wahai hamba Allah, ini adalah satu kebaikan. Sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang solat, maka akan diseru daripada pintu solat, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berjihad, akan diseru dari pintu jihad, sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang berpuasa, akan diseru daripada pintu al-Rayyan, dan sesiapa yang terdiri daripada kalangan orang yang bersedekah, akan diseru daripada pintu sedekah.’ Setelah itu, Abu Bakar R.A bertanya: ‘Demi bapa dan ibuku sebagai tebusanmu wahai Rasulullah! Tiadalah ke atas orang yang diseru dari pintu-pintu itu ditimpa daripada sebarang kemudaratan. Lalu adakah terdapat orang yang akan diseru daripada semua pintu-pintu itu?’ Baginda menjawab: ‘Ya, dan aku berharap engkau termasuk dalam kalangan mereka.’ 

Riwayat al-Bukhari (1897) dan Muslim (1705)

Abu Bakar R.A seorang yang jujur, berbudi pekerti, adil, tegas dan memiliki sifat yang terpuji. Ibn al-Jauzi menyatakan bahawa sSifat alami Abu Bakar sangat terkenal melalui kesolehannya, ketakutannya terhadap Allah, dan kerendahan hati. (Lihat al-Tabsirah, 1/400).

Abu Bakar R.A menjadi khalifah selama 2 tahun, 6 bulan, 4 hari. Ketika pemerintahannya, antara perkara penting yang dilakukan adalah perang melawan orang-orang murtad dan para pemberontak yang tidak mahu membayar zakat, memerangi Musailamah al-Kazzab (yang mengaku sebagai nabi palsu), pengumpulan al-Quran dan banyak lagi.

Ibn Sa’ad dan al-Hakim dengan sanadnya yang sahih meriwayatkan daripada Ibn Syihab bahawa Abu Bakar dan al-Harith memakan daging kecil yang dihiris-hiris, yang dituangkan air di atasnya, yang dihadiahkan kepada Abu Bakar. Al-Harith berkata kepada Abu Bakar: “Wahai Khalifah Rasulullah, angkatlah tanganmu kerana sesungguhnya di dalamnya ada racun. Sesungguhnya engkau dan aku akan mati pada hari yang sama.” Beliau kemudian mengangkat tangannya. Dan keduanya sakit hingga akhirnya mereka mati pada hari yang sama di akhir tahun. (Lihat Tarikh al-Khulafa’, hlm. 32).

Syeikh Mahmud al-Misri dalam kitabnya Ashab al-Rasul (hlm. 172) menyebut: Daripada Aisyah R.Anha, katanya: Permulaan sakit Abu Bakar adalah bahawa beliau mandi pada suatu hari yang sangat dingin. Lalu Abu Bakar R.A ditimpa demam selama 15 hari sehingga beliau tidak dapat menghadiri solat. Beliau pun meminta Umar untuk menggantikannya. Orang ramai datang menziarahinya dan orang yang paling tekun berada di sampingnya adalah Uthman.

Abu Bakar sakit selama 15 hari, sehinggalah apabila tiba hari Isnin malam Selasa, 22 Jamadil Akhir 13 Hijrah. Aisyah R.Anha berkata: Abu Bakar berkata kepadaku: “Pada hari apakah Rasulullah SAW wafat?” Aku menjawab: “Hari Isnin.” Abu Bakar berkata: “Apa yang Allah kehendaki. Sesungguhnya aku berharap wafat pada malam ini.” Abu Bakar bertanya lagi: “Dengan apa kamu semua mengkafankan Baginda?” Aisyah menjawab: “Tiga helai kain Suhuliyah Yamaniyah tanpa jubah dan serban.” Maka Abu Bakar berkata: “Lihatlah pakaianku ini. Padanya terdapat celupan Za‘faran atau tanah merah. Maka cucilah ia, lalu tambahkan dua helai yang lain.” Aisyah berkata: “Ayahku, ini sudah usang.” Maka Abu Bakar menjawab: “Orang hidup lebih sesuai mendapat yang baru. Ini hanya untuk menunggu di dalam kubur.” (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa‘ad, 3/150).

Dalam riwayat yang lain, Aisyah R.Anha menyebut bahawa Abu Bakar berkata ketika ajal menjemputnya: “Hari apakah ini?” Mereka menjawab: “Isnin.” beliau berkata: “Jika aku meninggal pada malam ini, jangan menunggu esok hari, kerana hari dan malam yang paling aku cintai adalah yang paling dekat dengan Rasulullah SAW.” 

Riwayat Ahmad dalam Musnadnya (45); Syeikh Ahmad Syakir menilai  sanadnya sebagai sahih.

Abu Bakar wafat dalam usia 63 tahun. Seluruh riwayat bersepakat dalam hal ini, dan usianya sama dengan usia Rasulullah SAW. Abu Bakar lahir tiga tahun selepas peristiwa Pasukan Gajah Abrahah. Asma’ bin Umais memandikannya, kerana Abu Bakar mewasiatkan demikian. (Lihat al-Tabaqat oleh Ibn Sa‘ad, 3/203). Begitu juga Abu Bakar dimakamkan di sebelah Rasulullah SAW sesuai dengan wasiatnya, dan di antara sahabat yang mensolatkannya ialah Umar bin al-Khattab R.A, yang kemudian menggantikannya. (Lihat Ashab al-Rasul, oleh Syeikh Mahmud al-Misri, hlm. 172).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *