Saidina Ali bin Abu Talib R.A

Beliau ialah Abu al-Hasan Ali bin Abu Talib ‘Abd Manaf bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf al-Qurasyi al-Hasyimi. Beliau dilahirkan di Makkah kira-kira 10 tahun sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Beliau ialah orang yang pertama masuk Islam daripada kalangan kanak-kanak. Sebahagian riwayat mengatakan bahawa ketika beliau masuk Islam, umurnya baru 10 tahun. Diriwayatkan oleh Ibn Sa‘ad bahawa al-Hassan bin Zaid bin al-Hassan berkata: “Ali tidak pernah menyembah berhala sama sekali kerana dia memang masih kecil.”

Beliau berasal daripada Bani Hasyim yang berketurunan Quraisy dan merupakan sepupu serta menantu kepada Nabi Muhammad SAW. Digelar dengan Zu al-Fiqar kerana keberanian dan sifat kepahlawanannya yang terserlah. 

Nabi SAW bersabda ketika Perang Khaibar:

لأُعْطِيَنَّ الرَّايَةَ رَجُلاً يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ، وَيُحِبُّهُ اللَّهُ وَرَسُولُهُ‏.‏ ‏

Maksudnya: “Aku akan menyerahkan panji kepada seorang lelaki yang mencintai Allah dan Rasul-Nya dan dicintai oleh Allah dan Rasul-Nya.” 

Maka para sahabat kesemuanya mengharapkannya, namun Nabi SAW bersabda: “Panggilkan Ali untukku.” Lalu Ali yang sedang sakit mata dibawa ke hadapan Nabi SAW, kemudian Baginda meludah pada kedua matanya dan menyerahkan panji kepadanya sehingga Allah menurunkan kemenangan melalui kedua tangannya. 

Riwayat Muslim (2404) dan al-Tirmizi (3724)

Selain itu, terdapat riwayat daripada Habsyi bin Junadah al-Saluli, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَلِيٌّ مِنِّي وَأَنَا مِنْ عَلِيٍّ، وَلاَ يُؤَدِّي عَنِّي إِلاَّ أَنَا أَوْ عَلِيٌّ.

Maksudnya:Ali bahagian daripadaku, aku bahagian daripada Ali. Tidak ada yang menunaikan untukku selain aku sendiri atau Ali.”

Riwayat al-Tirmizi (3719), al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8147), Ahmad (17505) dan Ibn Majah (119)

Begitu juga riwayat daripada Anas R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الْجَنَّةَ تَشْتَاقُ إِلَى ثَلاَثَةٍ عَلِيٍّ وَعَمَّارٍ وَسَلْمَانَ

Maksudnya: “Sesungguhnya syurga benar-benar merasa rindu kepada tiga orang iaitu Ali, ‘Ammar dan Salman.”

Riwayat al-Tirmizi (3797)

Saidina Ali merupakan khalifah keempat daripada khulafa’ al-Rasyidin. Beliau memerintah selama 5 tahun dalam suasana konflik politik. 

Pada malam Jumaat 15 Ramadhan tahun 40H, tiga orang dari kalangan Khawarij  melakukan intipan terhadap Ali. Ketika Ali keluar untuk mengerjakan solat Subuh, Ibn Muljam melibas pedangnya ke atas ubun-ubun Ali sambil berkata: “Hukum itu milik Allah, bukan milikmu juga bukan milik kawan-kawanmu.” Lantas orang ramai yang sedang berada di masjid gempar dan terkejut dengan kejadian mendadak itu. (Lihat Khulafa’ al-Rasyidin oleh Hasan Ayyub, hlm. 310-320).

Sebaik sahaja menerima libasan pedang di kepalanya, beliau lalu diangkat ke dalam rumahnya. Dalam keadaan yang sangat kritikal itu, beliau masih meminta orang-orang yang membawanya dan orang-orang yang mengerumuninya agar pergi ke masjid sehingga tetap dapat mendirikan solat Subuh secara berjemaah sebelum ia berlalu. Solat inilah yang hendak dilaksanakan oleh Ali, tetapi pembunuhan keji yang penuh dosa menghalang Ali untuk menghadirinya atau menyempurnakannya.

Ketika orang ramai telah menyelesaikan solat, mereka kembali kepadanya. Sebahagian kaum Muslimin berjaya menangkap si pembunuh, Ibn Muljam. Pada saat itu Khalifah Ali R.A membuka matanya. Kedua matanya tertuju kepada Ibn Muljam. Dia menggelengkan kepalanya dengan penuh penyesalan ketika beliau mengenalinya. Beliau berkata: “Apakah engkau pelakunya? Sedangkan selama ini aku telah berbuat baik kepadamu!” Ali R.A lalu memandang wajah anak-anak dan sahabat-sahabatnya sekilas. Beliau melihat wajah-wajah yang memendam amarah, menahan sabar untuk membalas dendam. Beliau hampir memastikan nasib yang akan menimpa Ibn Muljam. Sebuah balas dendam yang sangat mengerikan yang akan dilakukan oleh anak-anaknya dan rakan-rakannya. Lalu beliau memutuskan dengan teguh untuk memberikan perlindungan kepada pembunuhnya daripada kezaliman atau pelanggaran terhadap batasan-batasan qisas yang disyariatkan.

Beliau memanggil mereka kepadanya. Kata-kata itu keluar daripada mulutnya dengan tersekat-sekat untuk menggariskan keagungan insani yang diberikan oleh al-Quran kepada Ali dalam sebuah lembaran yang cemerlang. Ali berkata kepada anak-anak dan keluarganya: “Perlakukan dia dengan baik. Bersikaplah dengan mulia. Jika aku hidup, aku yang lebih berhak ke atasnya dengan qisas atau maaf. Jika aku mati, susulkanlah dia denganku. Aku akan membawa perkara ini di sisi Rabb seluruh alam. Jangan membunuh sesiapapun selainnya demi aku, kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” (Lihat Khulafa’ al-Rasul oleh Khalid Muhammad Khalid, hlm. 599).

Ali R.A yang cedera parah dibawa ke rumah, dan tabib Uthair bin ‘Amr al-Sukuni yang pernah menjadi tabib kepada Kisra, Raja Parsi dipanggil untuk merawatnya. Apabila diletakkan ubat pada kepala Ali R.A, tiba-tiba terkeluar sedikit otaknya; menandakan lukanya adalah terlalu dalam dan sangat parah. Dengan sedih, Uthair berkata:

يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، اعْهَدْ عَهْدَكَ فَإِنَّكَ مَيِّتٌ.

Maksudnya:Wahai Amirul Mukminin! Bersedialah untuk mati.” (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 3/1128).

Para ahli sejarah berkata: ‘Abd al-Rahman bin Muljam menikamnya di Kufah pada hari Jumaat ketika bulan Ramadhan berbaki tiga belas malam. Ada yang berpendapat, malam 21 darinya, tahun 40H. Saidina Ali R.A bertahan dua hari, Jumaat dan Sabtu lalu meninggal dunia pada malam Ahad. Jenazah beliau dimandikan oleh kedua anaknya dan Abdullah bin Jaafar. Al-Hasan mensolatkannya dan beliau dimakamkan pada waktu sahur. (Lihat Sifat al-Safwah, 1/135; Ashab al-Rasul, hlm. 312).

One thought on “Saidina Ali bin Abu Talib R.A

  1. SITI HAJAR ZULKIFLI says:

    InsyaAllah saya akan menamakan anak pertama saya, yg akan lahir pada 3/4/2024 nanti dengan nama Muhammad Ali Hussayn. Moga ada rezeki untuk berjumpa dengan Dr Zulkifli dan tahnik kan anak lelaki saya. Dah lama saya berhasrat mcm tu. Terima kasih diatas perkongsian cerita tentang Saiyidina Ali. 👍

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *