Nama penuh beliau ialah Nuruddin Mahmud bin Imaduddin Zanki bin Aq-Sunqur. Beliau dilahirkan di di kota Aleppo, Syam (atau sekarang lebih dikenal dengan Syria atau Suriah) pada bulan Februari 1118 M atau tanggal 17 Syawal 511 H. Nuruddin adalah seorang yang memiliki perawakan tinggi, memiliki kulit agak gelap serta dahinya lebar. Matanya agak sayu kemudian ia adalah seseorang yang berjanggut dan tidak memelihara kumis. (Lihat Nuruddin Zanki & Perang Salib, hlm. 335.)

Nuruddin lahir dan membesar pada waktu umat Islam sedang berada dalam keadaan perpecahan. Kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad hanya berperanan sebagai simbol Khalifah Islam, sedangkan dari sudut pemerintahannya sudah diambil alih oleh para Amir yang berkuasa di wilayah-wilayah Abbasiyah. 

Memandangkan beliau merupakan putera dari seorang pemimpin, Sultan Nuruddin mendapat asuhan dan pendidikan seperti anak penguasa yang lain. Pendidikan menjadi salah satu hal yang sangat ditekankan oleh Imaduddin (ayah Sultan Nuruddin) kepada keluarganya. Ilmu-ilmu yang dipelajari oleh Sultan Nuruddin di antaranya ialah ilmu pengetahuan tentang Islam dan ilmu pengetahuan umum. Ilmu pengetahuan umum yang dipelajari oleh Nuruddin diantaranya adalah bahasa Persia dan bahasa Rum atau Romawi. Dalam ilmu keislaman, ilmu yang dipelajarinya ialah ilmu al-Qur’an, fiqih serta ilmu hadith. (Lihat http://www.academia.edu/Nuruddin-Mahmud-Zanki)

Ayah Nuruddin, Imaduddin Zanki wafat pada tahun 1146 dan pada waktu itu usia Nuruddin baru 28 tahun. Walaupun beliau masih muda, beliau diberi kepercayaan untuk meneruskan kepemimpinan ayahnya di Aleppo, salah satu wilayah penting di Syria. Pada masa awal kepemimpinannya Nuruddin disibukkan dengan penyatuan wilayah Syria yang ketika itu berpecah-belah. Setelah masalah di Syria selesai, Nuruddin mula merancang untuk mengembangkan pemerintahannya dan bergerak ke wilayah lain iaitu untuk menguasai Mesir. 

Adz-Dzahabi dalam kitabnya Siyar A’lam an-Nubala` mengatakan, “Nuruddin merupakan seorang yang pandai menulis, gemar membaca, sentiasa solat berjemaah dan banyak berpuasa. (Ia suka) membaca Al-Qur`an, bertasbih dan sangat menjaga makanan, menghindari sikap takabbur dan dekat dengan sifat para ulama dan orang-orang baik.”

al-Hafiz Ibn al-Asakir, seorang ulama yang hidup sezaman dengan Nuruddin, mengatakan, “(Ia) meriwayatkan hadis, setiap orang melihatnya seperti syahid (malaikat) kerana kebesaran kekuasaannya dan wibawa kerajaan yang diserahkan kepadanya. Dia terlihat lembut dan rendah hati. Ketika berjaya menakluk satu negeri, dia menyerahkannya dengan aman. Dan setiap kali dia menguasai sebuah kota, muncullah keadilan di tengah rakyatnya.” (Lihat Nuruddin Zanki & Perang Salib, hlm. 341)

Ibn al-Athir: “Saya telah membaca kehidupan raja-raja masa lalu, dan setelah Khulafa’ al-Rashidin dan Umar bin Abdul Aziz, saya tidak menemukan seorang yang lebih lurus dan lebih bersungguh-sungguh dalam menegakkan keadilan (selain Nuruddin Zanki).” 

Nuruddin Zanki terkenal dengan kehidupannya yang sederhana dan kesolehannya. Nuruddin adalah seorang pemimpin yang cuba menanam ruh keislaman di dalam diri masyarakat yang dipimpinnya. Ini menghasilkan suasana kondusif di tengah-tengah masyarakat dengan nilai-nilai keislaman yang diterapkan dalam kehidupan sehari-hari.

Kesolehan Nuruddin dapat dilihat dari sikap dan tingkah lakunya, beliau selalu menghidupkan sunnah Rasul, sentiasa menjaga diri dari apa-apa yang haram dan dilarang agama. Kesederhanaan dan kesolehan Nuruddin diakui oleh orang-orang lain yang bukan Islam, disebutkan bahawa ada seorang non Muslim di Jerusalem berkata, “Sesungguhnya Abul Qasim (Nuruddin) memiliki sirr ‘rahsia’ dengan Allah. Tidaklah dia mengalahkan kami dengan bala tentaranya yang banyak, akan tetapi dia menang ke atas kami dengan doa dan solat malamnya.” (Lihat Nuruddin Zanki & Perang Salib, hlm. 340-341)

Nuruddin terkenal dengan kesolehannya dan dalam ibadahnya. Nuruddin adalah seorang pengikut mazhab Hanafi tetapi juga sangat menghargai para ulama yang berbeza mazhab dengannya. Sikapnya tersebut sangat disukai oleh seluruh penduduk sehingga Nuruddin sangat dicintai oleh rakyatnya.

Pada zaman pemerintahannya, Nuruddin benar-benar menerapkan keadilan dalam segala sudut kehidupan. Ketika itu, segala proses perundangan dan kehakiman sampai kepada pemilihan hakim dilakukan secara terbuka dengan maksud untuk mengelakkan dari tindakan yang tidak adil dan dapat merugikan orang lain. Nuruddin menempatkan semua orang sama dihadapan hakim dan pengadilan. 

Pernah suatu ketika, Nuruddin sendiri didakwa oleh seseorang, orang tersebut menuntut kepada Nuruddin untuk mengembalikan harta orang tersebut yang telah dirampas oleh ayah Nuruddin ketika masih berkuasa. Dengan bukti dan keterangan yang benar, akhirnya hakim memenangkan sang penuntut. Setelah itu, Nuruddin mengembalikan segala harta milik orang tersebut yang telah dirampas oleh ayahnya, Imaduddin Zanki, ketika masih berkuasa dengan baik dan tenang. (Lihat Nuruddin Zanki & Perang Salib, hlm. 349)

Nuruddin merupakan seseorang yang hidup bersederhana walaupun beliau adalah seorang pemimpin besar. Nuruddin memberi nafkah kepada isterinya, Khatun binti Mu’inuddin, setakat apa yang diperlukan dan Sultan Nuruddin tidak hidup bermewah-mewahan. Beliau memiliki seorang anak lelaki yang bernama Al-Shalih. Anaknya tersebut baru berusia sebelas tahun ketika Nuruddin wafat pada tahun 1174 M dan ketika beliau wafat, tidak ada sesiapa yang mampu untuk meneruskan kekuasaannya. (Lihat Nuruddin Zanki & Perang Salib, hlm. 430)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *