Saidina Uthman bin Affan R.A

Beliau ialah Abu ‘Amr dan Abu ‘Abdillah Uthman bin ‘Affan bin Abu al-‘As bin Umayyah bin ‘Abd Syams al-Qurasyi al-Umawi. Beliau merupakan khalifah ketiga daripada khulafa’ al-Rasyidin.  Beliau termasuk dalam kalangan mereka yang terawal memeluk Islam. Beliau juga mendapat julukan Zu al-Nurain  yang bermaksud pemilik dua cahaya. Hal ini kerana beliau berkahwin dengan dua orang puteri Rasulullah SAW, iaitu Ruqayyah dan Ummu Kulthum. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, Bhg. Khulafa’ al-Rasyidin, hlm. 149).

Selain itu, beliau juga terkenal sebagai seorang peniaga yang kaya dan pakar dalam bidang ekonomi namun sangat dermawan. Banyak bantuan ekonomi yang diberikan dalam membantu mengembangkan dakwah Islam. Antara kisah kedermawanan beliau dapat dilihat ketika berlakunya peperangan Tabuk. Dicatatkan bahawa Saidina Uthman bin ‘Affan telah menginfakkan sebanyak 900 ekor unta, 100 ekor kuda dan 1000 dinar. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 512-513).

‘Abd al-Rahman bin Samurah R.A meriwayatkan bahawa Uthman bin ‘Affan datang kepada Nabi SAW menyerahkan seribu dinar yang dibawanya dalam saku bajunya, ketika Nabi SAW sedang mempersiapkan pasukan Perang Tabuk. Dia membukanya di pangkuan Nabi SAW. Aku melihat Nabi SAW membolak-balikkanya di pangkuannya, lalu Baginda bersabda:

مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ ‏، مَا ضَرَّ عُثْمَانَ مَا عَمِلَ بَعْدَ الْيَوْمِ ‏

Maksudnya: “Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini. Tidak akan membahayakan Uthman apa yang dia lakukan setelah hari ini.”

Riwayat al-Tirmizi (3701). Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai hasan dalam takhrij Zad al-Ma‘ad (3/461)

Begitu juga Huzaifah R.A pernah berkata: Uthman datang kepada Rasulullah SAW di mana ketika itu Baginda sedang mempersiapkan pasukan Tabuk. Uthman membawa sepuluh ribu dinar. Dia membentangkannya di hadapan Rasulullah SAW. Lalu Baginda membolak-balikkan dengan tangannya sambil bersabda:

غَفَرَ اللَّهُ لَكَ يَا عُثْمَانُ مَا قَدَّمْتَ وَمَا أَخَّرْتَ، وَمَا أَسْرَرْتَ وَمَا أَعْلَنْتَ، وَمَا أَخْفَيْتَ وَمَا أَبْدَيْتَ، وَمَا هُوَ كَائِنٌ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Semoga Allah mengampunimu wahai Uthman, apa yang telah lalu dan sekarang, apa yang engkau rahsiakan, apa yang engkau tampakkan, dan apa yang akan berlaku sehingga hari Kiamat.” (Lihat Fadha’il al-Sahabah oleh Imam Ahmad, 1/456; al-Syari‘ah oleh al-Ajurri, 4/2012; Tarikh Dimasyq, 39/57; Mu‘jam al-Sahabah oleh al-Baghawi, 4/332; Fadha’il al-Khulafa’ al-Rasyidin oleh Abu Nu‘aim, hlm. 84; Usd al-Ghabah, 3/484).

Selain itu, beliau juga termasuk dalam kalangan sahabat yang dikira sebagai mati syahid. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Qatadah, bahawasanya Anas bin Malik R.A menyampaikan kepada mereka bahawasanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَعِدَ أُحُدًا، وَأَبُو بَكْرٍ، وَعُمَرُ، وَعُثْمَانُ فَرَجَفَ بِهِمْ، فَقَالَ: اثْبُتْ أُحُدُ فَإِنَّمَا عَلَيْكَ نَبِيٌّ، وَصِدِّيقٌ، وَشَهِيدَانِ

Maksudnya:Nabi SAW mendaki gunung Uhud bersama Abu Bakar, Umar dan Uthman . Tiba-tiba gunung Uhud bergoncang. Maka Baginda berkata: ‘Diamlah wahai Uhud kerana sesungguhnya di atasmu ada seorang Nabi, Siddiq (Abu Bakar) dan dua orang syahid (Umar dan Uthman).’

Riwayat al-Bukhari (3675)

Diceritakan bahawa ketika para penentang semakin hebat mengepung rumah Uthman, beliau berkata kepada para sahabat R.Anhum yang berkumpul di sekitar rumahnya, yang sedang bersedia menghadapi para penentang itu dengan senjata: “Sesungguhnya orang yang paling aku perlukan adalah seorang lelaki yang menahan tangan dan senjatanya!

Uthman berkata kepada Abu Hurairah R.A yang telah datang dengan pedang terhunus dan bersiap-siap untuk membelanya: “Ketahuilah, jika engkau membunuh satu orang sahaja maka seolah-olah engkau telah membunuh seluruh manusia.”

Uthman berkata kepada al-Hasan, al-Husain, Ibn Umar, Abdullah bin al-Zubair, dan para pemuda dalam kalangan sahabat yang datang untuk melindunginya: “Aku meminta dan memohon kepada kamu semua dengan nama Allah, jangan ada darah yang tertumpah demi membelaku.”

Ibn Umar berkata: Ali bin Abu Talib datang menemui Uthman ketika beliau dikepung. Ali bin Abu Talib datang bersama al-Hasan sementara pintu tertutup. Ali bin Abu Talib pun berkata kepada al-Hasan: “Masuklah menemui Amirul Mukminin. Sampaikan salamku dan katakan kepadanya, ‘Kami datang untuk membelamu. Perintahkan apa sahaja kepada kami.’” Al-Hasan masuk, lalu beberapa ketika kemudian beliau keluar, dan berkata kepada ayahnya: “Sesungguhnya Amirul Mukminin menyampaikan salam kepadamu dan berkata kepadamu: ‘Aku tidak memerlukan perang dan pertumpahan darah.’” Ibn Umar berkata: Maka Ali bin Abu Talib melepaskan serban hitam dan melemparkannya di depan pintu, sambil berkata:

‏ ذَٰلِكَ لِيَعْلَمَ أَنِّي لَمْ أَخُنْهُ بِالْغَيْبِ وَأَنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي كَيْدَ الْخَائِنِينَ

Maksudnya:(Pengakuanku) yang demikian supaya dia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa dia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.

(Surah Yusuf: 52)

Engkau benar-benar mengagumkan, wahai Uthman… kasih sayang menyeluruh, pemberiannya yang adil memayungi segala peristiwa yang besar dan yang kecil, seorang khadam memperoleh bahagian darinya dalam bentuk nikmatnya tidur, sekalipun khalifah harus melelahkan dirinya yang telah lanjut usia dalam malam yang kelam… titisan darah mempunyai bahagian dan haknya untuk menikmati keselamatan dan kebahagiaan sekali pun risikonya adalah melayangnya nyawa khalifah yang tua di tangan para pembangkang yang penuh dosa, pengkhianat fajir (durjana). Kasih sayang meresap dalam kehidupan dan tingkah lakunya sehingga di penghujung ketika mereka meminta nyawanya dan dia pun memberikannya. (Lihat Ashab al-Rasul, hlm. 282 dan Salah al-Ummah oleh Dr Sayyid Husain, 6/62)

Pada hari terakhir pengepungan, sebelum dibunuh, Uthman R.A tertidur. Pada waktu pagi, dia menyebut: “Sesungguhnya pemberontak ini akan membunuhku.” Kemudian beliau berkata lagi: “Dalam tidurku, aku bermimpi melihat Nabi SAW. Baginda ditemani oleh Abu Bakar dan Umar R.Anhuma. Baginda SAW berkata: ‘Wahai Uthman, berbukalah bersama kami.’” Oleh sebab itulah, pada waktu pagi harinya Uthman R.A berpuasa, dan pada hari itu juga beliau dibunuh. (Lihat al-Tabaqat, 3/75).

Ketika semua orang yang ingin membelanya telah keluar dari rumah atas permintaannya, Uthman R.A pun membuka mushaf dan mulai membacanya. Tiba-tiba masuklah salah seorang pengepung (riwayat-riwayat yang ada tidak menjelaskan namanya) dan menghampiri Uthman R.A. Uthman R.A berkata kepadanya: “Antaraku dan kamu ada Kitab Allah.” Kemudian lelaki itu keluar meninggalkan beliau.

Tidak lama setelah itu, masuklah lelaki lain. Lelaki itu berasal dari Bani Sadus bernama al-Maut al-Aswad. Dia lantas mencekik Uthman R.A. sebelum menebasnya dengan pedang. Dia berkata: “Demi Allah, aku tidak pernah melihat sesuatu yang lebih halus daripada mencekiknya. Sesungguhnya, aku mencekiknya sehingga aku melihat nafasnya keluar seperti sosok jin yang berhembus di dalam tubuhnya.” Dia kemudian menebas Uthman R.A, tetapi Uthman R.A menangkis dengan tangannya sehingga terputus.

Uthman R.A berkata: “Demi Allah, itu adalah tangan pertama yang menulis surah-surah pendek.” Hal itu disebabkan Uthman R.A merupakan salah seorang di antara penulis wahyu. Dia adalah orang pertama yang menulis mushaf berdasarkan apa yang Rasulullah SAW bacakan kepadanya. Akhirnya Uthman dibunuh dengan mushaf berada di hadapannya. Tangan yang telah terputus itu menyemburkan darah segar ke atas mushaf yang dia baca dan mengenai firman Allah SWT:

فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ ۚ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ‎

Maksudnya:Oleh itu (janganlah engkau khuatir) kerana Allah akan memeliharamu dari kejahatan mereka; dan Dia lah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 137)

(Lihat Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, 2/671; Al-Matalib al-‘Aliyah bi Zawa’id al-Masanid al-Thamaniyyah oleh al-Hafiz Ibn Hajar, 7/640 dan Nafahat Athirah fi Sirah Sahabah Rasululah, hlm. 870)

‘Amrah binti Qais Al-‘Adawiyyah menceritakan: “Aku berangkat ke Makkah bersama Aisyah R.Anha pada tahun Uthman R.A dibunuh. Kami melewati Madinah. Di sana, kami melihat mushaf yang berada di dalam pelukan Uthman R.A ketika beliau dibunuh. Ternyata, titisan pertama darahnya menitis pada ayat, ‘فَسَيَكْفِيكَهُمُ اللَّهُ’. ‘Amrah kemudian berkata: “Tidak ada yang mati di antara mereka sebagai orang yang benar.” (Lihat al-Zuhd oleh Imam Ahmad, hlm. 160).

Saidina Uthman meninggal dunia pada 8 Zulhijjah tahun 35 Hijrah menurut pendapat yang masyhur. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 4/364) Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *