Thabit bin Qais R.A

Thabit bin Qais bin Syammas bin Zuhair bin Malik bin Imri’ al-Qais bin Malik bin Tha‘labah bin Ka‘ab bin al-Khazraj al-Ansari al-Khazraji. Beliau ialah seorang jurucakap al-Ansar. (Lihat al-Isabah, 1/511)

Beliau juga merupakan jurucakap bagi Rasulullah SAW sebagaimana beliau seorang yang pandai bersyair. Beliau termasuk salah seorang yang menyertai peperangan Uhud dan peperangan selepas daripada itu. Beliau meninggal dunia dan syahid ketika peperangan al-Yamamah pada zaman pemerintahan Abu Bakar al-Siddiq R.A. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma’rifah al-Sahabah, 1/451).

Tambahan lagi, terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan bahawa Thabit bin Qais R.A termasuk dalam kalangan mereka yang dijamin ahli syurga. Hal ini adalah sebagaimana ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah ketika hijrahnya dari Makkah, Thabit bin Qais menyambut Baginda bersama golongan pembesar kaumnya dengan mesra, menerima Baginda SAW dan sahabatnya Abu Bakar al-Siddiq dengan penuh kemuliaan. Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

خَطَبَ ثَابِتُ بْنُ قَيْسٍ عِنْدَ مَقْدَمِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمَدِينَةَ، فَقَالَ: نَمْنَعُكَ مِمَّا نَمْنَعُ مِنْهُ أَنْفُسَنَا وَأَوْلَادَنَا، فَمَا لَنَا؟ قَالَ: «الْجَنَّةُ» قَالَ: رَضِينَا

Maksudnya:Thabit bin Qais berkhutbah ketika mana Nabi SAW tiba di Madinah, katanya: ‘Kami berjanji kepadamu wahai Rasulullah, akan melindungimu seperti kami melindungi diri kami, anak-anak kami (daripada setiap bahaya yang akan menimpa). Lalu apa yang kami akan dapat sebagai balasannya?’ Maka Nabi SAW menjawab. ‘Syurga.’ Beliau berkata: ‘Kami redha — wahai Rasulullah.’

Riwayat  al-Nasa’i dalam al-Sunan al-Kubra (8171), al-Hakim dalam al-Mustadrak (5033) dan Abu Ya‘la dalam Musnadnya (3772). Al-Hakim menilai hadith ini sebagai Sahih berdasarkan syarat Imam al-Bukhari dan Muslim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Haithami juga dalam Majma‘ al-Zawaid (6/51) menyatakan bahawa para perawi dalam hadith ini merupakan perawi kitab al-sahih.

Ketika Allah SWT menurunkan ayat: 

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَرْفَعُوا أَصْوَاتَكُمْ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ وَلَا تَجْهَرُوا لَهُ بِالْقَوْلِ كَجَهْرِ بَعْضِكُمْ لِبَعْضٍ أَن تَحْبَطَ أَعْمَالُكُمْ وَأَنتُمْ لَا تَشْعُرُونَ

Maksudnya:Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengangkat suara kamu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu menyaringkan suara (dengan lantang) semasa bercakap dengannya sebagaimana setengah kamu menyaringkan suaranya semasa bercakap dengan setengahnya yang lain. (Larangan yang demikian) supaya amal-amal kamu tidak hapus pahalanya, sedang kamu tidak menyedarinya.

(Surah al-Hujurat: 2)

Thabit pun gementar ketakutan. Sejak saat itu Thabit bin Qais menjauhkan diri daripada majlis-majlis Rasulullah SAW, sekali pun dia sangat mencintai dan berkeinginan untuk datang ke majlisnya. Thabit mendiamkan diri di dalam rumahnya dan tidak pernah meninggalkannya kecuali hanya untuk solat berjemaah. (Lihat Suwarun Min Hayah al-Sahabah, hlm. 458).

Rentetan daripada kisah ini, diriwayatkan  daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، افْتَقَدَ ثَابِتَ بْنَ قَيْسٍ، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَنَا أَعْلَمُ لَكَ عِلْمَهُ، فَأَتَاهُ فَوَجَدَهُ جَالِسًا فِي بَيْتِهِ، مُنَكِّسًا رَأْسَهُ، فَقَالَ: مَا شَأْنُكَ؟ فَقَالَ: شَرٌّ، كَانَ يَرْفَعُ صَوْتَهُ فَوْقَ صَوْتِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَدْ حَبِطَ عَمَلُهُ، وَهُوَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ، فَأَتَى الرَّجُلُ فَأَخْبَرَهُ أَنَّهُ قَالَ كَذَا وَكَذَا، فَقَالَ مُوسَى بْنُ أَنَسٍ: فَرَجَعَ المَرَّةَ الآخِرَةَ بِبِشَارَةٍ عَظِيمَةٍ، فَقَالَ: اذْهَبْ إِلَيْهِ، فَقُلْ لَهُ: إِنَّكَ لَسْتَ مِنْ أَهْلِ النَّارِ، وَلَكِنْ مِنْ أَهْلِ الجَنَّةِ.

Maksudnya:Nabi SAW mencari-cari Thabit bin Qais. Maka seorang lelaki berkata: ‘Wahai Rasulullah, aku akan memberitahu kepadamu tentangnya.’ Dia datang kepada Thabit dan mendapatinya sedang duduk di rumahnya sambil menundukkan kepalanya. Dia berkata: ‘Ada apa denganmu?’ Thabit menjawab: ‘Khabar buruk.’ Dia telah meninggikan suaranya mengatasi suara Nabi SAW, maka telah gugurlah amalannya, dan dia termasuk penghuni neraka. Lelaki tersebut datang dan mengkhabarkan kepada Nabi SAW bahawa Thabit berkata begini dan begitu.” Musa bin Anas berkata: “Dia kembali pada kali terakhir dengan membawa berita gembira. Baginda bersabda: ‘Pergilah dan katakan kepadanya: Sesungguhnya engkau tidak termasuk dalam penghuni neraka, tetapi termasuk dalam kalangan penghuni syurga.’

Riwayat al-Bukhari (3613) dan Muslim (119) 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *