Ummu al-Mukminin Khadijah binti Khuwailid R.Anha

Beliau ialah Ummul Mukminin Ummu al-Qasim Khadijah binti Khuwailid bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza bin Qusai bin Kilab al-Qurasyiyyah al-Asadiyyah. Beliau merupakan ibu kepada anak-anak Rasulullah SAW, orang pertama beriman dengannya dan yang membenarkannya sebelum sesiapapun. Beliau juga ialah orang yang menenangkan Baginda ketika dalam ketakutan dan membawanya berjumpa sepupunya iaitu Waraqah. Di samping itu, kelebihan dan kebaikannya juga sangat banyak. Selain itu, beliau juga adalah salah seorang wanita yang paling sempurna, berakal (bijak), mulia (bermaruah), beragama, suci, pemurah, dan termasuk dalam kalangan  ahli syurga. Bahkan Nabi SAW selalu memujinya, menyebut kelebihan dan kebaikannya berbanding Ummul Mukminin yang lain serta berlebihan dalam memuliakannya. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/109-110). Hal itu sehinggakan Aisyah R.Anha pernah berkata:

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ، هَلَكَتْ قَبْلَ أَنْ يَتَزَوَّجَنِي، لِمَا كُنْتُ أَسْمَعُهُ يَذْكُرُهَا، وَأَمَرَهُ اللَّهُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ مِنْ قَصَبٍ، وَإِنْ كَانَ لَيَذْبَحُ الشَّاةَ فَيُهْدِي فِي خَلاَئِلِهَا مِنْهَا مَا يَسَعُهُنَّ

Maksudnya:Aku tidak pernah cemburu terhadap mana-mana wanita(isteri-isteri) Nabi SAW, sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. Dia telah meninggal dunia sebelum Baginda mengahwiniku. (Kecemburuanku) kerana aku biasa mendengar Baginda menyebut (nama)nya. Allah memerintahkan Baginda untuk memberitahu kepadanya (Khadijah) khabar gembira berupa rumah yang dibina daripada permata. Sekiranya Baginda menyembelih kambing, Baginda akan menghadiahkannya kepada sahabat-sahabatnya (yakni sahabat Khadijah) hinggalah kesemua mereka mendapatkannya.

Riwayat al-Bukhari (3816) dan Muslim (2435)

Ibunya bernama Fatimah binti Za’idah al-‘Amiriyyah. Khadijah pada awalnya berkahwin dengan Abu Halah bin Zurarah al-Tamimi, kemudian beliau berkahwin pula selepasnya dengan ‘Atiq bin ‘Abid bin Abdullah bin Umar bin Makhzum, kemudian selepasnya beliau berkahwin pula dengan Nabi SAW. Beliau berkahwin dengan Nabi SAW ketika Baginda berumur 25 tahun, manakala umur Khadijah pula ketika itu adalah 15 tahun lebih tua daripada Baginda SAW. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/111). 

Peristiwa beliau membawa Nabi SAW bertemu sepupunya, Waraqah bin Naufal ada direkodkan oleh Imam al-Bukhari dalam dalam Sahih al-Bukhari. Diceritakan bahawa setelah turunnya wahyu yang pertama iaitu Surah al-‘Alaq ayat 1-3, Rasulullah SAW kembali kepada keluarganya membawa wahyu itu dalam keadaan hatinya berdebar-debar. Baginda SAW lalu masuk menemui Khadijah binti Khuwailid R.Anha dan bersabda: “Selimutkan aku, selimutkan aku.” Maka, mereka menyelimutkannya sehingga hilang rasa takut Baginda. Rasulullah SAW menceritakan peristiwa yang berlaku kepada Khadijah R.Anha dan berkata: “Sesungguhnya aku benar-benar bimbangkan diriku.” Khadijah R.Anha berkata: “Demi Allah, sampai bila pun Allah tidak akan menghinamu. Sesungguhnya engkau ialah orang yang selalu menyambung silaturrahim, menanggung beban orang-orang susah, mengusahakan sesuatu untuk orang yang tiada perusahaan, melayani tetamu dan membantu orang yang ditimpa bencana alam.” 

Khadijah R.Anha pun membawa Nabi SAW bertemu dengan Waraqah bin Naufal bin Asad bin ‘Abd al-‘Uzza iaitu sepupu Khadijah. Beliau menganut agama Nasrani di masa Jahiliyyah, dan telah menulis kitab dalam bahasa Ibrani, dan beliau menulis kitab Injil dalam bahasa Ibrani dengan izin Allah. Saat itu, Waraqah sudah tua dan matanya buta. Khadijah R.Anha berkata kepadanya: “Wahai sepupuku, dengarlah cerita daripada anak saudaramu ini.” Maka Waraqah berkata kepada Baginda SAW: “Wahai anak saudaraku, apakah yang engkau lihat?” Maka Rasulullah SAW menceritakan apa yang dialaminya. Lalu Waraqah berkata kepadanya: “Ini ialah Namus (Jibril A.S) yang pernah diturunkan oleh Allah SWT kepada Musa. Aduhai diriku! Alangkah baik jika ketika dirimu diutuskan sebagai Rasul aku masih muda belia. Aduhai! Seandainya aku masih hidup saat kaummu mengusirmu.” Rasulullah SAW bertanya: “Adakah mereka pasti akan mengusir aku?” Waraqah menjawab: “Ya, kerana tiada seorang pun yang datang membawa wahyu seperti yang engkau bawa ini melainkan dia dimusuhi. Andaikata aku masih hidup pada hari itu, nescaya aku akan menolong engkau dengan sedaya upayaku.” Tidak lama kemudian, Waraqah pun meninggal dunia, lalu penurunan wahyu terhenti buat sementara waktu. 

Riwayat al-Bukhari (3) 

Selain itu juga, Nasab Khadijah bertemu dengan nasab Nabi SAW pada Qusai. Beliau adalah wanita pertama yang dinikahi oleh Nabi Muhammad SAW dan orang pertama yang menerima dakwah Islam. Rasulullah SAW sangat menyayangi dan mencintai Khadijah sehinggakan Baginda pernah bersabda:

إنِّي قدْ رُزِقْتُ حُبَّها

Maksudnya:Sesungguhnya aku telah dikurniakan perasaan cinta terhadapnya (Khadijah).”

Riwayat Muslim (2435)

Tambahan lagi, Nabi Muhammad SAW tidak berkahwin dengan perempuan lain ketika Baginda bersama Khadijah sehinggalah beliau wafat iaitu tiga tahun sebelum hijrah dan tahun yang sama Abu Talib wafat. (Lihat Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi, 2/351-353). 

Khadijah merupakan orang yang sangat penting dalam dakwah Baginda SAW. Hal ini kerana beliau telah membantu dakwah Nabi SAW bukan sahaja dengan memberikan semangat dan sokongan moral, bahkan turut memberikan hartanya demi kelangsungan dakwah suaminya kepada masyarakat Makkah ketika itu. Nabi SAW bersabda: 

ما أبدَلَني اللهُ ﷿ خَيرًا منها، قد آمَنَتْ بي إذ كفَرَ بي الناسُ، وصدَّقَتْني إذ كذَّبَني الناسُ، وواسَتْني بمالِها إذ حرَمَني الناسُ، ورزَقَني اللهُ ﷿ ولَدَها إذ حرَمَني أولادَ النِّساءِ

Maksudnya: “Allah ‘Azza wa Jalla tidak memberikan ganti kepada aku dengan yang lebih baik daripadanya (Khadijah). Dia beriman dengan aku ketika orang lain kufur denganku. Dia membenarkanku ketika orang lain mendustakanku. Dia menghilangkan kegusaranku dengan hartanya ketika orang lain menahan hartanya daripadaku dan Allah mengurniakan rezeki kepadaku dengan anaknya, sedangkan Dia menghalang isteri-isteriku (yang lain) daripada melahirkan anak.

Riwayat Ahmad (24864); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad menilainya sebagai sahih.

Selain daripada itu, Khadijah R.Anha adalah sebaik-baik wanita bagi umat ini. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Ali R.A daripada Nabi SAW, Baginda  bersabda:

خَيْرُ نِسَائِهَا مَرْيَمُ، وَخَيْرُ نِسَائِهَا خَدِيجَةُ

Maksudnya:Sebaik-baik wanita (pada zaman)nya ialah Maryam dan sebaik-baik wanita (pada zaman)nya ialah Khadijah.

Riwayat al-Bukhari (3815)

Selain itu, Khadijah R.Anha termasuk dalam kalangan orang yang dijamin syurga. Terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

سَيِّدَاتُ نِسَاءِ أَهْلِ الْجَنَّةِ أَرْبَعٌ: مَرْيَمُ بِنْتُ عِمْرَانَ ، وَفَاطِمَةُ بِنْتُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَخَدِيجَةُ بِنْتُ خُوَيْلِدٍ ، وَآسِيَةُ

Maksudnya: “Penghulu wanita ahli syurga empat orang: Maryam binti Imran, Fatimah binti Rasulillah, Khadijah binti Khuwailid dan Asiah.”

Riwayat Imam Ahmad dalam Fadha’il al-Sahabah (1336) dan al-Hakim dalam al-Mustadrak (4921). Al-Suyuti menilainya sebagai sahih dalam al-Jami‘ al-Saghir (4744). Begitu juga ia turut dinilai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3678)

Berdasarkan hadith di atas, jelas bahawa keempat-empat orang yang disebut dalam hadith ini iaitu Khadijah, Fatimah, Asiah dan Maryam adalah ahli syurga. Selain itu, Allah SWT juga pernah menyampaikan salam kepada Khadijah R.Anha dan menyampaikan berita gembira kepadanya bahawasanya beliau akan diberikan rumah di dalam syurga yang dibina daripada permata. Rumah itu juga di dalamnya tidak mempunyai kebisingan mahupun kepenatan. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, katanya: 

أَتَى جِبْرِيلُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَذِهِ خَدِيجَةُ قَدْ أَتَتْ مَعَهَا إِنَاءٌ فِيهِ إِدَامٌ، أَوْ طَعَامٌ أَوْ شَرَابٌ، فَإِذَا هِيَ أَتَتْكَ فَاقْرَأْ عَلَيْهَا السَّلاَمَ مِنْ رَبِّهَا وَمِنِّي وَبَشِّرْهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ لاَ صَخَبَ فِيهِ، وَلاَ نَصَبَ 

Maksudnya:Jibril datang kepada Nabi SAW dan berkata: ‘Wahai Rasulullah, Khadijah akan datang membawa bekas yang berisi lauk pauk, atau makanan, atau minuman. Apabila dia sampai kepadamu, maka sampaikan salam kepadanya daripada Tuhannya dan daripadaku, serta sampaikan kepadanya khabar gembira berupa rumah di syurga daripada permata. Tidak ada suara bising dan rasa lelah di dalamnya.’

Riwayat al-Bukhari (3820)

Begitu juga dalam riwayat lain, daripada Aisyah R.Anha, katanya: 

مَا غِرْتُ عَلَى امْرَأَةٍ مَا غِرْتُ عَلَى خَدِيجَةَ مِنْ كَثْرَةِ ذِكْرِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِيَّاهَا»، قَالَتْ: «وَتَزَوَّجَنِي بَعْدَهَا بِثَلاَثِ سِنِينَ، وَأَمَرَهُ رَبُّهُ أَوْ جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلاَمُ أَنْ يُبَشِّرَهَا بِبَيْتٍ فِي الجَنَّةِ مِنْ قَصَبٍ

Maksudnya:Aku tidak pernah cemburu terhadap seorang wanita sebagaimana kecemburuanku terhadap Khadijah. (Ini kerana) Rasulullah SAW sering menyebut (nama)nya.” Aisyah berkata: “Baginda mengahwiniku tiga tahun selepas (kewafatan)nya (Khadijah). Baginda diperintahkan oleh Tuhannya atau Jibril A.S untuk memberikannya khabar gembira berupa rumah di syurga yang dibina daripada permata.”

Riwayat al-Bukhari (3817)

Menurut Aisyah R.Anha bahawasanya Khadijah binti Khuwailid R.Anha wafat sebelum difardhukan solat iaitu sebelum peristiwa Israk Mikraj. Ada juga yang berpendapat bahawa beliau wafat pada bulan Ramadhan dan dikebumikan di Hajun ketika berusia 65 tahun. Rasulullah SAW sendiri yang mengebumikan jenazahnya dan ketika itu belum lagi disyariatkan solat jenazah. Namun, menurut Ibn Hajar al-‘Asqalani, pendapat yang sahih ialah Khadijah R.Anha wafat tiga tahun sebelum Hijrah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/111-112; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/103). 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *