Beliau ialah Aisyah binti Abu Bakar al-Siddiq Abdullah bin Uthman bin ‘Amr bin Ka‘ab bin Sa‘ad bin Taim al-Taimiyyah al-Qurasyiyyah. Ibu beliau bernama Ummu Ruman binti ‘Amir. Beliau dilahirkan empat atau lima tahun selepas Nabi SAW diutuskan sebagai Rasul. Beliau juga termasuk dalam kalangan mereka yang dilahirkan dalam Islam, dan usianya adalah 8 tahun lebih muda daripada Fatimah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/231; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/139).

Aisyah diberikan nama julukan — kunyah — Ummu ‘Abdillah kerana beliau pernah meminta kepada Rasulullah SAW untuk diberikan kunyah kepadanya, dan gelaran itu diberikan kepadanya kerana beliau sangat rapat dengan anak saudaranya yang bernama Abdullah bin Zubair R.A. (Lihat al-Raud al-Unuf, 4/427).

Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:

 يَا رَسُولَ اللهِ، كُلُّ صَوَاحِبِي لَهُنَّ كُنًى. قَالَ: فَاكْتَنِي بِابْنِكِ عَبْدِ اللهِ يَعْنِي ابْنَ اخْتِهَا. قَالَ مُسَدَّدٌ: عَبْدِ اللهِ بْنِ الزُّبَيْرِ. قَالَ: فَكَانَتْ تُكَنَّى بِأُمِّ عَبْدِ اللهِ

Maksudnya: Wahai Rasulullah, semua maduku memiliki nama julukan (kunyah). Baginda SAW bersabda: ‘Justeru berikan kepada dirimu kunyah dengan nama anakmu Abdullah iaitu anak saudaramu.’ — Musaddad berkata: ‘Iaitu Abdullah bin al-Zubair — Perawi berkata: ‘Maka, Aisyah diberikan nama julukan (kunyah) dengan nama Ummu ‘Abdillah.’

Riwayat Abu Daud (4970); Ibn Majah (3739); Ahmad (25530); Imam al-Nawawi dalam al-Majmu‘ (8/438) menilai sanadnya sebagai sahih. 

Selain itu, Aisyah R.Anha juga termasuk dalam kalangan mereka yang mendapat jaminan syurga. Hal ini sebagaimana diriwayatkan daripada al-Qasim bin Muhammad bahawa ketika Aisyah sedang sakit, Ibn Abbas R.Anhuma datang dan berkata: 

يَا أُمَّ الـمُؤْمِنِينَ تَقْدَمِينَ عَلَى فَرَطِ صِدْقٍ عَلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَعَلَى أَبِي بَكْرٍ

Maksudnya: “Wahai Ummul Mukminin, kamu adalah orang yang terkehadapan (masuk syurga) bersama Rasulullah SAW dan Abu Bakar.”

Riwayat al-Bukhari (3771)

Para ulama berpendapat walaupun bukan Rasulullah SAW yang mengatakan hal ini secara terus, tetapi disebabkan ia berkaitan dengan perkara ghaib, maka sudah pasti Ibn Abbas yang mendengarnya sendiri daripada Rasulullah SAW. Maka perkataan Ibn Abbas ini termasuk dalam riwayat mauquf yang mempunyai hukum marfu‘. (Lihat Irsyad al-Sari, 8248).

Begitu juga diriwayatkan juga secara marfu‘ bahawa Ibn Abbas R.Anhuma mendengar daripada Rasulullah SAW, Baginda bersabda: 

عائشةُ زوجتي في الجنَّةِ

Maksudnya:Aisyah ialah isteriku di syurga.”

Riwayat Abu Hanifah dalam Musnadnya (662). Hadith ini dinilai hasan dengan banyaknya jalur riwayat yang saling menyokong antara satu sama lain berdasarkan Silsilah al-Ahadith al-Sahihah (2867).

Selain itu, diriwayatkan juga daripada Aisyah R.Anha, katanya:

 قُلْتُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ مَنْ مِنْ أَزْوَاجِكَ فِي الْجَنَّةِ؟ قَالَ: «أَمَا إِنَّكِ مِنْهُنَّ»

Maksudnya:Aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah SAW, siapakah antara isteri-isteri kamu di syurga?’ Baginda menjawab: ‘Adapun kamu termasuk dalam kalangan mereka.’

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (4/14) dan beliau menilai sanad hadith ini sebagai sahih dan dipersetujui oleh al-Zahabi dalam al-Talkhis.

Selain daripada itu diriwayatkan juga bahawa Abu Wa’il berkata: Ketika Ali mengutus ‘Ammar dan al-Hasan ke Kufah bagi mengerah mereka (untuk berperang dalam perang Jamal). ‘Ammar berkhutbah lalu berkata: 

إِنِّي لَأَعْلَمُ أَنَّهَا زَوْجَتُهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ، وَلَكِنَّ اللَّهَ ابْتَلاَكُمْ لِتَتَّبِعُوهُ أَوْ إِيَّاهَا.

Maksudnya: “Sesungguhnya aku mengetahui bahawa beliau (Aisyah) ialah isterinya (Nabi SAW) di dunia dan akhirat. Akan tetapi, Allah menguji kamu, apakah kamu mengikutinya (Ali sebagai pemimpin) atau beliau (Aisyah)?

Riwayat al-Bukhari (3772)

Selain daripada itu, Aisyah R.Anha merupakan satu-satunya anak dara yang dinikahi oleh Rasulullah SAW dan Baginda tidak menikahi anak dara selainnya. Baginda SAW menikahinya sebelum hijrah Baginda dan selepas kewafatan al-Siddiqah Khadijah binti Khuwailid R.Anha. Perkara tersebut adalah beberapa bulan sebelum berlakunya hijrah, dan ada pendapat menyatakan, dua tahun sebelum hijrah. Akan tetapi menurut al-Zubair bin Bakkar, Baginda SAW menikahinya selepas kewafatan Khadijah, dan tiga tahun sebelum berlakunya hijrah ke Madinah.  Nabi SAW mengahwininya ketika beliau berumur enam tahun. Namun, terdapat pendapat menyebutkan ketika berusia tujuh tahun. Ibn Hajar menyatakan, tidak ada percanggahan antara kedua pendapat ini kerana kemungkinan beliau sudah mencukupi enam tahun dan memasuki umur tujuh tahun ketika dinikahi oleh Baginda SAW. Rasulullah SAW mula menggaulinya ketika beliau berusia sembilan tahun, pada bulan Syawal tahun pertama hijrah. Ada pendapat menyebutkan, tahun kedua hijrah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/232; Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/135). 

Hal ini juga adalah sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada bapanya, daripada ‘Aisyah R.Anha: 

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَزَوَّجَهَا وَهِيَ بِنْتُ سِتِّ سِنِينَ، وَبَنَى بِـهَا وَهِيَ بِنْتُ تِسْعِ سِنِينَ. قَالَ هِشَامٌ: وَأُنْبِئْتُ أَنَّـهَا كَانَتْ عِنْدَهُ تِسْعَ سِنِينَ.

Maksudnya:Nabi SAW menikahinya semasa beliau berusia enam tahun, dan bersama dengannya semasa beliau berusia sembilan tahun. Hisyam berkata: ‘Diberitakan kepadaku bahawasanya Aisyah berada di sisi Baginda SAW selama sembilan tahun.’

Riwayat al-Bukhari (5134)

Di samping itu, Aisyah R.Anha juga telah disucikan oleh Allah SWT ketika berlakunya peristiwa al-Ifk. Peristiwa ini ada direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya, riwayat daripada Ibn Syihab al-Zuhri, daripada Urwah bin al-Zubair, Sa‘id bin al-Musayyib, Alqamah bin Waqqas al-Laithi dan ‘Ubaidullah bin Abdullah bin `Utbah, daripada Aisyah R.Anha – isteri Nabi SAW – ketika para penyebar berita dusta mengatakan kepadanya apa yang telah mereka katakan, lalu Allah membebaskannya daripada tuduhan itu. Al-Zuhri berkata: Mereka semua menyampaikan kepadaku sebahagian hadith Aisyah itu – sebahagian mereka lebih faham daripada yang lainnya dan lebih tepat dalam menyampaikan kisahnya – lalu aku memahami daripada setiap mereka hadith yang mereka sampaikan kepadaku daripada Aisyah, dan sebahagian hadith mereka membenarkan sebahagian yang lain. Mereka mengatakan bahawa Aisyah R.Anha berkata: “Biasanya Nabi SAW apabila hendak keluar melakukan perjalanan, Baginda membuat undian di antara isteri-isterinya. Siapa sahaja antara mereka yang undiannya keluar, maka Baginda akan keluar bersamanya. Baginda pun mengadakan undian  antara kami dalam suatu perjalanan untuk perang yang akan Baginda lakukan. Akhirnya undianku keluar dan aku pun berangkat bersama Baginda, dan pada saat itu telah diturunkan ketetapan hijab. Aku dibawa di atas sekedup dan diturunkan bersamanya (semasa di persinggahan). Kami pun berjalan hingga setelah Rasulullah SAW selesai daripada peperangannya itu, Baginda berangkat pulang dan kami telah menghampiri Madinah. Maka Baginda mengumumkan pada waktu malam untuk berangkat (meneruskan perjalanan). 

Saat mereka mengumumkan untuk berangkat, lalu aku berjalan sehingga melepasi (penempatan) pasukan tentera. Ketika aku telah menyelesaikan hajatku, aku kembali ke tempatku, kemudian menyentuh dadaku, tiba-tiba aku mendapati kalungku, yang diperbuat daripada Jaz‘i azfar  telah terputus (hilang). Aku pergi semula dan mencari kalungku, dan aku pun tertahan (daripada menyertai mereka yang sedang bersiap untuk balik) disebabkan mencarinya. Kemudian datang  orang-orang yang ditugaskan untuk mengangkatku lalu mengangkat sekedupku dan meletakkannya di atas unta yang aku tungganginya sebelum ini. Mereka menyangka aku berada di dalamnya. Perempuan-perempuan pada masa itu ringan (badannya), tidak berat dan tidak pula gemuk. Mereka hanya memakan beberapa suap makanan. Oleh itu, orang-orang yang mengangkat sekedup tidak berasa pelik dengan keberatan sekedup itu ketika mengangkatnya, lalu mereka mengangkatnya. Tambahan pula ketika itu aku seorang wanita yang masih muda. Mereka pun melepaskan unta, lalu bergerak pergi. Aku menemukan kalungku setelah pasukan tentera berlalu pergi. Aku datang ke perkhemahan mereka, namun tidak ada seorang pun di sana, lalu aku pergi ke tempat persinggahan tadi, dan aku merasakan bahawa mereka akan menyedari ketiadaanku, dan mereka akan kembali semula kepadaku. Ketika sedang duduk, aku dikuasai oleh rasa mengantuk sehingga aku tertidur. 

Sementara itu, Safwan bin al-Mu‘attal al-Sulami, kemudian dinisbahkan kepada al-Zakwani berada di belakang pasukan. Maka, beliau telah sampai ke tempatku dan melihat kelibat seseorang yang sedang tidur, lalu beliau datang kepadaku dan beliau pernah melihatku sebelum turun perintah hijab. Aku terbangun mendengar suaranya mengucapkan istirja‘.  Ketika beliau menurunkan tunggangannya, kemudian beliau memijak kaki depan unta, lalu aku menaikinya. Beliau berjalan menuntun kenderaanku hingga kami sampai kepada pasukan tentera tersebut ketika mereka berhenti singgah pada waktu tengahari. Binasalah mereka yang binasa! Orang yang mengepalai mereka yang menyebarkan berita dusta adalah Abdullah bin Ubai bin Salul. Kami telah sampai ke Madinah, dan aku (Aisyah) telah jatuh sakit di sana selama sebulan. Dalam pada itu, orang ramai sedang menyebarkan perkataan para penyebar berita dusta. Satu hal yang mencurigakanku saat sakit, iaitu bahawa aku tidak nampak daripada Nabi SAW kelembutan yang biasa aku melihat daripadanya ketika aku sakit sebelum ini. Baginda SAW hanya masuk, memberi salam lalu bertanya: “Bagaimanakah keadaan kamu?” Aku tidak merasakan apapun daripada kejadian itu hingga aku telah sembuh. Aku keluar bersama Ummu Mistah ke arah al-Manasi‘ iaitu tempat kami qada’ hajat. Kami tidak keluar kecuali dari satu malam ke malam berikutnya (hanya pada malam hari). Hal itu berlaku sebelum dibina tandas yang dekat dengan rumah-rumah kami. Keadaan kami sama seperti keadaan orang-orang Arab terdahulu yang mencari kawasan pedalaman atau tempat yang sangat jauh daripada penduduk (untuk qada’ hajat). 

Kemudian aku kembali bersama Ummu Mistah binti Abu Ruhm sambil berjalan kaki. Beliau telah tergelincir kerana terpijak kainnya, lalu mengatakan: “Celakalah Mistah!” Aku berkata kepadanya: “Alangkah buruk apa yang engkau katakan, adakah engkau mencaci maki seorang lelaki yang turut serta dalam perang Badar?” Beliau berkata: “Wahai sayangku! Adakah engkau belum mendengar apa yang mereka katakan?” Lalu beliau (Umm Mistah) menceritakan kepadaku tentang perkataan para penyebar berita dusta. Maka, semakin bertambah rasa sakitku yang telah ada. Ketika kembali ke rumahku, Rasulullah SAW masuk menemuiku dan memberi salam, kemudian bertanya: “Bagaimanakah keadaanmu?” Aku berkata: “Izinkanlah aku pergi kepada kedua ibu bapaku.” Aisyah berkata: “Ketika itu, aku ingin mencari kepastian tentang cerita tersebut daripada mereka berdua.” Rasulullah SAW pun mengizinkanku. Aku datang kepada kedua ibu bapaku dan berkata kepada ibuku: “Apakah yang dibicarakan oleh orang-orang tentang diriku?” Beliau menjawab: “Wahai puteriku kesayanganku! Tenanglah menghadapi masalah ini. Demi Allah, sangat sedikit wanita cantik yang bersama suami yang mencintainya dan dia mempunyai madu melainkan mereka akan banyak membicarakan tentang (keburukan) wanita itu.” Aku berkata: “Maha Suci Allah! Benarkah orang ramai telah membicarakan hal ini?” 

Aisyah berkata: “Malam itu aku bermalam sehingga pagi dengan air mata yang terus mengalir dan aku tidak dapat tidur.” Kemudian Rasulullah SAW memanggil Ali bin Abu Talib dan Usamah bin Zaid – ketika wahyu lambat turun – untuk meminta pendapat daripada keduanya untuk menceraikan isterinya.  Adapun Usamah, beliau menyarankan kepada Baginda SAW dengan saranan yang beliau tahu ada pada diri Nabi SAW iaitu kecintaan Baginda terhadap mereka. Usamah berkata: “Isterimu, wahai Rasulullah, dan kami tidak mengetahui, demi Allah, melainkan kebaikan.” Adapun Ali bin Abu Talib berkata: “Wahai Rasulullah! Allah ta‘ala tidak sekali-kali akan menyempitkanmu dan wanita-wanita selainnya masih ramai, tanyalah kepada hamba perempuan,  nescaya dia akan membenarkan hal itu kepadamu.” Rasulullah SAW memanggil Barirah dan bertanya: “Adakah engkau pernah melihat padanya sesuatu yang mencurigakanmu?” Barirah berkata: “Tidak, demi Allah yang telah mengutusmu dengan kebenaran, aku tidak pernah melihat apa-apa perkara padanya yang boleh untuk aku pandang rendah lebih daripada bahawa beliau hanyalah seorang wanita yang masih muda. Beliau tertidur meninggalkan adunan keluarganya, lalu datang kambing memakannya.” 

Pada hari itu, Rasulullah SAW berdiri dan mencari keuzuran (pembelaan) daripada (tuduhan) Abdullah bin Ubai bin Salul. Rasulullah SAW bersabda: “Siapakah yang dapat membelaku daripada orang yang gangguannya berkenaan isteriku sampai kepadaku? Maka, demi Allah, aku tidak mengetahui isteriku kecuali seorang yang baik. Mereka telah menyebutkan pula seseorang yang aku tidak mengetahuinya kecuali orang yang baik. Beliau tidak masuk menemui isteriku melainkan bersama denganku.” Maka, Sa‘d bin Mu‘az telah berdiri seraya berkata: “Wahai Rasulullah, demi Allah, aku akan membelamu daripadanya. Sekiranya dia berasal daripada suku Aus, nescaya kami akan memenggal lehernya. Sekiranya dia saudara kami dalam kalangan suku Khazraj dan engkau memerintahkan kami, nescaya kami akan melakukan perintahmu.” Kemudian Sa‘d bin ‘Ubadah telah berdiri – dan beliau ialah ketua suku Khazraj. Sebelum itu, beliau seorang yang soleh, namun semangat perkauman telah menimbulkan kemarahannya – Beliau berkata: “Demi Allah, engkau berdusta! Demi Allah, engkau tidak akan membunuhnya dan tidak akan mampu melakukannya.” Lalu Usaid bin Hudhair bangun seraya berkata: “Engkau berdusta, demi Allah, pasti kami akan membunuhnya! Sungguh engkau adalah orang munafiq dan membela orang-orang munafiq.” 

Terjadi pergolakan antara dua suku kaum; Aus dan Khazraj hingga hampir-hampir mereka berperang, dan Rasulullah SAW masih berada di atas mimbar. Baginda SAW turun dan menenangkan mereka sehingga mereka tenang. Baginda pun diam. Aisyah berkata: “Aku terus menangis pada hari itu, dan air mataku tidak pernah kering daripadaku serta aku tidak dapat tidur.  Pada pagi hari, kedua ibu bapaku telah berada di sisiku, sementara aku terus-menerus menangis satu hari dua malam hingga aku merasakan tangisan akan membelah hatiku.” Aisyah berkata: “Ketika keduanya sedang duduk di sisiku dan aku masih terus menangis, tiba-tiba seorang wanita daripada kalangan Ansar meminta izin dan aku memberi izin kepadanya, lalu dia duduk dan menangis bersamaku. Ketika kami dalam keadaan demikian, Rasulullah SAW masuk dan duduk, dan Baginda tidak pernah duduk di sebelahku sejak hari yang dikatakan mengenaiku apa yang dikatakan sebelumnya. Telah berlalu satu bulan dan belum diwahyukan kepada Baginda sesuatupun tentang urusanku.”  Aisyah berkata: Baginda bersyahadah kemudian bersabda: “Wahai Aisyah! Sesungguhnya telah sampai kepadaku berita tentang dirimu begini dan begitu. Jika engkau bersih daripada semua itu, nescaya Allah akan membersihkanmu. Tetapi sekiranya engkau melakukan dosa, maka mohonlah keampunan kepada Allah dan bertaubatlah kepada-Nya; kerana sesungguhnya hamba apabila mengakui dosanya kemudian bertaubat, nescaya Allah akan menerima taubatnya.” 

Ketika Rasulullah SAW selesai perkataannya, air mataku berhenti keluar hingga aku tidak merasakan satu titis pun. Aku berkata kepada bapaku: “Berilah jawapan kepada Rasulullah SAW bagi pihakku.” Maka, beliau berkata: “Demi Allah, aku tidak tahu apa yang perlu dikatakan kepada Rasulullah SAW.” Lalu aku berkata pula kepada ibuku: “Berilah jawapan kepada Rasulullah SAW bagi pihakku pada apa yang telah Baginda katakan.” Beliau berkata: “Demi Allah! Aku tidak tahu apa yang perlu aku katakan kepada Rasulullah SAW.” Aisyah berkata: “Ketika itu aku seorang budak perempuan yang masih kecil dan belum banyak membaca al-Quran.” Aku berkata: Demi Allah! Sungguh aku telah mengetahui bahawa kamu semua telah mendengar apa yang diperbualkan orang, hal itu telah meninggalkan kesan dalam hati kamu dan kamu telah membenarkannya, sekiranya aku mengatakan kepada kamu bahawa aku bersih (daripada dosa) – dan Allah Maha Mengetahui bahawa aku benar-benar bersih (daripadanya) – pasti kamu tidak akan mempercayai aku dalam hal itu. Kalau aku mengaku kepadamu tentang suatu perkara – dan Allah Maha Mengetahui bahawa sesungguhnya aku bersih (daripadanya) –  nescaya engkau akan mempercayaiku. Demi Allah! Aku tidak mendapatkan pemisalan bagi diriku dan dirimu kecuali bapa Nabi Yusuf ketika mengatakan: 

فَصَبۡرٞ جَمِيلٞۖ وَٱللَّهُ ٱلۡمُسۡتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ 

Maksudnya:Maka kesabaran yang baik itulah (kesabaranku). Dan Allah sahajalah yang dimohonkan pertolongan-Nya terhadap apa yang engkau ceritakan.” 

(Surah Yusuf: 18) 

Kemudian aku berpindah ke tempat tidurku sambil berharap Allah akan membersihkanku. Akan tetapi, demi Allah, aku tidak pernah sangka akan diturunkan wahyu mengenai keadaanku. Sungguh aku lebih rendah pada pandangan diriku untuk disebut dalam al-Quran mengenai keadaanku. Akan tetapi, aku berharap Rasulullah SAW akan melihat di dalam tidurnya mimpi yang akan membebaskanku (daripada tuduhan itu). Demi Allah, sebelum sempat Baginda beredar daripada tempat duduknya, dan sebelum seorang pun yang ada di dalam rumahnya sempat keluar, tiba-tiba turun wahyu kepada Baginda. Maka terjadi kepada Baginda kesusahan yang biasa terjadi kepada Baginda (ketika menerima wahyu), sehingga menitis daripada Baginda peluh seperti permata pada hari yang sejuk. Setelah keadaan itu dihilangkan daripada Rasulullah SAW, Baginda tersenyum, dan kalimah pertama yang Baginda ucapkannya ialah Baginda bersabda kepadaku: “Wahai Aisyah, pujilah Allah! Sungguh Allah telah membersihkanmu (daripada tuduhan).” Ibuku berkata kepadaku: “Berdirilah kepada Rasulullah SAW!” Aku berkata: “Tidak, demi Allah, aku tidak akan berdiri kepadanya dan aku tidak akan memuji melainkan Allah.” 

Allah Ta‘ala menurunkan firman-Nya:

إِنَّ ٱلَّذِينَ جَآءُو بِٱلۡإِفۡكِ عُصۡبَةٞ مِّنكُمۡۚ لَا تَحۡسَبُوهُ شَرّٗا لَّكُمۖ بَلۡ هُوَ خَيۡرٞ لَّكُمۡۚ لِكُلِّ ٱمۡرِيٕٖ مِّنۡهُم مَّا ٱكۡتَسَبَ مِنَ ٱلۡإِثۡمِۚ وَٱلَّذِي تَوَلَّىٰ كِبۡرَهُۥ مِنۡهُمۡ لَهُۥ عَذَابٌ عَظِيمٞ

Maksudnya:Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, akan beroleh seksa yang besar (di dunia dan di akhirat).”

(Surah al-Nur: 11)

Ketika Allah menurunkan ayat ini, berkaitan kesucianku, maka Abu Bakar al-Siddiq R.A berkata sedangkan sebelum ini beliau sering memberi nafkah kepada Mistah bin Uthathah kerana hubungan kerabat antara mereka: “Demi Allah, aku tidak akan memberi nafkah sedikitpun kepada Mistah untuk selama-lamanya setelah apa yang beliau telah katakan tentang Aisyah.” Lalu Allah ta‘ala menurunkan firman-Nya: 

وَلَا يَأۡتَلِ أُوْلُواْ ٱلۡفَضۡلِ مِنكُمۡ وَٱلسَّعَةِ أَن يُؤۡتُوٓاْ أُوْلِي ٱلۡقُرۡبَىٰ وَٱلۡمَسَٰكِينَ وَٱلۡمُهَٰجِرِينَ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِۖ وَلۡيَعۡفُواْ وَلۡيَصۡفَحُوٓاْۗ أَلَا تُحِبُّونَ أَن يَغۡفِرَ ٱللَّهُ لَكُمۡۚ وَٱللَّهُ غَفُورٞ رَّحِيمٌ  

Maksudnya:Dan janganlah orang-orang yang berharta serta lapang hidupnya dari kalangan kamu, bersumpah tidak mahu lagi memberi bantuan kepada kaum kerabat dan orang-orang miskin serta orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah; dan (sebaliknya) hendaklah mereka memaafkan serta melupakan kesalahan orang-orang itu; tidakkah kamu suka supaya Allah mengampunkan dosa kamu? Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” 

(Surah al-Nur: 22) 

Abu Bakar berkata: “Bahkan demi Allah sungguh aku benar-benar ingin Allah memberi keampunan kepadaku.” Beliau kembali memberikan kepada Mistah apa yang biasa diberikan sebelumnya. Rasulullah SAW pernah bertanya kepada Zainab binti Jahsy tentang urusanku. Baginda bersabda: “Wahai Zainab! Apakah yang engkau ketahui? Apakah yang engkau lihat?” Beliau menjawab: “Wahai Rasulullah! Aku menjaga pendengaranku dan penglihatanku. Demi Allah, aku tidak mengetahui dirinya kecuali yang baik.” Aisyah berkata: “Beliau adalah orang yang menyaingiku, namun Allah telah melindunginya dengan sifat warak.” Abu al-Rabi‘ menyampaikan kepada kami, Fulaih menyampaikan kepada kami, daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada ‘Urwah bin al-Zubair, daripada Aisyah dan Abdullah bin al-Zubair R.Anhum hadith yang seumpamanya. Abu al-Rabi‘ berkata: “Dan Fulaih menyampaikan kepada kami daripada Rabi‘ah bin Abu ‘Abd al-Rahman dan Yahya bin Sa‘id, daripada al-Qasim bin Muhammad bin Abu Bakar, hadith yang seumpamanya.” 

Riwayat al-Bukhari (2661)

Selain daripada itu, Aisyah R.Anha termasuk dalam mereka yang banyak meriwayatkan hadith. Beliau meriwayatkan hadith (mengambil ilmu) daripada suaminya, Rasulullah SAW, bapanya iaitu  Abu Bakar al-Siddiq, Umar, Fatimah, Sa‘ad, Hamzah bin ‘Amr al-Aslami, dan Judamah binti Wahb. Manakala di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah Ibrahim bin Yazid al-Nakha‘i secara mursal, begitu juga Ibrahim bin Yazid al-Taimi, Ishaq bin Talhah, Ishaq bin Umar, al-Aswad bin Yazid, Aiman al-Makki, Thumamah bin Hazn, Jubair bin Nufair, Jumai‘ bin ‘Umair, al-Harith bin Abdullah bin Abu Rabi‘ah al-Makhzumi, al-Harith bin Naufal, Hamzah bin Abdullah bin Umar, Khalid bin Sa‘ad, ‘Abis bin Rabi‘ah, ‘Asim bin Humaid al-Sakuni, ‘Amir bin Sa‘ad, al-Sya‘bi, ‘Abbad bin Abdullah bin al-Zubair, ‘Ubadah bin Walid, Abdullah bin Buraidah, Abu al-Walid Abdullah bin al-Harith al-Basri, Abdullah bin Syaddad al-Laithi, Abdullah bin Syaqiq, Abdullah bin Syihab al-Khaulani, Abdullah bin ‘Amir bin Rabi‘ah, Ibn Umar, Ibn Abbas, Abdullah bin Farrukh, Abdullah bin Abu Mulaikah, Abdullah bin ‘Ubaid bin ‘Umair, Abdullah bin ‘Ukaim, Abdullah bin Qais, ‘Urwah al-Muzani, ‘Ata’ bin Abu Rabah, ‘Ata’ bin Yasar, ‘Ikrimah, ‘Alqamah, ‘Alqamah bin Waqqas, Ali bin al-Husain, ‘Amr bin Sa‘id al-Asydaq, ‘Amr bin Syurahbil, ‘Amr bin Ghalib, Malik bin Abu ‘Amir, Mujahid, Muhammad bin Ibrahim al-Timi, Muhammad bin al-Asy‘ath, Muhammad bin Ziyad al-Jumahi, IBn Sirin, Muhammad bin ‘Abd al-Rahman bin al-Harith bin Hisyam dan ramai lagi. 

Imam al-Zahabi menyatakan bahawa hadith yang diriwayatkan daripada jalur Aisyah R.Anha mencecah sebanyak 2210 hadith. Imam al-Bukhari dan Imam Muslim meriwayatkan secara bersama sebanyak 174 hadith daripada jumlah tersebut. Manakala Imam al-Bukhari meriwayatkan sebanyak 54 hadith secara bersendirian, dan Imam Muslim pula meriwayatkan sebanyak 69 hadith secara bersendirian. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/135-139).

Tambahan  pula, Aisyah R.Anha juga termasuk salah seorang yang faqih dalam kalangan wanita bagi umat ini secara umumnya. Terdapat riwayat daripada ‘Ata’ bin Abu Rabah, katanya:

كَانَتْ عَائِشَةُ، أَفْقَهَ النَّاسِ وَأَعْلَمَ النَّاسِ وَأَحْسَنَ النَّاسِ رَأْيًا فِي الْعَامَّةِ

Maksudnya:Aisyah adalah orang yang paling faqih, paling alim, paling baik pandangannya dalam urusan orang-orang awam.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (6748); al-Zahabi dalam al-Talkhis tidak memberi apa-apa komentar berkenaan riwayat ini. Lihat juga Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/185).

Begitu juga terdapat riwayat daripada al-Zuhri, katanya: 

لَوْ جُمِعَ عِلْمُ النَّاسِ كُلِّهِمْ، ثُمَّ عِلْمُ أَزْوَاجِ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لَكَانَتْ عَائِشَةُ أَوْسَعَهُمْ عِلْمًا

Maksudnya:Jika dihimpunkan ilmu manusia keseluruhannya, kemudian ilmu para isteri Nabi SAW, nescaya Aisyahlah orang yang paling luas ilmu pengetahuannya berbanding mereka.”

Riwayat al-Hakim dalam al-Mustadrak (6734); al-Zahabi dalam al-Talkhis menyatakan, riwayat ini mengikut syarat Imam al-Bukhari dan Muslim. Lihat juga Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/185). Al-Haithami menyatakan dalam Majma‘ al-Zawa’id (9/246), riwayat ini adalah mursal dan perawi-perawinya adalah thiqah.

Abu Musa al-Asy‘ari R.A pernah menyebutkan kelebihan Aisyah R.Anha dengan berkata:

مَا أَشْكَلَ عَلَيْنَا أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَدِيثٌ قَطُّ فَسَأَلْنَا عَائِشَةَ إِلَّا وَجَدْنَا عِنْدَهَا مِنْهُ عِلْمًا

Maksudnya:Tidak ada satu hadith pun yang memusykilkan kami para sahabat Rasulullah SAW, lalu kami bertanya kepada Aisyah, melainkan kami mendapati di sisinya ada ilmu.

Riwayat al-Tirmizi (3883) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih gharib. Al-Zahabi dalam Siyar A‘lam al-Nubala’ (2/179) menilainya sebagai hasan gharib.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan lagi bahawa beliau termasuk dalam kalangan sahabat yang faqih dan memiliki ilmu yang banyak. Justeru, beliau menjadi tumpuan ramai penuntut ilmu pada ketika itu. Ramai dalam kalangan sahabat dan tabi‘in yang besar tidak terlepas peluang meriwayatkan daripadanya. 

Di samping itu, terdapat juga riwayat yang menceritakan bahawa Jibril A.S pernah menyampaikan salam kepadanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada al-Zuhri, daripada Abu Salamah, daripada Aisyah R.Anha bahawa Nabi SAW bersabda kepadanya:

يَا عَائِشَةُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ، فَقَالَتْ: وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ وَبَرَكَاتُهُ، تَرَى مَا لاَ أَرَى. تُرِيدُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya:Wahai Aisyah, ini Jibril mengucapkan salam kepadamu. Aisyah berkata: ‘Dan ke atasnya keselamatan dan rahmat serta keberkatan-Nya. Engkau melihat apa yang aku tidak lihat.’ Aisyah menujukan ucapannya itu kepada Nabi SAW.”

Riwayat al-Bukhari (3217)

Selain daripada itu, terdapat riwayat lain yang menyatakan berkenaan kelebihan Aisyah R.Anha ke atas para wanita yang lain sama seperti kelebihan Tharid ke atas makanan yang lain. Hal ini sebagaimana riwayat Abu Musa R.A: katanya: Rasulullah SAW bersabda:

كَمَلَ مِنَ الرِّجَالِ كَثِيرٌ، وَلَمْ يَكْمُلْ مِنَ النِّسَاءِ: إِلَّا آسِيَةُ امْرَأَةُ فِرْعَوْنَ، وَمَرْيَمُ  ابْنَةُ عِمْرَانَ، وَإِنَّ فَضْلَ عَائِشَةَ عَلَى النِّسَاءِ كَفَضْلِ الثَّرِيدِ عَلَى سَائِرِ الطَّعَامِ.

Maksudnya: “Dalam kalangan orang lelaki banyak yang sempurna, manakala tidak ada yang sempurna dari kalangan perempuan kecuali Asiah isteri Fir‘aun dan Maryam binti ‘Imran. Sesungguhnya kelebihan Aisyah ke atas wanita sama seperti kelebihan Tharid  ke atas semua makanan.

Riwayat al-Bukhari (3411)

Hadith ini menunjukkan bahawa seolah-olah Aisyah R.Anha adalah seorang yang sangat istimewa berbanding dengan para wanita yang lain. Justeru, tidak hairanlah jika beliau disayangi oleh Rasulullah SAW berbanding isteri-isteri Baginda yang lain selepas Khadijah. Terdapat riwayat daripada ‘Amr bin al-As R.A bahawa Nabi SAW mengutusnya memimpin pasukan Zat al-Salasil (kemudian katanya):

فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ: أَيُّ النَّاسِ أَحَبُّ إِلَيْكَ؟ قَالَ: عَائِشَةُ، فَقُلْتُ: مِنَ الرِّجَالِ؟ قَالَ: أَبُوهَا، قَالَ: فَقُلْتُ: ثُمَّ مَنْ؟ قَالَ: ثُمَّ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ. فَعَدَّ رِجَالًا.

Maksudnya:Aku pun datang kepada Baginda dan bertanya: ‘Siapakah orang yang lebih engkau cintai?’ Baginda menjawab ‘Aisyah.’ Aku bertanya lagi: ‘Daripada kalangan lelaki?’ Baginda menjawab: ‘Bapanya (iaitu Abu Bakar).’ Aku bertanya lagi: ‘Kemudian siapa?’ Baginda menjawab: ‘Kemudian Umar bin al-Khattab.’ Lalu Baginda menyebutkan nama beberapa orang lelaki.

Riwayat al-Bukhari (3662)

Bukan itu sahaja, Rasulullah SAW juga apabila sakitnya semakin berat yang menjadi sebab kepada kewafatan Baginda, Baginda telah meminta izin daripada para isterinya yang lain untuk  tinggal di rumah Aisyah R.Anha. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, terj. YADIM, hlm. 812-813). Sehingga akhirnya, Baginda diwafatkan di atas pangkuan Aisyah dan pada waktu gilirannya, serta dikebumikan di rumahnya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

تُوُفِّيَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِي، وَفِي نَوْبَتِي، وَبَيْنَ سَحْرِي وَنَحْرِي، وَجَمَعَ اللَّهُ بَيْنَ رِيقِي وَرِيقِهِ، قَالَتْ: دَخَلَ عَبْدُ الرَّحْمَنِ بِسِوَاكٍ، فَضَعُفَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْهُ، فَأَخَذْتُهُ، فَمَضَغْتُهُ، ثُمَّ سَنَنْتُهُ بِهِ.

Maksudnya: “Nabi SAW wafat di rumahku, ketika giliranku, dan antara dada dan leherku. Allah SWT telah mengumpulkan antara air liurku dengan air liurnya.” Beliau berkata: “‘Abd al-Rahman masuk membawa kayu sugi, tetapi Nabi SAW terlalu lemah untuk bersugi. Oleh itu, aku mengambilnya (kayu sugi itu), lalu menggigitnya (melembutkannya). Kemudian aku menggunakannya untuk menggosok gigi Baginda.

Riwayat al-Bukhari (3100)

Selain daripada itu, terdapat juga ayat al-Quran yang diturunkan disebabkan oleh Aisyah R.Anha iaitu berkaitan pensyariatan tayammum. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada bapanya, daripada Aisyah bahawa:

أَنَّهَا اسْتَعَارَتْ مِنْ أَسْمَاءَ قِلاَدَةً فَهَلَكَتْ، فَبَعَثَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا فَوَجَدَهَا، فَأَدْرَكَتْهُمُ الصَّلاَةُ وَلَيْسَ مَعَهُمْ مَاءٌ، فَصَلَّوْا، فَشَكَوْا ذَلِكَ إِلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَنْزَلَ اللهُ آيَةَ التَّيَمُّمِ. فَقَالَ أُسَيْدُ بْنُ حُضَيْرٍ لِعَائِشَةَ: جَزَاكِ اللهُ خَيْرًا، فَوَاللهِ مَا نَزَلَ بِكِ أَمْرٌ تَكْرَهِينَهُ، إِلَّا جَعَلَ اللهُ ذَلِكِ لَكِ وَلِلْمُسْلِمِينَ فِيهِ خَيْرًا.

Maksudnya:Beliau meminjam kalung daripada Asma’, lalu kalung tersebut hilang. Oleh itu, Rasulullah SAW mengutus seseorang untuk mencarinya dan dia menemukannya. Kebetulan waktu solat telah pun masuk, tetapi tidak ada bekalan air bersama mereka untuk berwuduk. Namun, mereka tetap menunaikan solat tanpa berwuduk. Setelah itu, mereka mengadukan peristiwa tersebut kepada Rasulullah SAW. Lalu Allah SWT menurunkan ayat tayammum. Usaid bin Hudhair berkata kepada Aisyah: ‘Semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Demi Allah tidaklah terjadi kepadamu suatu perkara yang engkau tidak suka melainkan Allah SWT menjadikan di dalamnya suatu kebaikan kepadamu dan kaum Muslimin.’

Riwayat al-Bukhari (336)

Aisyah R.Anha wafat pada malam selasa bersamaan dengan tarikh 17 Ramadhan pada tahun 58 Hijrah. Sebahagian ulama berpendapat, pada tahun 57 Hijrah. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘ di Madinah. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/235).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *